Thursday, December 27, 2012

Trip Hujung Tahun: Kuala Terengganu Bahagian dua

Mentari terbit di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu
Lokasi: Indah Beach Resort, Jalan Pantai Batu Burok

Perjalanan untuk berkunjung ke banyak tempat di sekitar Kuala Terengganu agak terbatas kerana hujan kerap turun. Aku mencadangkan jika nak berkunjung dan bercuti ke Terengganu, sebaiknya biarlah di luar musim tengkujuh. Hari ketiga barulah aku dapat melihat matahari terbit di Pantai Batu Burok kerana sebelum itu suasana di Kuala Terengganu dicengkam cuaca mendung.

Hujan yang turun di sini sangat lebat, tidak ada petanda bunyi guruh dan petir menyambar sebagaimana di Pantai Barat Semenanjung sebelum hujan tetapi dapat diketahui dengan suasana angin yang bertiup sangat kuat. Suasana angin yang bertiup kuat itu dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut menyebabkan ombak di sini sangat besar dan berlapis-lapis.

Selepas isteri aku habis tugas-tugas menyelia peperiksaan PJJ Upm di sini sekitar jam 5 petang, barulah kami berkesempatan ke Pasar Payang.

Ini adalah antara kawasan penting pelancongan di tengah Bandaraya Kuala Terengganu. Aku tengok ramai rombongan dari Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang datang ke Pasar Payang ni. Tingkat atas pasar ini majoritinya menjual pakaian-pakaian batik, baju kelawar (baju tidur) dan kain batik. Ada 3-4 kedai sahaja yang menjual keropok pelbagai jenis dan ada satu kedai yang menjual senjata (parang, golok, keris, pedang samarui, pedang berkalimah dll).

suasana sesak di luar Pasar Payang...
mengalahkan sesak di KL
Satu perkara yang aku perasaan sejak datang ke Kuala Terengganu adalah jalan sesak yang mengalahkan sesak di KL atau PJ. Antara yang sesak dengan kereta memenuhi ruang jalan adalah Jalan Sultan Zainal Abidin di sepanjang Payang Walk hingga ke Pasar Payang, Persimpangan Mydin, Jalan Sultan Mohamad dan Jalan Tuanku Mizan. Orang tempatan dan pelancong-pelancong dalam negeri bertumpu di kawasan-kawasan ini (Pasar Payang, Mydin KT, Losong) yang menyebabkan laluan sesak.

Aku dan keluaga berangkat balik ke KL pada 24 Disember 2012 seawal jam 9.30 pagi untuk mengelak hujan lebat yang kerap turun selepas tengahari dan banjir yang telah mula melanda beberapa daerah berhampiran Kuala Terengganu seperti di Setiu, Dungun dan Marang. Syukur sepanjang perjalanan di Terengganu mengikut laluan jalan pantai KT-Dungun-Kemaman lancar dan selamat. Cuma ketika melalui kawasan Cherating hingga ke Kuantan, hujan turun sangat lebat pada hari itu. Berita turut melaporkan Kuantan dilanda banjir kilat kesan hujan lebat tersebut.


Pemandangan di belakang Jalan Kampong Cina, KT

Suasana mendung awan hitam di Pantai Batu Burok

Friday, December 21, 2012

Trip Hujung Tahun: Kuala Terengganu

Ini adalah kedatangan kali kedua aku ke Kuala Terengganu. Sepatutnya yang kali pertama ketika berlaku Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2009 dulu. Namun atas sebab-sebab teknikal niat kehadiran 'pertama' itu terpaksa dibatal saat akhir.

Hajat menjejak kaki buat pertama kali di bumi Terengganu tercapai ketika Pemilihan Organisasi Parti Keadilan Rakyat pada penghujung tahun 2010 lalu. Masa itu juga aku menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu (sebab nak jaga pemilihan parti di Kuala Nerus). Pengalaman paling menarik untuk kedatangan kali pertama itu adalah menjaga dan menjalankan urusan pemilihan peringkat Cabang Kuala Nerus yang dilabelkan sebagai 'panas' dan bos aku di ibupejabat maklumkan kemungkinan berlaku pergaduhan. Huh...

Jangkaan itu benar-benar berlaku tetapi 'keceramukan politik' itu berlaku selepas korum mesyuarat membuat keputusan untuk membatal dan menunda proses pemilihan tersebut. Jadi kerja aku menjadi ringan sebab tak perlu menjalankan pemilihan. Kemas dan balik. Kesilapan komunikasi antara pihak-pihak bertanding menyebabkan berlaku aksi-aksi 'kungfu fighting' tetapi berjaya dihalang dan segera diredakan. hahahaha..inilah trip 'out station' yang agak gempak. Sekarang jika teringat itu adalah pengalaman istimewa.

Trip KT 2012
Photo: Pantai Batu Burok

Semalam (20 Disember) aku tiba sekali, buat kali keduanya ke Kuala Terengganu. Kali ini menemankan isteri tercinta yang ditugaskan untuk mengendalikan peperiksaan bagi PJJ UPM. 

Sebelum ini, isteri tercinta kerap menemankan aku ke Temerloh dan Kuantan semasa Pemilihan PKR 2010 lalu. Jadi ini peluang dan giliran aku untuk membuat perkara yang sama.

Atas sebab ini juga, aku membatalkan gig Farasu di Bandar Baru Bangi pada 22 Disember 2012. Aku berterima kasih jugak pada gitaris Farasu, Nahaq yang sangat memahami situasi ini. 

Teringat kata-kata dari sahabat sekerja sejawatan dari Terengganu, Tengku Roslan yang pernah menyebut ketika satu 'retreat' pimpinan di Kuantan tahun lepas. Dia nyatakan bahawa kalau di Terengganu ombak lautnya besar-besar dan berlapis. Setakat mcam Port Dickson tu, biasa sahaja. Memang betul perkara yang dicakapkan itu dan aku sendiri melihatnya di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu ni.

Photo: Kawasan yg dikata ada arus bawah yg mbentuk pusaran di Pantai Batu Burok...patutlah xada org mandi manda kt sini?!
Antara kawasan di Pantai Batu Burok
yang mempunyai pusaran air di dasarnya
Kebetulan tempat aku menginap betul-betul mengadap Pantai Batu Burok. Kedudukan Intan Beach Resort sangat strategik dan bilik aku betul-betul mengadap laut. Sesuatu yang berbeza untuk dibandingkan dengan suasana pantai di Telok Kemang adalah angin di sini bertiup sangat kencang dan hanya akan reda selepas tengah malam. Bunyi ombak menghempas pantai sangat kuat dan aku sendiri tidak pasti waktu pasang surut air laut di sini sebab tengok sama saja dari siang dan malam.

Hempasan ombak di Pantai Batu Burok sentiasa bertali arus takde putus dan ia menjadi semacam 'trademark' pantai peranginan ini yang menyimpan pelbagai kisah kejadian mati lemas dan misteri yang lain.

Aku agak teruja untuk mandi dan berenang dalam suasana ombaknya yang menggerunkan itu (sebab berlapis-lapis dan berbuih-buih serta menyebabkan wap air muncul bertebaran ke darat), namun agak menghairankan buat kali pertamanya tiada orang pun yang mandi hatta berenang di sini. Yang ada hanyalah beberapa nelayan tepi pantai yang membawa jala menanti sekumpulan ikan di balik ombak untuk ditebar!

Aku ada bertanya pada seorang pakcik yang berniaga layang-layang di pantai ini, mengapa tiada orang mandi-manda di sini? Dia memberitahu yang kawasan ini dilarang mandi-manda kerana ada arus pusaran air di bawah air laut ini! Dia nyatakan arus itu sangat kuat menarik dan menyebabkan orang boleh terperangkap lemas ke bawah dasar laut! Wuh...agak menakutkan bunyinya dan gempak!

Setakat ini dulu kisah Trip KT 2012...tunggu kisah seterusnya!



Tuesday, December 18, 2012

Sedekad Farasu: meneruskan perjuangan!

Demo
"A Millenium of Madness" 2003
Aku hampir terlupa usia Farasu kini genap sudah 10 tahun pada 13 Disember 2012 lepas. Kesibukan dengan kerja-kerja politik meragut sedikit ingatan dan komitmen masa bersama Farasu. Namun itu hanya seketika dan jiwa muzik aku takkan tergadai dek kerana desakan kerja-kerja politik!

Aku sendiri semacam terasa baru semalam terlibat dengan dunia muzik metal tanahair dan seperti Farasu baru sahaja sebulan wujud. Terkenang waktu-waktu awal ketika pertemuan pertama aku, Nahaq dan Bul membincangkan penubuhan sebuah band di Restoran Azwath, Seri Serdang. 
MCD (2006)
The Blackmoon Eclipse

Kalau tak silap, perbincangan itu berlaku sekitar jam 10.30 malam. Kami bertiga juga jamming kali pertama jam 1.00 pagi di Studio Eruption. Lagu yang kami cuba adalah lagu-lagu dari Athotorgh- 'Bath In Sin' dan 'Serpent Scream'. Percubaan jamming ini menjadi dan serasi kerana kami sama-sama berminat dengan Athotorgh.

Farasu 2006-2007
Farasu sendiri telah melalui zamannya tersendiri dari segi perubahan keanggotaan band, persembahan, penghasilan material dan pengalaman meruncing yang hampir sahaja menguburkan band ini. Aku tidak pernah sekali menyerah kalah dan membiarkan Farasu hilang daripada peta muzik metal negara walaupun pernah suatu masa aku berseorangan memastikan 'keberadaan' band ini daripada ditelan asakan masalah-masalah lalu.

Farasu 2008-2011
Sesi temubual langsung Muzik FM-Rock Selamba
Mungkin Allah SWT menganugerahkan aku semangat juang yang tinggi dan syukur Farasu masih bertahan seadanya kini. Aku juga menyakini Nahaq mempunyai semangat juang yang tinggi tanpa mempedulikan asakan, kutukan dan tekanan yang mendatang. Atas sebab itu juga, kami masih kekal bersama dalam Farasu.

Bul kini menumpu urusan perniagaan dan keluarga. Komitmen beliau sangat diperlukan untuk menguruskan sebuah perniagaan keluarga yang sangat berjaya. Tanpa sokongan dan keterujaan beliau, mungkin penyatuan line-up awal Farasu takkan berjaya pada tahun 2008 lalu. Atas komitmen beliau juga Farasu turut berjaya menghasilkan album pertama 'Menongkah Arus' pada tahun 2010. Walaupun beliau tidak bersama dengan Farasu, semangat Bul tetap kekal bersama kami!

Material Baru

Perancangan Farasu yang dinyatakan sebelum ini masih berjalan lancar. Tahun 2013 akan datang bakal menampilkan material baru daripada kami. Ada yang kata Farasu sudah otai, namun secara jujur dan pandangan peribadi, aku tidak merasakan kami ini otai tetapi kami pemuzik tegar metal (pinjam ayat M.Nasir) yang masih teruja untuk terus menghasilkan karya kreatif tanpa mempedulikan asakan usia dan keadaan!

Logo terkini Farasu (2013)
Kami akan tampil dengan kelainan dan kreativiti baru serta tidak mahu dipengaruhi oleh trendy yang sering menjadikan kepelbagaian kreativiti terbatas. Farasu adalah Farasu. Muzik kami tetap berbeza.

Secara tidak langsung, kami telah memperkenalkan nama album yang bakal diterbitkan melalui usaha Nahaq. 'Against The Tyranny' menjadi pilihan (mungkin bertukar tajuk album bergantung kepada keadaan) yang bakal mempersembahkan lirik lagu-lagu bercorak keadilan sosial, penentangan kezaliman pemerintah dan kehidupan. Namun ada juga lagu yang menyentuh hikayat purba diselitkan. 

Keanggotaan terkini Farasu adalah;
Nahaq-gitar
Jo Yuhan-gitar
Apai-bass
Fidaiyyin-drum

Akhir bicara, aku tabik hormat atas komitmen, kesetiaan dan persahabatan kepada Nahaq & Bul dan keyakinan tiap-tiap individu yang pernah terlibat menjayakan agenda muzik Farasu.


Thursday, November 29, 2012

Holy War...The Punishment Due: lagu Megadeth pertama yg didengar


Secara jujurnya inilah lagu pertama yang aku dengar daripada Megadeth, salah satu band kegemaran aku. Walaupun semasa tingkatan empat dulu (1995) pernah seorang rakan sekelas tunjuk dan perdengarkan album Rust In Peace, aku tak begitu terpesona dengan muzik Megadeth apatah lagi dengan gaya nyanyian Dave Mustaine yang aku rasakan tak begitu metal waktu itu.

Reputasi Megadeth memang ramai yang tahu dan tak perlu dipertikaikan. Dave Mustaine juga menjadi ikon terbaik untuk rujukan gitaris (termasuk aku) kerana kreativiti dan kelainan riff, gaya & teknik permainan gitar serta 'kedegilan yang penuh kental' memperjuangkan keadilan sosial melalui muziknya!

Holly Wars (The Punishment Due) adalah sebuah lagu berbentuk sindiran politik yang mengkhusus kepada isu di Palestin. Walaupun Mustaine ini berdarah Yahudi tetapi beliau tidak menyokong tindakan kekejaman Israel-Zionis di Tebing Barat. 

Lagu ini merupakan antara lagu dari album Rust In Peace yang diterbitkan pada tahun 1990 di bawah label Capital Records. Ia adalah track pertama dalam album tersebut. Aku pun agak lewat membeli album ini, iaitu sembilan tahun selepas tamat sekolah menengah! Mungkin kerana 'mengeji' suara nyanyian Mustaine, kebencian itu menjadi sesuatu yang disukai pulak akhirnya.

Kerana lagu ini jugaklah aku terus 'jatuh cinta' dengan muzik Megadeth. Aku terus mendengar album-album selepas Rust In Peace. Album-album Megadeth sebelum itu dengar kemudian sebab aku rasakan muzik Megadeth sebelum Rust In Peace semacam lembab.

Sukar

Walaupun ada tablature yang dimuat-turun daripada internet, aku tetap kantoi nak menghafal rif-rif Holy War sampailah sekarang ni. Drumline lagu ini masih mampu diikut cuma perlu ingat tempo dan timing bahagian-bahagian tertentu lagu. Kalau semasa jamming, belum pernah lagu ni aku dapat main penuh. Antara sebabnya riff-riff lagu ni payah nak diingat.

Satu lagi keistimewaan lagu ni adalah bridge pada minit 2:15, skala gipsy minor yang kalau sekali dengar macam skala arabic minor. Skala ini sekejap tapi yang jenis jari keras macam aku memang sesuatu yang payahlah nak jadi serupa macam lagu....hahahahhahaha.

Lagu ini memang catchy dan tak jemu untuk dilayan termasuk 'memang bergaya' kalau dapat dipersembahkan! Kebanyakan persembahan Megadeth, Holy Wars menjadi antara lagu wajib konsert. 

Rentak drum Holy Wars juga pelbagai. Intro drum dimulakan dengan rolling mengikut scramming gitar, sesuatu yang susah juga kalau tak berlatih dengan betul untuk dapatkan stroke yang tepat! Kemudian masuk bahagian kedua, rentak drum agak funky dan diyakini kebanyakan drummer mampu ikut. Agak teknikal juga kerana ia diselang seli dengan part-part berhenti. 

Bahagian pertengahan lagu (minit 3:41-3:47) sangat mencabar, kalau drummer kurang peka dengan part berhenti-henti boleh menyebabkan timing lagu kelam-kabut. Bahagian akhir lagu mengulangi bahagian permulaan lagu cuma rentak drum lebih laju dan rentak double drum bass berubah-ubah dan bukan double pedal berterusan ala power metal.

Pandangan aku, lagu ini memang bersemangat dan penuh bertenaga serta membayangkan emosi & jalan cerita berdasarkan liriknya. Lagu ini wajib untuk senarai jamming dan persembahan!



Nombor 13: angka petaka?

Aku agak kurang mempercayai bahawa angka 13 itu membawa maksud petaka. Perbetulkan tulisan ini jika aku salah-bahawa masyarakat Cina amat sensitif dengan angka 13 yang membawa maksud petaka atau 'suwey'. 

Aku tidak mahu menyentuh kepercayaan masyarakat lain kerana jika silap menulis akan timbul perselisihan pandangan yang kritikal.

Seolah-olah kebetulan pulak, Tragedi Berdarah 13 Mei 1969 jatuh pada angka tersebut. Ada pandangan yang menyebut kejadian itu berlaku pada angka yang dipercayai membawa kemusnahan. Namun, pada aku itu semua telah dirancang dengan teliti oleh pakar-pakar strategis politik Umno ketika itu. Kelihatan dengan sengaja tarikh itu dipilih agar menampakkan betapa 'petaka' nya kejadian itu berlaku. Aku tak mahu ulas lanjut tentang ini.

Aku kongsikan sedikit pengetahuan yang diajar dan disampaikan oleh ayahanda aku. 

Puak pemuja syaitan atau freemason atau illuminati mengulangi sejarah sihir kegelapan zaman Nabi Musa A.S. Zaman tersebut amalan sihir berleluasa dan menjadi kepercayaan kuat masyarakat zaman itu. Maka atas sebab itu Allah SWT mengutuskan Nabi Musa untuk melawan amalan-amalan kufur melalui sihir.

Antara yang diselewengkan oleh pengamal-pengamal sihir waktu itu adalah 'menterbalikkan' (inverted) peranan Pentagram atau Bintang Bucu Lima menjadi tapak memuja dan menyeru segala syaitan dan jin kafir atas tujuan-tujuan tertentu.

Sebenarnya, pentagram ini mempunyai kalimah-kalimah suci Ilahi yang berfungsi sebagai Perisai Keselamatan atau Wafaq Pendinding. Malah pada satu-satu masa, pentagram berperanan sebagai pembendung dan perangkap makhluk-makhluk halus. Kalau yang mengetahui akan ilmu sufi atau kewalian, faham akan peranan pentagram sebagaimana yang aku nyatakan ini. 

Tiap-tiap lima bucu itu akan terkandung huruf-huruf seperti kaf, ha, ya, ain & sod dan diperkuatkan lagi dengan ha, mim, ain, sin, kof. Maka ketika hendak membentuk bintang tersebut, tiap-tiap bucu itu akan disebut dengan huruf-huruf ini. Kemudian bulatan penuh menutup bintang lima bucu tersebut dengan ayat samada kaf 40, ayat pembakar jin ifrit dan sebagainya asalkan yakin kerana Allah swt.

Aku dah lari tajuk sebenarnya ni....berbalik kepada angka 13 tadi.

Sedikit aku kongsikan pengetahuan ciput ni. Dalam solat, ada 13 rukun. Dalam tubuh manusia, ada 13 sendi. Aku merujuk kepada pepatah ilmu yang berbunyi; SOLAT ADALAH TIANG AGAMA. Ada lagi pepatah daripada teromba Negeri Sembilan; ADAT BERSENDI HUKUM, HUKUM BERSENDI KITABULLAH. (perbetulkan sekiranya salah)

Maka angka 13 itu secara hakikat dan zahirnya memberi bayangan bahawa kita (buat yang muslim) mendirikan solat adalah untuk diri semata-mata kerana Allah swt. Jika kita meninggalkan solat dan mengabaikannya, ia umpama kita mengabaikan tubuh kita sendiri. 

Sendi-sendi tulang yang 13 dalam tubuh ini menjadi asas berdirinya tubuh badan manusia. Tanpa sendi-sendi ini, mungkin kita tidak digelar sebagai manusia, mungkin menjadi seperti ikan atau sotong atau seperti ular. Memang benar dalam ular ada tulang, namun haiwan ini tidak mempunyai sendi sebagaimana manusia yang Allah SWT jadikan untuk berdiri tegak seperti huruf Alif. 

Wallahualam...pada aku, angka 13 adalah rahsia pada tubuh manusia. Keistimewaan yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia sebagai makhluk yang mulia.

Lagu Lama Yg Aku Suka: Hidup Bersama (ori)


Ini adalah antara lagu yang aku suka dengar. Seingat aku lagu ini mula-mula didengar ketika aku berumur tujuh tahun dulu. Pakcik saudara aku (Isa Mahat) pengemar muzik pop yeh-yeh. Boleh dikatakan kerap jugak dia mendengar lagu ini.

Lagu Hidup Bersama adalah nyanyian A. Ramlie dan aku paling gemar versi asal kerana 'sound' yang asli daripada era 60an. Versi-versi selepas itu agak membosankan walaupun ada pembaharuan 'sound' tetapi telah menghilangkan 'mood' lagu tersebut. Cuma versi XPDC memang menampilkan kelainan kerana dibawa dalam versi 'hard-rock' dengan susunan yang berbeza tetapi tidak 'membunuh' mood lagu tersebut.

Hidup Bersama merupakan antara lagu A. Ramlie bersama The Rythmn Boys. Jika tidak silap lagu ini dirakam pada tahun 1965 dari EP kedua kugiran ini. Sekali imbas, lagu ini berada di kemuncak muzik pop yang melanda dunia ketika itu. Letusan muzik Brit-Pop oleh The Beatles benar-benar mempengaruhi scene muzik tanah air waktu itu. Sesuatu yang wajar dibanggakan bahawa kemunculan irama Pop Yeh-yeh adalah revolusi muzik tanah air ketika itu dengan menampilkan ciri-ciri tempatan walaupun asas muzik jenis ini berakar umbi muzik pop cetusan The Beatles.

Lagu ini masih menjadi pilihan penting dalam senarai persembahan di majlis-majlis keramaian dan kenduri kahwin khususnya sehingga kini. Agak mustahil jika warga emas (yang ketika 1960an muda remaja) tidak mengetahui lagu Hidup Bersama, dalam 10 pasti sembilan orang yang tahu lagu ini. Begitu mengesan irama pop yeh-yeh sehingga kini. Ia juga lagu wajib dalam acara joget lambak.

Andainya ada penggiat muzik era kini membuat pembaharuan muzik Hidup Bersama dalam genre muzik 'Modern Rock', mungkin akan menampilkan 'sound' yang lebih menarik. Aku masih menanti jika situasi itu berlaku dan ingin melihat kelainan Hidup Bersama dalam versi berbeza tanpa merosakkan melodi dan mood asal lagu ini.

Thursday, November 22, 2012

Raihan: membuka dimensi baru irama nasyid di Malaysia

Secara jujurnya aku kurang berminat mendengar lagu-lagu nasyid sebelum kemunculan kumpulan Raihan. Bukanlah bermaksud kurang berminat itu menjurus tidak mahu mendengar lagu-lagu keagamaan dan dakwah tetapi ia didorong oleh irama lagu tersebut yang sebelum itu agak tipikal dan 'rata', terlalu 'tegak lurus bendul'.

Itu bukan satu bentuk penghinaan tapi hakikat suasana irama nasyid sebelum era Raihan. Namun sebelum kemunculan Raihan, telah wujud sebuah kumpulan nasyid yang digerakkan oleh pergerakan Al-Arqam iaitu Nada Murni. Suatu kelainan yang dibawakan oleh Nada Murni adalah melodi yang catchy dan agak segar berbanding nasyid klasik. Ia mempunyai lantunan melodi yang asyik dan menjadikan pendengar mudah menghafal lirik lagu.

Aku masih teringat irama lagu-lagu seperti 99 Nama Allah, Sepohon Kayu (betul ke tajuk ni?!), Sifat 20 dan beberapa lagi lagu yang aku lupa tajuknya. Melodinya menyentuh perasaan ketika mendengar seakan lagu itu sudah sebati dalam jiwa. Inilah kelebihan yang dijelmakan oleh Al-Arqam yang menggunakan elemen muzik sebagai penyampai dakwah. Perkara ini tidak boleh disangkal dan wajar diketahui oleh semua orang. Tanpa Al-Arqam takkan wujud generasi kumpulan nasyid baru selepas Nada Murni.

Cipta & Pecah Rekod

Teringat ketika baru belajar nak 'jamming' dengan sahabat-sahabat selepas Tingkatan 5 pada tahun 1996 dulu, waktu itu Raihan muncul dengan album 'Puji-Pujian'. Waktu yang sama juga, XPDC turut keluarkan album baru 'Brutal'. Lagu Raihan yang sangat-sangat disukai ramai dan kerap aku dengar waktu itu adalah lagu 'Puji-Pujian'. 

Sesuai dengan tajuk lagu tersebut, aku jujur memberi pujian bahawa Raihan berjaya menjalankan peranan dakwah dan tarbiah masyarakat mendekati Islam. Aku juga pernah terdengar bahawa para pembeli album tersebut juga daripada masyarakat bukan Islam. Malah lebih menyakinkan, jualan album tersebut mengatasi jualan album XPDC-Brutal. Album Puji-Pujian mencatat jualan tertinggi album dalam sejarah di Malaysia iaitu 3.5 juta unit! 

Wow...kalau album Farasu terjual macam ni punya banyak, sudah kayalah anggota band Farasu...kakakakkaka. Sekadar gurauan tetapi kami juga berharap dapat menjual album akan datang dengan jumlah yang memberangsangkan walaupun tak mencapai 1 juta unit.


Inilah kelebihan yang dimiliki oleh Raihan kerana mencipta satu revolusi bagi muzik nasyid di Malaysia. Tanpa usaha mereka, aku yakin takkan muncul lain-lain kumpulan nasyid hari ini. 

Raihan juga telah mempelbagaikan irama dan melodi bagi lagu-lagu mereka. Nasyid versi Raihan telah memberi dimensi berbeza kepada pendengar muzik di tanah air. Kredibiliti dan perjuangan Raihan telah mendapat pengiktirafan industri muzik negara dengan menerima pelbagai anugerah muzik...aku tak ingat semua tu.

Kisah kejayaan Raihan ini mengingatkan aku pada sejarah lampau di Tanah Jawa kurun ke-15 dahulu. Wali Songo telah mencipta muzik gamelan yang digunakan sebagai medium penyampaian dakwah kepada masyarakat di Tanah Jawa. Sunan Bonang, Sunan Kalijogo dan Sunan Muria adalah pelopor kepada perkembangan muzik gamelan. Syiar Islamiah turut disampai melalui muzik yang mudah disebatikan dengan jiwa masyarakat waktu itu. Pandangan aku, ketika zaman itu kemunculan muzik gamelan boleh diumpamakan seperti munculnya Deep Purple! Satu revolusi muzik yang asli pernah dicetuskan di Alam Melayu!

Selepas Raihan, muncul kumpulan-kumpulan nasyid seperti The Brothers, Rabbani, Mirwana dan sebagainya. Aku bukanlah peminat muzik nasyid tetapi kerana Raihan lah aku kembali menghargai irama nasyid. Sekurang-kurangnya lagu-lagu Raihan ini sangat berguna ketika nak mendodoikan anak tidur dan dakwah awal dapat diserap pada naka sendiri. Wallahualam.


Tuesday, November 20, 2012

Daun Sepulih

Daun Sepulih
Rasanya semua kenal pada tumbuhan ini. Daun Sepulih nama diberi, namun aku tak pasti asal-usul sebab nama tumbuhan ini. Mungkin berdasarkan namanya-sepulih, ia berfungsi dalam memulihkan penyakit-penyakit. Wallahualam. Untuk ini, aku mohon pandangan, tambahan maklumat dan penerangan lanjut daripada  pembaca yang ada pengetahuan lanjut dan arif tentang usul tumbuhan ini.

Kebiasaan daun sepulih kerap dilihat dalam upacara tepung tawar pengantin dalam majlis perkahwinan. Malah dalam upacara tepun tawar rumah juga turut digunakan. Satu kebiasaan dan menjadi perkara penting buat masyarakat Melayu tradisional menggunakan daun sepulih yang diikat bersama daun ribu-ribu betina, rumput sambau dan daun ati-ati. Ia menjadi satu peralatan penting upacara tepung tawar untuk 'membersihkan' rumah. 

Berdasarkan pengalaman ciput aku yang lepas-lepas, daun sepulih menjadi keperluan penting dalam perubatan ayahanda aku khususnya untuk upacara 'membersih' rumah, masuk rumah baru, buka tanah dan tepung tawar tubuh atau disebut mandi berlangir.

Paling ketara kalau ada kes-kes melibatkan gangguan makhluk halus jahat dan sihir, peralatan seperti daun sepulih antara yang digunakan untuk tepung tawar kawasan sambil 'memagar' kawasan. Bukan semua orang arif dan berkemampuan untuk terlibat dalam upacara sebegini namun tidak menjadi halangan bagi yang berminat untuk mempelajarinya demi kesejahteraan hidup umat.

Daun Sepulih setahu dan seingat aku tidak digunakan dalam perubatan herba untuk diminum atau dimakan.Kalau ada, harap yang membaca tulisan ini dan arif, mohon ditambah maklumat untuk berkongsi pengetahuan tersebut.

Ayahanda aku pernah memberitahu bahawa daun sepulih ini yang sudah diguna untuk tepung tawar rumah dipasang-lekat pada tiang seri atau tiang tengah rumah. Kalau anak-anak kecil demam yang bukan disebabkan oleh faktor semulajadi tetapi demam akibat teguran makhluk halus, daun sepulih itu boleh diambil sedikit dan direndamkan dalam secawan atau semangkuk air, kemudian selawat dan dibaca surah Al-Fatihah kemudian diberi minum. Selepas minum, air rendaman daun sepulih itu disapu pada sendi-sendi tubuh. Wallahualam, ini antara petua yang disampaikan.

Bonglai-pohon herba tradisional, penawar batu karang!

Pokok Bonglai

Beberapa minggu lepas, aku ada muat-naik gambar pohon herba -BONGLAI dalam instagram. Mungkin ramai tidak begitu kenal dengan pohon herba ini kerana kebanyakannya tidak mengetahui kegunaan herba ini.

Aku agak beruntung kerana pengalaman ayahanda aku sebagai pengamal perubatan tradisional, dapatlah mengetahui sedikit sebanyak kelebihan tumbuhan ini. 

Sekali tengok gambar di atas itu, pasti yang ramai akan sebut ini halia. Pohon bonglai ini memang serupa macam halia dari segi bentuk daun yang tirus panjang dan bentuk batang daun yang memanjang tetapi bagi bonglai ia bersaiz agak besar berbanding halia.

Isi halia berwarna putih kehijauan (betulkan aku kalau silap tafsiran warna isi) manakala isi bonglai terbahagi kepada dua jenis, tak taulah kalau ada lagi spesis lain bonglai. Warna isi bonglai ada dua jenis iaitu yang berwarna kuning dan putih. Selalunya isi bonglai warna kuning yang digunakan oleh pengamal perubatan tradisional kerana baunya yang lebih tajam dan menghasilkan air yang lebih pekat berbanding yang putih.

Secara saintifik, aku tak dapatlah nak nyatakan sebab memang tak tahu dari segi nama saintifiknya dan kandungan kimia yang terdapat dalam isi bonglai. Tetapi secara biasa dan pengalaman, bonglai berangin macam halia tapi lebih kuat daripada halia.

Kegunaan

Berdasarkan pengalaman ciput aku, bonglai berkesan untuk mengubati dan mengurangkan kesan penyakit seperti angin ahmar, kencing manis, lelah, sengugut dan darah tinggi. Untuk menghasilkan dos atau ubat, bonglai akan dicampur dengan lain-lain herba seperti jerangau, cekor, lada putih atau beberapa  herba yang jarang manusia zaman moden ni kenal.

Ayahanda aku ada satu resepi ubat yang mengandungi 11 jenis herba termasuklah bonglai. Memang berkesan untuk penyakit-penyakit macam kencing manis, darah tinggi, angin ahmar dan paling menarik adalah penawar penyakit batu karang. Ubat 11 jenis ini juga sesuai untuk wanita-wanita lepas bersalin untuk membuang angin dan membersihkan saluran peranakan.

Selalunya ayahanda aku akan membuat bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa bagi 'meningkatkan' keberkesanan potion herba ini.Yang utama adalah keyakinan kepada Ilahi untuk sembuh. Allah swt menurunkan tumbuhan-tumbuhan ini ke dunia untuk kegunaan manusia bagi kesejahteraan hidup.

Sebenarnya bonglai banyak ditanam di kampung-kampung cuma ramai tak kenal herba ini. Mungkin orang-orang tua yang sedia ada jarang menggunakannya dalam harian. 

Jangan terkejut, di Pasar Chow Kit Kg Baru KL ada menjual banyak bonglai. Cuma harganya agak mahal tetapi bagi yang 'pandai' dan arif tentang herba ini langkah kanan mungkin dapat murah.

Herba seperti bonglai ini agak terpinggir daripada pengetahuan umum masyarakat Melayu kini, hanya segelintir yang kenal dan mengetahui kegunaannya.



Wednesday, August 29, 2012

Video Lagu Baru Farasu-Against The Tyranny


Setelah memulakan latihan secara giat sejak penghujung tahun lepas dan berterusan sehingga sebelum Aidilfitri 2012, Farasu sempat merakamkan klip video jamm session sebuah lagu baru kami yang bakal menjadi 'killer song' untuk album terbaru akan datang.

Video ini sekadar menjadi tarikan buat pendengar dan pengikut scene Metal tanahair. Sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam post-post lepas, Farasu akan tampil dengan kelainan muziknya dan berbeza berbanding album sebelum ini-Menongkah Arus.

Sesi latihan ini hanya melibat aku dan Nahaq. Kami berdua cukup komited dan meletakkan keyakinan tinggi kepada potensi lagu ini sebagai petanda aras ke arah peningkatan kreativiti muzik Farasu. Kami benar-benar mahu memadam beberapa pandangan dan andaian yang mengatakan ciri & bunyi muzik dalam album Menongkah Arus menyamai Sil-Khannaz. Farasu menghormati kreativiti muzik yang dimiliki oleh Sil Khannaz tetapi tidak sekali meniru bentuk muzik yang telah dirintis oleh kuasa Metal negara itu.

'Against The Tyranny' adalah hasil kreatif Nahaq dan aku pula membuat susunan drumline. Lirik lagu ini adalah nukilan aku dalam bahasa Melayu dan telah diterjemahkan oleh Nahaq dalam bahasa Inggeris. Tunggu saja hasil mutakhir lagu ini nanti.

Selamat mendengar dan menilai!

Tuesday, August 28, 2012

Limau Lelang Laut & Darat

Limau Lelang Darat

Limau Lelang Laut
Aku pasti ramai antara di luar sana tak begitu mengenali spesis limau ini. Umumnya orang ramai lebih mengetahui limau nipis, limau kasturi, limau purut, limau pagar atau limau bali atas sebab ia sering digunakan untuk perubatan, masakan, minuman dan kebersihan.

Aku mengenali limau lelang laut pada tahun 1989 ketika darjah enam. Ayahanda aku kerap menggunakan limau jenis ini sebagai bahan perubatan tradisional yang digabungkan dengan limau nipis dan purut.

Tiga jenis limau ini menjadi bahan wajib untuk mandi limau dan berlangir. 

Dulu limau lelang laut sangat mudah dicari dan ditemui di kawasan paya bakau sekitar Jalan Port Dickson-Chuah yang kini telah menjadi kawasan perumahan D'ambang Kota. 

Kiri kanan sepanjang Jalan Port Dickson-Chuah bermula dari kuala Sungai Lukut Kecil sampai ke kawasan D'ambang Kota memang dipenuhi oleh pokok limau lelang laut.

Namun begitu, tak semua orang kenal atau menyedari tumbuhan berguna ini hidup subur di kawasan paya bakau. Aku agak terkilan dengan projek pembangunan kawasan paya bakau tersebut sekitar tahun 1997-98 dulu. Pembangunan projek perumahan di kawasan ini telah menyebabkan pokok-pokok limau lelang laut itu pupus kerana ditimbus dengan tanah untuk tujuan tebus guna. Aku masih ingat kawasan paya bakau itu merupakan kawasan hutan simpan bakau tetapi atas sebab pembangunan, status itu telah diubah oleh kerajaan negeri.

Rupa Bentuk

Limau Lelang Laut berwarna hijau, berbentuk seperti bola ragbi atau secara pandangan hadapan berbentuk bujur sirih. Bersaiz hanya sebesar ibu jari tangan. Berbiji halus tapi tak sebanyak biji limau purut atau nipis. Isi dalamnya seakan bergetah, sedikit melekit tetapi tak menjejaskan kulit atau pakaian jika terlekat dan berbau harum. Kalau dijemur atau dibiar lama, getah limau lelang laut ini akan berminyak dan menjadi seperti gam yang boleh dilentur-ditarik panjang seperti keju.

Limau Lelang Darat pula ketika muda berwarna hijau tetapi akan menjadi merah setelah cukup masak. Bijinya tidak banyak tetapi agak besar sedikit daripada biji limau lelang laut. Isinya juga bergetah seperti limau lelang laut cuma baunya sedikit berbeza iaitu kurang 'tajam' berbanding bau limau lelang laut.

Aku tak berapa pasti kegunaan secara khusus limau lelang darat ini tetapi masih berperanan untuk tujuan perubatan sebagaimana limau lelang laut. Ada yang sebut limau ini digunakan dalam masakan. Jenis masakannya tak pulak aku ketahui.

Kali pertama aku melihat dan kenal limau lelang darat adalah pada tahun 1998 dulu. Ada seorang anak murid ayahanda aku membawa limau tersebut ke rumah yang diambil di Bukit Kepong, Johor.

Kedua-dua jenis limau ini agak sensitif dengan perubahan fizikal kawasan ia membiak dan tumbuh. Sebarang perubahan bukan secara semulajadi khususnya kegiatan penerokaan kawasan paya bakau, penambakan untuk tebus guna tanah atau pembukaan tanah pertanian baru boleh menyebabkan tumbuhan ini musnah. Ia mungkin tumbuh namun kesesuaian kandungan tanah akan membunuh kelangsungan pokok limau lelang untuk hidup.

Walaupun limau lelang darat boleh hidup di kawasan-kawasan bukan paya, namun pokok ini mampu hidup subur di tanah jenis paya bakau, kawasan berpaya darat dan kawasan yang berhampiran dengan sungai, telaga atau berpunca air.

Setakat ini, aku belum lagi menjelajah sekitar kawasan paya bakau yang ada di Chuah, Kuala Lukut Kecil dan sekitar Lukut untuk mencari limau lelang laut. Sekiranya ada kesempatan dan kelapangan masa, aku akan mulakan.

"Orang dungu yang bahlol akan memusnahkan hutan paya bakau untuk tujuan keuntungan daripada pembangunan"

Monday, August 27, 2012

Sejarah klasik: Kerajaan Kecil Air Garam

Sebelum wujudnya kawasan Mambau, Taman Rasah, Seremban 3, Seremban 2 dan Bukit Chedang telah wujud sebuah kerajaan kecil di situ yang bernama Air Garam. Kerajaan kecil ini dipercayai telah wujud sekitar kurun ke-12 atau 13 masihi. 

Kawasan ini telah ditadbir oleh seorang pemimpin bertaraf Penghulu iaitu Siti Mariam yang terkenal dengan gelaran Nenek Janggut oleh penduduk tempatan di Kampung Batu 3 dan Kampung Seri Mantau. Bukti kewujudan tokoh ini adalah terdapat sebuah makam lama yang dipercayai milik beliau terletak di bersebelahan tanah perkuburan Kampung Seri Mantau. Binaan makam ini agak berbeza dengan binaan zaman ini dan dipercayai berusia lebih daripada 500 tahun.

Kawasan Takluk

Kerajaan kecil Air Garam terletak di lembangan Sungai Linggi bermula di Kampung Pondok Rasah, Bukit Chedang, Kampung Batu 3, Kampung Seri Mantau, Taman Rasah-Rasah Jaya, Seremban 3, Kampung Anak Air Garam, Pekan Mambau, Kampung Latak, Seremban 2 (yang dulu dikenali sebagai  Ulu Mantau).

Mengikut cerita lisan, Nenek Janggut Siti Mariam ini mengawal laluan Sungai Linggi yang melalui kawasan Air Garam. Sungai Linggi ini merupakan laluan perdagangan yang penting di kawasan Sungai Ujong.

Pertemuan dengan seorang pengkaji sejarah tempatan Saudara Khairi Nagari Nan Tuo baru-baru ini ada menyebut bahawa kawasan Anak Air Garam ini merupakan tapak asal Sungai Ujong dan dari sinilah kewujudan Sungai Ujong bermula. Menurut beliau lagi, nama Sungai Ujong itu telah tercatat seawal sebelum kewujudan Kesultanan Melaka lagi. Namun jelas beliau lagi, kajian mendalam wajar dijalankan bagi menggali lebih banyak maklumat penting tentang kewujudan Kerajaan Kecil Anak Air Garam sebelum wujud kekuasaan luak-luak dalam Negeri Sembilan.

Jangka Masa

Berdasarkan catatan oleh sebuah majalah-JEJAK pada tahun 2001 lalu, ada menyebut tarikh yang tertera pada batu nisan Makam Nenek Janggut bertarikh tahun 324 Hijrah bersamaan 936 Masihi. Jika itu diambilkira, ia bermaksud makam tersebut merupakan binaan abad ke-10!

Persoalan yang menarik, apakah telah wujud kerajaan-kerajaan kecil atau autonomi di Negeri Sembilan seawal kurun ke-10? Jika garis masa itu diperhatikan, ia membayangkan bahawa kerajaan Anak Air Garam telah wujud ketika era Kedah Tua atau era Srivijya!

Pertentangan fakta dan perkaitan zaman pasti akan menjadi isu berbangkit di sini. Pengkaji-pengkaji sejarah yang berpaksikan susunan persejarahan dari Barat pasti mempersoalkan kedatangan Islam seawal kurun ke-10 jika tarikh batu nisan di Makam Nenek Janggut ini diambil-peduli.

Kisah Lampau

Nenek Janggut Siti Mariam dilahirkan pada 6 Muharam 103 Hijrah (6 Julai 721 Masihi) yang merupakan puteri kedua kepada Putera Mangku Seri Bengkalis-Syeikh Said Haji Abdul Jalil. Beliau mempunyai lima orang adik beradik. Telah dikisahkan bahawa kesemua adik beradik Nenek Janggut melarikan diri ke Tanah Melayu kerana tidak tahan dengan tindakan kejam ibu tirinya, Raja Marhumah. Akibat tekanan dan penindasan tersebut, kesemuanya berkelana ke seberang. Nenek Janggut telah memilih untuk bertapak di kawasan Anak Air Garam.

Beliau dikatakan menjadi Penghulu yang bertaraf raja di kawasan tersebut dan dibantu oleh 18 orang panglima untuk mentadbir selia kawasan jajahan Anak Air Garam. Kumpulan panglima 18 itu telah diketuai oleh Panglima Satria Alam Sayid Muhzid.

Kehebatan ilmu tauhid dan persilatan Nenek Janggut disamping kecantikan beliau telah mendapat perhatian raja-raja dari Acheh dan Pasai waktu itu. Namun kerana gagal menyaingi kehebatan ilmu yang dimiliki, Nenek Janggut terpaksa menolak lamaran dan pinangan raja-raja tersebut.

Kerajaan Anak Air Garam juga turut dimusuhi oleh orang-orang Minangkabau yang kerap menghantar pasukan perang untuk menawan kerajaan ini. Akan tetapi gerakan-gerakan tersebut gagal. Turut disebut kelebihan yang dimiliki oleh Nenek Janggut iaitu mampu menimbulkan akar-akar pokok bakau untuk menghalang kemasukan kapal-kapal perang Minangkabau yang menyebabkan kesukaran angkatan perang tersebut memasuki Anak Air Garam.

Nenek Janggut dikatakan mangkat pada tahun 324 Hijrah.

Pengkajian mendalam kepada persejarahan awal Anak Air Garam perlu dijalankan secara serius supaya warisan sejarah tanahair khususnya di Negeri Sembilan menjadi pedoman dan panduan berguna generasi baru.


Monday, July 30, 2012

Perkembangan Semasa Pra-Album Baru Farasu

Malam semalam (29 Julai 2012/Ahad), Farasu kembali berlatih lagu-lagu yang telah disusun untuk album baru akan datang. Sesi latihan tersebut telah dilangsungkan di O.V. Studio, Ara Jaya, PJU.

Kali ini, sesi hanya melibat aku dan Nahaq sementara basist kami-saudara Hafiz pulang ke kampungnya di Pulau Pinang (rindu masakan emak tu kot).

Sesi bermula jam 10:00 malam hingga 12:00 tengah malam, dengan berlatih tiga lagu pertama iaitu Against The Tyranny, The Tales of Sang Kelembai dan Sulalatus Salatin. 

Secara keseluruhannya, hampir 90% kesemua lagu ini telah siap susunan drumline cuma memerlukan beberapa sesi latihan lagi bagi memperkemaskan tempo dan drumline lagu-lagu terbabit.

Jangkaan kami, selepas Raya Aidilfitri ini rakaman pertama akan dibuat dan tertakluk kepada perubahan.



Monday, June 18, 2012

Ulasan: The Fairy Tears-Zuriarth

Terima kasih buat Shah Zuriarts yang telah menghantar material terkini Zuriarts dan telah aku terima pada 16 Jun 2012 lepas. 

Agak lama jugak aku tak menerima sebarang pos material begini sejak sibuk dengan urusan kerja-kerja politik semasa dan tumpuan pada band sendiri.

Aku berbesar hati atas 'utusan material metal' ini daripada saudara Shah. 

Aku pernah mendengar secara lalu material-material terdahulu Zuriarts dan secara jujurnya aku tak begitu teliti menghayatinya.

Kali ini, material ini-"The Fairy Tears" tampil dengan senarai lima lagu iaitu;
1. Intro
2. The Fairy Tears
3. The Fairy Tears (Minus One)
4. Dead To Hell (Remastered)
5. Expect No Release (Desaster cover)

Paparan hadapan atau cover material ini kreatif dan menarik, bersesuaian dengan tajuk material. Bentuk band font telah menggambarkan arah tuju muzik Zuriarts yang cenderung kepada Melodic Black Metal.    Perkataan ZURIARTS itu tersusun dengan lambang pentagram terletak ditengah-tengah. Ia tidak disaratkan dengan elemen-elemen yang rumit tetapi dipaparkan dengan gambaran mudah dan senang dilihat.

Jika dinilai penampilan cover, sudah pasti band ini mahu menampilkan kelainan. Namun, agak sedikit mengecewakan kerana hanya dua lagu sahaja yang benar-benar terkini daripada material ini. Aku berpandangan Zuriarts harus berani untuk tampil dengan lebih banyak lagu baru atau ilham-ilham terkini dan tidak terikat dengan material-material lama. Kalau ia diperlukan, harus tampil dengan suatu rakaman terbaru dan sound yang lebih mantap.

Ulasan Lagu

1. Intro
Satu pembukaan yang disulami dengan aura kegelapan diiringi suara tangisan bayi yang kesayupan dari belakang petikan melodi piano. Sound yang baik pada pendengaran aku.

2. The Fairy Tears
Ini lagu terbaru Zuriarts. Ada kelainan dari segi mutu bunyi, lebih baik daripada material dahulu. Melodinya permulaan mudah dilayan dan diingati. 

Jelas pengaruh Cradle of Filth dan Langsuyr (Eastern Cruelty) dalam lagu ini, namun tidak merangkumi keseluruhan lagu. Melodi pada minit 1:55 hingga 2:41 menjadi keistimewaan lagu ini kerana pada pendengaran aku ini melodi asli metal Melayu. Iramanya seakan riff lead lagu-lagu rock Melayu tapi layan.

Keseluruhan lagu ini baik cuma jika Zuriarts mampu menampilkan sound black metal moden, aku yakin ia mampu menjadi antara lagu yang boleh menyaingi Langsuyr dan Assahar.


Cadangan

Zuriarts ada keistimewaan tersendiri dalam menghasilkan karya yang lebih energetik. Cuma mereka harus berani untuk meneroka muzik ke arah yang lebih mencabar dan keluar dari suasana biasa versi metal era 90an khususnya dalam mendapatkan sound yang bertenaga dan baru. 

Kesungguhan band ini menghasilkan karya wajar dihargai dan mendapat sokongan agar usaha mereka itu berterusan.

Aku menyakini jika Zuriarts meneroka dalam pencarian mutu bunyi yang lebih mencabar, tidak mustahil Zuriarts bakal menjadi band black-death yang berjaya di dalam negara.



Thursday, March 8, 2012

2012: Farasu sudah 10 tahun!


Perjalanan masa begitu pantas berlalu dan tanpa disedari usia Farasu pada tahun 2012 ini telah menjejak tahun kesepuluh sejak diasaskan pada penghujung tahun 2002 lalu.

Inilah bentuk penglibatan aku yang panjang dan lama setakat ini dalam dunia kreatif muzik metal tanahair berbanding beberapa band yang pernah aku sertai tidak kira samada metal atau rock yang bernafas tidak sampai lima tahun pun.

Brave In Vision (BIV), Whispering Amok dan Splitfire adalah antara band yang pernah aku terlibat tapi hayat perjuangan muziknya tidak berpanjangan sebagaimana Farasu. Maaf aku menyebut nama-nama band ini jika ada bekas-bekas anggotanya terbaca dan tersentuh emosi.

(Gambar: Flyers gig pertama Farasu 2003)

Farasu hidup kerana kesungguhan komitmen, semangat juang yang tinggi dan tidak mempedulikan kata-kata 'nista-kejian' yang diperkatakan. Sekali lagi, aku memberi tabik hormat dan persahabatan kepada Nahaq, Bull dan Arm yang kekal setia bersama perjuangan Farasu sejak awal tahun 2002 dan saat keperitan serta kerunduman dalam scene beberapa ketika dahulu.

Tidak dilupakan juga kepada sahabat-sahabat lain yang pernah terlibat memberi komitmen dalam perjuangan Farasu lalu. Insan-insan itu adalah;

1. Kotam (best act stage performance!)
2. Taba Destheria (kental mengikut!)
3. Auks Nekradamus (sempoi & lenjan jer!)
4. Faizal Fauzi (best riff & beat thinker also illumination!)
5. Farid Necropapic (best conspirator & friend!)

Walaupun individu-individu ini tidak lagi bersama Farasu, tetapi segala sumbangan tenaga, wang ringgit, masa dan idea yang telah disumbangkan amat dihargai.

Setiap pengalaman lalu akan berlaku kepincangan, kesulitan, pertelingkahan dan konflik, namun secara peribadi aku mengakui segala yang terjadi itu mematangkan fikiran. Atas kekurangan itu, gerak langkah dan hala tuju Farasu seterusnya telah dirancang sebaik mungkin.

Persengketaan emosi, pendapat dan etika pada waktu lalu antara individu-individu terbabit tidak lagi aku jadikan sebagai titik hitam di jiwa dan fikiran tetapi diangkat menjadi panduan dan pedoman. Maka mungkin di sini aku boleh lontarkan, setelah sepuluh tahun hubungan yang terputus itu mungkin boleh diperbaiki secara matang!

Perancangan kini
Sambutan yang menyakinkan daripada pengikut-pengikut muzik metal tanahair kepada album 'Menongkah Arus' yang diterbitkan pada tahun 2010 lalu memberi inspirasi buat Farasu untuk kembali menghimpunkan ilham dan kreativiti bagi penghasilan album baru bersempena ulangtahun kesepuluh Farasu.

Setakat ini telah siap beberapa lagu dan masih dalam proses latihan untuk membentuk susunan drumline, bass dan gitar disamping menyusun melodi nyanyian.

Kepastiannya pada album baru ini akan ada suatu kelainan berbanding material terdahulu. Konsep Eastern Metal masih kekal sebagai teras muzik Farasu cuma ia akan digarapkan dengan kelainan yang mungkin teknikal & keras!

Wednesday, February 22, 2012

Kisah sebalik lagu Tangisan Malam

Ada yang bertanya kepada aku kisah di sebalik lagu Tangisan Malam ini. Aku sekadar memberi penjelasan ringkas tanpa mengkhususkan kisah lagu tersebut.

Lagu ini secara rasmi telah dirakam dalam MCD The Black Moon Eclipse pada tahun 2006 lalu. Nama asal lagu ini dalam MCD itu adalah 'The Midnight Evil Spirit'. Pada album 'Menongkah Arus' tajuk lagu tersebut telah diubah kepada Tangisan Malam.

Kisah lagu
Senikata lagu ini (versi asal-english) telah ditulis pada tahun 2003 lalu yang terilham daripada kisah 'Green Lady' yang popular dikalangan pelajar-pelajar Uitm Shah Alam. Kebetulan ketika aku belajar di sana (1999-2003), aku sendiri terserempak dengan Green Lady tersebut.

Peristiwa itu berlaku sekitar tahun 2001 ketika aku lewat hadir ke kelas di dewan kuliah, kelas bermula jam 2.00 petang dan aku sampai ke dewan kuliah jam 2.30 petang. Suasana di luar dewan iaitu sepanjang foyer Menara Uitm berangin kuat dan mendung tetapi tidak hujan. Aku tak ambil kisah untuk memikirkan hal angin kencang yang tiba-tiba melanda puncak bukit Uitm itu.

Kelewatan masuk ke kuliah, aku pilih ikut jalan belakang dewan iaitu masuk secara senyap dari pintu belakang dewan. Setelah mendapat tempat duduk di hujung pintu belakang kanan dewan, aku tersentak terkejut kerana pintu belakang kiri dewan terhempas secara tiba-tiba ditup angin kencang.

Aku kemudian berpaling ke arah pintu yang tiba-tiba terhempas tadi, kemudian aku ternampak rakan kelas aku masuk dari pintu yang aku masuk tadi. Dalam hati berkata; "Ada jugak yang lewat dari aku...". Andaian aku itu meleset, rupa-rupanya rakan kelas yang aku sangka lewat sebenarnya telah lama berada dalam dewan kuliah dan duduk di barisan paling depan! Hati jadi cuak seketika. Tatkala menoleh semula pada 'rakan' kelas yang lewat tadi, dia berjalan ke arah aku kemudianya membelok naik menembusi barisan kerusi-kerusi di belakang aku!

Berderau darah aku dibuatnya! Inilah dia Green Lady yang sering diceritakan. Aku lihat depan mata sendiri. Berderau bukan takut tapi ketika dia berjalan ke arah aku, dia sempat menyimpulkan senyuman manisnya sambil memandang ke arah aku! Wuh...memang cantik, manis dan ayu. Tidak seperti yang digambarkan dalam cerita yang didengar itu. Tidak nampak wajah mengerikan, tidak nampak bajunya dibasahi darah atau lusuh-usang.

Aku sekadar membalas senyuman itu dan dalam hati terdetik berkata; "Maaflah aku salah sangka...mungkin kau berniat baik, semoga Allah memberkati laluan kau!". Kemudian dia terus hilang dipandangan dan aku sekadar merasa angin sejuk melintasi keluar ke pintu belakang kanan dewan bersebelahan aku!

Terpulanglah untuk mempercayainya atau tidak. Ini bukan khayalan rekaan penyedap cerita. Ia benar-benar berlaku.

Kejadian itu telah aku abadikan dalam lirik Tangisan Malam. Jika diteliti dan dihayati, anda akan memahami kisah tersebut.

Membantu yang mati
Sebenarnya Allah SWT meletakkan kemuliaan kepada manusia dalam banyak perkara. Itulah keistimewaan manusia sejak azali bermula daripada Nabi Adam a.s. Kisah 'Green Lady' itu sebagai ingatan kepada kita bahawa ada makhluk lain yang dijadikan di dunia ini memerlukan bantuan kita atas faktor kemuliaan itu.

Green Lady adalah roh wanita yang dikatakan telah membunuh diri yang aku tak pasti sebabnya. Kehadirannya roh tersebut selama ini adalah untuk memohon bantuan manusia melepaskan siksa kerana membunuh diri. Dia seakan tergantung di dunia nyata dan tidak lepas untuk ke alam barzakh. Keadaan itu menyebabkan kejadian bunuh diri itu sentiasa berulang dari masa ke masa.

Berkat sedikit pengetahuan tentang ilmu mistik, aku mampu memberi bantuan membebaskan belenggu tersebut dengan izin Allah swt. Rahmat ilahi, roh gadis itu bebas ke alam barzakh. Selepas itu, aku tidak pernah nampak kelibat roh Green Lady di sekitar kawasan foyer Menara Uitm. Wallahualam.

Sekadar perkongsian bersama, bahawa tiap-tiap amal ibadat kita yakni bacaan ayat-ayat suci bukan sahaja memberi rahmat kepada diri sendiri malah ia turut menebarkan rahmat kepada seluruh makhluk yang berada dengan diri kita. Itulah keistimewaan dan kemuliaan amal manusia anugerah Allah!


Wednesday, January 25, 2012

Ulasan Album: Vermin-Old Mans Child 2005


Old Mans Child adalah band black metal yang paling aku minat. Kelainan alunan muzik black yang dibawakan berbeza, tersendiri dan unik. Aura deathmetal dan sekali-kali thrashing dengan teras 'kegelapan' bergabung menjadikan muzik dalam album Vermin ini tidak jemu untuk didengar.

Aku bukan peminat muzik black metal sejati dan maaflah jangan ditanya perkara-perkara khusus yang berada di luar kreativiti muzik. Aku tidak begitu minat untuk membicarakan falsafah-falsafah atau teori-teori 'satanism' yang tidak mengembangkan kreativiti bicara tentang muzik!

Kali pertama aku mendengar muzik Old Mans Child (OMC) adalah pada tahun 2001. Lagu 'The Millenium King' dari album Pagan Prosperity menjadi santapan halwa pendengaran dan ia sebuah lagu yang pantas serta agak teknikal.

Dalam album Vermin, aku paling suka kepada lagu 'In Torment's Orbit'. Intro riff-nya seakan sebuah riff heavymetal ala Iron Maiden. Kemudian riff seterusnya menjurus kepada sifat muzik sebenar OMC. Riff nyanyian yang berentak kental secara terus dan disambung dengan rentak grinding! Elemen keyboard memainkan peranan penting sebagai penguat irama lagu ini yang membentuk aura berbeza.

Riff keyboard-nya dimainkan dalam bunyi piano yang berselang-selang dengan aura atmosphere. Ia mencetus sensasi pendengaran disebalik kekentalan riff gitarnya.

Bunyi atau sound gitar berat tetapi jelas tidak bercelaru. Teknik 'pump-mute' yang dihasilkan tidak menjejaskan elemen kegelapan lagu ini. Setakat sekali dengar, kita mampu mengikut riff-riff lagu ini.

Rentak drum lagu ini pelbagai. Kita tidak diperdengarkan rentak grinding dari awal hingga penamat lagu. Inilah keunikan lagu ini yang menambat hati aku. Grinding hanya pada versi awal nyanyian dan versi penutup nyanyian. Pembukaan awal lagu, 'attack-beat' mengikut kejutan tiap-tiap riff kemudiannya dialunkan dengan rentak double-pedal ala Nicko McBrain (Iron Maiden). Lantunan bunyi cymbals lagu ini tidak terlalu rabak namun cukup 'bright' dan panjang tetapi tidak mengganggu mood lagu.

Kesimpulan
Lagu-lagu lain seperti 'The Flames of Deceit', 'Black Marvel of Death' tampil dengan kelainan tersendiri. Pandangan aku setiap lagu dalam album Vermin mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak berlaku perulangan. Kita seakan-akan mendengar kepelbagaian lagu seperti sebuah album kompilasi berlainan band. Album ini mempunyai jalan cerita yang menarik dan penuh pengembaraan.

Galder (pengasas OMC) amat bijak menggunakan elemen bunyi yang pelbagai daripada keyboard. Ia tidak terikat dengan bunyi klasik keyboard blackmetal semata-mata. Ada bunyi-bunyi pelik keyboard diperdengarkan.

Elemen gitar akustik turut membayangi riff pembukaan lagu 'Twilight Damnation' yang menghasilkan aura kegelapan secara bijak.

Catchy, unik dan pelbagai....itulah gambaran keseluruhan album Vermin!

Azarakh, Bassist & persediaan album baru!

Malam semalam jam 9.00, aku bertemu dengan dua anggota band Azarakh-gitaris dan bassist. Aku kenal bassist-nya, Hazrin yang kebetulan juga tinggal di PJS. Ini sekadar pertemuan biasa sambil mengetahui perancangan band tersebut.

Azarakh adalah band black metal yang berasal daripada Rembau, Negeri Sembilan dan pernah menghasilkan demo pada tahun 2003 lalu. Aku sendiri pernah menawarkan band ini sebagai opening act untuk gig "Eastern Loudness", namun atas sebab-sebab tertentu mereka menolaknya.

Pertemuan singkat selama 30 minit itu, Hazrin mencerita rancangan Azarakh untuk memulakan rakaman lagu untuk material baru. Terang dia lagi, Azarakh akan tampil dengan konsep yang berlainan. Aku memberi semangat dan galakan buat Azarakh untuk menghasilkan sesuatu yang baru! Sudah terlalu lama material-material baru muzik metal dari Negeri Sembilan tidak muncul. Semoga hasrat mereka itu menjadi kenyataan dan bersikap pro-aktif terhadap penghasilan karya kreatifnya.

Bassist
Aku sebenarnya masih mencari calon-calon bassist untuk album baru Farasu. Jangan salah tafsir kenyataan ini. Bull masih lagi line-up Farasu tetapi aku dan Nahaq merancang untuk mencari seorang pemain bass yang duduk dekat sekitar PJ atau KL. Lagi pun ketika ini kami berdua giat berlatih untuk menghafal lagu-lagu baru dan keadaan ini memerlukan komitmen seorang pemain bass yang diperlukan.

Faktor jarak dan masa sangat mempengaruhi keadaan Bull disamping kos beliau untuk datang ke KL. Kami tidak mahu membebankan komitmen hidup beliau dengan kerumitan menyusun jadual waktu bersama Farasu.

Persediaan album baru
Setakat ini, kami baru berlatih dua lagu baru. Secara kasarnya, 'drumline' untuk kedua-dua lagu telah dirangka. Ada kelainan yang akan kami bawakan daripada dua lagu ini. Walaupun belum mendapat 'keselesaan' permainan tetapi kami sudah memahami rentak dan tempo lagu. Cuma perlukan pemain bass yang punya masa untuk menelaah riff-riff lagu-lagu ini.

Masih di peringkat awal persediaan iaitu berlatih lagu-lagu baru. Kami perlu lagi menumpukan masa kepada lapan lagi lagu! Apakah mampu diselesaikan dalam tempoh 3-4 bulan ini?

Walaupun aku dan Nahaq sibuk dengan kerja masing-masing tetapi komitmen kami kepada usaha-usaha kreatif dalam Farasu tetap diberi perhatian. Ia boleh digerakkan dan asasnya adalah tumpuan atau fokus kepada kerja.

Mungkin untuk sesi latihan seterusnya, aku ada bercadang untuk merakam video latihan kami terus dari laptop...kakakakakkaka....tujuannya mudah-untuk kami mengingati lagu-lagu baru.