Daun Sepulih |
Rasanya semua kenal pada tumbuhan ini. Daun Sepulih nama diberi, namun aku tak pasti asal-usul sebab nama tumbuhan ini. Mungkin berdasarkan namanya-sepulih, ia berfungsi dalam memulihkan penyakit-penyakit. Wallahualam. Untuk ini, aku mohon pandangan, tambahan maklumat dan penerangan lanjut daripada pembaca yang ada pengetahuan lanjut dan arif tentang usul tumbuhan ini.
Kebiasaan daun sepulih kerap dilihat dalam upacara tepung tawar pengantin dalam majlis perkahwinan. Malah dalam upacara tepun tawar rumah juga turut digunakan. Satu kebiasaan dan menjadi perkara penting buat masyarakat Melayu tradisional menggunakan daun sepulih yang diikat bersama daun ribu-ribu betina, rumput sambau dan daun ati-ati. Ia menjadi satu peralatan penting upacara tepung tawar untuk 'membersihkan' rumah.
Berdasarkan pengalaman ciput aku yang lepas-lepas, daun sepulih menjadi keperluan penting dalam perubatan ayahanda aku khususnya untuk upacara 'membersih' rumah, masuk rumah baru, buka tanah dan tepung tawar tubuh atau disebut mandi berlangir.
Paling ketara kalau ada kes-kes melibatkan gangguan makhluk halus jahat dan sihir, peralatan seperti daun sepulih antara yang digunakan untuk tepung tawar kawasan sambil 'memagar' kawasan. Bukan semua orang arif dan berkemampuan untuk terlibat dalam upacara sebegini namun tidak menjadi halangan bagi yang berminat untuk mempelajarinya demi kesejahteraan hidup umat.
Daun Sepulih setahu dan seingat aku tidak digunakan dalam perubatan herba untuk diminum atau dimakan.Kalau ada, harap yang membaca tulisan ini dan arif, mohon ditambah maklumat untuk berkongsi pengetahuan tersebut.
Ayahanda aku pernah memberitahu bahawa daun sepulih ini yang sudah diguna untuk tepung tawar rumah dipasang-lekat pada tiang seri atau tiang tengah rumah. Kalau anak-anak kecil demam yang bukan disebabkan oleh faktor semulajadi tetapi demam akibat teguran makhluk halus, daun sepulih itu boleh diambil sedikit dan direndamkan dalam secawan atau semangkuk air, kemudian selawat dan dibaca surah Al-Fatihah kemudian diberi minum. Selepas minum, air rendaman daun sepulih itu disapu pada sendi-sendi tubuh. Wallahualam, ini antara petua yang disampaikan.
No comments:
Post a Comment