Tuesday, July 5, 2016

Evolusi Metal Malaysia: Sejarah Awal (Bahagian Sabah)

Nota Pedoman:
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan sejarah muzik metal untuk tajuk ini akan mengambil kira tahap relevan dari sudut penghasilan karya dan penglibatan aktif dalam persembahan disamping impak jangka masa panjang terhadap evolusi muzik metal Malaysia. Penulisan ini tidak sesekali bertujuan menafikan kewujudan band-band metal tetapi jika ia tidak relevan dalam ciri-ciri yang dinyatakan maka ia sekadar dicatat tetapi tidak akan dilanjutkan dengan penulisan secara khusus. Tumpuan khusus lebih lanjut dan terperinci hanya merujuk kepada band-band yang ada kesinambungan dalam sumbangan buat persejarahan seni kreatif muzik metal.
Penyataan ini penting supaya pembaca tidak tersalah maksud kepada tujuan penulisan ilmiah ini. 
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ledakan awal muzik metal di Sabah bermula seawal dekad 1990an. Walaupun ia bermula lewat beberapa tahun berbanding Sarawak, kemunculan band-band metal sepanjang dekad 90an lebih banyak daripada Sarawak.

Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Membakut menjadi lokasi penting kemunculan awal band-band metal di sini sehingga kini. Genre Black Metal, Deathmetal dan Grindcore adalah tiga genre utama yang menjadi 'pedoman muzik' para penggiat seni muzik metal di Sabah. Maka tidak hairanlah sepanjang dekad 90an banyak band black metal yang mendominasi scene metal Negeri Di Bawah Bayu ini.

Walaupun ada maklumat yang diperolehi melalui blog 'Kasi Pecah Telinga Kau', mencatatkan bahawa telah muncul pencetus terawal muzik ekstrim di Sabah oleh Dark Power sebuah band thrash metal berasal dari Kota Kinabalu yang diasaskan pada tahun 1986. Namun band ini tidak pernah menghasilkan sebarang material samada single, demo, EP atau album.

Penulisan ini akan merangkumi jalur masa evolusi metal di Sabah antara tahun 1990 hingga 1999.

Permulaan Ledakan (1990-91)

Jika dilihat dan diteliti kembali jalur masa muzik metal Malaysia, kemunculan band black metal pertama negara adalah pada tahun 1984 iaitu penubuhan Black Fire dari Perlis. 

Selepas itu, band black metal kedua Malaysia yang muncul dan menjadi band black metal pertama diasaskan di Borneo adalah Kalabanganz.

Kalabanganz telah ditubuhkan pada tahun 1990 di Kota Kinabalu yang membawa konsep 'Black n Roll'. Band ini juga telah mengeluarkan material pertama pada tahun 1991 iaitu demo 'Shadow of Lucifer'. Kalabanganz masih aktif sehingga kini tampil dengan dua album iaitu 'Beer, Sex & Black n Rollust' terbitan tahun 2012 dan 'Xumandakapocalypse Black n Roll' pada tahun 2015. 

Era 1992-93

Barbalans (1) menjadi band black metal kedua muncul di Sabah yang berpangkalan di Sandakan. 

Band ini telah diasaskan penubuhannya pada tahun 1993 oleh tiga bersaudara dengan gelaran yang sangat unik iaitu MaXXXul, Maharaja Namruth dan Waadath Natas. 

Material pertama Barbalans diterbitkan pada tahun 1996 iaitu demo 'Cindaku'. Seterusnya mereka tampil dengan demo kedua, 'Thy Shytan' terbitan tahun 2001. Barbalans masih bergiat aktif sehingga kini.


Era 1994-95

Ketika era ini, beberapa band telah ditubuhkan di serata Sabah. Era ini juga boleh dianggap sebagai kemunculan awal band-band deathmetal Sabah yang cenderung kepada sub-genre brutal death dan grindcore. 

Blind Confused merupakan band deathmetal awal Sabah yang berpangkalan di tenggara Sabah. Anggota band ini berasal dari Lahad Datu dan Tawau. Blind Confused ditubuhkan pada tahun 1994. Material pertama band ini adalah sebuah demo terbitan pada tahun 1994 iaitu 'Burnt'. 

Mortuary Anchestor (gambar kiri) merupakan kuasa death metal Sabah yang masih bergiat aktif menghasilkan material dan persembahan termasuk di luar negara khususnya Indonesia.

Band ini telah diasaskan pada tahun 1994 di Sandakan.

Material pertama mereka terbit pada tahun 1997 iaitu demo 'Story of Holy Incence'. Mortuary Anchestor kemudiannya menghasilkan album pertama, 'The Reincarnation' terbitan tahun 2008. Kesinambungan usaha kreatif seni mereka berterusan pada tahun 2012 tampil dengan EP 'Doctrine of Hatred'.

Sebuah lagi band dari Sandakan, Perpetual telah diasaskan pada tahun 1995. Sandakan menjadi lokasi kemunculan scene deathmetal yang utama di sini. 

Perpetual kemudiannya menghasilkan material pertama pada tahun 1996 iaitu demo 'Protector of The Truth'

Tahun 1995 juga menyaksikan kemunculan sebuah lagi kuasa metal Sabah iaitu Mantak. Band yang berteraskan muzik Thrashing Black Metal ini telah ditubuhkan oleh Naz di Kota Kinabalu. Nama asal sebelum bertukar kepada nama sekarang adalah Waffat.

Reputasi Mantak tidak boleh disangkalkan kerana sejak tahun 1998 iaitu ketika demo pertama mereka dihasilkan, 'The Borneo Chaosmakers', band ini kekal dalam momentum untuk berkarya disamping terlibat aktif dengan banyak persembahan di luar Malaysia.

Mantak juga menjadi band metal pertama Sabah dan Malaysia yang bernaung di bawah Drakkar Production yang berpangkalan di Peranchis yang bertanggungjawab menerbit dan mengedarkan album 'Sabahell Blasphemer' pada tahun 2007. Catatan penuh tentang Mantak akan dilanjutkan dalam siri penulisan ilmiah seterusnya.

Sebuah lagi band metal yang penting dalam jalur masa evolusi metal di sini adalah Neurosis, band deathmetal yang bersulam elemen brutal & grindcore. Neurosis telah diasaskan pada tahun 1995 di Membakut, sebuah bandar yang terletak 35 kilometer utara Beaufort. Material sulung mereka adalah demo 'Promo Rehearsal' terbitan tahun 1995. Seterusnya pada tahun 2002, Neurosis tampil dengan EP, 'Therais'

Sebuah lagi band black deathmetal yang boleh dimasukkan dalam catatan adalah Azrail (2) diasaskan pada tahun 1995. Azrail berasal dari Beaufort. Mereka sempat menghasilkan sebuah material iaitu demo 'The Arisen, Promo Demo' yang diterbitkan pada tahun 1996.

Era 1996-97

Berbeza dengan era sebelum ini, era 1996-97 pula menyaksikan kemunculan band-band berkonsepkan eastern black metal.

Majestic East (3) telah diasaskan secara rasmi pada bulan Desember 1997 dengan barisan anggota awal terdiri daripada C.Din (gitar), Rujie (gitar), Pianth (drum), Jasth (bass) dan Namith (vokal).

Band berkonsepkan 'eastern metal' ini telah menghasilkan demo pertama iaitu 'Exorcism Corpse' pada tahun 1999. Bunyi dan bentuk muzik Majestic East agak menyerupai material awal Langsuyr.

Dalam tahun 2012, mereka tampil dengan sebuah lagi material iaitu EP 'Mandau'.

Kilatus, sebuah nama penting dalam 'carta aliran black metal negara' kerana ia adalah antara band black metal yang ekstrim dari segi penampilan dan muziknya pernah wujud. Kilatus ditubuhkan pada tahun 1997 di Sandakan.

Sekali lagi bandar ini menjadi titik penting perkembangan scene metal negara dan Sabah. Ia seakan sebuah 'mata air kegelapan' yang memunculkan banyak band besar Sabah.

Kilatus melabelkan muzik mereka sebagai 'extreme black metal' yang mempunyai bau-bau elemen seperti Dark Funeral. Kilatus menghasilkan material sulung iaitu 'Silence In The Night' pada tahun 1998. Kilatus bersama Mortuary Anchestor pernah menerbitkan split-tape, 'Nakadnas Kult' terbitan tahun 1999 (4).

Nightmare(5) sebuah band black metal berasal dari Ranau telah ditubuhkan pada tahun 1997. Asalnya band ini menggunakan nama 'Syaitir' kemudian pada tahun 1998 sehingga 2011, mereka menggunakan nama Nightmare. Mereka sekali lagi menukar nama kepada 'Funeral Nightmare' pada tahun 2011. Band ini telah menghasilkan beberapa demo (tidak termasuk split) iaitu;

1. Rehearsal Demo, 1997.
2. Symphony From The Gates of Darkness, Demo 1999.
3. Promo Single-To Call The Souls of Evilness, 2000.
4. Demo(niac) demo, 2008.

Maar merupakan band 'eastern black metal' yang berasal dari Putatan, Kota Kinabalu.

Agak sukar mendapatkan maklumat penuh band ini kerana agak terhad daripada sumber-sumber yang sahih.

Namun Maar ada menghasilkan material pertama iaitu sebuah demo 'Eastern...Mysterious...Mystical...Myth' terbitan tahun 2001. Maar juga pernah menghasilkan sebuah split-cd bersama Manggas, band deathmetal berasal dari Membakut pada tahun 2009.

Era 1998-99

Ada beberapa band yang ditubuhkan pada tahun 1998-99 tetapi menghasilkan material pertama setelah masuk era millennium seperti;

1. Dreaming Dead (1998)-demo pertama 'Ended War', 2000.
2. Inside (1999)-demo pertama 'Darkness Begin', 2000.
3. Distrust (1999)-demo pertama 'Human Conflict', 2000.
4. Demonyu (1999)-demo pertama 'Spell of Mahsuri', 2001.
5. Assirat (1999)-demo pertama 'Spiritual Dimension', 2003.

Demizer antara nama penting band deathmetal Sabah yang diasaskan pada tahun 1998 yang berpangkalan di Kota Kinabalu. Mereka juga terlibat secara aktif dalam penganjuran gig di sekitar Kota Kinabalu.

Demizer telah tampil dengan material awal iaitu demo 'Emotions Run Deep' terbitan tahun 1999. Kemudian pada tahun 2005, Demizer muncul pula dengan EP ' Hand of Hate'. Kesinambungan karya kreatif mereka dilanjutkan melalui penerbitan album pertama pada tahun 2013 iaitu 'Carnage Mastermind'.

MANGGAS
Sebuah lagi band deathmetal yang muncul dari Membakut iaitu Manggas diasaskan pada tahun 1998. Manggas membawa konsep eastern metal yang terserlah daripada tajuk demo pertama mereka iaitu 'Pengamal Kebatinan Kuno' terbitan tahun 1999. Demo ini menampilkan dua lagu iaitu 'Sumpah Puaka' dan 'Rintihan Pujangga'.

Manggas antara band deathmetal Sabah yang masih bergiat aktif sehingga kini. Mereka turut melahirkan dua buah EP, 'Haas Sarbatus' pada tahun 2000 dan 'Kuraia' terbitan tahun 2011.

Foetal Carnage adalah band brutal deathmetal yang berasal dari Kota Kinabalu. Band ini ditubuhkan pada tahun 1999 telah tampil dengan material awal iaitu demo 'Darknest Hour' terbitan tahun 1999. Mereka tampil pada tahun berikutnya dengan demo kedua iaitu 'Symphony of Death'.

Menjelang era millennium, beberapa band telah ditubuhkan dengan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau kekal menjadi lubuk-lubuk penting scene metal di Sabah.

Perkembangan seterusnya akan dilanjutkan dalam penulisan lain.

Rujukan:
(1)http://crushingearstone.blogspot.my/2009/10/barbalans.html
(2)http://crushingearstone.blogspot.my/2009/11/azarial.html 
(3)http://crushingearstone.blogspot.my/2010/01/majestic-east.html 
(4)http://crushingearstone.blogspot.my/2010/01/kilatus.html
(5)http://www.metal-archives.com/bands/Nightmare/48268 



Tuesday, June 28, 2016

Evolusi Metal Malaysia: Sejarah Awal (Bahagian Sarawak)

Nota Pedoman:
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan sejarah muzik metal untuk tajuk ini akan mengambil kira tahap relevan dari sudut penghasilan karya dan penglibatan aktif dalam persembahan disamping impak jangka masa panjang terhadap evolusi muzik metal Malaysia. Penulisan ini tidak sesekali bertujuan menafikan kewujudan band-band metal tetapi jika ia tidak relevan dalam ciri-ciri yang dinyatakan maka ia sekadar dicatat tetapi tidak akan dilanjutkan dengan penulisan secara khusus. Tumpuan khusus lebih lanjut dan terperinci hanya merujuk kepada band-band yang ada kesinambungan dalam sumbangan buat persejarahan seni kreatif muzik metal. Penyataan ini penting supaya pembaca tidak tersalah maksud kepada tujuan penulisan ilmiah ini. 
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ledakan awal muzik metal Malaysia juga melanda di Sarawak. Ia nampak seiring dengan kemunculan band-band awal akhir dekad 1980an. Perkembangan muzik metal bahagian Borneo ini bermula di Sarawak kemudian Sabah. 

Sarawak menjadi pangkalan penting kepada muzik metal negara. Kuching, Sibu dan Matu merupakan kawasan utama yang menjadi kemunculan awal band-band metal di sini.  Genre death, black dan grindcore menjadi 'kiblat' metal bagi band-band metal Sarawak.

Sarawak sebenarnya cukup terkenal dalam melahirkan ramai pemuzik dan penggiat seni dalam industri muzik tanahair. Ini termasuklah dalam scene muzik metal. Sebagaimana di Semenanjung, keunikan metal di Sarawak dipengaruhi oleh faktor demografi tempatan yang mencorak kreativiti karya dan penulisan lirik. 

Dua label yang cukup sinonim yang menjadi pemacu perkembangan muzik metal Sarawak iaitu Sarawak Metal Force (SMF) yang diasaskan pada tahun 1999. Kemudian Eastern Voice Production (EVP) yang wujud sekitar tahun 2009. 

Kemunculan Awal-1989
Walaupun jauh terpisah dengan Semenanjung oleh Laut China Selatan, namun cetusan awal band-band metal awal di Sarawak tetap seiring dengan situasi ketika itu di Semenanjung. 

Kemunculan awal itu dicatatkan dengan beberapa band death metal ditubuhkan yang berpusat di Kuching pada tahun 1987-1989 iaitu;
1. Senseless
2. Ungodly Death (1987)
3. Immortal (kemudian bertukar nama kepada Mentally Murdered)
4. Psychodeath (kemudian bertukar nama kepada Sputum).

1990-1994
Dalam era 1990-1994 ini telah muncul lagi band-band dari Kuching, Matu dan Sibu. Agak unik bagi kemunculan band-band metal dari Matu. Kawasan ini merupakan 'Melanau Land' yang merangkumi Daro, Dalat, Jamoreng, Matu, Mukah, Balingian dan Tellian. Wilayah ini berada jauh di kawasan luar bandar sebagaimana Kuching dan Sibu. Perjalanan dari Sibu ke Matu atau ke Mukah mengambil masa lebih dua jam. Band-band yang muncul dari Matu adalah band yang dianggotai majoriti kaum Melanau.

Antara band-band yang muncul dan diasaskan pada era ini adalah;
1. Block Head (Kuching, 1990)
2. Vormit (Kuching, 1991)

3. Apostasy (Kuching, 1992)
4. Larrong (Matu, 1992)
5. Kremation (Sibu, 1992)
6. Butcherer (Matu, 1994)
7. Lost Infidel (?)
8. Unitisheim (?)


Selepas kemunculan Larrong dan Butcherer, era millenium menyaksikan muncul band-band metal dari Matu yang cenderung membawa genre black death dan black metal. Larrong sendiri merupakan band eastern black metal pertama dari Sarawak. Isu ini akan dibincangkan dalam penulisan seterusnya.

1998-1999
Pasti akan bertanya mengapa tidak ada catatan bagi era 1995-1997? Saya sendiri masih meneliti jika ada kewujudan band-band ketika era tersebut. Namun tidak ditemui. Mungkin jika ada maklumat baru ia akan dibawa ke penulisan seterusnya.

Dalam era 1998-1999 ini, tercatat kemunculan tiga band iaitu;
1. Immolate (Matu, 1998)
2. Saktism (Sarikei, 1998)
3. Shadow (Daro, 1999)


Material Awal
Senseless adalah band death metal awal Sarawak yang mengeluar material iaitu Demo 'Terminal of Death' pada tahun 1990. Immortal (nama asal Metally Murdered)(1) pada tahun yang sama juga menghasilkan demo pertama, 'Avenger of Blood'. Walaupun diasaskan awal tahun 1987, Ungodly Death tampil dengan demo pertama pada tahun 1992 iaitu 'Lost Nation' (2).

Demo-demo awal lain yang muncul adalah;
1. Vormit-'Blossom in Putrid', 1991
2. Sputum-'Sputum Demo', 1992
3. Block Head-'Suffocated Heathen', 1992?

4. Larrong-'Curse of Devastation', 1993
5. Mentally Murdered-'New World Sickness', 1995
6. Apostasy-'Endless Infidelity', 1995 

Penghasilan material pro-recording khususnya album pada peringkat awal ini di Sarawak adalah dari Senseless dan Kremation. Pencarian maklumat yang dibuat melalui media online, hanya Senseless dan Kremation merupakan band metal Sarawak yang muncul dengan album penuh semasa era 1990an.

Senseless tampil dengan dua album studio iaitu 'Epidemic Mentality Equilibrium' terbitan tahun 1994 dan 'Fantasy of My Own' (1996).

Kremation (gambar kiri) pula menghasilkan sebuah mini album (EP) iaitu 'Reborn' terbitan tahun 1999. Setahun kemudian iaitu pada tahun 2000, sebuah album diterbitkan oleh Kremation, 'To The End, Head Hunter Revenge'. 

Tahun 2011, Kremation ada menghasilkan sebuah promo, 'Let Them and Fear' yang menampilkan dua track. Promo ini diterbitkan dan diedarkan oleh Eastern Voice Production (3).

Menjelang era millennium, sepanjang lima tahun pertama iaitu antara tahun 2000-2005 telah muncul banyak band dari pelbagai genre di serata Sarawak. Perkembangan seterusnya ini akan dibincangkan dalam catatan akan datang.

Rujukan:
(1) maklumat terus dari Sdr. Winston Churchill, pengasas Immortal/Mentally Murdered.
(2) http://sarawakmetalforce.blogspot.my/2010/03/ungodly-death-biography.html
(3) http://sarawakmetalforce.blogspot.my/2011/10/kremation-let-them-hate-and-fear.html
(4) Othman Yusof, pengasas & pemilik Eastern Voice Production (EVP)




Tuesday, June 14, 2016

Evolusi Metal Malaysia: Sejarah Awal (Bahagian Semenanjung Malaysia)

Cetusan Permulaan

Galur masa kewujudan awal muzik metal di negara ini banyak disebut berpunca daripada pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara membawa masuk dan memperkenalkan muzik ini di sini. Malah sebahagian mereka disebut terlibat aktif menubuhkan band-band metal. Ini berlaku sekitar dekad 1980an seiring dengan kemunculan band-band metal di USA ketika itu seperti Metallica, Slayer, Incubus, Megadeth, Antrax dan Exodus.

Pertengahan dekad 1980an memperlihatkan kemunculan muzik rock menguasai scene muzik tanahair yang secara langsung merancakkan perkembangan muzik metal. Wings, May, SYJ, Junction, Saxo dan beberapa band rock adalah antara band yang mempunyai bau-bau sound metal. Impak awal muzik rock di Malaysia sebenarnya telah dicetuskan oleh Sweet Charity walaupun mereka berasal dari Singapura. Tidak dinafikan Singapura melahirkan ramai band-band rock awal yang bergiat aktif di Malaysia seperti Bloodshed, Rockers, Rusty Blade & Black Dog Bone. Kemunculan mereka telah 'menumbuhkan' cendawan-cendawan muzik rock di sini.

Metal Awal (Bahagian 1: Semenanjung Malaysia)

1980-1985
Jika mengikut tahun penubuhan, band metal terawal di Malaysia dan juga Asia Tenggara adalah Black Fire yang berasal dari Perlis. Mereka telah menubuhkan band ini pada tahun 1982 dengan nama Metal Ghost, kemudian pada tahun 1984 menukar nama kepada Black Fire.

Band ini menampilkan genre black metal versi awal yang dipengaruhi dengan corak muzik Venom, Bathory & Celtic Frost.

Penglibatan awal mereka yang diketahui adalah dalam Konsert Thrash Metal di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1988 dulu. Namun begitu, Black Fire hanya dapat mengeluar album pertama mereka pada tahun 2006 iaitu Lahirnya Dari Api dan sebuah 'live album' iaitu The Hereafter Live pada tahun 2007. 

1986-1989
Semasa tempoh ini, beberapa band metal telah ditubuhkan yang kebanyakan adalah dari genre thrash metal dan death metal. Nama-nama besar band metal yang ditubuhkan mengikut tahun adalah;

Nemesis-Kedah (1986)
Cromok-Kuala Lumpur (1986)
Rator-Petaling Jaya (1987)
Sil-Khannaz -Perlis (1987)
Silent Death-Kuala Lumpur (1987)
Suffercation-Kelantan (1988)
Brain Dead-Taiping (1988)
FTG-Kuala Lumpur (1989)
Narsamum-Johor (1989)
Modar-Terengganu (1989)

1990-1995
Permulaan dekad 1990an khusus bagi tempoh lima tahun pertama ini, ia boleh diklasifikasikan sebagai era meletupnya scene muzik metal tanahair. Selain daripada penubuhan banyak band metal yang bertumpu kepada genre thrash metal, death metal dan black metal, kemunculan material-material awal juga giat berlangsung.

Sekadar menyebut dan mencatat nama-nama penting dari segi pencetus, perintis dan keunikan kerana semasa tempoh 1990-1995 ini terlalu banyak band yang muncul tetapi tidak relevan untuk diketengahkan kerana ada yang muncul sekadar menjadi band bermain gig semata-mata tanpa terlibat dalam penghasilan material seperti demo, EP atau kompilasi.

Material Awal

FTG merupakan band metal pertama Malaysia yang menghasilkan sebuah rakaman studio secara profesional pada tahun 1991 melalui EP 'Freedom That's Gone' yang menampilkan empat buah lagu iaitu Freedom That's Gone, Kill The Evil, Behind This Wall & Fite to Free. Ia diterbitkan dalam format kaset dan diedar bawah label Karun Seni.

Tahun sebelum itu iaitu 1990 merupakan tahun letusan beberapa material band seperti Brain Dead (Eternal War, Demo), Suffercation (Nightmare in Red, Demo), Cromok (Image of Purity, Demo), Rator (Evil Symphony, Demo), Sil-Khannaz (Doctrine To Hell, Demo), Silent Death (Eternal Damnation, Demo)  dan beberapa lagi band. Sebuah band lagi yang penting adalah Modar yang tampil dengan demo pertama iaitu 'Inferior Symphony' pada tahun 1991. Ini adalah satu-satunya band doom metal dalam negara yang masih kekal aktif berkarya himgga kini.

Selepas letusan pelbagai demo band awal tahun 1990-1991, tahun 1992 pula menyaksikan kerancakan scene muzik metal tanahair dengan penerbitan album rakaman pro studio. Seolah-olah setiap band bersaing menampilkan hasil material masing-masing. Ia merupakan perlumbaan karya kreatif yang menjadikan zaman itu cukup banyak pilihan buat peminat muzik metal bagi mendengar material metal tempatan.

Antara senarai penting album-album metal yang muncul pada tahun 1992-93 adalah;
1. After The Promise (FTG), 1992
2. Day of Darkness (Suffercation), 1992
3. From The Ecstasy (Brain Dead), 1992
4. Conception of Madness (Sil-Khannaz), 1993
5. Forever In Time (Cromok), 1993
6. Before The Sunrise (Silent Death), 1993

7. Deep Within Our Grief Factory, Milk Runs Red (Infectious Maggots), 1993

Ketika era 1992-93 ini, kemunculan demo-demo band bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia adalah kesan daripada kemunculan demo-demo awal dan album-album terawal band-band besar yang menjadi platform buat generasi metal dekad 90an menampilkan karya kreatif masing-masing.

Kemunculan penting material band brutal death metal dari Ipoh, Necrotic Chaos juga penting kerana band ini adalah pelopor awal sub-genre 'brutal death metal' di Malaysia. Necrotic Chaos diasaskan pada tahun 1992 dan tampil dengan material pertama split bersama Demisor  iaitu 'Into The Dark Desire' 

Perintis 'Eastern Metal' 1995-96
Perjalanan muzik metal Malaysia tidak akan lengkap dengan menukilkan catatan kemunculan istilah 'Eastern Metal'. Ketika era 1995-96 ini, gelombang pengaruh muzik melodic death metal Swedish yang sinonim dengan istilah 'Gothenburg Sound' telah menebar ke Malaysia. Band-band Swedish yang membawa bentuk muzik melodic death ini seperti Inflames, At The Gates, Dark Tranquility, Dismember dan beberapa lagi nama penting telah mempengaruhi para pendengar dan penggiat seni metal tanahair.

Uniknya melodic death metal 'Gothenburg Sound' ini adalah penerapan elemen-elemen melodic viking dan melodi western gipsy yang digabungkan dengan teras muzik death metal telah menghasilkan sebuah pecahan genre baru dalam bahagian muzik death metal. Ia suatu bentuk revolusi muzik death metal yang menarik dan melalui evolusi sehingga kini dari segi bentuk bunyi, tempo, bentuk susunan riff dan melodi.

Evolusi itu turut berlangsung di Malaysia melalui dua band ini yang boleh dianggap sebagai pencetus dan perintis awal 'Eastern Metal' iaitu Langsuyr dan Vociferation Eternity. Perkembangan muzik death metal 'Gothenburg Sound' di sini mengambil 60 peratus bentuk asas muzik yang digarap dalam 'Gothenburg Sound' dan selebihnya bergabung dengan melodi irama melayu, arabic nusantara dan sedikit elemen black bagi menampilkan sifat eastern disamping menampilkan lirik-lirik bercorak mistik, persejarahan, kehidupan dan kegelapan sebagai tema utama.

Walaupun Langsuyr ditubuhkan awal daripada Vociferation Eternity, kejelasan sifat muzik eastern metal Langsuyr itu terserlah melalui EP 'The Eastern Cruelty' (1996). Lagu 'My Oath of Thee' dan 'Tangisan Embun Pagi' adalah dua lagu hit yang menjadi pilihan utama pengikut-pengikut metal tanahair. Lagu-lagu ini juga menjadi senarai wajib latihan muzik bagi generasi metal selepas tahun 1996. Langsuyr seterusnya menjadi lebih terkedepan dari segi kualiti sound dan kreativiti karya melalui dua lagu yang termuat dalam kompilasi 'Ipoh's Metal Militant Supermacy' (1998) menyerlahkan imej dan kredibiliti muzik dan karya eastern metal. Namun selepas itu mereka 'meredam' seketika sebelum muncul kembali pada tahun 2005.

Vociferation Eternity (Voci) merupakan band eastern metal pertama Malaysia yang menerbitkan album iaitu 'Ocean Myth' pada tahun 1996. Bentuk dan bunyian muzik eastern metal Voci sangat berbeza dengan Langsuyr. Ada garapan dan susunan menarik yang membezakan kreativiti lagu-lagu mereka. Kesinambungan itu berterusan melalui album kedua, 'Meadow's Yearn' yang diterbitkan pada tahun 1999.

Generasi Black Metal
Selepas Black Fire iaitu band black metal pertama Malaysia dan Asia Tenggara muncul, Graveless adalah band black metal kedua di Semenanjung ditubuhkan pada tahun 1992. Barisan anggota Graveless berasal dari Kedah, namun pada tahun 1997 band ini telah menukar nama kepada Dawn Phenomenon yang berpusat di Georgetown, Pulau Pinang. Hayagriva menjadi band black metal ketiga dari Semenanjung Malaysia yang diasaskan pada tahun 1993 berasal dari Ipoh. Tahun yang sama juga di Singapura, As-sahar ditubuhkan. Aradia juga diasaskan pada tahun 1993 di Kuala Lumpur. Ravenlord sebuah lagi band black metal yang berasal dari Kuala Lumpur juga diasaskan pada tahun 1993.

Utara Semenanjung Malaysia banyak melahirkan band-band membawa genre black metal. Kedah, Perak dan Pulau Pinang menampilkan beberapa nama penting dalam jalur masa sejarah muzik metal dalam genre ini. Ketika era 1994-1996 di Kedah beberapa band berpaksikan genre black death telah diasaskan seperti Sarcastic, Sailendra, Damaq dan Nefarious Azarakh. Band-band black metal dari Pulau Pinang pula muncul adalah Dark Nirrajim (1994) dan Mistik (1995). Kemunculan aktif band-band dari genre black dan death metal di Pulau Pinang dan Kedah dibantu oleh dua label penting ini iaitu North Poem Records yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah dan Psychic Scream Production yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Kerancakan scene muzik metal pada pertengahan dekad 1990an dengan kewujudan label-label besar seperti Nebiula Production, Psychic Scream Production dan North Poem Records menaikkan reputasi dan rating sebahagian besar band yang bergerak aktif khusus dalam penerbitan pro-material.

Bersambung: Evolusi Metal Malaysia Sejarah Awal (Bahagian Sabah-Sarawak)











Thursday, March 24, 2016

Imbasan 2015: Farasu melangkah aktif & agresif!

2015 menjadi tahun aktif dan sibuk buat Farasu. Penghujung tahun 2014 band ini telah membuat perubahan barisan anggotanya. Agak istimewa kerana penghujung 2012 juga Farasu telah melalui proses yang sama. 

Anggota Farasu menerima kemasukan vokalis (Shah Zaini), lead gitaris dan bassist (Apai) pada penghujung tahun 2012. Namun begitu pada penghujung 2014, iaitu semasa proses rakaman album 'Against Tyranny' sedang dijalankan, Farasu telah membawa masuk Ordil Jay Sven (gitaris Xtroverts/ Elgranade) dalam barisan anggota band.

Beliau sempat melalui proses rakaman bahagian lead beberapa lagu. Awal tahun 2015, Farasu muncul dengan album kedua-Against Tyranny. Suatu penampilan yang menongkah arus kebiasaan metal dari segi kulit album. Album tersebut telah menggunakan warna coklat berbanding warna hitam yang menjadi pilihan kebanyakan band metal sebagai warna 'tegar' metal.

                  'Tour Against Tyranny 2015'
Bermodalkan album terbaru ini, Farasu telah menyusun strategi bagi memulakan gerak kerja progresif dalam scene muzik metal. Sasaran pada tahun 2015 adalah menembusi pasaran kelompok muda dan memasuki scene muzik selain metal bagi melebarkan pengaruh.

Beberapa gig dalam negara khususnya di Kuala Lumpur, Alor Setar, Johor Bahru, Kajang, Seberang Jaya dan Butterworth disertai oleh Farasu dalam usaha tersebut. Ia adalah sebahagian daripada jelajah Against Tyranny 2015 bagi memperkenalkan album peringkat tempatan.

Menyertai 'Mainstream Event'
Memikirkan betapa perlunya meluaskan pengaruh dan membesarkan rangkaian, Farasu telah 'menongkah arus' menyertai beberapa acara muzik peringkat arus perdana. Usaha ini adalah langkah strategik yang disusun bagi melebarkan 'keberadaan' Farasu dalam scene muzik tanahair.

Farasu telah menyertai acara 'Urban Street Fest' yang berlangsung di Dewan KBS, Bangunan Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya. Walaupun kali pertama muncul di acara ini, namun sambutan ribuan crowd muda generasi baru terhadap persembahan Farasu cukup menggalakkan.

Ketika itu juga, terlintas di benak fikiran setiap anggota band akan adakah crowd yang 'headbanging' semasa persembahan. Ia pengalaman menarik dan memberi inspirasi bahawa tanpa menggerakkan 'langkah menembusi' pasaran arus perdana, kita tidak akan dapat melihat erta menilai potensi sebenar muzik metal. Maka jawapan hakikat telah dizahirkan dalam acara ini muzik metal tetap punya peminat di arena mainstream!

Penghujung tahun 2015 menjadi penutup yang terbaik buat Farasu. Mungkin berkat usaha dan kegigihan berjuang, kami diberi peluang membuat persembahan di Konsert Wings 30 Tahun bersama beberapa band DIY di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ia memberi impak yang sangat besar terhadap perjalanan muzik Farasu sejak 2002.

Lebih mengujakan dan menjadi idaman seluruh band rock seluruh negara apabila Farasu mendapat slot persembahan di Noisy Stage, Rock The World 15 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Sejarah ini cukup memberi sentimental emosi kerana ia berlangsung pada tarikh ulangtahun penubuhan Farasu ke-13 tahun pada 12 Disember 2015.

Ia umpama hadiah harijadi teristimewa Farasu! Aku dan Nahaq paling terkesan dengan acara muzik terbesar di Malaysia ini kerana sejak 13 tahun perjuangan kami sejak detik awal tertubuhnya Farasu, kami dapat mengecapi nikmat di sebuah konsert rock terbesar negara! Begitu juga dengan Farasu Bros. yang lain seperti Apai dan Ordil Jay Sven yang lebih awal menapak dalam scene muzik DIY tanahair merasai nikmat ini.

Farasu menutup persembahan 2015 dengan menawan pentas Jogja Brebeg 2016 dua minggu selepas Rock The World. Kehadiran kami ke bumi Jogjakarta sangat bermakna kerana ia adalah kali kedua Farasu bermain dalam acara sama pada tahun 2007 lalu. Sambutan kali ini sangat meriah dengan lonjakan tenaga yang luarbiasa daripada ribuan crowd Jogja Brebeg.



Sunday, January 3, 2016

Jogjakarta: beza bahasa berkongsi budaya

Jogjakarta...dahulu merupakan ibukota bagi negara Indonesia sebelum berpindah ke Jakarta. 

26 Disember 2015 lepas adalah kali kedua aku menjejakkan kaki ke kota yang terletak di Jawa Tengah ini. Kali pertama adalah pada tahun 2006 lalu. Namun waktu kali pertama itu, aku tidak begitu teliti untuk mencatat sebarang detik peristiwa. 

Cuma kali ini, setelah sembilan tahun berlalu ditambah pula dengan kecanggihan teknologi maklumat seperti FB, WhatApps, Twitter dan sebagainya memudahkan segala detik peristiwa menjadi catatan pantas di hujung jari.

Walaupun jarak Malaysia dan Jogjakarta beribu batu, namun sepanjang pengamatan dan pemerhatian rambang aku selama tiga hari di sana, terlalu banyak persamaan budaya hidup antara masyarakat Jogja dan Malaysia. Cuma yang membezakan adalah lenggok bahasanya. 

Cara berpakaian, makanan, gaya hidup dan suasana masyarakatnya tidak jauh beza seperti kehidupan manusia di Petaling Jaya, Kuala Lumpur atau Kelang. Masyarakat Jogja agak 'stylo' dari segi berpakaian dan sangat jauh beza dengan warga Indonesia yang menjadi tenaga buruh di Malaysia. Mungkin buat orang Malaysia yang tidak pernah ke bumi Jogjakarta atau Bali atau Jakarta, mereka masih tergambar akan perspektif gaya pakaian orang Indonesia yang berada di Malaysia. Memang terlalu kontra!

Jogja juga merupakan wilayah bertaraf istimewa kerana Gabenornya adalah Raja Mataram yang masih kekal institusi beraja hingga kini. 

Orang Melayu Malaysia yang kebanyakannya dipengaruhi oleh stigma 'makanan halal haram' tidak perlu gusar kerana Jogja dihuni oleh 90 peratus warga beragama Islam. Jogja dikelilingi oleh banyak masjid, surau, musolla dan sekolah-sekolah agama. Suasananya seperti di Kelantan ataupun Taman Medan, Petaling Jaya. Apabila masuknya waktu solat, seluruh kawasan akan kedengaran laungan azan secara serentak. 

Harus diakui suasana persekitaran Jogja agak bersih dan kemas serta tidak begitu serabut. Sudah ada perbezaan besar dari segi pembangunan infrastruktur berbanding yang aku lihat sembilan tahun dulu.

Antara makanan tempatan yang begitu membuka selera aku adalah ayam goreng (gambar kiri) yang dihidang bersama tempe, tauhu, daun selasih dan penyetannya (penyedap) iaitu sambal hijau.

Makanan ini wajib dicuba dan tidak patut diabaikan jika anda ke Jogjakarta dan tidak mahu terikat dengan selera nasi padang Minangkabau yang begitu banyak di sekitar Jogja.

Satu lagi yang perlu dicuba adalah minuman TEBS, Tea Cooler. Aku kali pertama mencubanya ketika ke Jakarta pada bulan Oktober 2015. 

Uniknya tea cooler ini ada campuran air epal dan gas. Memang sempoi dan walla!

Maka jangan gagal untuk mencuba dan mendapatkan minuman ini. Sebenarnya ada bermacam perisa tetapi Tebs yang rasa epal ini memang terbaik.

Keistimewaan Jogja juga kerana banyak pokok herba yang digunakan dalam perubatan ditanam oleh penduduknya. Setiap lorong, simpang dan jalan sekitar Jogja tidak akan terlepas adanya pelbagai pokok herba. Antaranya misai kucing dan bonglai. Cuma pokok bonglai di sini lebih besar daripada yang terdapat di Malaysia. Mungkin faktor tanah gunung berapi yang menjadikan ia sangat subur. 

Kawasan-kawasan berhampiran dengan Jogja seperti Magelang, Borobudor, Kliteran, Muntilan dan Sleman mempunyai keistimewaan tersendiri.    

Sleman dan Muntilan begitu banyak kelihatan pokok salak ditanam secara besar-besaran. Malah penjualan buah salak di sekitar Sleman dan Muntilan begitu rancak. Muntilan pasti menjadi pusat penanaman utama dan pengeluar utama buah salak di Jogjakarta dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Magelang juga banyak kelihatan industri pertukangan kayu ukir, seni batu pahat dan hiasan. Maka memang banyak bengkel seni batu pahat boleh dilihat sepanjang jalan menuju ke Borobudor. 

Catatan bersambung.....

Farasu Live at Rock The World 15


Setelah 13 tahun Farasu melalui arus perjuangan dalam scene muzik metal tanahair, akhirnya impian dan hasrat untuk beraksi di pentas Rock The World (RTW) telah tercapai. Setiap band rock, punk, metal, grunge dan ska di negara ini mempunyai impian dan harapan besar untuk membuat persembahan pentas di Rock The World.

Lebih mengujakan buat Farasu adalah tarikh RTW 15 ini berlangsung pada ulangtahun ke-13 penubuhan kami. Ia sesuatu yang sangat istimewa kerana Farasu meraikan kewujudannya yang ke-13 dalam sebuah acara muzik rock terulung Malaysia.

Merit Muzik
Kehadiran kami di pentas RTW 15 tidak berlandaskan persoalan kroni atau kabel tetapi kerana merit yang datang melalui usaha-usaha gigih sejak awal tahun 2015 lagi. 
Kepercayaan itu dicetuskan 'Chief of De'Facto' Scene Muzik Malaysia, Abang Rom Mohd Noor yang memberi galakan dan nasihat kepada Farasu untuk melalui arus muzik tempatan. Kami percaya atas saranan beliau dan penuh keyakinan untuk melaksanakan cabaran-cabaran yang dilontarkan oleh Abang Rom.

Farasu berbangga dapat menonjolkan muzik metal sejati kepada scene muzik negara melalui RTW 15 bahawa metal itu masih relevan kepada para pendengar khususnya golongan baru era millennium. Eastern Metal kembali menggegarkan pentas RTW di hadapan crowd muda belaka. 

Ia suatu suasana baru buat kami! Kelompok muda menerima muzik metal Farasu. Ini sebuah bukti jelas yang pasaran muzik metal tidak pernah padam, cuma ia memerlukan suntikan baru dan perlu keluar daripada stigma-stigma usang yang memendapkan kemajuan muzik metal Malaysia.

Farasu memulakan persembahan tepat jam 12:30 tengahari. Permulaannya rasa khuatir dan gusar bermain di setiap fikiran kami akan kehadiran crowd seawal panas rembang tengahari.

Namun itu bukan penghalang untuk kami melaksanakan tugas persembahan. 

Shah Zaini-Vox Farasu
Kami membuka pentas dengan lagu 'Marhaen's Blood' dan diikuti dengan 'Blame It All'. Panas rembang tengahari tidak sedikit pun merencatkan aura persembahan, tambahan dengan kehadiran lebih 500 orang crowd melayani rentak muzik Farasu. 

Tanpa perlu menunggu 'enjin panas', Farasu terus sahaja menghayunkan rentak agresif dan aktif di lapangan pentas.
Barisan hadapan Farasu, Nahaq-Apai-Ordil menghayunkan kepala 'copter headbanging' tanpa henti dengan provokasi angkuh oleh Shah Zaini!

Rentak 'eastern metal' Farasu terus digegarkan dengan lagu 'Against Tyranny' yang menghangatkan suasana. Crowd terus melayani kepanasan suasana dengan kehangatan irama muzik Farasu! 

'Holy Diver' sebuah lagu cover dari Dio mengakhiri persembahan bertenaga Farasu. Panas hari yang melenting telah menyerap sedikit sebanyak tenaga membataskan sebahagian kudrat. Namun itu bukan alasan untuk memperlahankan tempo dan aura persembahan Farasu. Ombakan 'headbanging' crowd menambahkan lagi semangat kami.

Sekalung budi dan terima kasih buat penganjur Fat Boy, Tune Talk atas kesudian membawa Farasu ke pentas RTW kali ini. Jutaan penghargaan buat Abang Rom of ROTTW yang mempercayai bakat kreatif, merit dan usaha-usaha gigih kami sepanjang tahun 2015. Cabaran sudah diterima dan disudahi dengan lancar!

Respect & Salutes!
Krew Teknikal Farasu;
  • Rahim Kajai-Jurukamera 1
  • Lie Zaharieman-Jurukamera 2
  • Mat Pen-Krew Teknikal Pentas
  • Auks Nekradamus-Krew Teknikal Pentas
  • Atoi-Pembantu Jurukamera 
All Metal Headbanger
Liverpool Metal Headbanger 

Fidaiyyin
Apai The Mastubator
Shah The Provocator
Nahax The General
Ordil Jay Sven








Sunday, January 4, 2015

Album baru Farasu bakal menerjah pasaran!

FARASU 2015
Ia bukan lagi khabar-khabar angin tetapi sebuah perkhabaran benar. Farasu bakal tampil dengan album kedua tidak lama lagi iaitu 'Against Tyranny' yang dijangka menerjah pasaran akhir bulan Januari atau awal Febuari 2015.

Kemunculan album baru ini juga bakal menjanjikan kelainan berbanding album pertama-Menongkah Arus (2010) dari segi mutu bunyi,susunan lagu dan lirik serta penampilan.

Album Menongkah Arus lebih kepada kebangkitan semula Farasu dalam nafas baru setelah bergelut dengan berantakan dalaman dan isyarat bahawa Farasu masih relevan dalam scene muzik tanahair. Namun bagi album baru, ia adalah suatu langkahan jauh yang bakal dicetuskan oleh Farasu secara agresif dan progresif.

Apakah album baru ini akan mengangkat Farasu menyaingi tahap muzik yang pernah dipelopori oleh Sil-Khannaz, Langsuyr atau As-Sahar ke suatu tingkat yang lebih tinggi?

Nantikan kemunculan album ini!