Monday, August 27, 2012

Sejarah klasik: Kerajaan Kecil Air Garam

Sebelum wujudnya kawasan Mambau, Taman Rasah, Seremban 3, Seremban 2 dan Bukit Chedang telah wujud sebuah kerajaan kecil di situ yang bernama Air Garam. Kerajaan kecil ini dipercayai telah wujud sekitar kurun ke-12 atau 13 masihi. 

Kawasan ini telah ditadbir oleh seorang pemimpin bertaraf Penghulu iaitu Siti Mariam yang terkenal dengan gelaran Nenek Janggut oleh penduduk tempatan di Kampung Batu 3 dan Kampung Seri Mantau. Bukti kewujudan tokoh ini adalah terdapat sebuah makam lama yang dipercayai milik beliau terletak di bersebelahan tanah perkuburan Kampung Seri Mantau. Binaan makam ini agak berbeza dengan binaan zaman ini dan dipercayai berusia lebih daripada 500 tahun.

Kawasan Takluk

Kerajaan kecil Air Garam terletak di lembangan Sungai Linggi bermula di Kampung Pondok Rasah, Bukit Chedang, Kampung Batu 3, Kampung Seri Mantau, Taman Rasah-Rasah Jaya, Seremban 3, Kampung Anak Air Garam, Pekan Mambau, Kampung Latak, Seremban 2 (yang dulu dikenali sebagai  Ulu Mantau).

Mengikut cerita lisan, Nenek Janggut Siti Mariam ini mengawal laluan Sungai Linggi yang melalui kawasan Air Garam. Sungai Linggi ini merupakan laluan perdagangan yang penting di kawasan Sungai Ujong.

Pertemuan dengan seorang pengkaji sejarah tempatan Saudara Khairi Nagari Nan Tuo baru-baru ini ada menyebut bahawa kawasan Anak Air Garam ini merupakan tapak asal Sungai Ujong dan dari sinilah kewujudan Sungai Ujong bermula. Menurut beliau lagi, nama Sungai Ujong itu telah tercatat seawal sebelum kewujudan Kesultanan Melaka lagi. Namun jelas beliau lagi, kajian mendalam wajar dijalankan bagi menggali lebih banyak maklumat penting tentang kewujudan Kerajaan Kecil Anak Air Garam sebelum wujud kekuasaan luak-luak dalam Negeri Sembilan.

Jangka Masa

Berdasarkan catatan oleh sebuah majalah-JEJAK pada tahun 2001 lalu, ada menyebut tarikh yang tertera pada batu nisan Makam Nenek Janggut bertarikh tahun 324 Hijrah bersamaan 936 Masihi. Jika itu diambilkira, ia bermaksud makam tersebut merupakan binaan abad ke-10!

Persoalan yang menarik, apakah telah wujud kerajaan-kerajaan kecil atau autonomi di Negeri Sembilan seawal kurun ke-10? Jika garis masa itu diperhatikan, ia membayangkan bahawa kerajaan Anak Air Garam telah wujud ketika era Kedah Tua atau era Srivijya!

Pertentangan fakta dan perkaitan zaman pasti akan menjadi isu berbangkit di sini. Pengkaji-pengkaji sejarah yang berpaksikan susunan persejarahan dari Barat pasti mempersoalkan kedatangan Islam seawal kurun ke-10 jika tarikh batu nisan di Makam Nenek Janggut ini diambil-peduli.

Kisah Lampau

Nenek Janggut Siti Mariam dilahirkan pada 6 Muharam 103 Hijrah (6 Julai 721 Masihi) yang merupakan puteri kedua kepada Putera Mangku Seri Bengkalis-Syeikh Said Haji Abdul Jalil. Beliau mempunyai lima orang adik beradik. Telah dikisahkan bahawa kesemua adik beradik Nenek Janggut melarikan diri ke Tanah Melayu kerana tidak tahan dengan tindakan kejam ibu tirinya, Raja Marhumah. Akibat tekanan dan penindasan tersebut, kesemuanya berkelana ke seberang. Nenek Janggut telah memilih untuk bertapak di kawasan Anak Air Garam.

Beliau dikatakan menjadi Penghulu yang bertaraf raja di kawasan tersebut dan dibantu oleh 18 orang panglima untuk mentadbir selia kawasan jajahan Anak Air Garam. Kumpulan panglima 18 itu telah diketuai oleh Panglima Satria Alam Sayid Muhzid.

Kehebatan ilmu tauhid dan persilatan Nenek Janggut disamping kecantikan beliau telah mendapat perhatian raja-raja dari Acheh dan Pasai waktu itu. Namun kerana gagal menyaingi kehebatan ilmu yang dimiliki, Nenek Janggut terpaksa menolak lamaran dan pinangan raja-raja tersebut.

Kerajaan Anak Air Garam juga turut dimusuhi oleh orang-orang Minangkabau yang kerap menghantar pasukan perang untuk menawan kerajaan ini. Akan tetapi gerakan-gerakan tersebut gagal. Turut disebut kelebihan yang dimiliki oleh Nenek Janggut iaitu mampu menimbulkan akar-akar pokok bakau untuk menghalang kemasukan kapal-kapal perang Minangkabau yang menyebabkan kesukaran angkatan perang tersebut memasuki Anak Air Garam.

Nenek Janggut dikatakan mangkat pada tahun 324 Hijrah.

Pengkajian mendalam kepada persejarahan awal Anak Air Garam perlu dijalankan secara serius supaya warisan sejarah tanahair khususnya di Negeri Sembilan menjadi pedoman dan panduan berguna generasi baru.


No comments: