Secara jujurnya aku kurang berminat mendengar lagu-lagu nasyid sebelum kemunculan kumpulan Raihan. Bukanlah bermaksud kurang berminat itu menjurus tidak mahu mendengar lagu-lagu keagamaan dan dakwah tetapi ia didorong oleh irama lagu tersebut yang sebelum itu agak tipikal dan 'rata', terlalu 'tegak lurus bendul'.
Itu bukan satu bentuk penghinaan tapi hakikat suasana irama nasyid sebelum era Raihan. Namun sebelum kemunculan Raihan, telah wujud sebuah kumpulan nasyid yang digerakkan oleh pergerakan Al-Arqam iaitu Nada Murni. Suatu kelainan yang dibawakan oleh Nada Murni adalah melodi yang catchy dan agak segar berbanding nasyid klasik. Ia mempunyai lantunan melodi yang asyik dan menjadikan pendengar mudah menghafal lirik lagu.
Aku masih teringat irama lagu-lagu seperti 99 Nama Allah, Sepohon Kayu (betul ke tajuk ni?!), Sifat 20 dan beberapa lagi lagu yang aku lupa tajuknya. Melodinya menyentuh perasaan ketika mendengar seakan lagu itu sudah sebati dalam jiwa. Inilah kelebihan yang dijelmakan oleh Al-Arqam yang menggunakan elemen muzik sebagai penyampai dakwah. Perkara ini tidak boleh disangkal dan wajar diketahui oleh semua orang. Tanpa Al-Arqam takkan wujud generasi kumpulan nasyid baru selepas Nada Murni.
Cipta & Pecah Rekod
Teringat ketika baru belajar nak 'jamming' dengan sahabat-sahabat selepas Tingkatan 5 pada tahun 1996 dulu, waktu itu Raihan muncul dengan album 'Puji-Pujian'. Waktu yang sama juga, XPDC turut keluarkan album baru 'Brutal'. Lagu Raihan yang sangat-sangat disukai ramai dan kerap aku dengar waktu itu adalah lagu 'Puji-Pujian'.
Sesuai dengan tajuk lagu tersebut, aku jujur memberi pujian bahawa Raihan berjaya menjalankan peranan dakwah dan tarbiah masyarakat mendekati Islam. Aku juga pernah terdengar bahawa para pembeli album tersebut juga daripada masyarakat bukan Islam. Malah lebih menyakinkan, jualan album tersebut mengatasi jualan album XPDC-Brutal. Album Puji-Pujian mencatat jualan tertinggi album dalam sejarah di Malaysia iaitu 3.5 juta unit!
Wow...kalau album Farasu terjual macam ni punya banyak, sudah kayalah anggota band Farasu...kakakakkaka. Sekadar gurauan tetapi kami juga berharap dapat menjual album akan datang dengan jumlah yang memberangsangkan walaupun tak mencapai 1 juta unit.
Inilah kelebihan yang dimiliki oleh Raihan kerana mencipta satu revolusi bagi muzik nasyid di Malaysia. Tanpa usaha mereka, aku yakin takkan muncul lain-lain kumpulan nasyid hari ini.
Raihan juga telah mempelbagaikan irama dan melodi bagi lagu-lagu mereka. Nasyid versi Raihan telah memberi dimensi berbeza kepada pendengar muzik di tanah air. Kredibiliti dan perjuangan Raihan telah mendapat pengiktirafan industri muzik negara dengan menerima pelbagai anugerah muzik...aku tak ingat semua tu.
Kisah kejayaan Raihan ini mengingatkan aku pada sejarah lampau di Tanah Jawa kurun ke-15 dahulu. Wali Songo telah mencipta muzik gamelan yang digunakan sebagai medium penyampaian dakwah kepada masyarakat di Tanah Jawa. Sunan Bonang, Sunan Kalijogo dan Sunan Muria adalah pelopor kepada perkembangan muzik gamelan. Syiar Islamiah turut disampai melalui muzik yang mudah disebatikan dengan jiwa masyarakat waktu itu. Pandangan aku, ketika zaman itu kemunculan muzik gamelan boleh diumpamakan seperti munculnya Deep Purple! Satu revolusi muzik yang asli pernah dicetuskan di Alam Melayu!
Selepas Raihan, muncul kumpulan-kumpulan nasyid seperti The Brothers, Rabbani, Mirwana dan sebagainya. Aku bukanlah peminat muzik nasyid tetapi kerana Raihan lah aku kembali menghargai irama nasyid. Sekurang-kurangnya lagu-lagu Raihan ini sangat berguna ketika nak mendodoikan anak tidur dan dakwah awal dapat diserap pada naka sendiri. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment