Thursday, March 8, 2012

2012: Farasu sudah 10 tahun!


Perjalanan masa begitu pantas berlalu dan tanpa disedari usia Farasu pada tahun 2012 ini telah menjejak tahun kesepuluh sejak diasaskan pada penghujung tahun 2002 lalu.

Inilah bentuk penglibatan aku yang panjang dan lama setakat ini dalam dunia kreatif muzik metal tanahair berbanding beberapa band yang pernah aku sertai tidak kira samada metal atau rock yang bernafas tidak sampai lima tahun pun.

Brave In Vision (BIV), Whispering Amok dan Splitfire adalah antara band yang pernah aku terlibat tapi hayat perjuangan muziknya tidak berpanjangan sebagaimana Farasu. Maaf aku menyebut nama-nama band ini jika ada bekas-bekas anggotanya terbaca dan tersentuh emosi.

(Gambar: Flyers gig pertama Farasu 2003)

Farasu hidup kerana kesungguhan komitmen, semangat juang yang tinggi dan tidak mempedulikan kata-kata 'nista-kejian' yang diperkatakan. Sekali lagi, aku memberi tabik hormat dan persahabatan kepada Nahaq, Bull dan Arm yang kekal setia bersama perjuangan Farasu sejak awal tahun 2002 dan saat keperitan serta kerunduman dalam scene beberapa ketika dahulu.

Tidak dilupakan juga kepada sahabat-sahabat lain yang pernah terlibat memberi komitmen dalam perjuangan Farasu lalu. Insan-insan itu adalah;

1. Kotam (best act stage performance!)
2. Taba Destheria (kental mengikut!)
3. Auks Nekradamus (sempoi & lenjan jer!)
4. Faizal Fauzi (best riff & beat thinker also illumination!)
5. Farid Necropapic (best conspirator & friend!)

Walaupun individu-individu ini tidak lagi bersama Farasu, tetapi segala sumbangan tenaga, wang ringgit, masa dan idea yang telah disumbangkan amat dihargai.

Setiap pengalaman lalu akan berlaku kepincangan, kesulitan, pertelingkahan dan konflik, namun secara peribadi aku mengakui segala yang terjadi itu mematangkan fikiran. Atas kekurangan itu, gerak langkah dan hala tuju Farasu seterusnya telah dirancang sebaik mungkin.

Persengketaan emosi, pendapat dan etika pada waktu lalu antara individu-individu terbabit tidak lagi aku jadikan sebagai titik hitam di jiwa dan fikiran tetapi diangkat menjadi panduan dan pedoman. Maka mungkin di sini aku boleh lontarkan, setelah sepuluh tahun hubungan yang terputus itu mungkin boleh diperbaiki secara matang!

Perancangan kini
Sambutan yang menyakinkan daripada pengikut-pengikut muzik metal tanahair kepada album 'Menongkah Arus' yang diterbitkan pada tahun 2010 lalu memberi inspirasi buat Farasu untuk kembali menghimpunkan ilham dan kreativiti bagi penghasilan album baru bersempena ulangtahun kesepuluh Farasu.

Setakat ini telah siap beberapa lagu dan masih dalam proses latihan untuk membentuk susunan drumline, bass dan gitar disamping menyusun melodi nyanyian.

Kepastiannya pada album baru ini akan ada suatu kelainan berbanding material terdahulu. Konsep Eastern Metal masih kekal sebagai teras muzik Farasu cuma ia akan digarapkan dengan kelainan yang mungkin teknikal & keras!

No comments: