Monday, June 23, 2014

Inguinal Hernia: melalui detik dan pengalaman yang menggusarkan!

Mungkin ramai di antara kita semua tidak mengetahui pengertian penyakit 'Inguinal Hernia' kerana ia bukanlah suatu penyakit yang terjadi pada kebanyakan orang sebagaimana selsema atau demam panas.

Hal ini terjadi pada anak lelaki aku yang telah dikesan mengalami penyakit ini pada usia dua bulan. Aku agak terkejut apabila pakar pedriatik memaklumkan bahawa anak lelaki aku mengalami penyakit 'angin pasang'. Petanda-petanda penyakit ini adalah berlaku bengkak di bahagian kiri atau kanan pangkal ari-ari dan kantung kemaluan menjadi bengkak membesar.

Aku tak dapat nak jelaskan secara bertulis di sini tentang penyakit Inguinal Hernia tetapi jika bertemu secara berdepan, aku boleh menjelaskan secara lisan keadaan penyakit ini. Ia sangat-sangat berbeza dengan takrifan penyakit 'angin pasang' yang biasa dihadapi oleh lelaki secara teknikal saintifik.

Setelah mengetahuinya, aku dan isteri diberitahu oleh pakar pedriatik bahawa anak kami perlu dibedah. Sebenarnya aku masih samar-samar ketika itu kerana tidak begitu faham dan jelas tentang penyakit ini. Aku hanya faham 'angin pasang' dan berfikir bahawa ia boleh diatasi dengan kaedah tradisional tanpa perlu bedah.

Maka aku pun meneruskan dengan kaedah-kaedah tradisional kerana ada pandangan daripada ahli keluarga dan beberapa sahabat agar elak daripada melakukan pembedahan yang diberikan dengan pelbagai alasan. Aku peringkat awal akur dan turuti. Dalam waktu yang sama, isteri aku telah berusaha mendapatkan bahan bacaan dan keterangan penyakit ini dari internet dan rakan sekerja.

Antara bulan April hingga Mei 2014, keadaan anak aku tidak menampakkan tanda-tanda penyakit tersebut akan surut secara besar-besaran. Hanya sekali-sekali sahaja keadaan menjadi reda dan kesakitan itu seperti hilang.

Namun pada 15 Mei 2014, kesakitan akibat bengkak pangkal ari-ari menyebabkan anak aku kerap menangis dan tidak mahu minum ditambah pula dengan cirit birit yang agak kerap. Awal pagi hari tersebut, muka anak aku mulai cengkung dan tak berdaya untuk menangis. Aku dan isteri bergegas ke klinik swasta di kawasan kediaman kami. Doktor yang bertugas di klinik tersebut mengesahkan anak aku mengalami 'Dehidrated'. Satu surat untuk dirujuk kecemasan telah dikeluarkan oleh klinik. Kami bergegas terus ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Anak aku dimasukkan ke wad kecemasan sebelum dipindahkan ke wad pedriatik tingkat 6 Menara Timur, PPUM. Selama tiga hari berada dalam wad, pihak hospital membuat pemantauan kesihatan dan perkembangan anak aku. Akibat 'de-hidrated' menyebabkan anak aku dimasukkan air dalam badan. Aku masih berkira-kira untuk melakukan pembedahan. Ketika itu fikiran aku agak serabut dengan keadaan tersebut. Kemudian pada 19 Mei 2014, anak aku dibenarkan keluar memandangkan keadaan pulih cuma pakar pedriatik PPUM masih menyarankan bahawa aku perlu membenarkan pembedahan ke atas anak aku.

Kelegaan aku hanya sementara, rupa-rupanya selepas seminggu keluar daripada PPUM, sekali lagi kesakitan dialami oleh anak aku. Bengkak sebelah kiri ari-ari tidak mahu surut. Perutnya membengkak dan tidak boleh terkencing dan buang air besar seperti biasa. Kemudian anak aku mulai muntah. Keadaan itu mencemaskan dan isteri aku tanpa berfikir lama menggesa supaya anak kami dihantar semual ke PPUM.

Petang 26 Mei 2014 kira-kira jam 6:30 petang kami terus ke Kecemasan Pedriatik PPUM. Sejam kemudian anak kami terus dibawa ke wad pedriatik tingkat 6 Menara Timur sekali lagi.

Aku masih bersikap 50-50 samada ingin meneruskan pembedahan atau tidak. Kemudian pegawai perubatan di wad berkenaan memberitahu jenis penyakit yang dihadapi anak aku iaitu Inguinal Hernia tahap satu. Beliau meminta aku sendiri membuat carian tentang penyakit ini dan cuba memahami sebab serta tujuan pembedahan. Aku mulai faham dan jelas keadaan serta hakiki penyakit ini. Ya...memang benar, hanya pembedahan yang perlu dilakukan.

Setelah dipujuk dan diterangkan oleh isteri akan risiko dan tanggungjawab ke atas masa depan anak kami, akhirnya aku bersetuju agar pembedahan diteruskan. Setelah memberi persetujuan, pasukan pedriatik yang terdiri daripada beberapa pegawai perubatan dan doktor pakar memberi penjelasan kaedah dan cara pembedahan yang bakal dilakukan ke atas anak aku.

Ibu aku dan ayah mertua menyarankan aku melakukan istiqarah untuk mendapatkan pedoman dari Allah SWT. Sehari sebelum pemdedahan, aku melakukan solat istaqarah bagi memohon pedoman dan panduan kepada keputusan untuk meneruskan pembedahan. Namun tiada sebarang tand ayang hadir dan aku istiqamah menerima dan meneruskan usaha pembedahan tanpa ragu-ragu!

Akhirnya pada 2 Jun 2014, pembedahan tersebut dijalankan pada jam 10:30 pagi di dewan bedah di Menara Timur. Lebih kurang sejam setengah kemudian, pembedahan telah selesai dijalankan dan doktor pakar memaklumkan bahawa keadaan anak aku baik dan tidak ada sebarang kerumitan besar semasa proses pembedahan.

Syukur atas kejayaan pembedahan dan kesejahteraan kesihatan anak aku selepas pembedahan tersebut. Aku sangat berterima kasih kepada Pegawai Perubatan Wad Pedriatik PPUM, Dr Hazwani yang sudi memberi kefahaman penyakit 'Inguinal Hernia'. Kepakaran Doktor Bedah, Dr. Sri Harikumar sangat dihargai dan semoga Allah swt membalas kebaikan yang dilakukan.

Lebih menguatkan semangat adalah isteri aku sendiri. Tanpa gesaan, sokongan dan kesabarannya tak mungkin aku boleh melalui kegusaran hati yang melanda sepanjang tempoh itu.

Buat anda di luar sana, jika anak lelaki anda mengalami 'Inguinal Hernia' jangan ragu-ragu kepada kaedah pembedahan kerana ia merupakan 'minor operation' bagi menutup 'kebocoran' bahagian otot perut tanpa menjejaskan fungsi kelamin. Bukan menafikan kaedah tradisional, cuma tidak semua keadaan 'angin pasang' boleh diubati dan diatasi dengan cara tradisional. Hal-hal teknikal tubuh badan di dalam perlu diselesaikan dengan pembedahan jika kedaan itu serius agar tidak menjadi masalah yang lebih besar.

*Alhamdulillah selepas seminggu pembedahan, kesihatan anak aku bertambah baik. Berat badan naik, selera makan juga bertambah dan tidak lagi mengalami masalah kembung perut.

Buat yang ingin bertanya lebih lanjut pengalaman berkaitan, boleh email terus kepada saya: fidaiyyin@gmail.com