Thursday, November 29, 2012

Lagu Lama Yg Aku Suka: Hidup Bersama (ori)


Ini adalah antara lagu yang aku suka dengar. Seingat aku lagu ini mula-mula didengar ketika aku berumur tujuh tahun dulu. Pakcik saudara aku (Isa Mahat) pengemar muzik pop yeh-yeh. Boleh dikatakan kerap jugak dia mendengar lagu ini.

Lagu Hidup Bersama adalah nyanyian A. Ramlie dan aku paling gemar versi asal kerana 'sound' yang asli daripada era 60an. Versi-versi selepas itu agak membosankan walaupun ada pembaharuan 'sound' tetapi telah menghilangkan 'mood' lagu tersebut. Cuma versi XPDC memang menampilkan kelainan kerana dibawa dalam versi 'hard-rock' dengan susunan yang berbeza tetapi tidak 'membunuh' mood lagu tersebut.

Hidup Bersama merupakan antara lagu A. Ramlie bersama The Rythmn Boys. Jika tidak silap lagu ini dirakam pada tahun 1965 dari EP kedua kugiran ini. Sekali imbas, lagu ini berada di kemuncak muzik pop yang melanda dunia ketika itu. Letusan muzik Brit-Pop oleh The Beatles benar-benar mempengaruhi scene muzik tanah air waktu itu. Sesuatu yang wajar dibanggakan bahawa kemunculan irama Pop Yeh-yeh adalah revolusi muzik tanah air ketika itu dengan menampilkan ciri-ciri tempatan walaupun asas muzik jenis ini berakar umbi muzik pop cetusan The Beatles.

Lagu ini masih menjadi pilihan penting dalam senarai persembahan di majlis-majlis keramaian dan kenduri kahwin khususnya sehingga kini. Agak mustahil jika warga emas (yang ketika 1960an muda remaja) tidak mengetahui lagu Hidup Bersama, dalam 10 pasti sembilan orang yang tahu lagu ini. Begitu mengesan irama pop yeh-yeh sehingga kini. Ia juga lagu wajib dalam acara joget lambak.

Andainya ada penggiat muzik era kini membuat pembaharuan muzik Hidup Bersama dalam genre muzik 'Modern Rock', mungkin akan menampilkan 'sound' yang lebih menarik. Aku masih menanti jika situasi itu berlaku dan ingin melihat kelainan Hidup Bersama dalam versi berbeza tanpa merosakkan melodi dan mood asal lagu ini.

No comments: