Tuesday, August 28, 2012

Limau Lelang Laut & Darat

Limau Lelang Darat

Limau Lelang Laut
Aku pasti ramai antara di luar sana tak begitu mengenali spesis limau ini. Umumnya orang ramai lebih mengetahui limau nipis, limau kasturi, limau purut, limau pagar atau limau bali atas sebab ia sering digunakan untuk perubatan, masakan, minuman dan kebersihan.

Aku mengenali limau lelang laut pada tahun 1989 ketika darjah enam. Ayahanda aku kerap menggunakan limau jenis ini sebagai bahan perubatan tradisional yang digabungkan dengan limau nipis dan purut.

Tiga jenis limau ini menjadi bahan wajib untuk mandi limau dan berlangir. 

Dulu limau lelang laut sangat mudah dicari dan ditemui di kawasan paya bakau sekitar Jalan Port Dickson-Chuah yang kini telah menjadi kawasan perumahan D'ambang Kota. 

Kiri kanan sepanjang Jalan Port Dickson-Chuah bermula dari kuala Sungai Lukut Kecil sampai ke kawasan D'ambang Kota memang dipenuhi oleh pokok limau lelang laut.

Namun begitu, tak semua orang kenal atau menyedari tumbuhan berguna ini hidup subur di kawasan paya bakau. Aku agak terkilan dengan projek pembangunan kawasan paya bakau tersebut sekitar tahun 1997-98 dulu. Pembangunan projek perumahan di kawasan ini telah menyebabkan pokok-pokok limau lelang laut itu pupus kerana ditimbus dengan tanah untuk tujuan tebus guna. Aku masih ingat kawasan paya bakau itu merupakan kawasan hutan simpan bakau tetapi atas sebab pembangunan, status itu telah diubah oleh kerajaan negeri.

Rupa Bentuk

Limau Lelang Laut berwarna hijau, berbentuk seperti bola ragbi atau secara pandangan hadapan berbentuk bujur sirih. Bersaiz hanya sebesar ibu jari tangan. Berbiji halus tapi tak sebanyak biji limau purut atau nipis. Isi dalamnya seakan bergetah, sedikit melekit tetapi tak menjejaskan kulit atau pakaian jika terlekat dan berbau harum. Kalau dijemur atau dibiar lama, getah limau lelang laut ini akan berminyak dan menjadi seperti gam yang boleh dilentur-ditarik panjang seperti keju.

Limau Lelang Darat pula ketika muda berwarna hijau tetapi akan menjadi merah setelah cukup masak. Bijinya tidak banyak tetapi agak besar sedikit daripada biji limau lelang laut. Isinya juga bergetah seperti limau lelang laut cuma baunya sedikit berbeza iaitu kurang 'tajam' berbanding bau limau lelang laut.

Aku tak berapa pasti kegunaan secara khusus limau lelang darat ini tetapi masih berperanan untuk tujuan perubatan sebagaimana limau lelang laut. Ada yang sebut limau ini digunakan dalam masakan. Jenis masakannya tak pulak aku ketahui.

Kali pertama aku melihat dan kenal limau lelang darat adalah pada tahun 1998 dulu. Ada seorang anak murid ayahanda aku membawa limau tersebut ke rumah yang diambil di Bukit Kepong, Johor.

Kedua-dua jenis limau ini agak sensitif dengan perubahan fizikal kawasan ia membiak dan tumbuh. Sebarang perubahan bukan secara semulajadi khususnya kegiatan penerokaan kawasan paya bakau, penambakan untuk tebus guna tanah atau pembukaan tanah pertanian baru boleh menyebabkan tumbuhan ini musnah. Ia mungkin tumbuh namun kesesuaian kandungan tanah akan membunuh kelangsungan pokok limau lelang untuk hidup.

Walaupun limau lelang darat boleh hidup di kawasan-kawasan bukan paya, namun pokok ini mampu hidup subur di tanah jenis paya bakau, kawasan berpaya darat dan kawasan yang berhampiran dengan sungai, telaga atau berpunca air.

Setakat ini, aku belum lagi menjelajah sekitar kawasan paya bakau yang ada di Chuah, Kuala Lukut Kecil dan sekitar Lukut untuk mencari limau lelang laut. Sekiranya ada kesempatan dan kelapangan masa, aku akan mulakan.

"Orang dungu yang bahlol akan memusnahkan hutan paya bakau untuk tujuan keuntungan daripada pembangunan"

2 comments:

Wan said...

Pembekal Limau Lelang ke Seluruh negara.
Delivery by Posaju.
SMS@Wassap@WeChat - 012 4543066

Wan said...

Pembekal Limau Lelang ke Seluruh negara.
Delivery by Posaju.
SMS@Wassap@WeChat - 012 4543066