Tuesday, October 29, 2013

Review Ringkas Gig Kuching Ritual Defamation II

Gig: KUCHING RITUAL DEFAMATION II 2013
Tarikh: 28 September 2013
Tempat: Flying Rock Studio, Matang Jaya, Kuching.
Anjuran: Sadistic Nighmare Production.

Ini adalah kali kedua Farasu mendapat peluang membuat persembahan pentas di Bumi Kenyalang khususnya di Bandaraya Kuching.

Kali pertama dahulu adalah pada 27 Mac 2007 juga di Kuching yang berlokasi di Lee Wah Hotel. Ketika itu, Farasu sepentas bersama Sil-Khannaz, Vormit, Mentally Murdered dan beberapa band tempatan yang 'merobek' pendengaran dan 'meranapkan' pentas persembahan.

Kali ini kehadiran Farasu buat kali kedua ke Kuching membawa satu reputasi yang berbeza berbanding kehadiran terdahulu. Rata-rata anggota Farasu pertama kali menjejakkan kaki ke Kuching. Aku berada dalam Farasu ketika line-up 2007 dulu. Awalnya kami menjangkakan sambutan crowd mungkin biasa-biasa sahaja sebagaimana di semenanjung. Tambahan pula lokasi gig yang dibuat di sebuah studio muzik membuatkan kami terfikir bahawa status gig ini mungkin seperti di Bandar Baru Bangi atau Sunway!

Jangkaan kami itu meleset sama sekali. Jujurnya sambutan crowd di Kuching sangat menarik dan bersemangat. Malah lokasi gig itu sangat strategik dan mempunyai aura sebagai sebuah lokasi penting penganjuran gig di bandaraya tersebut!

Sebelum berlepas (LCCT)..
sempat bergambar dengan otai rock 80an
Aku memuji cara pengurusan Flying Rock Studio yang dimiliki oleh saudara Andy (antara orang lama Metal Sarawak & ex-gitaris Senseles). Berbeza dengan kebanyakan studio muzik yang menjadi lokasi penganjuran gig. Kebersihan dan kekemasan studio ini terjaga dengan baik termasuklah tandas. Kebiasaan kebanyakan lokasi gig sebegini paling gagal menjaga kebersihan sekitar khususnya tandas yang sering menjadi 'neraka jahanam' dengan dikuasai bau haring kencing! Peralatan muzik di studio ini juga berada dalam keadaan yang baik dan tidak 'rabak'. 

Aksi akhir di Transit Point Hotel

Kami tiba di Kuching pada hari Jumaat (27 September) sekitar jam 10:30 pagi setelah penerbangan berlepas dari LCCT jam 8:30 pagi. Kemudiannya penganjur gig iaitu saudara Seyrol bersama pasukannya telah membawa kami ke penginapan di Transit Point Hotel, Kuching.

Dua jam kemudian, kami telah dibawa ke Flying Rock Studio di Matang Jaya untuk sesi 'soundcheck'. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh seluruh anggota band bagi mendapatkan kesesuaian dan keselesaan untuk instrument muzik masing-masing dari segi bunyi dan keseimbangan!

Hari Gig
Immolates
Farasu tiba di lokasi gig sekitar jam 3:35 petang. Gig telah bermula seawal jam 2:00 petang. Beberapa band yang telah membuat persembahan awal seperti Kambing Sakti, Kamarusuk, Navratos, Immolates dan Iron Skulls. Aku sekadar sempat mendengar persembahan satu dua lagu daripada Navratos dan Iron Skulls.

Dua band lama yang aku saksikan persembahan mereka adalah Sauts Alastor dan Mentally Murdered. 

Sauts Alastor
Sejujurnya ini adalah kali pertama aku melihat persembahan Sauts Alastor secara langsung. Begitu terserlah konsep 'melodic black metal' yang ditampilkan oleh band ini. Rasanya sejak awal kemunculan, mereka masih kekal dengan konsep tersebut. Gaya persembahan dan penampilan setiap anggotanya mengimbas kembali gaya Dimmu Borgir dan Cradle of Filth era 90an.

Sauts Alastor punya gaya tersendiri dan kekal bertahan merentasi perubahan zaman.

Mentally Murdered
Mentally Murdered adalah antara band metal awal
yang kekal bertahan hingga kini. Semangat juang penggerak dan peneraju band ini iaitu saudara Churchill Wilson menjadi faktor utama Mentally Murdered untuk terus relevan berada dalam scene metal Sarawak
Lebih menarik, anggota-anggota band ini terdiri daripada 'new-blood metalhead'. Hanya beliau dan drummer sahaja anggota asal Mentally Murdered. Istimewanya kali ini, band ini mempunyai seorang pengurus yang cun-melecun iaitu Cik Dolly Sachess yang menarik perhatian banyak mata pada hari gig!

Namun begitu, persembahan Mentally Murdered memang garang dan bertenaga. Aku memang kagum dengan stamina setiap anggotanya mempersembahkan irama 'technical brutal death'! Khabarnya band ini akan mengeluarkan material baru pada tahun hadapan. Ketika ini mereka dalam proses rakaman lagu-lagu baru.

Farasu 'headliner' gig
Ketiadaan Barbalans dari Sabah sebagai 'headliner band' untuk gig telah menjadi Farasu sebagai peneraju persembahan gig pada hari itu.

Farasu mempersembahkan tujuh lagu iaitu Keris Songsang, Against Tyranny, Bisikan Suara Halus, Tangisan Malam, Keep On Rotting In Free World, Patrasari dan Holydiver.

Kami agak langkah kanan kerana dapat membuat sesi 'soundcheck' yang berkualiti dengan bantuan Andy sehari sebelum hari gig. Oleh itu, masalah ketidakseimbangan bunyi dapat diatasi dengan pantas sebelum persembahan bermula.

Masing-masing tampil dengan 'mood' dan tenaga yang tersendiri dalam membuat persembahan. Sudah pasti aksi 'bass shooting' ala Steve Harris(Iron Maiden) daripada Apai menarik perhatian crowd! Manakala Yohand persis Kerry King (Slayer) dengan wajah selamba memperagakan 'kegarangan' menggesek alunan riff keras lagu-lagu Farasu.

Kali ini vokalis kami, Shah Zaini tidak melakukan 'ritual' muntah sebelum persembahan. Beliau seperti mendapat suatu semangat baru dari Bumi Kenyalang. Masih sempat beliau sekali-sekala membuat lawak spontan untuk berkomunikasi mesra bersama crowd!

Nahak pula gagah menghayun-hayunkan rambut dan kepala sambil melantunkan irama gitarnya! Aku menitis peluh-seribu menghayun-hentak drum sambil kaki 'berlari-lari' setempat membedal rentak lagu.

Reputasi Baru
Persembahan Farasu dalam gig ini benar-benar mengangkat satu reputasi baru buat kami. Mungkin agak ego bunyinya tetapi melihatkan sambutan crowd dan sokongan rakan-rakan seperjuangan pada hari itu membuatkan kehadiran Farasu kali ini benar-benar dihargai oleh crowd dan pihak penganjur. Aku secara peribadi melihat persembahan kali kedua di Kuching kali ini lebih memberi kesan berbanding tahun 2007.

Mungkin ketika tahun 2007 kehadiran Farasu tidak berada dalam persediaan yang rapi. Berbeza untuk kali ini, setiap anggota Farasu begitu teruja dan bersemangat untuk memberi persembahan terbaik.

Penghargaan
Satu penghormatan terbaik buat pihak penganjur, saudara Seyroll yang sangat komited untuk memastikan gig ini berlangsung dengan baik. Farasu begitu menghargai segala layanan dan hubungan mesra yang berlangsung sepanjang keberadaan kami di Kuching.

Begitu juga buat krew-krew penganjur terutama Andy selaku jurutera bunyi, Serman yang sentiasa merendah diri dan mesra, geng Kambing Sakti yang tak penat dan jemu melayan sesi melantak hidangan-hidangan istimewa Sarawak bersama kami! Tak lupa juga awek-awek Bidayuh & Iban yang cun meletup hadir headbanging!

Lokasi gig iaitu Flying Rock Studio merupakan lokasi menarik dan strategik untuk penganjuran gig. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh saudara Seyroll, Impiety pernah membuat persembahan di lokasi sama.

Gig ini secara langsung memberi gambaran bahawa scene metal Sarawak masih bernafas walaupun kedengaran berlaku 'politiking dalaman' yang hampir meragut kewujudan scene metal di sini!


*gambar-gambar persembahan Farasu di gig ini boleh dilihat dalam fan-page Farasu di Facebook.


Tuesday, September 17, 2013

Material Terbaru Farasu 2013?

Farasu kembali bermukim di dalam studio pada 7 & 8 September 2013 lalu.

Setelah genap tiga tahun album pertama dikeluarkan iaitu Menongkah Arus pada 1 Januari 2010 lalu, Farasu dijangka akan mengeluarkan material baru pada penghujung tahun 2013 ini.

Jika tiada aral-melintang, sebuah Ep yang dalam perancangan akan menerjah pasaran sekitar Disember 2013 atau awal tahun 2014. Ini semua bergantung kepada modal, masa dan tenaga.

Setakat ini dan semasa, Farasu hanya merakam tiga buah lagu iaitu sebuah lagu baru-Against Tyranny dan dua buah lagu lama yang dirakam semula iaitu Keris Songsang dan Tangisan Malam. Dua lagi lagu bakal menyusul dirakam dalam tempoh terdekat.

Ada pembaharuan yang bakal dibawa dalam material terbaru kali ini. Sudah pasti kami akan memperkemaskan mutu bunyi berbanding album pertama. Ia akan kelihatan lebih 'keras' dan kedengaran 'jahat' khususnya dalam lontaran suara, petikan gitar dan hentakan drum.

Kami perdengarkan hasil rakaman tersebut yang masih peringkat raw-mix.

Lagu-lagu tersebut boleh didengar dalam link ini;

http://www.reverbnation.com/c./poni/227745579

Thursday, August 22, 2013

Hobi: T-shirt ikon gusti NWO-WCW

Sebenarnya aku meminati gusti USA ini sejak darjah satu lagi (1986). Minat kepada sukan ini dipengaruhi oleh ayahanda aku yang ketika itu sangat rajin membeli majalah gusti (lupa nama majalah) dan kalau dikumpulkan dah boleh simpan berkotak-kotak.

Menariknya majalah gusti era 1986-1988 lebih banyak menonjolkan info teknik-teknik gusti termasuklah beberapa 'super-finish' penggusti ternama. Antara teknik yang aku ingat dan pernah eksperimen semasa bergaduh di sekolah dulu adalah 'clothline' dan 'power-bomb'. Selepas tahun 1988, ulasan dan info mengenai teknik-teknik itu tidak lagi dipaparkan!

Kesan daripada itu, aku terus mengikuti gusti sehingga munculnya WCW. Antara era terbaik WCW adalah ketika wujudnya team New World Order (NWO) yang merupakan cetusan idea Eric Bischoff (Naib Presiden Eksekutif WCW ketika itu) untuk menyaingi 'rating' dan populariti WWF. Gimik yang menonjolkan NWO sebagai sebuah kumpulan jalanan yang mengambil-alih dan menguasai program WCW. Pasukan NWO ini diketuai oleh Hulk Hogan yang turut dianggotai oleh Scott Hall dan Kevin Nash.

Sehingga hari ini, kemunculan NWO merupakan gimik terhebat dalam bisnes sukan gusti USA yang menaikkan rating WCW dan menenggelamkan WWF ketika dekad 90an dulu. 

Oleh kerana itu, tercetus minat aku mencari dan mengumpul t-shirt NWO ini. Setakat ini aku baru memiliki dua helai t-shirt 'original' NWO iaitu Red NWO dan The Wolfpac NWO. 

Sebelum terjumpa dan membeli t-shirt ini, aku pernah membeli sehelai t-shirt NWO putih di Kedai Sopan, Seremban tetapi bukan asli iaitu yang dicetak sendiri di sini. Paling kantoi dengan 'design' baju itu adalah tidak ada kotak empat segi sebagaimana lambang asli NWO tetapi hanya tertera huruf dan perkataan NWO & new world order.

Mungkin tidak ramai yang berminat kepada sukan gusti USA kerana gimik-gimik agak bosan dan lawak daripada WWE kini. Thrill dan keterujaan sebagaimana gusti era 80an dan 90an telah lenyap. 

T-shirt NWO asli pertama yang aku beli adalah Red nWo sekitar tahun 2002 di sebuah kedai bundle di Seremban dengan harga hanya RM10.00 sahaja! Mungkin pemilik kedai ini tak perasaan nilai pada design t-shirt atau tidak mengetahui tentang sukan gusti. Saiz agak besar iaitu XL tapi sebab minat dan harga murah, aku terus beli tanpa fikir banyak.


Jika ia keluaran atau cetakan asli, akan terpapar tanda perniagaan atau 'trade mark' pada baju tersebut macam gambar sebelah ini.

Baju ini merupakan cetakan tahun 1998 yang dikeluarkan oleh WCW.
 Manakala baju sebelah kanan ini pula, adalah baju NWO kedua yang aku beli. Ini NWO The Wolfpac. Sama seperti baju di atas, aku juga beli di sebuah kedai bundle di Taman Medan, Petaling Jaya semasa belajar di UiTM, Shah Alam dengan harga RM5.00 sahaja!

Ini pun keluaran tahun 1998 oleh WCW. Boleh lihat tanda perniagaan pada gambar di bawah ini.

WWE turut tidak ketinggalan untuk menyaingi 'rating' dan populariti WCW kesan gimik NWO. Vince McMahon selaku Ketua Eksekutif memerangkap Presiden WWE telah mewujudkan sebuah pasukan yang hampir sama seperti NWO iaitu D-Generation X yang dianggotai oleh Triple H, Shawn Michael,Chyna dan X-Pac. Kemudian pasukan ini disertai oleh Road Dogg, Rick Rude dan Billy Gun.

Kemunculan mereka adalah pada tahun 2000. Namun ia masih gagal menyaingi 'kegilaan' NWO. Hanya selepas kejatuhan NWO, populariti D-Generation X melonjak.

Salah satu baju D-Generation X yang aku jumpa adalah di sebelah kiri ini. Aku membeli baju ini di Baden Baden Bundle di Batu 5, Port Dickson tahun 2012. Tak sangka pulak terjumpa.
Baju ini berharga RM15.00, mungkin kerana 'design' dan kualiti baju yang elok, tidak lusuh atau koyak ia masih bernilai tinggi.

Baju ini bersaiz XL. Minat punya pasal aku beli jugak sebab ada satu-satunya baju gusti yang ada kat Kedai Baden Baden Bundle ini.

Baju ini telah dikeluarkan oleh Trinity Products Inc di bawah kebenaran WWE.

Nak kumpul dan simpan baju-baju band Metal bukan tak mahu tapi tersangat mahal kalau dijual dalam pasaran bundle ini. Mungkin sebab sukan gusti ini bukan semua yang minat, itu yang harga bajunya berpatutan. Bukan semualah baju-baju gusti aku beli tetapi tengok ikon gusti yang menyerlah.

Kalau ada info-info tambahan atau kesilapan maklumat boleh tinggalkan komen untuk ditambah-betulkan.


Tuesday, August 20, 2013

Ulasan Gig: Disgorge Live In KL


Ini merupakan gig pertama Farasu bergandingan dengan sebuah band Brutal Death USA dan empat lagi band brutal death tanahair. Istimewanya gig kali ini adalah penglibatan Farasu yang satu-satunya bukan band brutal-grind death!

Jutaan terima kasih buat pihak penganjur iaitu Neochronical Production dan MYDM yang sudi membariskan Farasu dalam senarai band pembukaan untuk gig ini.

Gig bermula jam 4.00 petang. Kebetulan ketika gig bermula hujan lebat sedang melanda sekitar kawasan Mont Kiara, KL.

PUNAHRANAH
Punahranah telah menjadi band pembuka acara gig petang itu. Ini sebuah band brutal grind-death dari Negeri Sembilan yang terdiri daripada sepupu-sepipit..kakakakakka...band kepada adik ex-gitaris Farasu (Faizal Fauzi 2006-2007). 

Mereka ini mempunyai bakat tersendiri dan punya 'attitude' sebagai sebuah band death-metal sejati. Secara jujur, aku tidak mengikuti perkembangan band ini walaupun tau kewujudan band ini dan pada gig ini barulah aku melihat persembahan mereka secara langsung.

Punahranah merupakan band generasi baru dari Negeri Sembilan yang berpusat di Seremban. 

Sound yang tidak seimbang membuat aku tak berapa nak faham muzik Punahranah tetapi muzik mereka ini agresif cuma 'showmanship' perlu diperbaiki lagi kerana mereka adalah band death-metal yang perlu seiring dengan 'keganasan' muzik yang dipersembahkan. Kelihatan gaya dan aksi mereka masih segan-silu. Kono ganeh waghieh!!!


SICK SOCIETY
Band kedua yang memanaskan pentas adalah Sick Society. Band metal kental terkeluar anak tekak dari Petaling Jaya yang masih kekal 'memperkosa' pentas dengan kebingitan muzik mereka. Lebih menyerlahkan 'heavyweight death metal' Sick Society adalah 'kepersonaan' vokalis mereka Adib.

Sick Society hanya mempersembahkan enam buah lagu sahaja.

Crowd yang hadir masih bertenaga melayan kebingitan muzik Sick Society!

Farasu kemudiannya menyusul menjadi band ketiga menghangatkan suasana.

Kali ini pembukaan persembahan kami dimulakan dengan lagu nobat yang diadun dengan bunyi angin ribut yang sedang kencang melanda seperti hendak turunnya dewata raya dari langit!

Kami memulakan persembahan dengan lagu 'Keris Songsang dan kemudiannya diikuti oleh sebuah lagu cover daripada Carcass iaitu 'Rotting in the Free World'.
Lagu-lagu seterusnya yang dipersembahkan adalah Tangisan Malam, Patrasari, lagu cover-Holydiver dan sebuah lagu baru yang pertama kali diperdengarkan secara live iaitu 'Against Tyranny'. Ia bakal dirakam dan diterbitkan dalam hujung tahun ini juga.

Selepas persembahan Farasu, band dari Singapura, Flesh Disgorged dan old-timer band tanahair-Infectious Maggot meneruskan kerabakan irama brutal death.

Maaf aku tidak dapat mengulas persembahan Flesh Disgorged kerana telah berada di luar venue kesan kepenatan selepas 'membelasah' dan 'membanting' tenaga melantunkan rentak drum!

Jujur bicara ini persembahan kedua Infectious Maggot yang aku tengok dan memang ada perbezaan berbanding terdahulu.

Walaupun faktor usia menguasai band otai ini akan tetapi mereka ada keistimewaan tersendiri dalam persembahan. 

Kesemua crowd terhibur dan menikmati persembahan Infectious Maggot dengan penuh 'kemeriahan'!

Kekentalan dan stamina yang ditunjukkan oleh Fatul  (vokal) dan Lan Bye (drum) antara yang menarik perhatian. Ini contoh terbaik buat peminat dan penggiat muzik bawah tanah negara khususnya yang berada dalam lingkungan umur 18-38 tahun bahawa usia itu bukan penghalang untuk terus bergiat dalam dunia muzik ekstrim ini. Hanya kebebalan memahami seni sahaja yang menjadikan faktor usia sebagai penghalang.

Lan Bye (Brain Dead, ex-Sil Khannaz) antara drummer kental yang masih aktif dalam scene metal negara dan stamina beliau tidak meleset walaupun kadangkala kelihatan dicengkam rasa penat grinding.

They are  father but their music make them younger!

Entah betul ke tidak susunan tatabahasa English aku tu...kakakkakakka




Band utama gig mengambil pentas tepat jam 8.30 malam. Sebelum itu ketika rehat (7.00-8.00 malam), Disgorge membuat 'soundcheck'. 

Disgorge berasal dari San Diego, California, USA dan telah ditubuhkan pada tahun 1992 yang dianggotai oleh Angel Ochoa (vocal), Ed Talorda, Diego Soria, Diego Sanchez dan Ricky Myers.

Secara jujurnya, aku tidak pernah mengikuti sebarang material dan perkembangan muzik Disgorge. Logikanya aku langsung tidak mengetahui reputasi band ini.

Namun begitu, itu bukanlah alasan sebagai kegagalan untuk melaporkan persembahan Disgorge!

Melihat dari sudut stamina, adalah diakui setiap anggota Disgorge kelihatan bertenaga dan aktif dalam persembahan khususnya drummer dan vokalisnya.

Mereka punya gaya tersendiri dalam menampilkan watak persembahan di pentas. Walaupun kurang berinteraksi dengan crowd, cara bersahaja vokalis Disgorge cukup menyakinkan. Aku tidak berapa faham muzik Disgorge tetapi sound mereka agak kemas dan seimbang walaupun bingit! Biar bingit asal sound seimbang dan dapat didengar!

Outro

Secara keseluruhan gig ini berjaya dan mendapat sambutan meriah daripada crowd walaupun beberapa hari lagi Metallica bakal membuat persembahan di Stadium Merdeka. Usaha penganjur menghadirkan Disgorge sangat positif khususnya dari perspektif menilai persembahan secara langsung dan keupayaan serta teknologi band luar mengimbangi bunyi untuk persembahan langsung!

Ada tiga perkara utama yang aku lihat yang mampu diteladani dan dipelajari daripada Disgorge adalah stamina persembahan, kawalan & keseimbangan bunyi dan kemahiran muzik.

Ada juga teguran jujur yang perlu aku sampaikan buat pasukan jentera bunyi gig ini. Sedikit mengecewakan walaupun telah melalui 'soundcheck' tetapi pasukan ini gagal mengimbangi bunyi ketika band-band beraksi di pentas.

Ketidakseimbangan kawalan bunyi itu menyebabkan sound snare, bass drum, lead guitar dan bass guitar tenggelam timbul dan kemudian hilang dalam kebingitan sound gitar. Aku sendiri tidak begitu jelas mendengar sound bass dan gitar walaupun ada monitor disediakan belakang drum. Jika 'single-sound' memang kedengaran tetapi apabila kesemua sound peralatan bergabung, secara keseluruhannya sound itu menjadi samar-samar untuk didengar...hanya kebisingan yang terkeluar. Namun sekali lagi, itu bukan penghalang untuk Farasu membuat persembahan. Aku yakin band-band lain turut mengalami keadaan yang serupa.













Sunday, August 4, 2013

Pembalakan menghalalkan Hutan Simpan Kekal Diceroboh?


Gambar dirakam pada 3 Ogos 2013

Aku kadang-kadang jadi terkeliru dan tak faham dengan dasar kerajaan negeri di Negeri Sembilan tentang pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan hutan khususnya yang berstatus Hutan Simpan KEKAL kerana agak banyak juga kawasan hutan yang berstatus sebegitu mudah sahaja diceroboh kerana pembalakan.

Gambar di atas adalah suasana sebuah bukit yang berada dalam kawasan Hutan Simpan KEKAL Johol yang berhampiran dengan Simpanan Inas (ini tanah yang boleh diteroka untuk buka kawasan baru) dan Hutan Simpan Kekal Inas. Gambar ini diambil pada 3 Ogos 2013 lalu. 

Manakala gambar di bawah ini adalah suasana kawasan bukit yang sama yang telah dirakam pada 21 Mac 2013.

Sebenarnya kejadian 'penerokaan' kawasan hutan simpan kekal telah berlaku sebelum itu di Inas berhampiran dengan sempadan Daerah Rembau-Kuala Pilah pada Ogos & September 2009 lalu. Ia melibatkan kawasan yang luas dan sangat memelikkan kerana penebangan hutan tersebut terang-terangan berlaku dalam kawasan yang terdapat papan tanda Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan memaparkan larangan pencerobohan hutan termasuk pembalakan!

Kejadian itu telah dilaporkan oleh akhbar Kosmo! pada bulan September 2009 lalu. Namun sangat mengecewakan apabila Menteri Besar NS, Mohamad Hasan menyebut kerja-kerja penerokaan itu dilakukan oleh Orang Asli! Lebih mengecewakan individu-individu yang terlibat dalam penebangan kayu-kayu balak tidak pula didakwa. 


Gambar dirakam pada 21 Mac 2013

Persoalannya, apakah ada penglibatan secara langsung jabatan berkaitan dengan kegiatan pembalakan ini?

Thursday, August 1, 2013

Pertemuan yang menjadi ruang melepas kemarahan


Hampir sebulan lalu, satu pertemuan tertutup antara Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim dengan semua pimpinan PKR Negeri Sembilan termasuk sayap AMK & Wanita telah diadakan di sebuah hotel utama di Seremban. Pertemuan ini turut disertai oleh semua mantan calon PKR bagi PRU-13.

Pertemuan ini berlangsung pada jam 8.00 malam selepas selesai jamuan malam dan solat Mahgrib. Ia berlangsung dalam masa satu setengah jam sebelum DSAI berangkat ke Shah Alam.

Penulisan ini adalah pandangan peribadi aku dan tidak mewakili organisasi walaupun aku adalah pekerjanya. Ia adalah cetusan rasa daripada suasana pertemuan tersebut yang sepatutnya menjadi ruang perbincangan atau taklimat sesama pimpinan tetapi lebih menjadi ruang melepaskan marah, ketidakpuasan hati dan 'pembantaian watak' terhadap seseorang.

Ini adalah langkah baik yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan untuk membawa semua pihak dalam membincang isu penting negeri selepas PRU-13. Ia juga menjadi ruang menggilap semula semangat di kalangan pimpinan yang terkesan akibat kekalahan dalam PRU-13 walaupun ada DUN yang dapat dipertahankan kemenangannya.

Namun begitu, ada individu-individu yang tidak dijemput 'menerjah' masuk tanpa rasa bersalah dan malu menyertai ruang mesyuarat pada malam itu. Lebih 'mengujakan' mereka lah yang lantang bersuara menyatakan ketidakpuasan hati dan rasa marah yang meluap-luap.

Aku tak mahu menyebut namanya di sini cukup sekadar aku menamakan mereka sebagai individu. Mereka berdua adalah orang-orang cabang yang memegang jawatan Timbalan Ketua Cabang di Rasah dan Rembau.

Sebenarnya bukanlah jadi satu kesalahan besar pun mereka hadir dan buat muka tak malu masuk ke pertemuan itu. Akan tetapi cara mereka meluahkan pandangan agak keterlaluan seperti tiada adab dan bersikap seperti orang kurang matang.

Mengapa aku sebut sebagai orang kurang matang? Sebabnya mereka beriya-iya menyalahkan Pengerusi PKR Negeri Sembilan iaitu Dato Kamarul Baharin Abbas sebagai punca kekalahan dalam PRU-13 di negeri ini. Walhal individu ini banyak mendapat salah maklumat dan berperangai politikus yang gemar mentafsir sendiri maklumat salah kemudian menjadi 'hadis' kuat mereka untuk membantai PKR Negeri Sembilan.

Mereka turut mempersoalkan pemilihan calon. Pandangan aku, mereka ini juga orang politik yang bermain politik sudah pasti mengidamkan kuasa. Antara cara mendapat kuasa selain memegang jawatan politik adalah menjadi calon pilihanraya. Mereka juga berminat untuk menjadi calon namun LAYAKKAH mereka ini?

Layakkah individu yang satu ini untuk menduduki Dewan Rakyat kalau ditakdirkan menang pada PRU-13 lepas dengan cara berfikir yang gelojoh dan mengikut emosi semata-mata? Begitu juga individu satu lagi ini layakkah beliau berada dalam Dewan Undangan Negeri jika buta huruf, kurang pengetahuan umum dan bercakap dengan bahasa kasar lagi lintang pukang? 

Ada yang dijemput juga meluahkan rasa ketidakpuasan hati itu ini dalam keadaan yang memperlihatkan kebodohan diri. Aku melihat statusnya zahirnya tidak seiring dengan corak beliau berfikir. Agak memalukan jika ini kualiti beliau setelah dipilih oleh rakyat. Malah perasaan aku itu dirasai sama oleh beberapa pimpinan yang hadir.

Aku bukan pengampu atau pembodek orang politik. Tugas aku jelas sebagai pekerja organisasi yang tidak dibenarkan memegang jawatan politik atas memudahkan urusan pentadbiran yang baik. Tetapi sikap Pengerusi Negeri yang tenang membiarkan para 'pembenci tegar' beliau meluahkan bicara dan pandangan untuk didengar oleh Ketua Umum. Itu gentleman.

Satu lagi yang aku ingin sentuh berkenaan sikap individu yang tidak dijemput ini. Pernah beberapa minggu sebelum pertemuan ini, aku dengan seorang sahabat pernah didatangi oleh individu ini ketika kami sedang menikmati makanan di sebuah restoran. Antara patah ayat yang diungkapkan oleh beliau adalah; Anwar tak betul, perlu ditukar dan disingkirkan..kalau jumpa depan, saya berani maki Anwar...huh, memang berdegar-degar beliau melantunkan ayat-ayat kemarahan di depan kami.

Akan tetapi ketika hadir pertemuan tersebut, beliau mengatakan rela mati demi Anwar Ibrahim. Betapa hiporkitnya manusia yang satu ini. Malah sikap hiporkit dan talam bermuka-muka individu ini berlaku sesama 'team pembenci' Dato Kamarul tanpa disedari oleh mereka yang lain. Aku tak peduli dan tak perlu nak menasihatkan sebab aku bukan penting pada politik mereka.

Secara peribadi, aku melihat pertemuan ini berjaya memperlihatkan sikap mereka yang menentang PKR Negeri Sembilan. Terpulanglah buat semua yang hadir untuk menilai sikap-sikap itu. Perjuangan perlu diteruskan. Yang merajuk dan beriya-iya dalam ruangan maya untuk berundur, diharapkan benar-benar jitu dengan niat itu. Bukan sekadar menjadi 'keyboard warrior' tetapi pendirian politik bercampur-baur tanpa ada ketetapan.

Sekian.



Hobi: Syiling 1 Sen Malaya & British Borneo


Antara hobi aku adalah mengumpul barang-barang lama yang ada nilai sejarah atau yang mempunyai nilai-nilai tertentu. Ini termasuklah mengumpul syiling-syiling atau wang kertas.

Antara syiling lama yang ada dalam simpanan aku adalah syiling 1 Sen Malaya & British Borneo tahun 1962. Keistimewaan yang ada pada syiling ini adalah di muka belakang syiling tersebut terpapar gambar 'Keris Bersilang Tanpa Sarung (sama macam lambang United Malay National Organisation). 

Mengikut data yang aku dapat melalui carian di internet, syiling ini dibuat daripada tembaga (bronze), berbentuk bulat, berukuran diameter 18 mm dan ia diguna-pakai di Malaya, Brunai, Sabah dan Sarawak yang disebut sebagai British Borneo.

Mengikut maklumat carian, syiling ini telah ditempa dan dikeluarkan sebanyak 45 juta keping.


Tuesday, July 9, 2013

Ulasan Ringkas filem: World War Z-aksi tanpa henti!



Ini filem kedua yang aku tonton dalam bulan Jun 2013 selepas 'Fast & Furious 6'. Maaf pada para fanatika Superman, bahawa filem 'Man of Steel' memang aku tak tonton sebab keterujaan aku pada filem-filem zombie. Aku berminat dengan filem-filem zombie kerana pada aku aksi-aksi melarikan diri ketika diserang zombie sangat mendebarkan dan survival manusia normal untuk mengatasi permasalahan angkara zombie.

World War Z memang menarik untuk ditonton kerana filem ini tidak membosankan dan aksi-aksinya sentiasa berterusan. Ia bukan suatu filem yang mempunyai plot-plot lembab dan sebu seperti Skyfall-007. Jalan ceritanya lancar tanpa digugat oleh aksi-aksi 'bodoh' atau 'kelembapan' yang menggangu mood penonton.

Kali ini Brad Pitt membawa watak yang serius iaitu Gerry Lane seorang 'family-man' yang merupakan bekas pegawai PBB. Beliau telah diminta oleh seorang sahabat lama beliau dalam PBB yang memegang jawatan setiausaha agung organisasi tersebut untuk menyiasat punca wabak 'zombie' ini bermula dan tercetus.

Siasatan beliau bersama pasukan khas tentera USA dimulakan di Pangkalan Tentera US di Korea Selatan. Maklumat yang diperolehi daripada email seorang tentera di pangkalan tersebut telah menyebut berlaku serangan zombie tetapi maklumat itu diabaikan oleh pihak tertinggi tentera. Menurut seorang kapten tentera yang terselamat daripada wabak tersebut menyatakan punca merebaknya wabak zombie itu bermula daripada seorang doktor yang telah membuat siasatan kesihatan di sebuah kampung. Dia telah digigit oleh pesakit yang didakwa oleh orang kampung sebagai mayat hidup.

Seorang tahanan di pangkalan tersebut, Gunter Halfner yang dilakonkan oleh David Morse memberitahu bahawa seorang pegawai risikan dari Israel yang paling awal mengetahui serangan wabak zombie. Ketika itu, hanya Israel sahaja yang berjaya membendung merebaknya wabak itu dengan pelan keselamatan strategik melalui pembinaan tembok sekeliling Baitulmaqdis (Jerusalem) yang diawasi secara ketat oleh pasukan keselamatan Israel. Maklumat itu telah membawa Brad Pitt ke Jerusalem untuk bertemu dengan Ketua Mossad, Jurgen Warmbrunn.

Warmbrunn menjelaskan bahawa pihak Mossad telah berjaya memintas komunikasi seorang Jeneral Tentera India yang menyebut pasukan tenteranya sedang melawan 'rakshasa' yang bermaksud raksasa. Atas kelebihan tersebut, beliau telah mencadangkan pembinaan tembok keselamatan konkrit di sekeliling Jerusalem bagi membendung wabak zombie itu.

Aku ringkaskan kisah yang Gerry Lane akhirnya mendapat ilham di pusat WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang berpangkalan di Eropah bagi mengatasi wabak zombie berjangkit kepada manusia biasa. Beliau mendapati bahawa manusia zombie tidak akan menyerang manusia yang mempunyai penyakit berbahaya seperti asma, barah atau HIV kerana manusia zombie akan menyerang hanya manusia yang bebas daripada penyakit berbahaya untuk dijadikan hos penyebaran wabak zombie. Vaksin khas yang berperanan sebagai 'penyamaran' bagi tubuh badan manusia normal dihasilkan.

Aksi yang berkesinambungan
Aku sebenarnya sangat suka dengan filem bercorak thriller seperti ini khususnya yang berkisah tentang zombie dan serangan wabak yang menukar manusia menjadi makhluk lain.

Ini filem yang akan membuat anda semua tak senang duduk dan menanti kejutan-kejutan manusia zombie yang rakus, gila dan pantas mencari manusia biasa sebagai mangsanya. Pada aku ini bukan sebuah filem tentang zombie yang bodoh atau mengarut tetapi ia ada logika yang mampu diterima oleh akal. Kewujudan zombie digambarkan dalam filem ini adalah berpunca daripada eksperimen senjata biologi pihak-pihak tertentu dalam menguasai dunia. akhirnya kesan buruk menimpa manusia sejagat apabila ia menjadi pemusnah dalam skala besar sehingga ia tidak mampu diatasi secara pantas.


Monday, June 24, 2013

Gig Reaping Death-Volume One: Review Ringkas


Agak lama juga Farasu tidak mendapat peluang membuat persembahan di dalam ibukota Kuala Lumpur. Kali terakhir kami membuat persembahan di tengah-tengah bandaraya ini (spesifik di Bukit Bintang) adalah pada tahun 2005 dulu di Donington Pub, Jalan Sultan Ismail. 

Sabtu kelmarin (22 Jun 2013) kami diberi peluang untuk tampil dalam gig 'Reaping Death-volume one' yang berlangsung di Alt HQ Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang, KL. Ada sembilan band metal yang terlibat membuat persembahan pada hari itu.

Kami tiba di venue gig sekitar jam 7.30 malam gara-gara kesesakan lalu-lintas di sepanjang jalan utama di Bukit Bintang. Secara peribadi, aku kali pertama jejak kaki di pusat membeli-belah Fahrenheit. Agak padat kawasan tersebut dengan orang ramai termasuklah pelancong-pelancong Arab yang dilihat 'menguasai' wilayah suka-ria ini. Syukur juga Himpunan Blackout 505 di Padang Merbok tidak dilanda gelombang ala-Bersih dan laluan keluar masuk ke KL lancar dan tidak ada sebarang sekatan oleh pihak polis.

Jutaan terima kasih buat penganjur iaitu ALT HQ yang sudi menjemput Farasu untuk turut sama menghuru-harakan pentas persembahan. Lokasi gig dikira strategik dan menarik kerana ia benar-benar terletak di kawasan suka-ria utama KL di Bukit Bintang. Mengapa aku menyebut kawasan suka-ria? Kawasan ini mempunyai pelbagai perkara suka-ria dari segi pusat membeli-belah, tempat makan-minum, hotel bajet yang pelbagai warna, pusat urut dan pelacuran, tempat melepak dan berpeleseran termasuklah venue gig ini!

Venue gig memang sesuai sangat untuk penganjuran gig. Kalau maksima kapisiti boleh memuatkan 200 orang sampai belakang dinding! Ada pentas yang aku kira selesa dari segi kapisiti dan ketinggian. Kegarangan dan 'kegelapan' venue sudah sesuai untuk gig metal!

Persembahan
Ikhlas bicara aku hanya menonton persembahan beberapa band sahaja iaitu Incries, Imperial dan Goresluts. Selebihnya tak berkesempatan dan tak dapatlah aku nak ulas persembahan mereka.

Incries
Sound amp kedua-dua gitaris band ini agak maksimum gain sehingga menenggelamkan sound drum. Ini agak sedikit mencacatkan keseimbangan muzik secara keseluruhan. Akan tetapi lagu-lagu mereka agak bagus dan agresif. Konsep melodic death Incries ada bau-bau Dark Tranquility dan Inflames. Aku suka melihat sikap vokalis Incries yang melontarkan suara dengan penuh perasaan walaupun lepas habis menyanyi beliau seorang yang cool. Sesuailah dengan jiwa muda dan konsep muzik mereka. 

Imperial
Ini adalah kali kedua aku mendengar dan menonton persembahan Imperial. Kali pertama aku dengar dan lihat semasa gig di Penny Lane Studio. 

Masalah sama turut dilalui oleh band ini apabila sound kedua-dua gitaris maksimum gain! Ia telah menenggelamkan sound drum secara keseluruhan. Hanya bunyi cymbals dan ketukan drum sahaja yang dapat didengar. Aku berpendapat sound keyboard juga berada paras maksimum gain kerana agak terkedepan bunyinya.

Imperial menampilkan konsep melodic black metal. Boleh tahan jugalah lagu-lagu Imperial yang melodic panjang dengan banyak part penceritaan. Ia ibarat penceritaan peperangan dunia kegelapan yang bermula dengan 'turunnya dewata dan jin' dari langit menuju ke dunia. Kemudian peperangan itu menjadi epik kegelapan di permukaan bumi. 

Goresluts
Band ini aku anggap sangat agresif dan macam melantun-lantun dengan aksi-aksi pentas mereka. Muzik Goresluts ini boleh dikira sebagai asimilasi grindcore, death dan emo.kakakakkaka...ini takrifan ikut pendengaran aku je...

Crowd layan habis persembahan Goresluts sampai ada respon daripada seorang crowd-sudah terpancut sudah terpancut...kakakakakakkakaka.





Farasu
Kami tidak mengambil masa yang lama untuk 'balancing sound'. Selesai sahaja aku setup drum, kami terus membuka persembahan dengan lagu 'Keris Songsang'. Lagu kedua 'Bisikan Suara Halus' telah membuatkan crowd menghuru-harakan pentas. Itu agak melantun perasaan melihat crowd 'kesasauan' beraksi di pentas...kakakakkakaka.

Kami seterusnya mengalunkan 'Tangisan Malam' yang mendapat sambutan crowd. Nampaknya lagu ini sudah menjadi pilihan utama crowd. Vokal Farasu, Shah Zaini menjalankan tugasnya dengan baik sekali. Interaksinya dengan crowd begitu menyakinkan sampai terus menerus menghuru-harakan pentas dan terus terbaring!

Persembahan menghuru-harakan pentas diakhiri dengan sebuah lagu cover Dio-'Holy Diver'.Crowd menyanyikan bersama lagu ini. 

Tamat sahaja lagu terakhir, Shah Zaini terus dikerumuni crowd untuk bergambar. Persembahan kali ini adalah kali pertama kami tampil dengan uniform dan background rasmi Farasu.

Penutup

Aku secara jujur melihat venue ini sangat strategik dan menarik. Cuma buat penganjur, aku meletakkan harapan untuk penganjuran gig seterusnya wajar ada promosi-promosi meluas. Walaupun ia merupakan gig skala kecil tetapi itu bukan suatu penghalang menjadikan ia sebuah gig yang mampu menghadirkan ramai crowd. Biar kecil tetapi ia merupakan gig yang happening lagi berkualiti.

Jika pihak penganjur mempunyai modal yang besar, jangan persia-siakan modal itu tanpa mendapat pulangan   samada kepada penganjur itu sendiri, band-band terlibat dan crowd yang hadir. 




Wednesday, June 19, 2013

Mengangkat Daerah Rembau sebagai Pusat Kebudayaan Negeri Sembilan

Aku sebagai anak jati Negeri Sembilan sememangnya bangga dengan Adat Perpatih dan warisan budaya yang dimiliki oleh negeri ini. Cuma yang menyedihkan dan mengecewakan aku adalah;
  1. pandangan negatif orang-orang luar tentang Adat Perpatih kerana kurang memahami atau tiada pengetahuan tentang adat ini.
  2. kegagalan Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan kebudayaan & adat-istiadat serta persejarahan Negeri Sembilan secara agresif, produktif dan progresif.
  3. kegagalan Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio berkenaan adat-istiadat, kebudayaan dan pelancongan dalam memajukan sektor pelancongan yang pelbagai daripada kebudayaan Adat Perpatih.
Apakah peranan Muzium Budaya dan Jabatan Muzium Negeri Sembilan dalam memperkasakan warisan-warisan persejarahan negeri ini?

Aku secara peribadi tidak nampak satu usaha yang progresif daripada kedua-dua pihak ini. Mungkin kebetulan aku ini adalah pekerja kepada PKR Negeri Sembilan akan dilihat semacam cuba hendak memperlekehkan kerajaan negeri yang kebetulan telah ditadbir oleh BN sejak 1957 lagi.

Itu bukanlah tujuan utamanya tetapi ingin mengetengahkan satu titik kelembapan tindakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan yang sepatutnya sejak Tahun Melawat Malaysia 1990 dulu telah ada pelan strategik yang membolehkan industri pelancongan negeri ini lebih berkembang jauh dan tidak hanya berharap selamanya kepada Pantai Peranginan Telok Kemang sebagai modal pelancongan negeri!

Muzium Budaya dan Jabatan Muzium negeri termasuk Exco yang berkaitan dengan bidang ini wajar meneroka dan mengetengahkan sumber-sumber baru yang berkaitan dengan persejarahan negeri. Usaha itu juga mampu diperolehi daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh secara persendirian dari mana-mana individu. Jangan ada sikap menghalang atau menafikan usaha-usaha tersebut semata-mata ia tidak dijalankan secara bersama dengan jabatan terbabit.

Warisan senibina Negeri Sembilan
Aku menyentuh perkara ini secara umum. Salah satu kelebihan senibina negeri adalah Rumah Negeri Sembilan. Ia merupakan antara warisan senibina lama rumah Melayu di Nusantara yang tersendiri. Ramai yang terkeliru bahawa Rumah Negeri Sembilan sama dengan Rumah Minangkabau. Sebenarnya ada banyak perbezaan yang menjadi ciri-ciri istimewa pada kedua-dua senibina ini.


Contoh Rumah Minangkabau
Rumah Negeri Sembilan mengambil rekabentuk bumbung panjang berbentuk tanduk kerbau Minangkabau akan tetapi ia tidak begitu tinggi menjulang sebahagaimana Rumah Minangkabau. Saiz dan ruang Rumah Negeri Sembilan sedikit kecil dan mempunyai 3-4 set bahagian iaitu serambi, ibu rumah, bahagian tengah dan dapur. Serambi Rumah Negeri Sembilan memanjang mengikut keluasan rumah yang melintang di bahagian hadapan rumah.

Contoh Rumah Negeri Sembilan

Daerah Rembau dan Kuala Pilah masih memiliki banyak binaan Rumah Negeri Sembilan yang dipercayai ada  berumur ratusan tahun. Dalam Daerah Seremban pula rumah jenis ini masih terdapat di kawasan Pantai-Lenggeng, Rantau dan Labu. Manakala di Daerah Port Dickson boleh didapati di kawasan Linggi. Daerah Tampin, Jelebu dan Jempol juga masih ada binaan Rumah Negeri Sembilan tetapi tidak begitu banyak sebagaimana di rembau dan Kuala Pilah.

Jika ke Rembau dan agak rajin untuk menjelajah di kampung-kampung yang terdapat dalam semua mukim, anda akan dapat melihat banyak senibina Rumah Negeri Sembilan. Namun begitu agak mengecewakan kerana kebanyakan rumah tersebut tidak berpenghuni dan tidak dijaga dengan baik. Hanya yang berpenghuni sahaja yang masih elok rupa bentuknya. Ada kebanyakannya juga telah melalui perubahan rekabentuk kerana proses ubah-suai mengikut keperluan penghuni sekarang.

Seandainya situasi ini berterusan, besar kemungkinan warisan senibina Rumah Negeri Sembilan akan lupus atau hilang keaslian rekabentuknya kesan proses ubahsuai semasa. Kerajaan Negeri Sembilan sepatutnya kreatif dan ada inisiatif seperti Kerajaan Negeri Melaka yang memelihara dan memulihara senibina Rumah Melaka sebagai warisan negeri.

Aku yakin ramai yang masih tidak faham dan terkeliru bahawa Negeri Sembilan mempunyai dialek atau loghat tersendiri iaitu 'Loghat Negeri Sembilan' dan ia tidak sama dengan dialek Minang. Loghat Negeri Sembilan merupakan asimilasi atau campuran dialek Minang dengan dialek-dialek tempatan samada dialek Orang Asli atau puak-puak Melayu lain seperti Jawa, Bugis, Jambi atau Melayu Riau.

Inilah keistimewaan yang tersendiri dimiliki oleh Negeri Sembilan melalui loghat, budaya, senibina dan adat-istiadatnya. Namun ia masih gagal dieksploit dan diperkenalkan secara progresif oleh kerajaan negeri. Mana silapnya???







Wednesday, June 12, 2013

Lagu Sahabat-Najwa Latif & Ajari Ku-Anuar Zain: kualiti bunyi lagu & drum




Aku sebenarnya bukanlah tidak mendengar langsung lagu-lagu mainstream khususnya lagu berbahasa Melayu yang tersiar dalam radio. Itu naluri biasa jika anda mempunyai penghayatan ke atas sesuatu karya untuk mendengar hasil dan sentuhan seninya. Elakkan bersikap totok atau berpegang pada sesuatu jenis muzik sahaja. Ia tidak akan mengembangkan pengetahuan ilmiah anda tentang muzik.

Aku pun bukanlah peminat Anuar Zain atau Najwa Latif tetapi aku meminati lagu-lagu tertentu berdasarkan kualiti bunyi dan kelainan kreatif yang digarap dalam lagu.

Ajari Aku-Anuar Zain
Lagu Ajari Aku telah menampilkan kelainan bunyi (sound) daripada sound kebiasaan lagu-lagu artis di Malaysia. Aku pasti berdasarkan pendengaran, lagu ini bukan hasil rakaman di negara ini. Jika tidak silap lagu ini dirakam di Indonesia. Perkara harus diakui bahawa kualiti rakaman muzik di negara jiran itu lebih baik berbanding di negara ini. Aku masih punya keyakinan bahawa studio-studio rakaman di sini masih mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik cuma tak pasti mengapa ia tidak begitu menjadi?!

Serius aku memang tidak suka dengan lenggok nyanyian Anuar Zain terdahulu ibarat seperti membaca quran yang terlebih harakat dan terlebih denggung. Akan tetapi untuk lagu ini, ia adalah sesuatu yang berbeza. Tidak ada lenggok sebegitu. Ia kelihatan lebih matang dan cool!

Paling aku suka adalah sound drum. Marching drumming menjelma sejurus masuk rangkap kedua lirik. Ia seiring dengan mood lagu yang berkisahkan semangat. Marching itu tidak terlalu panjang tetapi cukup membuat pendengar mengikut mood lagu yang sedang menguja semangat liriknya. Sound pedal drum, hi-hat, rolling tom dan libasan tone cymbal jelas kedengaran dan diadun dengan baik tanpa mengganggu kelancaran mood menaik lagu!

Kepelbagaian bunyi peralatan muzik dalam rangkap chorus telah memberi gambaran perubahan arah muzik Anuar Zain. Ia telah berada dalam kelas tersendiri.

Sahabat-Najwa Latif & Syamkamarul feat Sleeq
Kalau ada yang kata tak metal sebab suka lagu ini, aku tak peduli. Ini sebuah lagu yang baik dari segi sound. Kejelasan yang baik pada semua bahagian muziknya bermula daripada sound gitar akustik, drum roll, bass dan nyanyian.

Lagu Sahabat juga boleh dikatakan berjaya melarikan diri daripada kebiasaan muzik mainstream. Nampak mood independent dalamnya.

Aku sangat suka sound drumnya. Cukup 'lemak' dan 'melekat' seiring dengan sound bass. Paling ketara adalah sound tom, snare dan pedal semasa part rolling sangat jelas tone yang terhasil. Malahan part libasan cymbals tak terlalu banyak sekadar muncul tiap-tiap penghujung bar drum riff.

Sahabat adalah lagu yang mudah tetapi mempunyai sound yang baik. Sesuai dengan mood lagu yang mengambarkan suasana ceria dan muda. Kalau boleh aku pun nak sound drum macam ini untuk rakaman lagu Farasu iaitu jelas bunyi yang terhasil!

Lima tahun sebagai SUK & Ketololan Politik

Tanggal 2 Jun 2013 lepas genaplah lima tahun aku bertugas sebagai Setiausaha Kerja (SUK) Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan. Aku juga adalah SUK Keadilan Negeri Sembilan yang paling lama memegang jawatan ini berbanding penjawat-penjawat sebelum aku.

Selama lima tahun ini (yang sebenarnya adalah jangka masa pendek dalam dunia politik), aku telah memahami, mempelajari dan mendalami pelbagai pengalaman, ragam, kelakuan dan gerakan pertubuhan siasah yang bernama Parti Keadilan Rakyat ini. 

Itu pun masih ada penjawat jawatan politik dalam parti masih menggangap jawatan aku ini seperti kerani pejabat. Skop pemikiran mereka ini bahawa SUK itu harus berada di pejabat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, umpama penunggu penting Pejabat Perhubungan Negeri. Malah pernah berlaku mereka mengadu bahawa pejabat sentiasa bertutup (ini termasuklah yang bergelar YB yang pada aku agak tolol memahami peranan & tugas SUK). 

Aku agak langkah kanan (rahmat Ilahi) kerana peranan aku bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi turut terlibat dengan Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPRP) dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Ibu Pejabat PKR Pusat yang mendapat kepercayaan boss aku di Negeri Sembilan iaitu Setiausaha Keadilan Negeri Sembilan. Kadangkala ada masa-masa tertentu peranan aku diperlukan di pusat, maka aku perlu berada di ibupejabat pusat tetapi urusan peringkat negeri tetap berada dalam tanggungjawab aku. Penglibatan aku di pusat hanya bertumpu kepada analisa data sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Mungkin ada orang-orang politik dalam parti masih kabur bahawa SUK ini adalah pegawai pentadbir organisasi yang berperanan membantu dan menjalankan urusan-urusan pentadbiran parti yang dipikul oleh Setiausaha Negeri. Oleh sebab itu, pihak Sekreteriat Ibu Pejabat PKR Pusat telah menetapkan bahawa semua SUK tidak boleh memegang sebarang jawatan politik. Namun begitu, kami tidak dihalang untuk mengikuti dan terlibat secara tidak langsung (belakang tabir) hal-hal politik organisasi.

Ketololan Politik
Jika aku tidak tertakdir menjadi SUK Keadilan NS, barangkali pemahaman aku tentang politik tidak berkembang dan sekadar melihat lahiriah politik semata-mata. 

Bukan bermakna setelah menjadi sebahagian daripada tulang belakang organisasi, pemikiran politik itu menjadi taksub atau terperap dengan sesuatu konsep politik. Aku bersikap terbuka dalam menerima pandangan tetapi jika pandangan itu agak tolol dan tidak boleh menghasilkan pertimbangan pro-kontra, itu pasti akan aku tolak!

Perkara pasti, dalam organisasi ini masih ada pelbagai corak pemikiran para anggota parti. Maaf cakap taraf pemikiran yang paling teruk walaupun di kalangan ini ada yang memegang jawatan politik adalah jenis tolol politik. Mereka ini pada aku mempunyai sikap seperti pengikut-pengikut tegar Umno yang tidak suka membuat pertimbangan PRO & KONTRA sesuatu isu, kejadian atau perkara politik yang terjadi dalam parti.

Sikap ketara mereka adalah mudah membuat tanggapan sendiri, kemudian menyampai perkara yang tidak benar atau tidak cukup pertimbangan dan kemudian menjadi pentaksub politik tanpa menyedari ketololan yang mereka lakukan itu. Jika pandangan mereka itu tidak dipersetujui samada pimpinan atau anggota lain, mereka mudah menjadi seteru atau musuh dek kerana ketololan itu. Mereka kemudiannya bertukar menjadi penentang tegar pimpinan atau menjadi blok kiri dalam organisasi.

Sikap mereka itu telah dieksploits oleh para POPULIST & OPURTUNIS dalam parti yang juga mencari ruang kedudukan dalam organisasi.

Semua parti politik termasuk PAS sekali pun terjadi perkara sebegini. Jangan menafikan hal ini kerana jika ia dinafikan itu bermaksud individu itu belum cukup masak ilmiahnya tentang dunia siasah. Aku tak rasa malu atau tersinggung jika orang luar atau rakan-rakan menyebut hal-hal politiking yang berlaku dalam Keadilan. Itu lumrah siasah yang memang berlaku dan wujud.

Sekian.


Thursday, May 30, 2013

Pokok Garuda...pohon herba

Pokok Garuda
Mungkin di kalangan masyarakat Melayu kebanyakannya tidak mengenali pohon herba ini apatah lagi golongan muda. Aku sendiri mengenali pohon herba ini ketika berumur 14 tahun yang secara kebetulan ayahanda aku aktif waktu itu mengamalkan perubatan tradisional. 

Setakat yang aku ketahui, pohon ini ada disebut geroda, garuda atau groda. 

Masyarakat Melayu zaman lampau menggunakan tumbuhan herba ini sebagai bahan perubatan penting. Malah ia digunakan dalam masakan.

Pokok garuda ini digunakan dalam campuran beberapa herba untuk penawar penyakit kencing manis, gaut, angin ahmar dan kegemukan. Menurut ayahanda aku, herba ini berperanan melemahkan gangguan dan penyakit yang dibawa oleh syaitan & jin kafir. 

Bau garuda agak tajam dan buat yang pertama kali tercium akan cepat bertindakbalas kerana baunya seperti taik ayam. Namun pada aku yang biasa dengan pohon ini, bau geroda tidaklah sebusuk yang disangka.

Untuk rujukan secara saintifik, boleh rujuk pada link ini;

Monday, March 25, 2013

Hasil Buah-Buahan dari Inas, Kuala Pilah


Hujung minggu lepas (17 Mac 2013/Ahad) aku sekeluarga bersama mertua balik ke Inas, Kuala Pilah. Kata abah mertua aku balik nak kutip buah dokong!

Kami bergerak dari Petaling Jaya jam 10:30 pagi dan tiba di Inas jam 1:00 tengahari. Sempat singgah di Pekan Rembau untuk makan tengahari. 

Lama juga aku sekeluarga tak balik ke Inas, cuma abah mertua aku yang kerap balik untuk menengokkan uwan isteri aku. 

Sampai sahaja di rumah kampung, aku dan isteri terus ke belakang rumah untuk meninjau-ninjau pokok dokong, langsat dan manggis. Buah dokong dan langsat dah sampai masanya untuk dipetik cuma manggis yang masih kuning warna kulit buahnya, mungkin dalam seminggu dua lagi akan masak.

Pekan Johol...sunyi sepi pada hari minggu

Pemandangan laman depan rumah uwan isteri di Inas, Johol

satu lagi pemandangan sunyi di Pekan Johol, Kuala Pilah

Buah Dokong di kampung mertua aku...

inilah hasil sebakul dokong yang dipetik...lebih daripada  10 kg ni!

Dokong-dokong yang berada di dahan pokoknya...

Puteri sulung aku, Inun ...tak pernah tengok buah dokong!

Setandan pisang 40 hari & sebakul langsat

Pemandangan dekat Pisang 40 hari...macam pisang emas je!?

Acara memanjat pokok langsat...banyak semut hitam yang menunggu di gugusan buah langsat!

Pemandangan belakang rumah uwan isteri...kat sini lah pokok pisang 40 hari, langsat, lengkuas, bonglai dan rambutan tertanam. Untung ada kampung yang bertanah luas...macam-macam boleh tanam!


Acara memetik langsat...sedang menghadapi serangan ribuan semut hitam!

Inilah dia Pisang Kapas