Wednesday, June 12, 2013

Lima tahun sebagai SUK & Ketololan Politik

Tanggal 2 Jun 2013 lepas genaplah lima tahun aku bertugas sebagai Setiausaha Kerja (SUK) Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan. Aku juga adalah SUK Keadilan Negeri Sembilan yang paling lama memegang jawatan ini berbanding penjawat-penjawat sebelum aku.

Selama lima tahun ini (yang sebenarnya adalah jangka masa pendek dalam dunia politik), aku telah memahami, mempelajari dan mendalami pelbagai pengalaman, ragam, kelakuan dan gerakan pertubuhan siasah yang bernama Parti Keadilan Rakyat ini. 

Itu pun masih ada penjawat jawatan politik dalam parti masih menggangap jawatan aku ini seperti kerani pejabat. Skop pemikiran mereka ini bahawa SUK itu harus berada di pejabat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, umpama penunggu penting Pejabat Perhubungan Negeri. Malah pernah berlaku mereka mengadu bahawa pejabat sentiasa bertutup (ini termasuklah yang bergelar YB yang pada aku agak tolol memahami peranan & tugas SUK). 

Aku agak langkah kanan (rahmat Ilahi) kerana peranan aku bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi turut terlibat dengan Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPRP) dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Ibu Pejabat PKR Pusat yang mendapat kepercayaan boss aku di Negeri Sembilan iaitu Setiausaha Keadilan Negeri Sembilan. Kadangkala ada masa-masa tertentu peranan aku diperlukan di pusat, maka aku perlu berada di ibupejabat pusat tetapi urusan peringkat negeri tetap berada dalam tanggungjawab aku. Penglibatan aku di pusat hanya bertumpu kepada analisa data sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Mungkin ada orang-orang politik dalam parti masih kabur bahawa SUK ini adalah pegawai pentadbir organisasi yang berperanan membantu dan menjalankan urusan-urusan pentadbiran parti yang dipikul oleh Setiausaha Negeri. Oleh sebab itu, pihak Sekreteriat Ibu Pejabat PKR Pusat telah menetapkan bahawa semua SUK tidak boleh memegang sebarang jawatan politik. Namun begitu, kami tidak dihalang untuk mengikuti dan terlibat secara tidak langsung (belakang tabir) hal-hal politik organisasi.

Ketololan Politik
Jika aku tidak tertakdir menjadi SUK Keadilan NS, barangkali pemahaman aku tentang politik tidak berkembang dan sekadar melihat lahiriah politik semata-mata. 

Bukan bermakna setelah menjadi sebahagian daripada tulang belakang organisasi, pemikiran politik itu menjadi taksub atau terperap dengan sesuatu konsep politik. Aku bersikap terbuka dalam menerima pandangan tetapi jika pandangan itu agak tolol dan tidak boleh menghasilkan pertimbangan pro-kontra, itu pasti akan aku tolak!

Perkara pasti, dalam organisasi ini masih ada pelbagai corak pemikiran para anggota parti. Maaf cakap taraf pemikiran yang paling teruk walaupun di kalangan ini ada yang memegang jawatan politik adalah jenis tolol politik. Mereka ini pada aku mempunyai sikap seperti pengikut-pengikut tegar Umno yang tidak suka membuat pertimbangan PRO & KONTRA sesuatu isu, kejadian atau perkara politik yang terjadi dalam parti.

Sikap ketara mereka adalah mudah membuat tanggapan sendiri, kemudian menyampai perkara yang tidak benar atau tidak cukup pertimbangan dan kemudian menjadi pentaksub politik tanpa menyedari ketololan yang mereka lakukan itu. Jika pandangan mereka itu tidak dipersetujui samada pimpinan atau anggota lain, mereka mudah menjadi seteru atau musuh dek kerana ketololan itu. Mereka kemudiannya bertukar menjadi penentang tegar pimpinan atau menjadi blok kiri dalam organisasi.

Sikap mereka itu telah dieksploits oleh para POPULIST & OPURTUNIS dalam parti yang juga mencari ruang kedudukan dalam organisasi.

Semua parti politik termasuk PAS sekali pun terjadi perkara sebegini. Jangan menafikan hal ini kerana jika ia dinafikan itu bermaksud individu itu belum cukup masak ilmiahnya tentang dunia siasah. Aku tak rasa malu atau tersinggung jika orang luar atau rakan-rakan menyebut hal-hal politiking yang berlaku dalam Keadilan. Itu lumrah siasah yang memang berlaku dan wujud.

Sekian.


No comments: