Tuesday, July 9, 2013

Ulasan Ringkas filem: World War Z-aksi tanpa henti!



Ini filem kedua yang aku tonton dalam bulan Jun 2013 selepas 'Fast & Furious 6'. Maaf pada para fanatika Superman, bahawa filem 'Man of Steel' memang aku tak tonton sebab keterujaan aku pada filem-filem zombie. Aku berminat dengan filem-filem zombie kerana pada aku aksi-aksi melarikan diri ketika diserang zombie sangat mendebarkan dan survival manusia normal untuk mengatasi permasalahan angkara zombie.

World War Z memang menarik untuk ditonton kerana filem ini tidak membosankan dan aksi-aksinya sentiasa berterusan. Ia bukan suatu filem yang mempunyai plot-plot lembab dan sebu seperti Skyfall-007. Jalan ceritanya lancar tanpa digugat oleh aksi-aksi 'bodoh' atau 'kelembapan' yang menggangu mood penonton.

Kali ini Brad Pitt membawa watak yang serius iaitu Gerry Lane seorang 'family-man' yang merupakan bekas pegawai PBB. Beliau telah diminta oleh seorang sahabat lama beliau dalam PBB yang memegang jawatan setiausaha agung organisasi tersebut untuk menyiasat punca wabak 'zombie' ini bermula dan tercetus.

Siasatan beliau bersama pasukan khas tentera USA dimulakan di Pangkalan Tentera US di Korea Selatan. Maklumat yang diperolehi daripada email seorang tentera di pangkalan tersebut telah menyebut berlaku serangan zombie tetapi maklumat itu diabaikan oleh pihak tertinggi tentera. Menurut seorang kapten tentera yang terselamat daripada wabak tersebut menyatakan punca merebaknya wabak zombie itu bermula daripada seorang doktor yang telah membuat siasatan kesihatan di sebuah kampung. Dia telah digigit oleh pesakit yang didakwa oleh orang kampung sebagai mayat hidup.

Seorang tahanan di pangkalan tersebut, Gunter Halfner yang dilakonkan oleh David Morse memberitahu bahawa seorang pegawai risikan dari Israel yang paling awal mengetahui serangan wabak zombie. Ketika itu, hanya Israel sahaja yang berjaya membendung merebaknya wabak itu dengan pelan keselamatan strategik melalui pembinaan tembok sekeliling Baitulmaqdis (Jerusalem) yang diawasi secara ketat oleh pasukan keselamatan Israel. Maklumat itu telah membawa Brad Pitt ke Jerusalem untuk bertemu dengan Ketua Mossad, Jurgen Warmbrunn.

Warmbrunn menjelaskan bahawa pihak Mossad telah berjaya memintas komunikasi seorang Jeneral Tentera India yang menyebut pasukan tenteranya sedang melawan 'rakshasa' yang bermaksud raksasa. Atas kelebihan tersebut, beliau telah mencadangkan pembinaan tembok keselamatan konkrit di sekeliling Jerusalem bagi membendung wabak zombie itu.

Aku ringkaskan kisah yang Gerry Lane akhirnya mendapat ilham di pusat WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang berpangkalan di Eropah bagi mengatasi wabak zombie berjangkit kepada manusia biasa. Beliau mendapati bahawa manusia zombie tidak akan menyerang manusia yang mempunyai penyakit berbahaya seperti asma, barah atau HIV kerana manusia zombie akan menyerang hanya manusia yang bebas daripada penyakit berbahaya untuk dijadikan hos penyebaran wabak zombie. Vaksin khas yang berperanan sebagai 'penyamaran' bagi tubuh badan manusia normal dihasilkan.

Aksi yang berkesinambungan
Aku sebenarnya sangat suka dengan filem bercorak thriller seperti ini khususnya yang berkisah tentang zombie dan serangan wabak yang menukar manusia menjadi makhluk lain.

Ini filem yang akan membuat anda semua tak senang duduk dan menanti kejutan-kejutan manusia zombie yang rakus, gila dan pantas mencari manusia biasa sebagai mangsanya. Pada aku ini bukan sebuah filem tentang zombie yang bodoh atau mengarut tetapi ia ada logika yang mampu diterima oleh akal. Kewujudan zombie digambarkan dalam filem ini adalah berpunca daripada eksperimen senjata biologi pihak-pihak tertentu dalam menguasai dunia. akhirnya kesan buruk menimpa manusia sejagat apabila ia menjadi pemusnah dalam skala besar sehingga ia tidak mampu diatasi secara pantas.


No comments: