Wednesday, December 1, 2010

Tamat sudah Pemilihan PKR 2010

Akhirnya setelah berhempas pulas dan bertungkus lumus menjayakan pemilihan pertama 1 anggota 1 undi sejak tiga bulan lalu yang bermula pada pertengahan September 2010, seluruh petugas pemilihan dan sekreteriat Ibu Pejabat PKR dapat menghela nafas lega.
Perkara penting yang ingin aku nyatakan adalah keupayaan semua setiausaha kerja negeri yang bergandingan dengan kakitangan sekreteriat Ibu Pejabat parti yang berjaya melaksanakan tugas-tugas pemilihan walaupun berdepan dengan pelbagai karenah calon-calon bertanding yang begitu meremehkan.
Bukan untuk melontarkan kata-kata takbur atau angkuh tetapi sebagai membuktikan keupayaan semua s.u.k PKR lebih berdedikasi dan baik berbanding parti-parti dalam BN.
Rahmat Pemilihan PKR 2010 adalah keburukan yang diperlihatkan sepanjang pemilihan berlangsung telah menyerlahkan wajah-wajah sebenar arah perjuangan anggota-anggota parti yang terlibat. Seluruh manusia yang menjadi anggota PKR kini TELAH LEBIH MENGENALI pejuang sebenar yang berada dikalangan mereka.
Pemilihan PKR 2010 juga secara langsung menjadi medan 'pembersihan' watak-watak opurtunis, retorikatus, hiporkitus dan perosak-perosak yang selama ini berselindung dengan topeng perjuangan sedangkan mereka-mereka ini telah sekian lama meracuni organisasi dari dalam.
Paling menarik lagi tertarik adalah tertangkapnya seorang Ketua AMK cabang yang secara sengaja menjadi pengundi hantu semasa pemilihan pimpinan pusat di Rembau. Akibatnya ia telah memberi kegoncangan kepada pihak lain yang bertopengkan perjuangan menarik diri daripada pentas pertandingan!
Cukup sekadar aku menyentuh sedikit namun segala yang berlaku sepanjang pemilihan ini akan aku nukilkan mengikut perspektif rasional yang mampu diterima-baca-difikirkan oleh umum.

Saturday, September 4, 2010

Mengenal Buah Tempatan: Limau Busu

Inilah kelebihan jika rajin merayau-rayau tatkala berada di tempat lain yang belum pernah pergi. Kali pertama aku ronda-ronda sekitar kawasan berhampiran 'Bus Stand Sibu' ni, terjumpa pulak dengan sejenis limau yang tak pernah aku lihat yang dipanggil sebagai LIMAU BUSU.

Aku yakin ini adalah sejenis buah limau tempatan yakni asli dari negeri Sarawak. Saiznya agak besar daripada limau nipis dan menyamai saiz limau madu manis tempatan. Baunya seakan-akan seperti limau nipis bercampur bau limau bali. Aku mengagak limau busu ini adalah spesis yang sama dalam keluarga limau nipis (betul ke ayat ni??).

Aku masih tak mendapatkan keterangan lanjut daripada orang tempatan di Sibu ini tentang kegunaan limau ini tetapi aku menyakini limau ini juga boleh digunakan dalam masakan, dijadikan aca buah, dijadikan bahan perubatan tradisional, dijadikan sebagai jus minuman atau dimakan mentah seperti limau madu manis.

Sebelum pulang ke Semenanjung, aku akan membeli limau busu ini. Sekurang-kurangnya ada jugaklah buah tangan asli dari Sibu.

Friday, September 3, 2010

Sibu...antara kerancakan Pemilihan 2010 & senario semasa

Pejabat PKR Cabang Lanang,Sibu

Penerbangan ke Sibu dari LCCT telah lewat beberapa minit daripada yang dijadualkan pagi tadi. Agak lengguh kaki aku berdiri sambil beratur menunggu di 'boarding door' ditambah rasa mengantuk yang kuat mencengkam otak gara-gara tidur 2 jam sahaja malam tadi. Atas sebab tugas dan perjuangan, aku gagahkan jugak menunggu bersama sahabat sekerja, Hasiib Harun.

Kami tiba jam 9.30 pagi di Lapangan Terbang Sibu dan kami telah dijemput oleh orang-orang PKR Cabang Lanang-Mr Wong. Nasib baik juga Mr. Wong ini agak mesra orangnya, jadi tak mati akal aku nak berbual-bual dengan beliau. Aku suka dengan suasana di sepanjang jalan dari lapangan terbang ke Sibu kerana masih dipenuhi dengan kehijauan hutan yang menenangkan.

Selepas menjamu selera di Jalan Tuan Haji Openg (kawasan Melayu Melanau di Sibu), aku dan Hasib sempat meronda-ronda melihat sekitar kawasan Terminal Bas Sibu. Melihat suasana terminal bas ini, terasa aku telah berpatah balik 15-20 tahun ke belakang, yang sama seperti Terminal Bas Seremban yang lama sebelum wujudnya Terminal One Seremban.

Di sini juga, aku terlihat kebanyakan bas sama seperti bas era 1980an dahulu. Apakah setelah sekian lama Sarawak berada dalam Persekutuan Malaysia, semacam ada anjakan yang memperlahankan kemajuan di sini...tidak sebagaimana yang kita nikmati di Semenanjung Malaysia.

Cuma aku puji-hotel yang kami duduk iaitu Hotel Medan bersebelahan Terminal Bas Sibu dalam keadaan yang bersih,agak mewah tetapi murah sekitar RM75.00 semalam! Satu lagi maklumat yang aku diberitahu oleh saudara Low Hing Ching (salah seorang Pengawas Pemilihan dari Sibu), sewa bagi sebuah rumah banglo semi-D dua tingkat cuma RM300 minima sedangkan harga rumah tersebut menjejak antara 4-5 ratus ribu ringgit!

Pada awal pagi tadi jugak, Mr. Wong turut melahirkan rasa kecewanya dengan sikap kerajaan negeri yang tidak langsung berusaha memperbaiki dan mengatasi masalah banjir yang berpunca daripada sistem saliran yang tidak sempurna.

Wednesday, September 1, 2010

Sang Saka Malaya: Panji Negara?!

SANG SAKA MALAYA

Semasa aku kecil dulu...seingat aku dalam umur 6 tahun, pernah aku bertanya kepada arwah Tok Aki (Haji Nasir Bin Shamsudin) kenapa bendera negara Malaysia sama macam bendera USA?

Namun, sampai arwah pergi ke alam barzakh persoalan itu tidak pernah dijawabnya. Maka, aku terus tertanya-tanya sebab persamaan itu berlaku.

Dalam benak aku ketika itu, aku sering tertanya siapa yang tiru siapa? Malaysia tiru bendera USA atau USA yang tiru bendera kita?

Akhirnya, jawapan itu aku temui tahun lepas sesudah membaca artikel yang ditulis oleh saudara Hishamuddin Rais dalam blog beliau. Seterusnya, aku pastikan juga maklumat-maklumat yang disebut dalam artikel itu adalah fakta yang benar-benar wujud melalui carian maklumat di internet.

Buat perkongsian maklumat, Umno dan Pas juga menggunakan bendera Sang Saka sebagai bendera rasmi parti cuma dibezakan simbol tertentu. PAS meletakkan bulatan hijau dipenjuru kiri atas bendera Sang Saka manakala Umno pula meletakkan lambang bulan penuh bewarna kuning dengan satu simbol keris tak bersarung ditengah-tengah bendera Sang Saka mereka.

Negara Indonesia dan Singapura turut menggunakan bendera Sang Saka sebagai bendera rasmi negara masing-masing. Mungkin nama bendera Singapura itu Sang Saka Temasik...wallahualam.

Thursday, August 19, 2010

Mengenal buah tempatan: Buah Binjai

Buah Binjai
Teringat semasa zaman remaja sekolah dahulu, aku sangka perkataan binjai adalah sekadar gelaran kepada seseorang dan terfikir yang ia adalah sejenis binatang!
Rupa-rupanya setelah sedar dan tahu fakta, barulah aku ketahui yang binjai itu adalah sejenis buah yang sekeluarga dengan mangga & mempelam.
Aku taklah ketahui mendalam sangat tentang buah binjai ini tetapi cukup sekadar memaparkan gambarnya sebagai pengenalan buat yang tidak mengenali apatah lagi mengetahui buah binjai.
Menurut ibu mertua aku, buah binjai digunakan untuk membuat sambal atau acar. Entahlah bagaimana rasanya aku sendir tak pernah cuba atau tahu nikmatnya.
Seorang sahabat aku memberitahu (kebetulan beliau bekerja di MARDI) buah binjai banyak di Melaka. Menurutnya lagi, pokok binjai boleh menjulang tinggi macam pokok balak dalam hutan.

Mengenal buah tempatan: Buah Sentul

Macam manggis...inilah buah sentul.
Sebenarnya dah lama aku tak melihat buah sentul dari dekat sebabnya buah tempatan ni amat jarang dijual dalam pasaran. Hanya tempat-tempat tertentu yang akan terlihat dijual di gerai-gerai kecil tepi jalan.
Gambar ini diambil pada 10 Julai 2010 lalu selepas aku selesai hadir ke Taklimat Pemilihan PKR 2010 di Cheng, Melaka. Kesempatan berhenti di gerai buah-buahan di tepi Jalan Naning-Alor Gajah sebelum bulatan keluar Tol Simpang Ampat, sempat juga aku mengambil gambar beberapa jenis buah tempatan yang jarang ditemui.
Rupa buah sentul ini seakan buah tampoi tetapi ia agak besar dan isinya sedikit tebal daripada buah tampoi. Isi dalamnya seakan-akan seperti buah manggis. Cuma sayangnya mungkin buah sentul tersebut belum cukup masak, terasa agak pahit sampai ke telinga!
Kalau tak silap rasa, buah sentul yang pernah aku rasa kali pertama dahulu seperti rasa buah durian belanda! Kalau nak tahu rasanya, pergilah sendiri cari dan belinya.....

Wednesday, August 18, 2010

Kembali kepada hobi lama-Kumpul Wang Kertas & Syiling lama

Wang kertas RM1.00 ini diperolehi ketika isteri aku membeli kek di Old Town PJ beberapa bulan lepas dan yang menariknya wang kertas ni masih elok-tidak comot, tidak kusam kelihatan seperti baru beberapa dicetak.

Sebenarnya gambar scan wang kertas itu bukan sekeping tetapi dua keping. Mungkin pada yang tidak mempunyai minat mengumpul wang kertas lama, ia tidak bernilai apa-apa. Namun pada aku, wang kertas note RM1.00 sudah dikira 'rare', ia merupakan versi keluaran kedua kalau tidak silap cetakan selepas tahun 1981.

Dalam simpanan aku juga ada keluaran tahun 1970an. Aku sekarang tengah mencari-cari note RM1.00 cetakan awal sekitar 1967. Kalau ada tuah, mungkin dapat.






Duit syiling lama yang pertama kali aku beli...sebelum ni kebanyakannya aku terjumpa dan simpanan lama arwah Tok Aki aku.



Thursday, June 24, 2010

Imbasan Lampau: 1st War Gig, Nilai



Berbanyak terima kasih kepada saudara Amir Fadli (Psychotic Sufferance) yang telah berkongsi koleksi simpanan flyers gig di atas dalam ruang siber Facebook. Ingatan aku sendiri rasa terbawa-bawa kembali ke saat gig tersebut. Siapa sangka setelah sembilan (9) tahun, masih ada insan yang menyimpan gig pertama yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan.


Ada kebaikan juga menyimpan flyers-flyers gig ini dan setelah 4-5 tahun berlalu, ia akan menjadi suatu bahan sejarah yang bernilai walaupun ketika ia dianjurkan seperti tidak ada nilai untuk disimpan!


Untuk makluman, 1st War adalah gig underground pertama yang dianjurkan di Nilai. Ia juga menjadi satu gerakan baru perkembangan scene muzik underground di luar kawasan bandar Seremban dan juga di Malaysia.


Perancang utama kepada penganjuran gig ini adalah saudara Aru @Sharif Nilai yang merupakan pengikut kental muzik underground metal di Seremban. Melalui kerjasama anggota band beliau-Brave In Vision (BIV), penganjuran ini telah direalisasikan di sebuah live band pub-The Old House Pub berlokasi di Taman Semarak, Nilai.


Penganjuran gig ini juga menjadi kejutan ramai pihak di Seremban kerana ketika itu suasana scene muzik underground Seremban dilanda kesuraman. Maka di benak fikiran ramai saat itu tidak akan menyangka-duka akan kemunculan gig di luar Seremban.


Enam band telah berperang hebat dalam 1st War ini. Psychotic Sufferance boleh dikelaskan sebagai band utama gig kerana mereka adalah band senior di Negeri Sembilan ketika itu dan mereka jugalah 'militan' yang paling ganas dalam persembahan (they still rules till now!!!).


Medieval-band dari Bukit Chedang, Seremban yang menampilkan muzik dark-doom mereka. Susuk pejuang utamanya-As (vox & gitar) dan Tin (drummer) adalah penggiat-penggiat metal di Seremban. Namun, ke mana mereka sekarang?


Band tuan rumah-BIV yang dikepalai oleh saudara Sufian@Pyan selaku gitar utama dan Aru (bassist) menampilkan muzik old-school heavymetal.
Space Jam, yang telah aku lupa konsep muziknya. Band ini juga hanya wujud seketika dalam scene Seremban dan tidak diketahui ke mana menghilangnya mereka ini.
Sekali lagi, aku hargai usaha saudara Amir Fadli atas khazanah scene muzik di Negeri sembilan.

Tuesday, June 8, 2010

Secebis nukilan sepanjang Mei 2010

Agak lama jugak aku meninggalkan laman blog sendiri kerana kesibukan lain-lain hal yang menutup gerak hati untuk mengemaskininya.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku sepanjang bulan Mei lepas. Farasu nampaknya masih berehat dan akan memulakan momentum persembahannya pada akhir bulan Jun 2010 sehingga hujung tahun. Jelajah persembahan bersama beberapa band akan bermula di Batu Pahat pada 17 Julai dan Johor Bahru pada 18 Julai.

Parti Keadilan Rakyat sekali telah berjaya mengadakan perhimpunan tahunannya kali ini di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, Kelantan. Kongres Nasional 2009 ini telah dibawa langsung ke Kelantan sebagai suatu usaha mengukuhkan kekuatan parti di sebelah pantai timur. Kongres yang berlangsung dari 27 Mei 2010 lalu dimulai dengan perasmian bersama oleh AMK & Wanita Keadilan. Seterusnya ia meneruskan agenda perhimpunan pada 28 hingga 30 Mei 2010.

Walaupun agak jauh di hujung utara pantai timur, namun kehadiran para perwakilan dan pemerhati agak menggalakkan. Hampir 1200 perwakilan telah memenuhi dewan utama KTC.

Menariknya kehadiran kali kedua aku ke Kota Bharu ini, betapa pembangunan sekitar KB begitu pesat berbanding ibu negeri Negeri Sembilan, Seremban. Walaupun telah 20 tahun ditadbir oleh kerajaan PAS, KB telah menyerlahkan wajah-wajah pembangunan yang menakjubkan.

Aku terpesona dengan sejenis kuih buatan tempatan iaitu kuih Cek Mek Molek. Kuih ini bersalut tepung yang digoreng macam cekodok dan isi dalamnya keledek manis. Memang sedap dan aku mengulang makannya berkali-kali. Aku akan pastikan kedatangan aku seterusnya adalah mencari jajan ini.

Seminggu aku berada di KB iaitu sejak 24 Mei hingga 31 Mei membuatkan hati menjadi rindu kepada anak tersayang dan pada 29 Mei itu juga genaplah usianya sebulan dilahirkan. Hanya gambar dan video yang di-MMS-kan oleh isteri tercinta dapat mengubat rindu pada si kecil tersayang.

Aku juga mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan tenaga dan kerjasama para petugas Keadilan Kelantan yang digelar sebagai pasukan Pesegare (loghat Kelantan..yang betulnya PESEGARAN). Kesabaran ketuanya Kak Mah yang berwajah manis tersenyum walaupun ada ketikanya beliau nampak tekanan dan terima kasih juga pada Kak Zah yang tegas dan komited pada kerja yang diberikan.

Tanpa bantuan pasukan Pesegare ni, mungkin banyak benda yang mungkin terkantoi.

Sesungguhnya nilai yang baik aku dapat di KB ini adalah orang Kelantan amat menghormati tetamu walaupun orang Kelantan di luar negeri mereka berbeza cara hidup.

Tuesday, February 16, 2010

Antara Kejujuran, Parasit, Oportunis & Syok Sendiri dalam persahabatan

Nukilan Dinihari

Dalam perhubungan persahabatan, pelbagai kelakuan dan perangai yang muncul. Apabila persefahaman dan timbang rasa dicapai-sepakati, ada baik buruk-kurang lebih-kelebihan kelemahan akan diterima serta diimbangi sebaik mungkin untuk mengukuhkan jalinan perhubungan.

Berbeza dengan cinta yang memerlukan paduan tiga perkara iaitu kepercayaan, timbang rasa & persefahaman...persahabatan itu perlu wujud dengan paduan perkara seperti kepercayaan, kesetiaan, kejujuran, persefahaman dan timbang rasa yang mendalam.

Pedulikan semua yang aku sebut di atas, aku yakin semua arif akan perkara-perkara dalam menjaga persahabatan.

Terdetik beberapa pengalaman lampau dalam beberapa hari ini berkaitan persahabatan. Secara jujurnya, aku tak punya sahabat setia yang ramai (yang punya kejujuran, kesetiaan) dan boleh dihitung dengan jari.

Parasit
Dulu, ada seorang yang pernah menjadi sahabat aku, namun aku putuskan ikatan kerana sikapnya yang menikam dari belakang. Aku melabel dia sebagai parasit. Pertemuan awal dia perkenalkan diri sebagai seorang pengikut muzik metal tempatan dan berminat nak ikut lebih lanjut berkenaan penganjuran gig metal yang sememangnya ketika itu aku aktif anjurkan di Nilai.

Daripada seorang yang tak tau buat apa-apa berkaitan penganjuran gig, secara perlahan-lahan dia meresap cara-cara aku bekerja...bijak...positif...tetapi bila dah pandai tikam sahabat sendiri..ada niat mahu glamour..bukan berniat ikhlas nak majukan scene muzik. Syukur juga Tuhan telah menunjukkan jalan keluar kepada aku-gig terakhir kena raid dengan polis atas alasan black metal...secara perlahan selepas itu, terlihatlah kelakuan dan sikap sebenarnya selama bersama aku..aku hilang sabar bila segala hal-hal berkaitan hasil-hasil kreatif aku bersama band aku cuba diubah-ubah mengikut kehendak dia. Segala yang diubah dan cadangannya agak menjangkalkan aku apatah lagi muzik band aku...jalan terbaik parasit ini harus dicantas daripada terus melekap di jasad persahabatan.

Oportunis
Ini agak ramai sepanjang ingatan aku...tak perlu ulas panjang-ada yang awalnya berniat ikhlas kononnya sekadar bantu tetapi bila bintang itu tiba-tiba malap sinarannya, malaun-malaun ini segera beralih arah tetapi bermain selamat kononnya nak jaga ikatan persahabatan...dan tatkala bintang itu kembali menyinarkan cahayanya, malaun-malaun ini cuba mengembalikan ikatan 'bahagia' masa lampau....sekarang ini juga, ada gerak-gerak tu sedang kembali menyapa...namun kembalinya semula, aku dah cukup bersedia & meninggikan syak wasangka serta sentiasa berhati-hati.

SS...syok sendiri
Kelompok ni taklah ramai..boleh dihitung dengan jari...masih syok sendiri dan mengekal status-quo mereka sejak dari zaman sekolah...tiada perubahan sikap walaupun berlaku perubahan usia, saiz badan, jenis pakaian dan segala bulu kian panjang memenuhi badan!

Ini jenis lali, bak kata orang Noghori sembilan...leter cerabih mak bapak tak lut! Mungkin sahabat-sahabat jenis ini masih bermentaliti seperti remaja 18-21 tahun. Ada yang masih bergantung dengan mak bapak walaupun usia dah menjejak tiga (3) dekad...boleh bergantung tapi takde perubahan...macam budak yang masih sekolah pulak....

Ada yang masih SS nak menjadi hero muzik, tapi mendap fikiran nak meningkatkan skill dan kefahaman muzik....masih ego bercakap hal-hal muzik tanpa diri itu berusaha untuk menjadi mahir...masih bangga ada segala peralatan muzik beribu ringgit tapi tak manfaat untuk tingkatkan kemahiran...tatkala masalah datang-segala peralatan ini DILUPAKAN, skill jadi tumpul dan terus tak praktis...mungkin dijual atau dipatah-riukkan sebab marah....takde soul of music pada peralatan-peralatan tu....sayang....aku letih nak bercakap, nak bagi semangat sebab dah lebih 10 tahun diulangnya PERANGAI yang sama....last sekali, kata hati aku-"Lantaklah kau,suka hatilah kau,aku dah jauh ke depan tak masa nak terhegeh-hegeh...letih melayan perangai kau...."

Itulah beberapa perkara yang terdetik menganggu seketika fikiran aku beberapa hari ni....

"Allah swt tidak akan mengubah hidup seseorang andainya orang itu tidak mahu mengubah hidupnya"

Wednesday, January 6, 2010

Lokasi jualan Album Menongkah Arus

Untuk makluman, album Farasu-Menongkah Arus juga boleh didapati di Seremban.

Lokasi-lokasi jualan adalah di:

1. Kedai Sopan, Tingkat 1, Terminal One Shopping Center, Jln Lintang, Seremban.

2. Kedai Clothclash Ent. (Achoi), G4, Bazaar Baru MPS, Jln Lee Sam, Seremban.