Pejabat PKR Cabang Lanang,Sibu
Penerbangan ke Sibu dari LCCT telah lewat beberapa minit daripada yang dijadualkan pagi tadi. Agak lengguh kaki aku berdiri sambil beratur menunggu di 'boarding door' ditambah rasa mengantuk yang kuat mencengkam otak gara-gara tidur 2 jam sahaja malam tadi. Atas sebab tugas dan perjuangan, aku gagahkan jugak menunggu bersama sahabat sekerja, Hasiib Harun.
Kami tiba jam 9.30 pagi di Lapangan Terbang Sibu dan kami telah dijemput oleh orang-orang PKR Cabang Lanang-Mr Wong. Nasib baik juga Mr. Wong ini agak mesra orangnya, jadi tak mati akal aku nak berbual-bual dengan beliau. Aku suka dengan suasana di sepanjang jalan dari lapangan terbang ke Sibu kerana masih dipenuhi dengan kehijauan hutan yang menenangkan.
Selepas menjamu selera di Jalan Tuan Haji Openg (kawasan Melayu Melanau di Sibu), aku dan Hasib sempat meronda-ronda melihat sekitar kawasan Terminal Bas Sibu. Melihat suasana terminal bas ini, terasa aku telah berpatah balik 15-20 tahun ke belakang, yang sama seperti Terminal Bas Seremban yang lama sebelum wujudnya Terminal One Seremban.
Di sini juga, aku terlihat kebanyakan bas sama seperti bas era 1980an dahulu. Apakah setelah sekian lama Sarawak berada dalam Persekutuan Malaysia, semacam ada anjakan yang memperlahankan kemajuan di sini...tidak sebagaimana yang kita nikmati di Semenanjung Malaysia.
Cuma aku puji-hotel yang kami duduk iaitu Hotel Medan bersebelahan Terminal Bas Sibu dalam keadaan yang bersih,agak mewah tetapi murah sekitar RM75.00 semalam! Satu lagi maklumat yang aku diberitahu oleh saudara Low Hing Ching (salah seorang Pengawas Pemilihan dari Sibu), sewa bagi sebuah rumah banglo semi-D dua tingkat cuma RM300 minima sedangkan harga rumah tersebut menjejak antara 4-5 ratus ribu ringgit!
Pada awal pagi tadi jugak, Mr. Wong turut melahirkan rasa kecewanya dengan sikap kerajaan negeri yang tidak langsung berusaha memperbaiki dan mengatasi masalah banjir yang berpunca daripada sistem saliran yang tidak sempurna.
No comments:
Post a Comment