Tuesday, June 8, 2010

Secebis nukilan sepanjang Mei 2010

Agak lama jugak aku meninggalkan laman blog sendiri kerana kesibukan lain-lain hal yang menutup gerak hati untuk mengemaskininya.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku sepanjang bulan Mei lepas. Farasu nampaknya masih berehat dan akan memulakan momentum persembahannya pada akhir bulan Jun 2010 sehingga hujung tahun. Jelajah persembahan bersama beberapa band akan bermula di Batu Pahat pada 17 Julai dan Johor Bahru pada 18 Julai.

Parti Keadilan Rakyat sekali telah berjaya mengadakan perhimpunan tahunannya kali ini di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, Kelantan. Kongres Nasional 2009 ini telah dibawa langsung ke Kelantan sebagai suatu usaha mengukuhkan kekuatan parti di sebelah pantai timur. Kongres yang berlangsung dari 27 Mei 2010 lalu dimulai dengan perasmian bersama oleh AMK & Wanita Keadilan. Seterusnya ia meneruskan agenda perhimpunan pada 28 hingga 30 Mei 2010.

Walaupun agak jauh di hujung utara pantai timur, namun kehadiran para perwakilan dan pemerhati agak menggalakkan. Hampir 1200 perwakilan telah memenuhi dewan utama KTC.

Menariknya kehadiran kali kedua aku ke Kota Bharu ini, betapa pembangunan sekitar KB begitu pesat berbanding ibu negeri Negeri Sembilan, Seremban. Walaupun telah 20 tahun ditadbir oleh kerajaan PAS, KB telah menyerlahkan wajah-wajah pembangunan yang menakjubkan.

Aku terpesona dengan sejenis kuih buatan tempatan iaitu kuih Cek Mek Molek. Kuih ini bersalut tepung yang digoreng macam cekodok dan isi dalamnya keledek manis. Memang sedap dan aku mengulang makannya berkali-kali. Aku akan pastikan kedatangan aku seterusnya adalah mencari jajan ini.

Seminggu aku berada di KB iaitu sejak 24 Mei hingga 31 Mei membuatkan hati menjadi rindu kepada anak tersayang dan pada 29 Mei itu juga genaplah usianya sebulan dilahirkan. Hanya gambar dan video yang di-MMS-kan oleh isteri tercinta dapat mengubat rindu pada si kecil tersayang.

Aku juga mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan tenaga dan kerjasama para petugas Keadilan Kelantan yang digelar sebagai pasukan Pesegare (loghat Kelantan..yang betulnya PESEGARAN). Kesabaran ketuanya Kak Mah yang berwajah manis tersenyum walaupun ada ketikanya beliau nampak tekanan dan terima kasih juga pada Kak Zah yang tegas dan komited pada kerja yang diberikan.

Tanpa bantuan pasukan Pesegare ni, mungkin banyak benda yang mungkin terkantoi.

Sesungguhnya nilai yang baik aku dapat di KB ini adalah orang Kelantan amat menghormati tetamu walaupun orang Kelantan di luar negeri mereka berbeza cara hidup.

No comments: