Suasana matahari terbit dari Equatorial Hotel, Kea Farm |
Famili Trip
Lokasi: Cameron Higland, Pahang.
Tarikh: 3,4 & 5 Mac 2013.
Lokasi: Cameron Higland, Pahang.
Tarikh: 3,4 & 5 Mac 2013.
Ini adalah kali pertama aku menjejak kaki dan datang bercuti ke Tanah Tinggi Cameron a.k.a Cameron Highland. Semasa usia budak-budak dulu, hanya pernah dengar cerita dan pengalaman kawan-kawan bercuti di kawasan ini. Syukur selepas berumahtangga barulah peluang itu dijelmakan oleh Ilahi.
Selepas bermalam di kampung ibu mertua, Pekan Parit, Perak dan menghadiri kenduri kahwin seorang adik beradik mertua di sini, aku dan keluarga bergerak jam 12.30 tengahari. Kami mengikut laluan dari Simpang Pulai-Cameron Highland. Aku tak berapa ingat jam berapa tiba di Cameron Highland sebab kena menumpukan pemanduan di jalan yang berbelok-liku sepanjang membelah tanah tinggi Banjaran Titiwangsa.
Seingat aku, selepas sahaja melepasi sempadan Perak-Pahang, pekan pertama yang dilalui adalah Kampung Raja. Jika tengok pada nama, aku jangka ini mesti sebuah kawasan kampung tradisional Melayu seperti Janda Baik, Bentong namun sangkaan itu meleset. Ia adalah sebuah pekan yang didiami oleh majoriti masyarakat Cina. Suasana persekitaran dengan susun atur bangunan dan kebun-kebun sayur-sayuran yang menguasai landskap bukit seperti bukan berada di Malaysia. Aku macam berada di negara China atau Nepal (sama macam dalam dokumentari Nat Geo).
Untuk sampai ke hotel penginapan kami iaitu Equatorial Hotel, kami perlu melalui laluan berbukit dengan cabaran kenderaan yang banyak pada hujung minggu, yang pastinya adalah pelancong-pelancong dalam negeri yang datang bercuti di sini. Selepas melepasi pekan Kuala Terla dan Tringkap, akhirnya aku dan keluarga tiba di hotel tersebut yang terletak bersebelahan The Kea Farm antara kawasan perniagaan penting di ketinggian 1,500 meter dari aras laut!
Suasana kedai menjual sayur-sayuran & lain-lain hasil tani di The Kea Farm. |
Pemandangan laluan masuk The Kea Farm |
Secara peribadi, aku teruja melawat-mendaki-bergambar di kawasan ladang teh. Inilah kali pertama aku menjejak kaki dan melihat ratusan pokok teh depan mata.
Aku pun bukanlah penggemar buah strawberi semacam anak & orang rumah tetapi tidaklah bermaksud aku langsung tak pernah tengok buah strawberi. Keseronokannya adalah memetik strawberi bersama anak sulung. Aktiviti biasa tetapi merapatkan lagi kemesraan aku dengan anak.
Hasil tuaian sendiri...strawberi yang dipetik bersama anak aku |
Mood aku sedikit terganggu pada petang Isnin (4 Mac 2013) dengan satu posting palsu yang menggunakan akaun FB aku, ketika online sekejap di Starbuck, Tanah Rata. Namun aku tak mahu mengganggu semangat percutian ini, maka aku sekadar menukar password FB.
Suasana Sejuk
Aku menjangkakan suhu sekitar The Kea Farm dan pekan Berinchang sekitar 16-14 darjah Celcius menjelang waktu malam. Sebelah siangnya sekitar 18-16 darjah Celcius. Memang sejuk, hinggakan dalam bilik hotel memang tidak ada air-con.
Makan malam pertama aku sekeluarga di Cameron Highland adalah di sebuah restoran tom-yam di Pekan Berinchang. Namun makanan kat sini agak 'potong stim' sebab sup tulangnya dicampur dengan taugeh. Memang 'jemm' rasa untuk menikmati selera malam.
Malam kedua, kami makan di Tanah Rata di deretan kedai makan bersebelahan terminal bas Tanah Rata. Makanan di sini ok.
Ada beberapa kampung Melayu yang aku perasan iaitu Kg Melayu Berinchang dan Kg Taman Sedia. Kebanyakan kawasan adalah didiami masyarakat Cina. Kebanyakan petani-petani Cina menjalankan kegiatan pertanian dan niaga tani di sepanjang lereng-lereng bukit manakala petani/pengusaha Melayu menjalankan aktiviti di sekitar Berinchang dan Kg Taman Sedia.
Tea House, Bharat Plantations, Tanah Rata |
Suasana ladang teh dari Tea House Bharat Plantations |
Aku sekeluarga bergerak balik ke KL jam 10.30 pagi dan mengikut laluan Cameron Higland-Tapah. Kami sempat singgah di Tea House Bharat Plantations, Tanah Rata. Pemandangan ladang teh di lereng-lereng tanah tinggi memang sesuatu pemandangan yang indah lagi mendamaikan. Cuma kalau anda semua bukan peminat teh, janganlah gatal-gatal atau mengada-gada nak cuba teh pelik-pelik. Aku bukan peminat teh tapi sebab nak cuba teh campur cengkih, kepala aku jadi pening ditambah pulak laluan balik berliku-liku dan agak lama untuk sampai ke Tapah.
Ini kali pertama juga aku melalui kawasan bernama Habu dan Pekan Ringlet. Tak sangka pulak di Habu Height ini letaknya Pejabat PKR Cabang Cameron Highland. Sekitar Tanah Rata dan sepanjang Jalan Besar Tanah Rata-Berinchang penuh dengan bendera BN, MCA, Gerakan dan MIC...dah macam minggu depan pulak PRU-13. Sekali-kali ternampak bendera DAP dan PKR di laluan Tringkap-Kg Raja.
Cuma satu yang aku harapkan adalah kehijauan dan kewujudan hutan gunung ini terpelihara dan tidak ditukar status menjadi tanah pertanian kerana ia berkait rapat dengan keseimbangan tadahan air kawasan tanah tinggi. Ada sungai-sungai di kawasan ini sudah mulai keruh tidak sejernih yang disangka walaupun bukan musim hujan.
1 comment:
Salam..cara plg mudah tuk book equatorial tu mcm mn ye?
Post a Comment