Thursday, September 1, 2011

Salam Aidilfitri & Kemerdekaan Ke-54



Salam Aidilfitri buat semua dan ucapan kemerdekaan negara yang ke-54. Tahun ini sebagaimana yang digembur-hebohkan oleh media, rakyat negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri & Hari Kebangsaan serentak.

Namun kali ini, hari kemerdekaan biasa sahaja pada aku. Tiada suatu perasaan istimewa yang terdetik untuk dikenang secara 'melampau' malah untuk dirai bersama Aidilfitri. Kalau ia istimewa, sudah pasti kempen kibar 'Jalur Gemilang' sudah disambut-terima oleh seluruh rakyat.

Kempen Kibar 'Jalur Gemilang' tepu

MB Negeri Sembilan beberapa hari sebelum raya ada memberi kenyataan dalam media yang menyatakan kempen kibar bendera kebangsaan tidak mendapat sambutan rakyat. Aku melihat di kampung halaman sendiri (Kg Batu 3 Mambau) hanya rumah-rumah AJK JKKK kampung atau AJK Umno Cawangan sahaja yang ada berkibar bendera di kawasan rumah. Lain-lain rumah tak ambil peduli pun.

Memang benarlah bendera negara kita ini tidak punya suatu 'semangat kebangsaan sejati' kerana ia bendera ciplak atau tiruan daripada bendera negara USA. Rakyat kebanyakan memandang sepi kempen 'buang duit rakyat' sebegitu. Rakyat dipaksa untuk mengikuti kempen dan membeli bendera khususnya di sekolah, guru-guru 'dipaksa' untuk menjual bendera-bendera kebangsaan kepada anak-anak murid. Ada juga sebab hendakkan 'peruntukan tambahan' atau 'melaksanakan dasar membodek', sanggup buat program tak berfaedah seperti 'Jalur Gemilang terpanjang' yang dipasang di pagar hadapan sekolah atau 'Jalur Gemilang Terbesar daerah tut..tut'.

Aku lebih berbangga mengibarkan bendera Negeri Sembilan dan mungkin juga kebanyakan rakyat negara ini punya perasaan yang sama iaitu bangga mengibarkan bendera negeri masing-masing. Pendapat aku, bendera negeri lebih istimewa dan mempunyai nilai kenegeriaan berbanding bendera kebangsaan.

Raya di kampung

Selepas pulang beraya di Mambau, aku bergerak ke kampung mertua di Inas, Johol, Kuala Pilah. Walaupun Inas ini agak terpencil dan terperosok dikelilingi bukit-bukit yang tinggi namun ketenangannya memberi keamanan jiwa. Jauh daripada kebisingan luar biasa di Lembah Klang, walaupun dua hari sudah cukup melapangkan fikiran dan merehatkan badan.

Kebetulan pada malam raya ketiga hujan turun dengan lebat diikuti dengan angin yang bertiup kencang. Pagi-pagi lagi sudah ada pokok tua lagi besar tumbang melintang jalan bersebelahan rumah jiran uwan aku.

Sedar tak sedar sekitar jam 9.00 pagi beberapa orang kampung telah datang bersama golok tajam masing-masing. Ada yang bawa gergaji mesin berantai mini termasuklah bapak mertua aku. Ini unik hidup di kampung, walaupun pokok yang tumbang tu milik orang lain tetapi dek kerana tumbang melintang di jalan laluan penting, secara semulajadinya sikap gotong royong terpancar di jiwa masyarakat untuk sama-sama membersihkan laluan.

Aku turut terpanggil untuk membantu. Seronok jugak sebab dah lama tak buat benda begini. Maklumlah dah duduk bandar. Orang-orang tua yang ada bersikap tenang dan sabar serta tak kepoh-kepoh macam beruk. Semua berjalan lancar sambil tiap-tiap orang membantu. Dalam suasana itu, sempatlah jugak aku berkenal-kenalan dengan saudara-mara mertua aku yang sememangnya aku tak kenal (maklumlah bukan orang Inas).


Lebuhraya sesak


Ini senario zaman sekarang. Lebuhraya akan sesak sehari dua sebelum raya dan pada raya ketiga. Perjalanan pulang semalam (1 september 2011) melihatkan kesesakan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan menuju arah utara bermula di Alor Gajah hingga ke Seremban. Aku pilih jalan lama Rembau-Tampin, walaupun berlaku kesesakan antara kawasan Bongek ke Pekan Rembau tapi tak berlarutan hingga ke Seremban. Syukur perjalanan selamat dan lancar. Aku dan keluarga selamat tiba di rumah lewat petang. Kami sekeluarga berhenti rehat dan makan di Balakong. Itu kelebihan guna Lebuhraya Lekas pantas dan tiada kesesakan cuma Lekas tak buat diskaun seperti lain-lain lebuhraya.

No comments: