Saturday, September 10, 2011

Hala tuju Muzik Metal andainya PR tadbir negara



Seandainya negara ini berubah tampuk pemerintahan iaitu ditadbir oleh PR, apakah hala tuju muzik metal negara ini selepas itu?

Apakah kelompok dunia muzik metal akan terus dijadikan 'bahan belasahan' media utama dan agenda politik tertentu untuk menutup isu-isu politik hangat?

Adakah kedudukan seni kreatif para penggiat seni muzik metal akan dihargai dan diangkat pada kedudukan yang sepatutnya?

Atau adakah dunia muzik metal akan terus dijadikan 'kambing hitam' pihak berkuasa untuk menghalalkan penangkapan tidak munasabah untuk dikaitkan dengan perkara-perkara negatif?

Maka persoalan-persoalan tersebut samada difikirkan atau ditolak mentah-mentah. Ia terpulang kepada perspektif pemikiran setiap individu yang berada dalam dunia muzik metal ini iaitu penggiat seninya dan para pengikutnya.



Aku melihat betapa perlunya golongan penggiat seni muzik metal diberi laluan, ruang dan peluang untuk mengetengahkan bakat kreatif mereka. Kelompok-kelompok arus utama seperti media massa, orang-orang politik dan para pentadbir negara perlu membuka perspektif minda agar tidak bersifat sinis dan memandang sepi para penggiat seni muzik metal. Kewujudan mereka BUKAN untuk mencetus kegusaran ibu bapa seluruh negara tetapi adalah untuk bergiat secara kreatif dan mahu dihargai sebagaimana kelompok-kelompok artis yang lain.

Dakyah-dakyah sempit yang pernah dicetuskan oleh media-media utama berbahasa Melayu yang dilemparkan kepada dunia muzik metal negara amat mendukacitakan. Ia umpama jentera kerajaan BN menghentam habis-habisan pembangkang di TV ataupun akhbar-akhbar tanpa ada suara pembelaan untuk mengetahui keadaan sebenar. Keadaan yang berat sebelah dengan laporan yang tidak tepat, fakta yang palsu malah direka-reka dengan sensasi telah merosakkan ruang para penggiat seni muzik metal untuk berkarya secara bebas.

Ruangan terhad ini, aku melontarkan cabaran kepada penggiat-penggiat politik negara khususnya PR untuk melihat dunia muzik metal ini pada perspektif yang sihat dan positif. Aku menyakini para pemuzik metal dan pengikut-pengikutnya dahagakan sokongan dan galakan positif golongan-golongan politik. Bukan untuk mengampu atau merayu, TETAPI memberi ruang dan peluang golongan ini bergiat secara bebas.



Aku juga antara penggiat aktif dunia muzik metal tanahair. Ingin ditegaskan di sini bahawa kami ini BUKAN perosak masyarakat, BUKAN pengganas dan pencetus masalah sosial. Kami hanya mahukan keadilan dan kesaksamaan berkarya secara kreatif.

Jika hasrat ini mendapat perhatian, moga ada sinar yang baik menanti dunia metal tanahair.

No comments: