Sunday, September 25, 2011

Gelagat & Sikap dalam politik

Aku kira telah ada penulisan berkenaan gelagat dan sikap dalam politik yang pernah diutarakan sebelum ini oleh penulis-penulis lain.

Nukilan ini menyentuh tentang perilaku orang-orang politik yang berada dalam parti. Ia berlaku dalam semua pertubuhan politik termasuklah PAS sekali pun. Logiknya kerana matlamat semua pertubuhan politik adalah untuk mendapatkan kuasa bagi mengawal pemerintahan dan pentadbiran negara disamping menguasai ekonomi. Itu perkara pasti yang tidak boleh disangkal oleh orang-orang politik.

Aku tidak mahu menyentuh secara luas...cukup mengambil contoh tingkahlaku politikus-polikus dalam lingkungan aku.


Cakap berdekah-dekah, buat kerja tak pandai

Sikap ini yang paling banyak aku tengok di kalangan orang-orang politik. Lebih mendukacita dan menyakitkan hati khususnya yang memegang jawatan seperti Ketua Cabang, Pengerusi Biro, Pengarah Program atau Ketua Jurulatih. Sikap mereka ini hampir sama iaitu suka mengkritik berlebih-lebihan kepimpinan negeri dan badan perhubungan negeri itu tak betul...ini salah...negeri tak buat itu ini..negeri simpan perosak...negeri ada pengkhianat....walhal di peringkat mereka (samada cabang, biro atau program) tiada langsung usaha-usaha yang berdaya maju untuk membangunkan organisasi.

Hal-hal pentadbiran organisasi paling kerap diabaikan oleh kelompok-kelompok ini...persoalan yang suka dilontarkan adalah; apakah mereka itu faham soal-soal pentadbiran sedangkan jiwa bermimpi berangan nak perintah negeri atau negara?? Paling seronok dengan gelagat mereka ini adalah suka sangat berjanji tapi tak laksanakan janji tersebut...


Suka 'mengecilkan padang'

Ada kepimpinan sayap yang dikira bagus dalam mentadbir dan memimpin organisasi. Namun, kerana ada 'rakan-rakan pembisik' sikap suka 'mengecilkan padang' mula berputik. Sepatutnya dalam pertubuhan politik, jumlah yang ramai diperlukan sebagai lambang demokrasi iaitu suara ramai. Ia bukan persoalan individu atau sekelompok puak manusia sahaja.

Adalah merugikan sekiranya barisan kepimpinan dianggotai oleh individu-individu yang punya kebolehan tetapi tidak ada suara ramai. Mereka akan kerap berada dalam kelompok kecil sekitar 4-5 orang sahaja. Mana yang lain? Sikap terlalu sangsi dan syak wasangka melampau amat merbahaya kepada organisasi kerana dengan 'menghadkan ruang' dan 'membataskan perimeter sokongan' akan meruntuhkan mutu kepimpinan. Siapa yang akan rugi?

Menyondol bak babi hutan

Mohon maaf perkataan ini diguna tetapi itulah sikap yang ada pada segelintir anggota parti. Menyondol dimaksudkan pada nukilan ini adalah suka salah tafsir maklumat atau mudah percaya khabar-khabar angin tanpa selidik kemudian heboh bergebang-kepoh kepada orang lain.

Kelompok individu begini selalunya tidak berada dalam kepimpinan negeri tetapi kerap berada di peringkat cabang. Mungkin mereka ini AJK atau anggota biasa yang 'terlalu rajin' mencari kesalahan sekecil hama yang dikira perkara remeh. Terus terang dikatakan orang-orang ini sangat-sangat mengganggu dan merosakkan organisasi dengan sikap remeh temeh yang tiada kebijaksanaan politik! Itulah sikap mereka-menyondol bak babi hutan.

Pendapat aku, tidak salah untuk mengkritik dan menegur dalam politik cuma jangan suka mengecam, mengomel dan mencaci-cerca sebab itu bukan konsep kritikan. Sesuatu kritikan haruslah mengetengahkan kelemahan, kekurangan dan keafiatan dengan disusuli cadangan-cadangan pembaikan, ilham-ilham yang bernas dan baik untuk membentuk kelebihan dan kebaikan keseluruhan.

Kecaman dan caci-cerca bukanlah sebahagian dalam konsep kritikan tetapi itu adalah sikap negatif yang akan terus menerus menjahanamkan organisasi.




No comments: