Friday, December 16, 2011

Album baru Farasu?

Farasu telah berusia 9 tahun!

Mungkin ada yang telah mengetahui perancangan Farasu pada tahun depan. Kebetulan pada
13 Disember 2011 lalu, telah genap usia Farasu sembilan tahun. Rasanya seperti baru sahaja melangkah ke dunia muzik, kini Farasu telah melangkah ke fasa yang baru.

Rasa syukur dan tuah yang masih ada kurniaan Ilahi menjadikan Farasu kekal bertahan sehingga kini. Aku mengangkat tabik hormat buat sahabat seperjuangan dalam band ini iaitu Nahaq dan Bul yang kekal meneruskan survival muzik Farasu. Tidak dilupakan kepada Arm, Amir dan Ejal yang sanggup berkongsi perjuangan ini.

Album baru?

Perkara ini sememangnya benar dan bukan muslihat mencari populariti. Inilah perancangan seterusnya yang sedang dirangka oleh Farasu. Susunan lagu-lagu yang bakal menghuni album baru sedang giat dipersiapkan serta diperkemaskan supaya memberi suatu kelainan yang menghiburkan.

Kali ini, tugas menulis lirik turut diberikan kepada vokal kami, Arm. Ruang kreatif antara anggota band sentiasa dibuka untuk dikongsi bersama demi menghasilkan mutu karya yang baik. Aku juga masih diberi kepercayaan untuk menulis senikata lagu cuma kali ini dalam bahasa Inggeris. Agak lama juga aku tidak menulis sebarang penulisan dalam bahasa tersebut. Mungkin ada perkataan dan susunan tatabahasa yang lintang pukang. Bahagian ini akan aku serahkan kepada Nahaq dan Bul sebab mereka berdua lebih arif dalam bahasa Inggeris.

Setakat ini dan terkini, ikut perancangan kami ingin merakam lapan ke sepuluh lagu. Aku tidak meletakkan sebarang jaminan waktu proses pembikinan dan rakaman album ini akan bermula dan berakhir. Ia bergantung kepada komitmen masa kami semua. Namun yang pasti, tahun 2012 akan menjadi tahun kemunculan album baru Farasu. Bila? Nantikan sahaja.

Konsep Album

Farasu akan kekal dengan konsep death metal yang berkiblatkan eastern metal tetapi akan ada kelainan. Jangan letakkan harapan yang menggunung lagu-lagu Farasu akan terus-menerus menyamai karya-karya terdahulu. Ini persoalan kreativiti dan kami tidak akan terikat dengan konsep 'ketotokan muzik'. Harus ada anjakan dan perubahan tanpa menggadai konsep muzik yang menjadi wajah Farasu! Perlu elak menjadi sebuah band klon atau menjadi band pendua mana-mana idola!

Elemen perkisahan dahulu kala (mitos & pengembaraan) masih ada dalam lirik Farasu dan hal-hal semasa juga diselitkan dalam lirik.


Terima kasih buat semua yang masih menyokong Farasu dan membeli album 'Menongkah Arus'. Apakah kali ini Farasu akan lebih menongkah arus? Tunggu dan lihat.

We fight till end of life!

No comments: