Tuesday, December 29, 2009

Band Metal Tempatan Pilihan

Cromok...ini adalah pilihan pertama aku.Band metal Malaysia yang punya pengaruh dan peminat yang ramai di negara ini. Bermula daripada era akhir 80an & awal 90an hinggalah ke dekad kini, pengaruh Cromok sentiasa ada pada setiap generasi, daripada yang sekarang sudah menjadi orang senior (umur 50 tahun ke atas), yang pertengahan usia (bawah 45 tahun-30 tahun) dan kelompok usia remaja anak muda kenal Cromok.

Aku mula mengetahui Cromok ketika Tingkatan Tiga (1993) yang pada ketika itu tidak faham muzik metal dan pendengaran aku merasakan lagu-lagu metal itu sama sahaja bunyinya-bising, suara garau seperti harimau dan menakutkan. Ada seorang kawan sekampung (pelajar Sekolah Agama di Rantau, Seremban) sebaya aku telah memperkenalkan muzik Cromok kepada aku. Namun waktu itu, aku tidak begitu mengambil kisah pada saranannya. Waktu yang itu yang aku rasa berat muziknya hanyalah Wings tak pun XPDC...(kakakaka...miskin pengetahuan time tu beb).

Setelah aku berpindah sekolah iaitu masuk ke Sekolah Vokasional di Seremban, suasana persekitaran yang berlainan telah mendedahkan aku terus kepada muzik metal secara khusus. Sekali lagi rakan-rakan kelas aku telah menyarankan Cromok. Kali ini aku tidak menolak dan terus mendengar serta menghayati muziknya. Akhirnya, aku dapat menerima muzik Cromok sehingga kini.

Cromok cukup mempengaruhi semangat aku untuk terlibat dalam dunia muzik metal. Riff-riff lagunya telah memberi banyak ilham dan aku mula mempelajari lagu-lagu Cromok. Kiranya, waktu sesiapa yang dapat main lagu Cromok memang dikira hebatlah...(kakaka...aku ambik 3 tahun selepas sekolah baru boleh main lagu Cromok).

Pada aku, Cromok adalah band yang menampilkan ciri-ciri muzik metal versi timur walaupun kerangka pengaruhnya dikuasai elemen barat. Skala Jawa dan Arabic ketara dalam semua lagu Cromok.

Selain daripada lagu-lagu Athotorgh, lagu-lagu Cromok menjadi lagu wajib sesi jamming aku. Lagu pilihan daripada Cromok yang menjadi santapan sesi jamming adalah Some Where Anywhere, Misery, Memories, Siblings, Final Thicking, La Crosse, Metalugical dan Obbessed.

Album pilihan aku daripada Cromok adalah Image of Purity, Forever In Time, Yours Truly dan Deafeaning Silence. Cuma dua album selepas kemasukan Hilary Ang aku tak berapa minat mendengarnya kerana lagu-lagunya seperti merundum kehangatannya. Melainkan album Deafeaning Silence-agak bagus dilayan. Forever In Time kalau tidak silap telah terjual lebih daripada 100 ribu unit. Entah berapa kali diulang cetak.


Pilihan kedua aku ialah Sil Khannaz. Tidak perlu diperkatakan panjang lebar kerana ia band metal terulung negara kini. Semua peminat, pengikut dan wannabey termasuk metal poyo's pun kenal Sil Khannaz.

Aku mula kenal dan mengetahui Sil Khannaz ketika Tingkatan Empat di Sekolah Vokasional. Ramai rakan-rakan kelas aku peminat muzik bawah tanah daripada punk, hardcore, grunge hingga ke metal. Cuma aku mendengar terbalik iaitu dari album Gerbang Kayangan teruslah ke album sesebelumnya. Gerbang Kayangan yang telah mencetuskan rasa minat aku pada muzik Sil Khannaz. Lagu-lagu di dalamnya meninggalkan kesan yang cukup positif dan sampai sekaranglah dibawa dalam sesi jamming. Lagu hit untuk sesi jamming adalah Santapan Terakhir Raja Bersiong dan Gerbang Kayangan. Lagu Hamba Malam dibawa semasa dengan band lama aku dulu.

Muzik Sil Khannaz tersendiri dari segi sound, susunan riff dan temanya. Band otai ini seperti Cromok juga, ada ciri-ciri muzik metal versi timur. Album Sil Khannaz yang ada dalam simpanan aku adalah Pendita Gila, Gerbang Kayangan, Bara Pawaka dan Berdiri Di Antara Panji-panji.

Lagu terbaik Sil Khannaz pada sudut pendengaran aku ialah Eastern Barbaric Skullcrusher, Intravena Tantrika, Hamba Malam, Kiss of The Whisper dan Gerbang Kayangan.


Langsuyr adalah pilihan ketiga aku. Seperti Sil Khannaz juga, band ini aku kenal dan mengetahuinya ketika Tingkatan Empat.

Material yang merasuk aku untuk mendengar muzik Langsuyr adalah EP Eastern Cruelty. Memang hebat rasanya saat itu mendengar EP ini. Lagu hitnya sudah pastilah My Oath of Thee dan Tangisan Embun Pagi.

Aku lebih memilih Langsuyr berbanding Assahar kerana muzik Langsuyr lebih kejam tetapi soundnya baik dan jelas didengar. Tidak begitu serabut nak mendengar riff-riff gitarnya. Langsuyr jugalah menjadi pencetus muzik Eastern Metal bersama-sama Assahar. Memang jelas ketara elemen eastern metal yang ditampilkan.

Muziknya tersendiri dan ada keasliannya. Kekejaman muziknya terpamer dalam Kompilasi Ipoh Militant melalui dua lagu iaitu Ku Cemari dan Descent of Fire-Breathed. Sound kedua-dua lagu ini memperlihatkan kematangan muziknya. Namun, harapan aku untuk melihat album yang bakal dikeluarkan pada waktu itu tidak kesampaian apabila dikhabarkan Langsuyr dilanda masalah.

Langsuyr masih meneruskan kekejamannya dalam suasana muzik yang berlainan tetapi mengekalkan sifat-sifat eastern metalnya. Sudah keluar pun lagu-lagu Langsuyr di radio-radio arus perdana.

Ini sekadar pandangan peribadi. Segala kekurangan sila perbaiki.




No comments: