Sebenarnya aku antara pendengar yang terlewat meminati album Search walaupun semasa lagu Isabella meletup hujung 1980an dulu, aku bangga menyanyikan lagu ini. Antara album Search yang aku ada adalah Di Pintu Sepi (CD) yang dikeluarkan semula oleh Universal Music Sdn Bhd pada tahun 2015.
Secara jujurnya aku bukan 'die-hard fans' Search tetapi peminat kepada muzikal Search. Itu sebab aku hanya ada satu-satunya album Search yang ini.
Album ini adalah sebuah karya yang menghimpunkan lagu-lagu terbaik Search daripada dua album terdahulu iaitu Cinta Buatan Malaysia dan Langit & Bumi. Hanya empat lagu empat (4) lagu baru yang dimuatkan iaitu Di Pintu Sepi, Setelah Hujan, Kepala Angin dan Gadis Ayu.
Album ini versi kaset dikeluarkan pada tahun 1988 di bawah Polygram Records yang diterbitkan oleh M.Nasir
Tiga lagu lama yang dipetik daripada album 'Langit dan Bumi' adalah Rozana, Meniti Titian Usang dan Kau Pergi. Manakala tiga lagi lagu lama dipetik daripada album 'Cinta Buatan Malaysia' adalah Musafir, Cinta Sepi dan Kejora.
Jika diteliti, ada perbezaan sound yang membezakan kualiti rakaman daripada tiga material berbeza. Lagu Di Pintu Sepi, Setelah Hujan dan Gadis Ayu mirip sound album Mentari Merah di Ufuk Timur kerana ia dikatakan telah dirakam semasa proses pembikinan album tersebut. Manakala lagu Kepala Angin sound agak mendam mirip frekuensi siaran tv kerana ia lagu yang dipetik daripada runut bunyi filem Kepala Angin. Walau bagaimana pun, keseluruhan album Di Pintu Sepi ini sedap didengar kerana ia lagu-lagu yang mudah diingati dengan melodi yang catchy.
Aku menilai daripada aspek permainan drum Arwah Yazit. Tiap lagu dalam album ini ada keistimewaan rentak drum bass, drum rolling dan stroke yang menjadi 'identiti khas' lagu. Ia bukan menghidangkan bentuk drumming tipikal ala-pop rock band hujung 1990an. Drumming Yazit progresif dan odd-beat.
Walaupun anda mendengar lagu-lagu rock ballard (balada) seperti Setelah Hujan dan Rozana, kedua-dua lagu ini ada perbezaan ketara bahagian drumming. Trademark Yazit adalah bentuk drum rolling dan rentak drum bass. Rozana dan Setelah Hujan membuktikan kelainan dan kepelbagaian rentak dan stroke drum beliau.
Kiraan tempo odd-beat dan jatuhan pukulan snare & cymbal ibarat rentak melingkar dan bertingkah yang mencorak tenaga lagu agar tidak bosan didengar.
Lagu Kepala Angin sangat berlainan watak dengan sembilan lagu lain kerana ia bercorak sinikal, funky dan tidak berat liriknya. Sesuai dengan objektif filem Kepala Angin.
Penulisan lirik dalam lagu ini banyak menyentuh aspek kerohanian sufi seperti Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Musafir, Cinta Sepi, Kejora dan Kau Pergi. Era rock 80an sangat menarik kerana garapan lirik kerohanian sufi ini sangat kreatif dengan susunan bahasa yang tinggi nilai kesusateraan Melayu. Penyampaian dakwah secara langsung tanpa menggunakan perkataan atau ayat terus seperti nasyid menjadikan ia 'senjata halus' yang memikat hati, jiwa dan perasaan untuk pendengar meghayati maksud lirik. Seni berdakwah seperti ini sudah tidak begitu digunakan dalam karya-karya era millennium.
No comments:
Post a Comment