Keris, badik, rencong, pisau belati, semar, pedang, golok memang ada waktu itu. Aku dengan adik perempuan yang tua kerap belek dan buat mainan senjata-senjata tangan itu semasa abah keluar bekerja.
Minat aku kepada senjata tangan Nusantara tercetus selepas berkahwin. Tahun 2009 aku telah memiliki sebilah badik berwafaq yang dibeli secara online. Aku jenis tak menaruh harapan diberi pusaka seperti senjata tangan lama sebab aku lebih suka berusaha mencari daripada berharap untuk mempusakai sesuatu yang memakan masa. Itu sebablah aku mengumpul senjata-senjata tangan Nusantara.
Mulanya dulu sekadar hobi seperti aku mengumpul syiling-syiling lama. Namun lama kelamaan jiwa dan semangat terdorong untuk memiliki senjata tangan yang bersifat sepuh, antik dan ada aura besi.
Terus terang kata, aku masih tahap 'beginner' atau 'budak baru' tentang senjata tangan Nusantara. Tetapi itu bukan bermakna aku tak membuat kajian dan selidik maklumat berkaitan.
Senjata Pertama dan terawal
Senjata tangan pertama yang aku miliki adalah badik berwafaq, hulu dan sarungnya mirip seperti pakaian golok tapi saiz sisip. Ia jenis senjata latihan yang digunakan oleh pesilat. Masa ini aku masih mentah tentang ciri-ciri senjata. Tak dapat membezakan senjata baru atau lama.
Kemudian aku membeli sebilah badik Sumatera dan tumbok lada. Kedua-dua ini adalah jenis senjata cenderamata iaitu senjata tangan yang dibuat khas sebagai hadiah atau hiasan dan bukan sebagai senjata kegunaan sebenar serta tempur. Aku beli membeli juga secara online melalui website Borneo Artifact.
Lebih kurang tahun 2015, aku jual dua senjata awal ini iaitu badik berwafaq dan badik Sumatera. Tinggal yang masih dalam simpanan tumbok lada.
Koleksi Peribadi
Selepas tahun 2015, minat aku kepada senjata ini menjadi suam dek kerana bertumpu urusan kehidupan yang lain.
Tahun 2020 menjadi balik minat aku, awal tahun aku telah memiliki dua bilah keris. Ini keris terawal aku. Keris pertama iaitu Keris Lurus Palembang dan Keris Putut (yang berpakaian Semenanjung).
Keris Lurus Palembang ini buatan tahun 1970 yang sudah berusia 50 tahun. Manakala keris putut itu adalah keris kodi buatan baru tetapi mempunyai pamor yang cantik. Namun aku telah tukar (barter trade) dengan peniaga barang antik untuk mendapatkan sebilah badik.
Asalnya hanya ada tiga bilah senjata, kemudian selepas bulan Mac 2020 (spesifik apabila PKP dilaksanakan) aku telah mulai mengumpul senjata-senjata tangan Nusantara secara aktif.
Setakat ini sudah ada 18 bilah senjata tangan Nusantara pelbagai jenis daripada keris, badik, tumbok lada, keris semar, pedang dan lembing.
Gangguan Mistik Senjata Lama
Sepanjang aku mengumpul senjata-senjata tangan Nusantara ini, masih terpelihara daripada sebarang gangguan pelik, misteri dan mistik. Mungkin sebab aku tak pedulikan hal pelik-pelik seperti segelintir orang fikirkan. Asalkan simpan keris je, mesti dikaitkan dengan saka lah, hantu lah, jin lah....ini bentuk pemikiran sempit.
Macam pengumpul setem atau syiling, aku sentiasa mahu mendapatkan lagi bilah-bilah senjata tangan Nusantara yang jenis lain. Aku anggap ia warisan yang patut dipelihara untuk tatapan generasi atau keturunan aku nanti.
No comments:
Post a Comment