Sunday, December 27, 2020

Tokong Cina Tertua di Kuala Pilah

Pembangunan awal infrastruktur perbandaran di Kuala Pilah bermula selepas pembentukan konfederasi baru Negeri Sembilan pada tahun 1886. Pihak British telah membangunkan Kuala Pilah sebagai bandar kecil Daerah Kuala Pilah pada penghujung 1890an hingga awal kurun ke-20.

Tokong Sam Seng Keong (juga dikenali sebagai ‘San Sheng Gong Chinese Temple’) merupakan tokong cina tertua dibina di Kuala Pilah dan antara tokong cina era awal kurun ke-20 yang masih wujud di Negeri Sembilan.


Binaan bersejarah yang kini telah berusia 120 tahun telah siap dibina pada tahun 1900 semasa era Residen British Negeri Sembilan pertama, Sir Martin Lister. Tokong bersejarah ini terletak di Lot 9, Jalan Dato, Kuala Pilah.


Tauke Tang @ Tung Yeng seorang pelombong bijih timah dan peniaga dari Guang Dong, China adalah tokoh yang bertanggungjawab merintis pembinaan tokong dan taman riadah tersebut. Beliau adalah moyang kepada Pengerusi Penggerak Jelebu, Tang Jayson.

TAUKE TANG @ TUNG YEN
Penghijrahan komuniti Cina yang terdiri daripada pekerja lombong, ladang getah dan peniaga telah berlaku di Kuala Pilah pada era 1890an hingga awal kurun ke-20.

Sebuah jalan di Bandar Kuala Pilah turut dinamakan sebagai Jalan Tung Yeng sebagai penghargaan jasa Tauke Tung Yeng terlibat membangunkan Kuala Pilah. Jalan ini menempatkan pasaraya utama di situ iaitu Gedung Minang dan bangunan Umno Kuala Pilah.

Ada catatan sejarah penting zaman revolusi China dahulu, Tauke Tung Yen, adalah orang yang membantu Dr Sun Yet Sen dalam menjana dana untuk Revolusi China 1911. Beliau juga yang menjemput Dr Sun ke Kuala Pilah sebelum 1911.


Jalan Tung Yeng, Kuala Pilah
Kini Tokong Sam Seng Keong adalah monumen penting sejarah Negeri Sembilan dan Kuala Pilah. Ia juga merupakan tarikan sejarah bagi sektor pelancongan negeri.

Cicit Tauke Tung Yen, Tang Jayson adalah seorang peguam yang turut aktif dalam politik kini merupakan Pengerusi Penggerak Jelebu dan Setiausaha Penggerak Negeri Sembilan.


Senjata Tangan Nusantara: daripada hobi menjadi koleksi

Teringat semasa usia sembilan tahun dulu, abah aku mempunyai tiga dulang senjata tangan Nusantara yang pelbagai jenis.

Keris, badik, rencong, pisau belati, semar, pedang, golok memang ada waktu itu. Aku dengan adik perempuan yang tua kerap belek dan buat mainan senjata-senjata tangan itu semasa abah keluar bekerja.

Minat aku kepada senjata tangan Nusantara tercetus selepas berkahwin. Tahun 2009 aku telah memiliki sebilah badik berwafaq yang dibeli secara online. Aku jenis tak menaruh harapan diberi pusaka seperti senjata tangan lama sebab aku lebih suka berusaha mencari daripada berharap untuk mempusakai sesuatu yang memakan masa. Itu sebablah aku mengumpul senjata-senjata tangan Nusantara.

Mulanya dulu sekadar hobi seperti aku mengumpul syiling-syiling lama. Namun lama kelamaan jiwa dan semangat terdorong untuk memiliki senjata tangan yang bersifat sepuh, antik dan ada aura besi.

Terus terang kata, aku masih tahap 'beginner' atau 'budak baru' tentang senjata tangan Nusantara. Tetapi itu bukan bermakna aku tak membuat kajian dan selidik maklumat berkaitan.

Senjata Pertama dan terawal
Senjata tangan pertama yang aku miliki adalah badik berwafaq, hulu dan sarungnya mirip seperti pakaian golok tapi saiz sisip. Ia jenis senjata latihan yang digunakan oleh pesilat. Masa ini aku masih mentah tentang ciri-ciri senjata. Tak dapat membezakan senjata baru atau lama.

Kemudian aku membeli sebilah badik Sumatera dan tumbok lada. Kedua-dua ini adalah jenis senjata cenderamata iaitu senjata tangan yang dibuat khas sebagai hadiah atau hiasan dan bukan sebagai senjata kegunaan sebenar serta tempur. Aku beli membeli juga secara online melalui website Borneo Artifact.

Lebih kurang tahun 2015, aku jual dua senjata awal ini iaitu badik berwafaq dan badik Sumatera. Tinggal yang masih dalam simpanan tumbok lada.

Koleksi Peribadi 
Selepas tahun 2015, minat aku kepada senjata ini menjadi suam dek kerana bertumpu urusan kehidupan yang lain. 

Tahun 2020 menjadi balik minat aku, awal tahun aku telah memiliki dua bilah keris. Ini keris terawal aku. Keris pertama iaitu Keris Lurus Palembang dan Keris Putut (yang berpakaian Semenanjung). 

Keris Lurus Palembang ini buatan tahun 1970 yang sudah berusia 50 tahun. Manakala keris putut itu adalah keris kodi buatan baru tetapi mempunyai pamor yang cantik. Namun aku telah tukar (barter trade) dengan peniaga barang antik untuk mendapatkan sebilah badik.

Asalnya hanya ada tiga bilah senjata, kemudian selepas bulan Mac 2020 (spesifik apabila PKP dilaksanakan) aku telah mulai mengumpul senjata-senjata tangan Nusantara secara aktif.

Setakat ini sudah ada 18 bilah senjata tangan Nusantara pelbagai jenis daripada keris, badik, tumbok lada, keris semar, pedang dan lembing. 

Gangguan Mistik Senjata Lama
Sepanjang aku mengumpul senjata-senjata tangan Nusantara ini, masih terpelihara daripada sebarang gangguan pelik, misteri dan mistik. Mungkin sebab aku tak pedulikan hal pelik-pelik seperti segelintir orang fikirkan. Asalkan simpan keris je, mesti dikaitkan dengan saka lah, hantu lah, jin lah....ini bentuk pemikiran sempit. 

Macam pengumpul setem atau syiling, aku sentiasa mahu mendapatkan lagi bilah-bilah senjata tangan Nusantara yang jenis lain. Aku anggap ia warisan yang patut dipelihara untuk tatapan generasi atau keturunan aku nanti. 


Wednesday, December 23, 2020

Ulasan Album: Di Pintu Sepi-SEARCH

Sebenarnya aku antara pendengar yang terlewat meminati album Search walaupun semasa lagu Isabella meletup hujung 1980an dulu, aku bangga menyanyikan lagu ini. Antara album Search yang aku ada adalah Di Pintu Sepi (CD) yang dikeluarkan semula oleh Universal Music Sdn Bhd pada tahun 2015.

Secara jujurnya aku bukan 'die-hard fans' Search tetapi peminat kepada muzikal Search. Itu sebab aku hanya ada satu-satunya album Search yang ini. 

Album ini adalah sebuah karya yang menghimpunkan lagu-lagu terbaik Search daripada dua album terdahulu iaitu Cinta Buatan Malaysia dan Langit & Bumi. Hanya empat lagu empat (4) lagu baru yang dimuatkan iaitu Di Pintu Sepi, Setelah Hujan, Kepala Angin dan Gadis Ayu.

Album ini versi kaset dikeluarkan pada tahun 1988 di bawah Polygram Records yang diterbitkan oleh M.Nasir 

Tiga lagu lama yang dipetik daripada album 'Langit dan Bumi' adalah Rozana, Meniti Titian Usang dan Kau Pergi. Manakala tiga lagi lagu lama dipetik daripada album 'Cinta Buatan Malaysia' adalah Musafir, Cinta Sepi dan Kejora.

Jika diteliti, ada perbezaan sound yang membezakan kualiti rakaman daripada tiga material berbeza. Lagu Di Pintu Sepi, Setelah Hujan dan Gadis Ayu mirip sound album Mentari Merah di Ufuk Timur kerana ia dikatakan telah dirakam semasa proses pembikinan album tersebut. Manakala lagu Kepala Angin sound agak mendam mirip frekuensi siaran tv kerana ia lagu yang dipetik daripada runut bunyi filem Kepala Angin. Walau bagaimana pun, keseluruhan album Di Pintu Sepi ini sedap didengar kerana ia lagu-lagu yang mudah diingati dengan melodi yang catchy.

Aku menilai daripada aspek permainan drum Arwah Yazit. Tiap lagu dalam album ini ada keistimewaan rentak drum bass, drum rolling dan stroke yang menjadi 'identiti khas' lagu. Ia bukan menghidangkan bentuk drumming tipikal ala-pop rock band hujung 1990an. Drumming Yazit progresif dan odd-beat. 

Walaupun anda mendengar lagu-lagu rock ballard (balada) seperti Setelah Hujan dan Rozana, kedua-dua lagu ini ada perbezaan ketara bahagian drumming. Trademark Yazit adalah bentuk drum rolling dan rentak drum bass. Rozana dan Setelah Hujan membuktikan kelainan dan kepelbagaian rentak dan stroke drum beliau. 

Kiraan tempo odd-beat dan jatuhan pukulan snare & cymbal ibarat rentak melingkar dan bertingkah yang mencorak tenaga lagu agar tidak bosan didengar.

Lagu Kepala Angin sangat berlainan watak dengan sembilan lagu lain kerana ia bercorak sinikal, funky dan tidak berat liriknya. Sesuai dengan objektif filem Kepala Angin.

Penulisan lirik dalam lagu ini banyak menyentuh aspek kerohanian sufi seperti Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Musafir, Cinta Sepi, Kejora dan Kau Pergi. Era rock 80an sangat menarik kerana garapan lirik kerohanian sufi ini sangat kreatif dengan susunan bahasa yang tinggi nilai kesusateraan Melayu. Penyampaian dakwah secara langsung tanpa menggunakan perkataan atau ayat terus seperti nasyid menjadikan ia 'senjata halus' yang memikat hati, jiwa dan perasaan untuk pendengar meghayati maksud lirik. Seni berdakwah seperti ini sudah tidak begitu digunakan dalam karya-karya era millennium.

Farasu Bakal Tampil Karya Baru 2021

Farasu genap usia 18 tahun pada 12 Disember 2020 dan kini giat berlatih beberapa lagu baru yang dijangka akan dirakam awal tahun 2021 nanti.

Ketika tulisan ini dicoret, sudah ada lima lagu yang telah siap susunan riff, melodi dan lirik sementara lima lagi lagu masih dalam proses gubahan walaupun sudah ada lirik.

Kami menjangkakan pertengahan tahun 2021 untuk melahirkan material terbaru nanti.

Konsep Nusantara Metal masih menjadi tunjang utama dalam karya akan datang.
Sebarang perkembangan semasa band boleh diikuti menerusi page FB rasmi Farasu https://www.facebook.com/farasuthetruly

KEEP METAL ALIVE!