Sunday, January 3, 2016

Jogjakarta: beza bahasa berkongsi budaya

Jogjakarta...dahulu merupakan ibukota bagi negara Indonesia sebelum berpindah ke Jakarta. 

26 Disember 2015 lepas adalah kali kedua aku menjejakkan kaki ke kota yang terletak di Jawa Tengah ini. Kali pertama adalah pada tahun 2006 lalu. Namun waktu kali pertama itu, aku tidak begitu teliti untuk mencatat sebarang detik peristiwa. 

Cuma kali ini, setelah sembilan tahun berlalu ditambah pula dengan kecanggihan teknologi maklumat seperti FB, WhatApps, Twitter dan sebagainya memudahkan segala detik peristiwa menjadi catatan pantas di hujung jari.

Walaupun jarak Malaysia dan Jogjakarta beribu batu, namun sepanjang pengamatan dan pemerhatian rambang aku selama tiga hari di sana, terlalu banyak persamaan budaya hidup antara masyarakat Jogja dan Malaysia. Cuma yang membezakan adalah lenggok bahasanya. 

Cara berpakaian, makanan, gaya hidup dan suasana masyarakatnya tidak jauh beza seperti kehidupan manusia di Petaling Jaya, Kuala Lumpur atau Kelang. Masyarakat Jogja agak 'stylo' dari segi berpakaian dan sangat jauh beza dengan warga Indonesia yang menjadi tenaga buruh di Malaysia. Mungkin buat orang Malaysia yang tidak pernah ke bumi Jogjakarta atau Bali atau Jakarta, mereka masih tergambar akan perspektif gaya pakaian orang Indonesia yang berada di Malaysia. Memang terlalu kontra!

Jogja juga merupakan wilayah bertaraf istimewa kerana Gabenornya adalah Raja Mataram yang masih kekal institusi beraja hingga kini. 

Orang Melayu Malaysia yang kebanyakannya dipengaruhi oleh stigma 'makanan halal haram' tidak perlu gusar kerana Jogja dihuni oleh 90 peratus warga beragama Islam. Jogja dikelilingi oleh banyak masjid, surau, musolla dan sekolah-sekolah agama. Suasananya seperti di Kelantan ataupun Taman Medan, Petaling Jaya. Apabila masuknya waktu solat, seluruh kawasan akan kedengaran laungan azan secara serentak. 

Harus diakui suasana persekitaran Jogja agak bersih dan kemas serta tidak begitu serabut. Sudah ada perbezaan besar dari segi pembangunan infrastruktur berbanding yang aku lihat sembilan tahun dulu.

Antara makanan tempatan yang begitu membuka selera aku adalah ayam goreng (gambar kiri) yang dihidang bersama tempe, tauhu, daun selasih dan penyetannya (penyedap) iaitu sambal hijau.

Makanan ini wajib dicuba dan tidak patut diabaikan jika anda ke Jogjakarta dan tidak mahu terikat dengan selera nasi padang Minangkabau yang begitu banyak di sekitar Jogja.

Satu lagi yang perlu dicuba adalah minuman TEBS, Tea Cooler. Aku kali pertama mencubanya ketika ke Jakarta pada bulan Oktober 2015. 

Uniknya tea cooler ini ada campuran air epal dan gas. Memang sempoi dan walla!

Maka jangan gagal untuk mencuba dan mendapatkan minuman ini. Sebenarnya ada bermacam perisa tetapi Tebs yang rasa epal ini memang terbaik.

Keistimewaan Jogja juga kerana banyak pokok herba yang digunakan dalam perubatan ditanam oleh penduduknya. Setiap lorong, simpang dan jalan sekitar Jogja tidak akan terlepas adanya pelbagai pokok herba. Antaranya misai kucing dan bonglai. Cuma pokok bonglai di sini lebih besar daripada yang terdapat di Malaysia. Mungkin faktor tanah gunung berapi yang menjadikan ia sangat subur. 

Kawasan-kawasan berhampiran dengan Jogja seperti Magelang, Borobudor, Kliteran, Muntilan dan Sleman mempunyai keistimewaan tersendiri.    

Sleman dan Muntilan begitu banyak kelihatan pokok salak ditanam secara besar-besaran. Malah penjualan buah salak di sekitar Sleman dan Muntilan begitu rancak. Muntilan pasti menjadi pusat penanaman utama dan pengeluar utama buah salak di Jogjakarta dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Magelang juga banyak kelihatan industri pertukangan kayu ukir, seni batu pahat dan hiasan. Maka memang banyak bengkel seni batu pahat boleh dilihat sepanjang jalan menuju ke Borobudor. 

Catatan bersambung.....

1 comment:

PAK HARIS said...
This comment has been removed by a blog administrator.