Thursday, March 24, 2016

Imbasan 2015: Farasu melangkah aktif & agresif!

2015 menjadi tahun aktif dan sibuk buat Farasu. Penghujung tahun 2014 band ini telah membuat perubahan barisan anggotanya. Agak istimewa kerana penghujung 2012 juga Farasu telah melalui proses yang sama. 

Anggota Farasu menerima kemasukan vokalis (Shah Zaini), lead gitaris dan bassist (Apai) pada penghujung tahun 2012. Namun begitu pada penghujung 2014, iaitu semasa proses rakaman album 'Against Tyranny' sedang dijalankan, Farasu telah membawa masuk Ordil Jay Sven (gitaris Xtroverts/ Elgranade) dalam barisan anggota band.

Beliau sempat melalui proses rakaman bahagian lead beberapa lagu. Awal tahun 2015, Farasu muncul dengan album kedua-Against Tyranny. Suatu penampilan yang menongkah arus kebiasaan metal dari segi kulit album. Album tersebut telah menggunakan warna coklat berbanding warna hitam yang menjadi pilihan kebanyakan band metal sebagai warna 'tegar' metal.

                  'Tour Against Tyranny 2015'
Bermodalkan album terbaru ini, Farasu telah menyusun strategi bagi memulakan gerak kerja progresif dalam scene muzik metal. Sasaran pada tahun 2015 adalah menembusi pasaran kelompok muda dan memasuki scene muzik selain metal bagi melebarkan pengaruh.

Beberapa gig dalam negara khususnya di Kuala Lumpur, Alor Setar, Johor Bahru, Kajang, Seberang Jaya dan Butterworth disertai oleh Farasu dalam usaha tersebut. Ia adalah sebahagian daripada jelajah Against Tyranny 2015 bagi memperkenalkan album peringkat tempatan.

Menyertai 'Mainstream Event'
Memikirkan betapa perlunya meluaskan pengaruh dan membesarkan rangkaian, Farasu telah 'menongkah arus' menyertai beberapa acara muzik peringkat arus perdana. Usaha ini adalah langkah strategik yang disusun bagi melebarkan 'keberadaan' Farasu dalam scene muzik tanahair.

Farasu telah menyertai acara 'Urban Street Fest' yang berlangsung di Dewan KBS, Bangunan Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya. Walaupun kali pertama muncul di acara ini, namun sambutan ribuan crowd muda generasi baru terhadap persembahan Farasu cukup menggalakkan.

Ketika itu juga, terlintas di benak fikiran setiap anggota band akan adakah crowd yang 'headbanging' semasa persembahan. Ia pengalaman menarik dan memberi inspirasi bahawa tanpa menggerakkan 'langkah menembusi' pasaran arus perdana, kita tidak akan dapat melihat erta menilai potensi sebenar muzik metal. Maka jawapan hakikat telah dizahirkan dalam acara ini muzik metal tetap punya peminat di arena mainstream!

Penghujung tahun 2015 menjadi penutup yang terbaik buat Farasu. Mungkin berkat usaha dan kegigihan berjuang, kami diberi peluang membuat persembahan di Konsert Wings 30 Tahun bersama beberapa band DIY di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ia memberi impak yang sangat besar terhadap perjalanan muzik Farasu sejak 2002.

Lebih mengujakan dan menjadi idaman seluruh band rock seluruh negara apabila Farasu mendapat slot persembahan di Noisy Stage, Rock The World 15 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Sejarah ini cukup memberi sentimental emosi kerana ia berlangsung pada tarikh ulangtahun penubuhan Farasu ke-13 tahun pada 12 Disember 2015.

Ia umpama hadiah harijadi teristimewa Farasu! Aku dan Nahaq paling terkesan dengan acara muzik terbesar di Malaysia ini kerana sejak 13 tahun perjuangan kami sejak detik awal tertubuhnya Farasu, kami dapat mengecapi nikmat di sebuah konsert rock terbesar negara! Begitu juga dengan Farasu Bros. yang lain seperti Apai dan Ordil Jay Sven yang lebih awal menapak dalam scene muzik DIY tanahair merasai nikmat ini.

Farasu menutup persembahan 2015 dengan menawan pentas Jogja Brebeg 2016 dua minggu selepas Rock The World. Kehadiran kami ke bumi Jogjakarta sangat bermakna kerana ia adalah kali kedua Farasu bermain dalam acara sama pada tahun 2007 lalu. Sambutan kali ini sangat meriah dengan lonjakan tenaga yang luarbiasa daripada ribuan crowd Jogja Brebeg.



No comments: