Sunday, November 2, 2014

Dansa Lagu-Lagu P.Ramlee di Keramat Durjana!

Satu lagi pengalaman baru buat Farasu diberi ruang dan peluang membuat persembahan dalam gig 'new-blood' selepas Gegey Fest 2014 beberapa bulan lalu.

Keramat Durjana Festival 2014 merupakan antara acara muzik generasi yang melayani konsep muzik 'tumbok tanah' yang sememangnya berbeza dengan acara muzik metal tepu!

Tema kali ini adalah setiap band wajib mempersembahkan lagu-lagu P.Ramlee. 

Kami sangat teruja untuk menampilkan persembahan di pentas Keramat Durjana. 

Acara muzik ini berlangsung pada 1 November 2014-Sabtu lepas di Alt, Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang , Kuala Lumpur.

Gig ini bermula lewat sejam lebih daripada yang dijadualkan. Pasukan penganjur pun kelihatan sekitar jam 2:30 petang dan membuat persiapan dalam tempoh sejam untuk melangsungkan acara.

Anggaran dalam jam 4:30 petang acara telah dipecah-pentas oleh Art Of Tears, pembukaan muzik newwave American Metal (ni ikut telinga dan kefahaman aku lah). Band ini terdiri daripada anak muda remaja awal 20an yang hanya mempersembahkan tiga lagu sahaja.

Sekitar jam 5 petang tiba giliran Farasu mengambil alih pentas persembahan. Aku rasa ada sedikit gementar walhal untuk tiga minggu berturut-turut Farasu telah terlibat dengan acara pentas sebegini. 

Kehadiran crowd agak memberangsangkan walaupun pada permulaan seperti tiada penonton di lapangan. Kebiasaan pada setiap pembukaan persembahan awal, crowd masih tersipu-sipu atau hendak simpan tenaga untuk maju ke depan pentas bagi sesi headbanging dan tumbok lantai!

Aku lihat untuk Keramat Durjana ini crowd kebanyakannya adalah pengikut-pengikut muzik bawah tanah tempatan. Tiada seorang pun kelibat pengikut-pengikut IMKL yang sentiasa wajib hadir dalam acara muzik sebegini. Acara tahunan ini sudah ada pengikut-pengikutnya tersendiri.

Persembahan Farasu
Kami memulakan acara memecah pentas dengan lagu cover P.Ramlee iaitu 'Bunyi Gitar'. Ini kali pertama Farasu membawa lagu 60an dalam persembahan. Oleh itu, sesiapa yang gagal hadir pada hari tersebut amatlah rugi kerana kami mempersembahkan Bunyi Gitar dalam versi Farasu dan tidak akan diulang-main dalam lain-lain acara muzik! 

Rasa gementar aku lenyap dengan melihat sambutan crowd pada persembahan lagu pembukaan ini. Berdansa sambil headbanging!

Seterusnya selepas tamatnya sesi berdansa dan sesi merapu singkat daripada vokalis kami, Farasu mempersembahkan sebuah lagu baru iaitu 'The Truly'. Sesi memecah pentas kemudiannya bersambung dengan sebuah lagi lagu baru iaitu 'Marhaen's Blood'.

Sementara Shah Zaini menyambung sesi cerabih singkat sambil diiringan petikan melodi lagu 'Di mana kan ku cari ganti' oleh Nahaq, kami yang lain mengambil kesempatan menghela nafas merehatkan sejenak kepenatan memecah pentas!

Sebuah lagi lagu cover P.Ramlee diperdendangkan iaitu 'Hoi Ho Ya Hoi (Penyamun)' dalam versi Farasu. Maka sekali patah perkataan ini diulang; Oleh itu, sesiapa yang gagal hadir pada hari tersebut amatlah rugi kerana kami mempersembahkan lagu ini dalam versi Farasu dan tidak akan diulang-main dalam lain-lain acara muzik!

Kami meneruskan lagi acara dengan sebuah lagu daripada album 'Menongkah Arus' iaitu Keris Songsang. Crowd telah semakin berani mara ke hadapan pentas untuk bersama merasai henjutan muzik Farasu.

Persembahan diakhiri dengan satu lagi lagu cover iaitu 'Holy Diver'. Ntah nak ulas apa?

Secara keseluruhan bagi persembahan ini, kami berpuas hati kerana sekali lagi Farasu dapat memperdengarkan muziknya dan mempamerkan persembahan bertenaga kepada crowd generasi baru yang bukan metal tepu! Inilah kami, Farasu sebuah band metal membawa acuan eastern melodic death metal dan ingin bersama dengan semua generasi muzik tanpa mengira kelompok tumbok lantai, henjut-henjut, pogo dan sebagainya kerana mahu muzik Farasu dihayati dan memperkembangkan pengaruhnya!

Terima kasih kepada pihak penganjur yang menjemput kami bagi acara kali ini. Ia sesuatu yang amat dihargai. Cuma sedikit cadangan kepada pemilik venue, tolong beli Tom 2, hi-hat stand dan stand snare yang baru. Jujur cakap, stand snare yang dah rosak itu sebenarnya menyukarkan aku nak menhentak snare. Venue ini berada di lokasi strategik, maka sewajarnya kelangsungan operasinya itu harus tampil dengan keperluan yang terjaga baik dan sempurna. Sekian!

2 comments:

PAK HARIS said...
This comment has been removed by a blog administrator.
IBU TUTI TKI SINGAPUR said...
This comment has been removed by a blog administrator.