Wednesday, December 10, 2014

Bagan Metal Headbangers 2014: mencetus kerancakan scene muzik di Pulau Pinang!

BAGAN METAL HEADBANGERS
6 Disember 2014
Inspirasi Maya Studio,
Butterworth, Pulau Pinang.


Ini merupakan gig metal yang pertama kali dilangsungkan di Bandar Bagan (Butterworth) pada tahun 2014. Ada juga gig yang diadakan di Seberang Jaya yang berhampiran dengan Bandar Bagan.

Farasu pernah berkunjung ke negeri ini pada tahun 2010 lalu iaitu gig anjuran Encik Shah Vokill (yang kini hilang entah ke mana) yang berlangsung di Soundmaker Studio, Bandar Tanjong (Gerogetown).

Gig anjuran bersama Studio Inspirasi Maya dan Metal Headbangers ini bermula mengikut masa yang dijadualkan iaitu pada jam 4:30 petang. Pandorath telah memulakan acara pecah pentas. Kemudian setengah jam kemudian disusuli oleh B.W.O dan seterusnya Cakerawala. Aku tidak dapat mengulas persembahan mereka kerana tidak berada di kawasan kejadian ketika itu!

MERENGGAH
Aku tiba di lokasi kejadian pada jam 6:55 petang. Ketika itu band Merenggah sedang bersiap-sedia di pentas. Acara dihentikan seketika bagi menghormati azan Maghrib. Tepat jam 7:20 malam, Merenggah memulakan persembahan! 

Keramahan duo-vokalis Merenggah yang pekat likat dengan loghat utara menjadi suasana agak ceria. Tambahan pula kesemua anggota band ini beraksi dengan ligat walaupun masing-masing sudah menjadi remaja tua! 

Persembahan mereka bertenaga dan mendapat sambutan penonton yang menghayunkan kepala masing-masing. 



TRAGICA
Selesai Merenggah membanting keringat di pentas, tampil pula satu lagi band melodic death metal dari Bukit Mertajam, iaitu Tragica. Sebuah band yang menampilkan irama death metal persis Dark Tranquility dan Dissection. Tragica memulakan rentak persembahan sekitar jam 8:15 malam. 

Agak menarik kerana para penonton tetap berada di lokasi kejadian untuk melayan 'keganasan' irama Tragica.

Vokalisnya begitu bersemangat melontarkan laungan suara tanpa segan silu. Cuma gitaris-gitaris Tragica bermain dengan sopan pada malam itu. Aku mengharapkan pada persembahan mereka pada masa-masa seterusnya akan lebih agresif dan tidak segan silu 'merobek' suasana pentas!


Farasu bermandi peluh!
Kini tiba giliran kami untuk meneruskan acara merobek pentas. Sekitar jam 9:00 malam Farasu memulakan alunan muziknya. 

Lagu baru menjadi pembukaan persembahan iaitu 'The Truly'. Selesai sahaja lagu ini dimainkan, sebuah lagi lagu baru 'Marhaen's Blood' diperdendangkan dengan penuh bertenaga. Sekilas aku memandang ke arah depan, kesemua anggota Farasu dengan penuh keterujaan menghayunkan kepala masing-masing sambil membuat persembahan.

Waalaupun gig ini berskala kecil dengan keluasan lokasi kejadian berkapisiti padat maksima 150 orang, kami tetap memberi persembahan bertenaga sebagaimana persembahan di pentas-pentas besar!

Lead gitaris Farasu, Mamu Ordil Sven antara yang ligat kerana Bandar Bagan adalah tanah tumpah beliau dan sudah pastinya suatu kepuasan bermain di tempat asal.

Persembahan seterusnya bersambungan dengan lagu dari album 'Menongkah Arus' iaitu Tangisan Malam dan Keris Songsang.


Lagu tribute kepada Ronnie James Dio menjadi pilihan kami bagi mengakhiri acara merobek pentas malam itu. Para penonton memberi respon baik dengan turut sama mengalunkan melodi intro nyanyian lagu 'Heaven & Hell'. Kami mempersembahkan lagu tersebut dalam versi sendiri. Seterusnya sebuah lagi lagu cover Dio iaitu 'Holy Diver' menjadi penutup mutlak persembahan Farasu.


DAMAQ
Tamat persembahan Farasu, band melodic black metal dari Kulim iaitu Damaq mengambil pentas.

Damaq yang juga baru mengeluarkan material terbaru, album bertajuk 'Nafs'.

Aku secara jujur tidak pernah mendengar material terdahulu Damaq, namun dari segi persembahan muziknya bagus.

Namun dari segi persembahan pentas, mereka terlalu bersahaja dan agak sopan walaupun muzik mereka alunkan agresif dan laju.

Mereka harus menampilkan persembahan pentas yang agresif seiring muzik pada persembahan-persembahan akan datang.


Penutup acara merobek pentas diakhiri oleh sebuah band baru dengan nama yang unik, Lari Malam berasal dari Pendang, Kedah. Band ini mempunyai potensi masa depan yang baik jika mereka kekal berkarya secara kreatif.

Aku melihat dari segi kawalan 'sound' dan permainan agak baik cuma mereka perlu mempertingkatkan persembahan pentas.

Vokalis band ini yang paling agresif dan aktif memperagakan emosi nyanyian tanpa segan silu. Gaya beliau menjadi tumpuan dan menyelamatkan Lari Malam yang sopan merobek pentas.

Nampaknya kebanyakan band di utara ini masih dicengkam rasa malu atau bergaya sopan di pentas. Namun untuk Lari Malam boleh dikecualikan kerana mereka masih muda dan mempunyai peluang serta ruang untuk mempelajarinya.

Secara keseluruhan, acara merobek pentas Bagan Metal Headbangers berjalan lancar. Menurut krew Studio Inspirasi Maya ini adalah penganjuran gig metal pertama di tempat mereka. Pihak studio sebelum ini terlibat dengan dengan pertunjukan dan persembahan pentas terbuka. Kehadiran crowd juga memberangsangkan. Lokasi kejadian ini berpotensi besar menjadi pentas gig metal yang penting di kawasan Seberang Perai khususnya dan utara Semenanjung Malaysia secara am.



1 comment:

PAK HARIS said...
This comment has been removed by a blog administrator.