Thursday, December 27, 2012

Trip Hujung Tahun: Kuala Terengganu Bahagian dua

Mentari terbit di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu
Lokasi: Indah Beach Resort, Jalan Pantai Batu Burok

Perjalanan untuk berkunjung ke banyak tempat di sekitar Kuala Terengganu agak terbatas kerana hujan kerap turun. Aku mencadangkan jika nak berkunjung dan bercuti ke Terengganu, sebaiknya biarlah di luar musim tengkujuh. Hari ketiga barulah aku dapat melihat matahari terbit di Pantai Batu Burok kerana sebelum itu suasana di Kuala Terengganu dicengkam cuaca mendung.

Hujan yang turun di sini sangat lebat, tidak ada petanda bunyi guruh dan petir menyambar sebagaimana di Pantai Barat Semenanjung sebelum hujan tetapi dapat diketahui dengan suasana angin yang bertiup sangat kuat. Suasana angin yang bertiup kuat itu dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut menyebabkan ombak di sini sangat besar dan berlapis-lapis.

Selepas isteri aku habis tugas-tugas menyelia peperiksaan PJJ Upm di sini sekitar jam 5 petang, barulah kami berkesempatan ke Pasar Payang.

Ini adalah antara kawasan penting pelancongan di tengah Bandaraya Kuala Terengganu. Aku tengok ramai rombongan dari Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang datang ke Pasar Payang ni. Tingkat atas pasar ini majoritinya menjual pakaian-pakaian batik, baju kelawar (baju tidur) dan kain batik. Ada 3-4 kedai sahaja yang menjual keropok pelbagai jenis dan ada satu kedai yang menjual senjata (parang, golok, keris, pedang samarui, pedang berkalimah dll).

suasana sesak di luar Pasar Payang...
mengalahkan sesak di KL
Satu perkara yang aku perasaan sejak datang ke Kuala Terengganu adalah jalan sesak yang mengalahkan sesak di KL atau PJ. Antara yang sesak dengan kereta memenuhi ruang jalan adalah Jalan Sultan Zainal Abidin di sepanjang Payang Walk hingga ke Pasar Payang, Persimpangan Mydin, Jalan Sultan Mohamad dan Jalan Tuanku Mizan. Orang tempatan dan pelancong-pelancong dalam negeri bertumpu di kawasan-kawasan ini (Pasar Payang, Mydin KT, Losong) yang menyebabkan laluan sesak.

Aku dan keluaga berangkat balik ke KL pada 24 Disember 2012 seawal jam 9.30 pagi untuk mengelak hujan lebat yang kerap turun selepas tengahari dan banjir yang telah mula melanda beberapa daerah berhampiran Kuala Terengganu seperti di Setiu, Dungun dan Marang. Syukur sepanjang perjalanan di Terengganu mengikut laluan jalan pantai KT-Dungun-Kemaman lancar dan selamat. Cuma ketika melalui kawasan Cherating hingga ke Kuantan, hujan turun sangat lebat pada hari itu. Berita turut melaporkan Kuantan dilanda banjir kilat kesan hujan lebat tersebut.


Pemandangan di belakang Jalan Kampong Cina, KT

Suasana mendung awan hitam di Pantai Batu Burok

Friday, December 21, 2012

Trip Hujung Tahun: Kuala Terengganu

Ini adalah kedatangan kali kedua aku ke Kuala Terengganu. Sepatutnya yang kali pertama ketika berlaku Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2009 dulu. Namun atas sebab-sebab teknikal niat kehadiran 'pertama' itu terpaksa dibatal saat akhir.

Hajat menjejak kaki buat pertama kali di bumi Terengganu tercapai ketika Pemilihan Organisasi Parti Keadilan Rakyat pada penghujung tahun 2010 lalu. Masa itu juga aku menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu (sebab nak jaga pemilihan parti di Kuala Nerus). Pengalaman paling menarik untuk kedatangan kali pertama itu adalah menjaga dan menjalankan urusan pemilihan peringkat Cabang Kuala Nerus yang dilabelkan sebagai 'panas' dan bos aku di ibupejabat maklumkan kemungkinan berlaku pergaduhan. Huh...

Jangkaan itu benar-benar berlaku tetapi 'keceramukan politik' itu berlaku selepas korum mesyuarat membuat keputusan untuk membatal dan menunda proses pemilihan tersebut. Jadi kerja aku menjadi ringan sebab tak perlu menjalankan pemilihan. Kemas dan balik. Kesilapan komunikasi antara pihak-pihak bertanding menyebabkan berlaku aksi-aksi 'kungfu fighting' tetapi berjaya dihalang dan segera diredakan. hahahaha..inilah trip 'out station' yang agak gempak. Sekarang jika teringat itu adalah pengalaman istimewa.

Trip KT 2012
Photo: Pantai Batu Burok

Semalam (20 Disember) aku tiba sekali, buat kali keduanya ke Kuala Terengganu. Kali ini menemankan isteri tercinta yang ditugaskan untuk mengendalikan peperiksaan bagi PJJ UPM. 

Sebelum ini, isteri tercinta kerap menemankan aku ke Temerloh dan Kuantan semasa Pemilihan PKR 2010 lalu. Jadi ini peluang dan giliran aku untuk membuat perkara yang sama.

Atas sebab ini juga, aku membatalkan gig Farasu di Bandar Baru Bangi pada 22 Disember 2012. Aku berterima kasih jugak pada gitaris Farasu, Nahaq yang sangat memahami situasi ini. 

Teringat kata-kata dari sahabat sekerja sejawatan dari Terengganu, Tengku Roslan yang pernah menyebut ketika satu 'retreat' pimpinan di Kuantan tahun lepas. Dia nyatakan bahawa kalau di Terengganu ombak lautnya besar-besar dan berlapis. Setakat mcam Port Dickson tu, biasa sahaja. Memang betul perkara yang dicakapkan itu dan aku sendiri melihatnya di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu ni.

Photo: Kawasan yg dikata ada arus bawah yg mbentuk pusaran di Pantai Batu Burok...patutlah xada org mandi manda kt sini?!
Antara kawasan di Pantai Batu Burok
yang mempunyai pusaran air di dasarnya
Kebetulan tempat aku menginap betul-betul mengadap Pantai Batu Burok. Kedudukan Intan Beach Resort sangat strategik dan bilik aku betul-betul mengadap laut. Sesuatu yang berbeza untuk dibandingkan dengan suasana pantai di Telok Kemang adalah angin di sini bertiup sangat kencang dan hanya akan reda selepas tengah malam. Bunyi ombak menghempas pantai sangat kuat dan aku sendiri tidak pasti waktu pasang surut air laut di sini sebab tengok sama saja dari siang dan malam.

Hempasan ombak di Pantai Batu Burok sentiasa bertali arus takde putus dan ia menjadi semacam 'trademark' pantai peranginan ini yang menyimpan pelbagai kisah kejadian mati lemas dan misteri yang lain.

Aku agak teruja untuk mandi dan berenang dalam suasana ombaknya yang menggerunkan itu (sebab berlapis-lapis dan berbuih-buih serta menyebabkan wap air muncul bertebaran ke darat), namun agak menghairankan buat kali pertamanya tiada orang pun yang mandi hatta berenang di sini. Yang ada hanyalah beberapa nelayan tepi pantai yang membawa jala menanti sekumpulan ikan di balik ombak untuk ditebar!

Aku ada bertanya pada seorang pakcik yang berniaga layang-layang di pantai ini, mengapa tiada orang mandi-manda di sini? Dia memberitahu yang kawasan ini dilarang mandi-manda kerana ada arus pusaran air di bawah air laut ini! Dia nyatakan arus itu sangat kuat menarik dan menyebabkan orang boleh terperangkap lemas ke bawah dasar laut! Wuh...agak menakutkan bunyinya dan gempak!

Setakat ini dulu kisah Trip KT 2012...tunggu kisah seterusnya!



Tuesday, December 18, 2012

Sedekad Farasu: meneruskan perjuangan!

Demo
"A Millenium of Madness" 2003
Aku hampir terlupa usia Farasu kini genap sudah 10 tahun pada 13 Disember 2012 lepas. Kesibukan dengan kerja-kerja politik meragut sedikit ingatan dan komitmen masa bersama Farasu. Namun itu hanya seketika dan jiwa muzik aku takkan tergadai dek kerana desakan kerja-kerja politik!

Aku sendiri semacam terasa baru semalam terlibat dengan dunia muzik metal tanahair dan seperti Farasu baru sahaja sebulan wujud. Terkenang waktu-waktu awal ketika pertemuan pertama aku, Nahaq dan Bul membincangkan penubuhan sebuah band di Restoran Azwath, Seri Serdang. 
MCD (2006)
The Blackmoon Eclipse

Kalau tak silap, perbincangan itu berlaku sekitar jam 10.30 malam. Kami bertiga juga jamming kali pertama jam 1.00 pagi di Studio Eruption. Lagu yang kami cuba adalah lagu-lagu dari Athotorgh- 'Bath In Sin' dan 'Serpent Scream'. Percubaan jamming ini menjadi dan serasi kerana kami sama-sama berminat dengan Athotorgh.

Farasu 2006-2007
Farasu sendiri telah melalui zamannya tersendiri dari segi perubahan keanggotaan band, persembahan, penghasilan material dan pengalaman meruncing yang hampir sahaja menguburkan band ini. Aku tidak pernah sekali menyerah kalah dan membiarkan Farasu hilang daripada peta muzik metal negara walaupun pernah suatu masa aku berseorangan memastikan 'keberadaan' band ini daripada ditelan asakan masalah-masalah lalu.

Farasu 2008-2011
Sesi temubual langsung Muzik FM-Rock Selamba
Mungkin Allah SWT menganugerahkan aku semangat juang yang tinggi dan syukur Farasu masih bertahan seadanya kini. Aku juga menyakini Nahaq mempunyai semangat juang yang tinggi tanpa mempedulikan asakan, kutukan dan tekanan yang mendatang. Atas sebab itu juga, kami masih kekal bersama dalam Farasu.

Bul kini menumpu urusan perniagaan dan keluarga. Komitmen beliau sangat diperlukan untuk menguruskan sebuah perniagaan keluarga yang sangat berjaya. Tanpa sokongan dan keterujaan beliau, mungkin penyatuan line-up awal Farasu takkan berjaya pada tahun 2008 lalu. Atas komitmen beliau juga Farasu turut berjaya menghasilkan album pertama 'Menongkah Arus' pada tahun 2010. Walaupun beliau tidak bersama dengan Farasu, semangat Bul tetap kekal bersama kami!

Material Baru

Perancangan Farasu yang dinyatakan sebelum ini masih berjalan lancar. Tahun 2013 akan datang bakal menampilkan material baru daripada kami. Ada yang kata Farasu sudah otai, namun secara jujur dan pandangan peribadi, aku tidak merasakan kami ini otai tetapi kami pemuzik tegar metal (pinjam ayat M.Nasir) yang masih teruja untuk terus menghasilkan karya kreatif tanpa mempedulikan asakan usia dan keadaan!

Logo terkini Farasu (2013)
Kami akan tampil dengan kelainan dan kreativiti baru serta tidak mahu dipengaruhi oleh trendy yang sering menjadikan kepelbagaian kreativiti terbatas. Farasu adalah Farasu. Muzik kami tetap berbeza.

Secara tidak langsung, kami telah memperkenalkan nama album yang bakal diterbitkan melalui usaha Nahaq. 'Against The Tyranny' menjadi pilihan (mungkin bertukar tajuk album bergantung kepada keadaan) yang bakal mempersembahkan lirik lagu-lagu bercorak keadilan sosial, penentangan kezaliman pemerintah dan kehidupan. Namun ada juga lagu yang menyentuh hikayat purba diselitkan. 

Keanggotaan terkini Farasu adalah;
Nahaq-gitar
Jo Yuhan-gitar
Apai-bass
Fidaiyyin-drum

Akhir bicara, aku tabik hormat atas komitmen, kesetiaan dan persahabatan kepada Nahaq & Bul dan keyakinan tiap-tiap individu yang pernah terlibat menjayakan agenda muzik Farasu.