Lagu ini secara rasmi telah dirakam dalam MCD The Black Moon Eclipse pada tahun 2006 lalu. Nama asal lagu ini dalam MCD itu adalah 'The Midnight Evil Spirit'. Pada album 'Menongkah Arus' tajuk lagu tersebut telah diubah kepada Tangisan Malam.
Kisah lagu
Senikata lagu ini (versi asal-english) telah ditulis pada tahun 2003 lalu yang terilham daripada kisah 'Green Lady' yang popular dikalangan pelajar-pelajar Uitm Shah Alam. Kebetulan ketika aku belajar di sana (1999-2003), aku sendiri terserempak dengan Green Lady tersebut.
Peristiwa itu berlaku sekitar tahun 2001 ketika aku lewat hadir ke kelas di dewan kuliah, kelas bermula jam 2.00 petang dan aku sampai ke dewan kuliah jam 2.30 petang. Suasana di luar dewan iaitu sepanjang foyer Menara Uitm berangin kuat dan mendung tetapi tidak hujan. Aku tak ambil kisah untuk memikirkan hal angin kencang yang tiba-tiba melanda puncak bukit Uitm itu.
Kelewatan masuk ke kuliah, aku pilih ikut jalan belakang dewan iaitu masuk secara senyap dari pintu belakang dewan. Setelah mendapat tempat duduk di hujung pintu belakang kanan dewan, aku tersentak terkejut kerana pintu belakang kiri dewan terhempas secara tiba-tiba ditup angin kencang.
Aku kemudian berpaling ke arah pintu yang tiba-tiba terhempas tadi, kemudian aku ternampak rakan kelas aku masuk dari pintu yang aku masuk tadi. Dalam hati berkata; "Ada jugak yang lewat dari aku...". Andaian aku itu meleset, rupa-rupanya rakan kelas yang aku sangka lewat sebenarnya telah lama berada dalam dewan kuliah dan duduk di barisan paling depan! Hati jadi cuak seketika. Tatkala menoleh semula pada 'rakan' kelas yang lewat tadi, dia berjalan ke arah aku kemudianya membelok naik menembusi barisan kerusi-kerusi di belakang aku!
Berderau darah aku dibuatnya! Inilah dia Green Lady yang sering diceritakan. Aku lihat depan mata sendiri. Berderau bukan takut tapi ketika dia berjalan ke arah aku, dia sempat menyimpulkan senyuman manisnya sambil memandang ke arah aku! Wuh...memang cantik, manis dan ayu. Tidak seperti yang digambarkan dalam cerita yang didengar itu. Tidak nampak wajah mengerikan, tidak nampak bajunya dibasahi darah atau lusuh-usang.
Aku sekadar membalas senyuman itu dan dalam hati terdetik berkata; "Maaflah aku salah sangka...mungkin kau berniat baik, semoga Allah memberkati laluan kau!". Kemudian dia terus hilang dipandangan dan aku sekadar merasa angin sejuk melintasi keluar ke pintu belakang kanan dewan bersebelahan aku!
Terpulanglah untuk mempercayainya atau tidak. Ini bukan khayalan rekaan penyedap cerita. Ia benar-benar berlaku.
Kejadian itu telah aku abadikan dalam lirik Tangisan Malam. Jika diteliti dan dihayati, anda akan memahami kisah tersebut.
Membantu yang mati
Sebenarnya Allah SWT meletakkan kemuliaan kepada manusia dalam banyak perkara. Itulah keistimewaan manusia sejak azali bermula daripada Nabi Adam a.s. Kisah 'Green Lady' itu sebagai ingatan kepada kita bahawa ada makhluk lain yang dijadikan di dunia ini memerlukan bantuan kita atas faktor kemuliaan itu.
Green Lady adalah roh wanita yang dikatakan telah membunuh diri yang aku tak pasti sebabnya. Kehadirannya roh tersebut selama ini adalah untuk memohon bantuan manusia melepaskan siksa kerana membunuh diri. Dia seakan tergantung di dunia nyata dan tidak lepas untuk ke alam barzakh. Keadaan itu menyebabkan kejadian bunuh diri itu sentiasa berulang dari masa ke masa.
Berkat sedikit pengetahuan tentang ilmu mistik, aku mampu memberi bantuan membebaskan belenggu tersebut dengan izin Allah swt. Rahmat ilahi, roh gadis itu bebas ke alam barzakh. Selepas itu, aku tidak pernah nampak kelibat roh Green Lady di sekitar kawasan foyer Menara Uitm. Wallahualam.
Sekadar perkongsian bersama, bahawa tiap-tiap amal ibadat kita yakni bacaan ayat-ayat suci bukan sahaja memberi rahmat kepada diri sendiri malah ia turut menebarkan rahmat kepada seluruh makhluk yang berada dengan diri kita. Itulah keistimewaan dan kemuliaan amal manusia anugerah Allah!
3 comments:
kola yg selamatkan dia... beranila ko nie bro... salute..
sekadar membantu bro...
Di asrama sekolah dulu pon ade hot story ni..
Post a Comment