Wednesday, December 21, 2011

Imbasan Kenangan Lalu: Kaki Kencing dalam Scene!

Sekali-sekali terkenang juga kenangan-kenangan lampau semasa zaman awal aku kenal scene metal. Peristiwa yang tak mungkin aku lupakan adalah kisah-kisah 'gempak' dan 'hebat' beberapa kaki kencing dalam scene. Mungkin pada masa kini, aku rasa masih wujud kaki kencing generasi baru.

Tujuan aku bukan untuk memalukan mana-mana individu tetapi sekadar menjadi panduan untuk diri dan kawan-kawan di luar sana untuk mengenali watak-watak kaki kencing ini.

Kisah Pertama

Kalau tak silap kisah ini berlaku pada tahun 2003 lalu. Kebetulan petang masa itu aku melepak di Terminal One. Kemudian aku dengan seorang kenalan bersiar-siar berjalan sekitar Terminal One dan singgah sebentar di Kedai Sopan. Dalam kedai ini, ada seorang mamat yang berjaket kulit dan out-fitnya macam seorang metal headbanger kental siap dengan boot hitam hi-cutnya. Aku pun diperkenalkan dengan mamat ini oleh seorang staf kedai.

Mamat ini nampak sangat-sangat teruja ketika bercerita dan memperlihatkan semangat metal yang kental. Aku pun dengar semua cerita-cerita beliau dengan tekun, maklumlah mamat ni lagi senior daripada aku. Dia dengan bangganya mengaku dia adalah pemain bass untuk sebuah band bernama Vulga (mohon maaf jika nama band ni wujud. Tiada niat untuk memburukkan band ini). Ketika itu, suasana metal macam agak suram. Mamat ini bersungguh-sungguh nak 'mentarbiahkan' semua pengikut metal headbanger seusia beliau untuk aktif semula. Katanya; "Dia orang ni semua nak kena dikejutkan balik, tak boleh tewas dengan keadaan!"

Tanpa mengetahui yang aku juga aktif dalam scene, mamat ini bersungguh-sungguh bercerita tentang kehebatan ketika perform dalam gig (mungkin bukan gig tapi dalam studio jamm je). Aku bersikap sangsi dan mula memandang rendah mamat ini sebab cakap-cakap dia agak gebang dan tak logik! Dalam hati aku tergelak je dengar kelentong mamat ini.

Terlintas dalam kepala aku mengajak mamat ini jamm session untuk setengah jam. Aku sebenarnya nak melihat sendiri samada mamat ini betul-betul boleh main atau sekadar seorang manusia biasa yang suka jamming.

Kami pun pergilah jamm di Elegance One Studio (tingkat bawah sekali Terminal One) untuk setengah jam. Memang benar dugaan aku, mamat ini sekadar kaki jamm yang menjadi pengikut metal tapi hanya individu biasa. Entah apa riff gitar yang dipetiknya (bunyi macam nyamuk) yang dikatanya thrash! Kemudian tak ikut tempo drumming aku. Tapi untuk tak mematikan mood, aku layanlah 2-3 lagu yang ntah apa-apa lagu.

Habis saja jamm, mamat ini secara tiba-tiba maklum nak gerak segera, ada urusan keluarga katanya. Kemudian dengan bangganya mamat ini kata dia akan bayar duit jamm. Esoknya aku dipanggil staf studio , katanya duit jamm semalam masih tak berbayar....

Jadi aku dah faham, mamat semalam memang kaki kencing. Sejak itu, sampailah hari ini aku tak pernah nampak pun dia di Seremban. Mungkin malu sebab tak dapat kencing budak macam aku ketika itu!


Friday, December 16, 2011

Album baru Farasu?

Farasu telah berusia 9 tahun!

Mungkin ada yang telah mengetahui perancangan Farasu pada tahun depan. Kebetulan pada
13 Disember 2011 lalu, telah genap usia Farasu sembilan tahun. Rasanya seperti baru sahaja melangkah ke dunia muzik, kini Farasu telah melangkah ke fasa yang baru.

Rasa syukur dan tuah yang masih ada kurniaan Ilahi menjadikan Farasu kekal bertahan sehingga kini. Aku mengangkat tabik hormat buat sahabat seperjuangan dalam band ini iaitu Nahaq dan Bul yang kekal meneruskan survival muzik Farasu. Tidak dilupakan kepada Arm, Amir dan Ejal yang sanggup berkongsi perjuangan ini.

Album baru?

Perkara ini sememangnya benar dan bukan muslihat mencari populariti. Inilah perancangan seterusnya yang sedang dirangka oleh Farasu. Susunan lagu-lagu yang bakal menghuni album baru sedang giat dipersiapkan serta diperkemaskan supaya memberi suatu kelainan yang menghiburkan.

Kali ini, tugas menulis lirik turut diberikan kepada vokal kami, Arm. Ruang kreatif antara anggota band sentiasa dibuka untuk dikongsi bersama demi menghasilkan mutu karya yang baik. Aku juga masih diberi kepercayaan untuk menulis senikata lagu cuma kali ini dalam bahasa Inggeris. Agak lama juga aku tidak menulis sebarang penulisan dalam bahasa tersebut. Mungkin ada perkataan dan susunan tatabahasa yang lintang pukang. Bahagian ini akan aku serahkan kepada Nahaq dan Bul sebab mereka berdua lebih arif dalam bahasa Inggeris.

Setakat ini dan terkini, ikut perancangan kami ingin merakam lapan ke sepuluh lagu. Aku tidak meletakkan sebarang jaminan waktu proses pembikinan dan rakaman album ini akan bermula dan berakhir. Ia bergantung kepada komitmen masa kami semua. Namun yang pasti, tahun 2012 akan menjadi tahun kemunculan album baru Farasu. Bila? Nantikan sahaja.

Konsep Album

Farasu akan kekal dengan konsep death metal yang berkiblatkan eastern metal tetapi akan ada kelainan. Jangan letakkan harapan yang menggunung lagu-lagu Farasu akan terus-menerus menyamai karya-karya terdahulu. Ini persoalan kreativiti dan kami tidak akan terikat dengan konsep 'ketotokan muzik'. Harus ada anjakan dan perubahan tanpa menggadai konsep muzik yang menjadi wajah Farasu! Perlu elak menjadi sebuah band klon atau menjadi band pendua mana-mana idola!

Elemen perkisahan dahulu kala (mitos & pengembaraan) masih ada dalam lirik Farasu dan hal-hal semasa juga diselitkan dalam lirik.


Terima kasih buat semua yang masih menyokong Farasu dan membeli album 'Menongkah Arus'. Apakah kali ini Farasu akan lebih menongkah arus? Tunggu dan lihat.

We fight till end of life!

Sunday, September 25, 2011

Gelagat & Sikap dalam politik

Aku kira telah ada penulisan berkenaan gelagat dan sikap dalam politik yang pernah diutarakan sebelum ini oleh penulis-penulis lain.

Nukilan ini menyentuh tentang perilaku orang-orang politik yang berada dalam parti. Ia berlaku dalam semua pertubuhan politik termasuklah PAS sekali pun. Logiknya kerana matlamat semua pertubuhan politik adalah untuk mendapatkan kuasa bagi mengawal pemerintahan dan pentadbiran negara disamping menguasai ekonomi. Itu perkara pasti yang tidak boleh disangkal oleh orang-orang politik.

Aku tidak mahu menyentuh secara luas...cukup mengambil contoh tingkahlaku politikus-polikus dalam lingkungan aku.


Cakap berdekah-dekah, buat kerja tak pandai

Sikap ini yang paling banyak aku tengok di kalangan orang-orang politik. Lebih mendukacita dan menyakitkan hati khususnya yang memegang jawatan seperti Ketua Cabang, Pengerusi Biro, Pengarah Program atau Ketua Jurulatih. Sikap mereka ini hampir sama iaitu suka mengkritik berlebih-lebihan kepimpinan negeri dan badan perhubungan negeri itu tak betul...ini salah...negeri tak buat itu ini..negeri simpan perosak...negeri ada pengkhianat....walhal di peringkat mereka (samada cabang, biro atau program) tiada langsung usaha-usaha yang berdaya maju untuk membangunkan organisasi.

Hal-hal pentadbiran organisasi paling kerap diabaikan oleh kelompok-kelompok ini...persoalan yang suka dilontarkan adalah; apakah mereka itu faham soal-soal pentadbiran sedangkan jiwa bermimpi berangan nak perintah negeri atau negara?? Paling seronok dengan gelagat mereka ini adalah suka sangat berjanji tapi tak laksanakan janji tersebut...


Suka 'mengecilkan padang'

Ada kepimpinan sayap yang dikira bagus dalam mentadbir dan memimpin organisasi. Namun, kerana ada 'rakan-rakan pembisik' sikap suka 'mengecilkan padang' mula berputik. Sepatutnya dalam pertubuhan politik, jumlah yang ramai diperlukan sebagai lambang demokrasi iaitu suara ramai. Ia bukan persoalan individu atau sekelompok puak manusia sahaja.

Adalah merugikan sekiranya barisan kepimpinan dianggotai oleh individu-individu yang punya kebolehan tetapi tidak ada suara ramai. Mereka akan kerap berada dalam kelompok kecil sekitar 4-5 orang sahaja. Mana yang lain? Sikap terlalu sangsi dan syak wasangka melampau amat merbahaya kepada organisasi kerana dengan 'menghadkan ruang' dan 'membataskan perimeter sokongan' akan meruntuhkan mutu kepimpinan. Siapa yang akan rugi?

Menyondol bak babi hutan

Mohon maaf perkataan ini diguna tetapi itulah sikap yang ada pada segelintir anggota parti. Menyondol dimaksudkan pada nukilan ini adalah suka salah tafsir maklumat atau mudah percaya khabar-khabar angin tanpa selidik kemudian heboh bergebang-kepoh kepada orang lain.

Kelompok individu begini selalunya tidak berada dalam kepimpinan negeri tetapi kerap berada di peringkat cabang. Mungkin mereka ini AJK atau anggota biasa yang 'terlalu rajin' mencari kesalahan sekecil hama yang dikira perkara remeh. Terus terang dikatakan orang-orang ini sangat-sangat mengganggu dan merosakkan organisasi dengan sikap remeh temeh yang tiada kebijaksanaan politik! Itulah sikap mereka-menyondol bak babi hutan.

Pendapat aku, tidak salah untuk mengkritik dan menegur dalam politik cuma jangan suka mengecam, mengomel dan mencaci-cerca sebab itu bukan konsep kritikan. Sesuatu kritikan haruslah mengetengahkan kelemahan, kekurangan dan keafiatan dengan disusuli cadangan-cadangan pembaikan, ilham-ilham yang bernas dan baik untuk membentuk kelebihan dan kebaikan keseluruhan.

Kecaman dan caci-cerca bukanlah sebahagian dalam konsep kritikan tetapi itu adalah sikap negatif yang akan terus menerus menjahanamkan organisasi.