Sunday, January 28, 2024

MUZIK METAL: Kreator Gegar Kuala Lumpur, Anjakan Positif Industri Muzik Malaysia!

Kreator akhirnya kembali menggegarkan pentas di bumi Malaysia dengan memberi suatu kesan bermakna kepada seluruh peminat yang hadir ke konsert 'KREATOR: Strongest of The Strong' pada malam 25 Januari 2024 lalu.

Ribuan peminat memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur membuktikan bahawa masih wujud sejumlah peminat muzik metal yang signifikan.

Sekalung tahniah buat Rockstage Entertainment dan Lampuneon yang telah menjayakan penganjuran konsert metal pembuka tahun 2024.

Kedua-dua pihak telah membuat persiapan rapi penganjuran sepanjang dua bulan sebelum itu. Kerjasama profesional yang dijalankan benar-benar mencetuskan suatu lembaran baharu kepada industri muzik tanahair khususnya dalam penganjuran konsert muzik metal. Sepanjang tahun 2023 sebelum itu, negara kita dihidangkan dengan pelbagai konsert 'reunion' dan 'comeback' band-band rock era 1980an selain gegaran persembahan Wings dan Search dalam konsert masing-masing. 

Penganjuran konsert Kreator ini mendapat pelepasan pihak berwajib dan ia membuktikan bahawa muzik metal boleh ditampilkan asalkan tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Secara peribadi, walaupun hanya menonton perkongsian video yang dikongsikan beberapa metalhead di media sosial termasuk gambar-gambar sepanjang konsert, aku melihat kejayaan penganjuran oleh Rockstage Entertainment dan Lampuneon ini adalah sesuatu yang positif kepada industri muzik Malaysia. Ia memberi nafas dan menghidupkan kerancakan kepada segmen muzik berat khususnya muzik metal untuk bergerak aktif.

Promosi yang diusahakan oleh Rockstage Entertainment melalui siaran media utama menunjukkan muzik metal bukanlah muzik yang bersifat bawah tanah. Ia juga adalah muzik yang punyai peminat seluruh dunia termasuk di sini.

Mengulas ringkas, Kreator dianggotai Miland 'Mille' Petrozza (riffman & vokal), Jurgen 'Ventor' Reil (drum), Sami Yli-Sirnio (lead) dan Frederic Leclercq (bass) menampilkan persembahan bertenaga dalam tempoh 90 minit dengan 16 set lagu.

Suasana konsert dan sambutan ribuan metalhead malam itu telah banyak dilontarkan dan dinukilkan begitu meriah di media sosial. Maka aku sekadar menulis kepada kejayaan pihak penganjur, perspektif yang wajar diberi kredit pujian atas gerakan yang berlangsung sejak penghujung tahun 2023 lagi.

Semoga kejayaan Rockstage Entertainment dan Lampuneon ini akan menjadi cetusan positif kepada industri muzik tanahair khususnya muzik metal akan membuka peluang yang luas kepada penggiat-penggiat muzik metal untuk tampil berani mengetengahkan karya. Kebetulan pula, ia suatu penghormatan apabila Kuala Lumpur menjadi lokasi pembuka kepada Kreator World Tour di Asia & Australia 2024.

Tak mustahil kedua-duanya pada masa akan datang berupaya menganjurkan konsert metal skala serantau berpangkalan di Malaysia. Konsert Kreator di Kuala Lumpur ini juga telah meletakkan kembali Malaysia di peta muzik metal antarabangsa.

Sekali lagi tahniah buat Rockstage Entertainment dan Lampuneon. 

KREDIT GAMBAR: dengan keizinan Rockstage Entertainment, dipetik melalui page rasmi FB Rockstage Entertainment. 

No comments: