Sunday, January 3, 2016

Jogjakarta: beza bahasa berkongsi budaya

Jogjakarta...dahulu merupakan ibukota bagi negara Indonesia sebelum berpindah ke Jakarta. 

26 Disember 2015 lepas adalah kali kedua aku menjejakkan kaki ke kota yang terletak di Jawa Tengah ini. Kali pertama adalah pada tahun 2006 lalu. Namun waktu kali pertama itu, aku tidak begitu teliti untuk mencatat sebarang detik peristiwa. 

Cuma kali ini, setelah sembilan tahun berlalu ditambah pula dengan kecanggihan teknologi maklumat seperti FB, WhatApps, Twitter dan sebagainya memudahkan segala detik peristiwa menjadi catatan pantas di hujung jari.

Walaupun jarak Malaysia dan Jogjakarta beribu batu, namun sepanjang pengamatan dan pemerhatian rambang aku selama tiga hari di sana, terlalu banyak persamaan budaya hidup antara masyarakat Jogja dan Malaysia. Cuma yang membezakan adalah lenggok bahasanya. 

Cara berpakaian, makanan, gaya hidup dan suasana masyarakatnya tidak jauh beza seperti kehidupan manusia di Petaling Jaya, Kuala Lumpur atau Kelang. Masyarakat Jogja agak 'stylo' dari segi berpakaian dan sangat jauh beza dengan warga Indonesia yang menjadi tenaga buruh di Malaysia. Mungkin buat orang Malaysia yang tidak pernah ke bumi Jogjakarta atau Bali atau Jakarta, mereka masih tergambar akan perspektif gaya pakaian orang Indonesia yang berada di Malaysia. Memang terlalu kontra!

Jogja juga merupakan wilayah bertaraf istimewa kerana Gabenornya adalah Raja Mataram yang masih kekal institusi beraja hingga kini. 

Orang Melayu Malaysia yang kebanyakannya dipengaruhi oleh stigma 'makanan halal haram' tidak perlu gusar kerana Jogja dihuni oleh 90 peratus warga beragama Islam. Jogja dikelilingi oleh banyak masjid, surau, musolla dan sekolah-sekolah agama. Suasananya seperti di Kelantan ataupun Taman Medan, Petaling Jaya. Apabila masuknya waktu solat, seluruh kawasan akan kedengaran laungan azan secara serentak. 

Harus diakui suasana persekitaran Jogja agak bersih dan kemas serta tidak begitu serabut. Sudah ada perbezaan besar dari segi pembangunan infrastruktur berbanding yang aku lihat sembilan tahun dulu.

Antara makanan tempatan yang begitu membuka selera aku adalah ayam goreng (gambar kiri) yang dihidang bersama tempe, tauhu, daun selasih dan penyetannya (penyedap) iaitu sambal hijau.

Makanan ini wajib dicuba dan tidak patut diabaikan jika anda ke Jogjakarta dan tidak mahu terikat dengan selera nasi padang Minangkabau yang begitu banyak di sekitar Jogja.

Satu lagi yang perlu dicuba adalah minuman TEBS, Tea Cooler. Aku kali pertama mencubanya ketika ke Jakarta pada bulan Oktober 2015. 

Uniknya tea cooler ini ada campuran air epal dan gas. Memang sempoi dan walla!

Maka jangan gagal untuk mencuba dan mendapatkan minuman ini. Sebenarnya ada bermacam perisa tetapi Tebs yang rasa epal ini memang terbaik.

Keistimewaan Jogja juga kerana banyak pokok herba yang digunakan dalam perubatan ditanam oleh penduduknya. Setiap lorong, simpang dan jalan sekitar Jogja tidak akan terlepas adanya pelbagai pokok herba. Antaranya misai kucing dan bonglai. Cuma pokok bonglai di sini lebih besar daripada yang terdapat di Malaysia. Mungkin faktor tanah gunung berapi yang menjadikan ia sangat subur. 

Kawasan-kawasan berhampiran dengan Jogja seperti Magelang, Borobudor, Kliteran, Muntilan dan Sleman mempunyai keistimewaan tersendiri.    

Sleman dan Muntilan begitu banyak kelihatan pokok salak ditanam secara besar-besaran. Malah penjualan buah salak di sekitar Sleman dan Muntilan begitu rancak. Muntilan pasti menjadi pusat penanaman utama dan pengeluar utama buah salak di Jogjakarta dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Magelang juga banyak kelihatan industri pertukangan kayu ukir, seni batu pahat dan hiasan. Maka memang banyak bengkel seni batu pahat boleh dilihat sepanjang jalan menuju ke Borobudor. 

Catatan bersambung.....

Farasu Live at Rock The World 15


Setelah 13 tahun Farasu melalui arus perjuangan dalam scene muzik metal tanahair, akhirnya impian dan hasrat untuk beraksi di pentas Rock The World (RTW) telah tercapai. Setiap band rock, punk, metal, grunge dan ska di negara ini mempunyai impian dan harapan besar untuk membuat persembahan pentas di Rock The World.

Lebih mengujakan buat Farasu adalah tarikh RTW 15 ini berlangsung pada ulangtahun ke-13 penubuhan kami. Ia sesuatu yang sangat istimewa kerana Farasu meraikan kewujudannya yang ke-13 dalam sebuah acara muzik rock terulung Malaysia.

Merit Muzik
Kehadiran kami di pentas RTW 15 tidak berlandaskan persoalan kroni atau kabel tetapi kerana merit yang datang melalui usaha-usaha gigih sejak awal tahun 2015 lagi. 
Kepercayaan itu dicetuskan 'Chief of De'Facto' Scene Muzik Malaysia, Abang Rom Mohd Noor yang memberi galakan dan nasihat kepada Farasu untuk melalui arus muzik tempatan. Kami percaya atas saranan beliau dan penuh keyakinan untuk melaksanakan cabaran-cabaran yang dilontarkan oleh Abang Rom.

Farasu berbangga dapat menonjolkan muzik metal sejati kepada scene muzik negara melalui RTW 15 bahawa metal itu masih relevan kepada para pendengar khususnya golongan baru era millennium. Eastern Metal kembali menggegarkan pentas RTW di hadapan crowd muda belaka. 

Ia suatu suasana baru buat kami! Kelompok muda menerima muzik metal Farasu. Ini sebuah bukti jelas yang pasaran muzik metal tidak pernah padam, cuma ia memerlukan suntikan baru dan perlu keluar daripada stigma-stigma usang yang memendapkan kemajuan muzik metal Malaysia.

Farasu memulakan persembahan tepat jam 12:30 tengahari. Permulaannya rasa khuatir dan gusar bermain di setiap fikiran kami akan kehadiran crowd seawal panas rembang tengahari.

Namun itu bukan penghalang untuk kami melaksanakan tugas persembahan. 

Shah Zaini-Vox Farasu
Kami membuka pentas dengan lagu 'Marhaen's Blood' dan diikuti dengan 'Blame It All'. Panas rembang tengahari tidak sedikit pun merencatkan aura persembahan, tambahan dengan kehadiran lebih 500 orang crowd melayani rentak muzik Farasu. 

Tanpa perlu menunggu 'enjin panas', Farasu terus sahaja menghayunkan rentak agresif dan aktif di lapangan pentas.
Barisan hadapan Farasu, Nahaq-Apai-Ordil menghayunkan kepala 'copter headbanging' tanpa henti dengan provokasi angkuh oleh Shah Zaini!

Rentak 'eastern metal' Farasu terus digegarkan dengan lagu 'Against Tyranny' yang menghangatkan suasana. Crowd terus melayani kepanasan suasana dengan kehangatan irama muzik Farasu! 

'Holy Diver' sebuah lagu cover dari Dio mengakhiri persembahan bertenaga Farasu. Panas hari yang melenting telah menyerap sedikit sebanyak tenaga membataskan sebahagian kudrat. Namun itu bukan alasan untuk memperlahankan tempo dan aura persembahan Farasu. Ombakan 'headbanging' crowd menambahkan lagi semangat kami.

Sekalung budi dan terima kasih buat penganjur Fat Boy, Tune Talk atas kesudian membawa Farasu ke pentas RTW kali ini. Jutaan penghargaan buat Abang Rom of ROTTW yang mempercayai bakat kreatif, merit dan usaha-usaha gigih kami sepanjang tahun 2015. Cabaran sudah diterima dan disudahi dengan lancar!

Respect & Salutes!
Krew Teknikal Farasu;
  • Rahim Kajai-Jurukamera 1
  • Lie Zaharieman-Jurukamera 2
  • Mat Pen-Krew Teknikal Pentas
  • Auks Nekradamus-Krew Teknikal Pentas
  • Atoi-Pembantu Jurukamera 
All Metal Headbanger
Liverpool Metal Headbanger 

Fidaiyyin
Apai The Mastubator
Shah The Provocator
Nahax The General
Ordil Jay Sven