Thursday, April 3, 2014

Menjejak Bumi Mukah: The Heartland of Melanau-Bahagian Kedua

Lokasi: Bandar Baru Mukah-Kg Telian
Tarikh: 29 Mac 2014 / Sabtu


Sesuatu yang tidak boleh dilepaskan dan wajib pada aku apabila datang ke sesebuah kawasan buat pertama kali adalah mengambil gambar-gambar kawasan sekitar. 

Hari kedua aku dan Farasu di bumi Mukah, kami telah dibawa oleh pihak penganjur melawat ke Kampung Telian Tengah dan Pantai Mukah. Kedua-dua lokasi ini aku anggap sebagai aset pelancongan di Mukah. 

Kami telah dibawa melawat ke Pusat Budaya & Kraftangan Kampung Telian Tengah. Ada rakan FB aku mencadangkan melawat 'kubur tergantung Melanau'.

Kunjungan ke pusat budaya ini telah mendedahkan sedikit sebanyak kebudayaan orang Melanau dari segi senibina rumah tradisional Melanau, pakaian tradisi, peralatan dan perkakasan hiasan serta peralatan muzik tradisi.

Rumah Tradisional Melanau
Ada banyak perkara baru yang dapat diperolehi di pusat budaya ini. Kebanyakan rumah tradisional Melanau dibina di atas kawasan paya bakau atau nipah di pesisir pantai atau kuala-kuala sungai. Senibina rumahnya agak luas dan memanjang secara pandang hadapan. Boleh dikatakan menyerupai rumah panjang Minagkabau (dari segi pelan pandang depan). Manakala jenis bumbung menyerupai bentuk rumah tradisional Kutai atau Terengganu.
Menurut tuan punya rumah yang dijadikan pusat budaya ini, ia telah dibina pada tahun 1919 ketika zaman pemerintahan Rajah Serawak ketiga, Charles Vyner Brooke (1917-1946).

Aku tertarik dengan binaan lantai dapur dalam rumah budaya ini yang dibuat daripada batang nibong.

Kalau dilihat pada keadaan asli batang nibong, ia dipenuhi dengan duri-duri hitam yang memenuhi keliling batang pohon ini. Nibong merupakan tumbuhan palma yang menyerupai pokok pinang hutan tetapi batang dipenuhi duri dan sangat mudah ditemui sekitar kawasan Mukah-Selangau-Oya-Bintulu.  Menariknya batang nibong yang menjadi susunan lantai dapur ini sangat sejuk dan selesa untuk tapak kaki memijak!

<---lantai batang="" daripada="" i="" nibong="">
Kebanyakan rumah di perkampungan Melanau dalam kawasan Telian ini dibina dengan kayu-kayu balak dan betul-betul terletak di atas kawasan paya. Cuma ketika kami datang waktu itu air laut tidak pasang dan masih boleh melihat aliran deras sunga-sungai yang melingkari seluruh kawasan tersebut!

Mungkin suasana asal Melaka 500-600 tahun dahulu adalah seperti di Kampung Telian ini yang mempunyai aliran sederhana dan kedalaman sungai yang boleh dimudiki oleh kapal-kapal (gambar kiri)
Kubur tergantung Melanau...adalah sesuatu yang sangat asing pada pengetahuan aku dan inilah kali pertama aku melihatnya secara dekat.

Gambar kanan tersebut bersebelahan pokok nangka merupakan kubur tergantung yang berstrukturkan kayu seperti bentuk keranda. Menurut kenalan-kenalan di situ, itu adalah kubur yang sebanar dan bukan hiasan! Mereka turut mengesahkan memang itu kubur kepunyaan sesorang di kampung itu.
Gambar sebelah adalah suasana laluan berjambatan yang terdapat di perkampungan tradisional Melanau. Ia adalah pandangan biasa bagi penduduk-penduduk di Mukah dan Oya khususnya yang berada di pesisir pantai.

Walaupun setiap rumah agak rapat antara satu sama lain tetapi ruang dalam rumah sangat luas.

Mungkin sesiapa yang berhajat untuk datang ke Mukah, Pusat Budaya ini wajib dikunjungi.

Gambar-gambar sekitar Bandar Baru Mukah











Wednesday, April 2, 2014

Menjejak Bumi Mukah: The Heartland of Melanau-Bahagian Satu

Tarikh Berkelana: 28-30 Mac 2014
Lokasi: Bintulu-Selangau-Mukah
Peristiwa: Mukah Metal Legion & PRK DUN N51 Balingian


Ada dua peristiwa penting berlaku di bumi Mukah yang telah membawa aku dan Farasu ke sini buat pertama kalinya. Ini adalah kunjungan Farasu kali kedua di Bumi Kenyalang dalam tempoh empat bulan. Penghujung 2013 lalu, kami telah datang membuat persembahan di Kuching.

Kebetulan yang agak menarik kerana telah berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK) Dun N51 Balingian dan pada waktu yang sama gig Mukah Metal Legion turut dijadualkan berlangsung pada tarikh yang sama iaitu pada 29 Mac 2014. Namun atas sebab-sebab keselamatan, pihak berkuasa telah meminta penganjur menunda program ke hari seterusnya iaitu pada 30 Mac 2014 (Ahad).

Aku secara peribadi agak teruja dapat kembali ke Sarawak dan datang pula di bahagian yang belum pernah dikunjungi. Kalau semasa zaman sekolah menengah dahulu, khususnya dalam matapelajaran Geografi, Mukah dan Oya terkenal sebagai tempat penghasilan sagu dan merupakan kawasan landai yang dipenuhi dengan hutan paya gambut terbentang di tengah pesisiran pantai Sarawak.

Untuk datang ke Mukah, perlu melalui penerbangan dari Kuala Lumpur terus ke Sibu atau Bintulu. Mukah betul-betul terletak di tengah-tengah antara Sibu dan Bintulu. Laluan dari Sibu-Mukah mengambil masa lebih kurang dua jam 45 minit manakala laluan dari Bintulu-Mukah mengambil masa hampir tiga jam.

Aku bersama Farasu melalui penerbangan KL-Bintulu.

Keindahan Alam
Antara kelebihan sarawak adalah kekayaan suasana alam kehijauan yang masih meliputi 80 peratus muka buminya.

Suasana di sekitar Lapangan Terbang Bintulu masih dipenuhi dengan hutan-hutan khatulistiwa dan hutan paya gambut. Bentuk muka bumi di Bintulu agak landai yang berhampiran dengan pantai manakala laluan menghala ke Selangau berbukit. Suasana sebegini mengingatkan aku keadaan awal sekitar Senawang, Taman Tasik Jaya dan Panchor Jaya ketika 25 tahun dahulu yang masih dipenuhi hutan dan boleh ternampak musang atau babi hutan melintas jalan!

Pejabat KEADILAN Cabang Bintulu
Perjalanan dari KL melalui pernerbangan Air asia pada jam 7:05 pagi di LCCT dan kami tiba di Bintulu dua jam selepas itu.

Setibanya di lapangan terbang, Dell selaku penganjur Mukah Metal Legion datang menjemput kami. Kunjungan pertama di Bintulu adalah mencari tempat makan. Maklumlah telah berada di LCCT seawal jam 3:45 pagi dan sepanjang perjalanan aku tak mengisi perut dengan makanan berat. Sekadar mengalas perut dengan roti pau sardin dan secawan espresso Coffea Bean.

NASI KAMBING BAKAR....menu wajib di Bintulu!
 Dell bersama rakan seperjuangan dari Bintulu telah membawa kami makan di Bintulu. Aku sempat merakam gambar sekitar Bintulu.

Ada makanan yang agak istimewa di sini dan aku rasa tiada lagi di Semenanjung. Pakar 'melantak-makanan' kami, Nahaq mula-mula sekali memesan Nasi Kambing Bakar.

Memang menyelerakan nasi jenis ini dengan daging kambing yang dibakar dan lembut. Aku yakin ini menu istimewa di Bintulu. Wajib buat semua yang baru pertama kali datang ke Bintulu untuk mencuba menu ini. Tak rugi. Rasanya memang walla!



Terminal Bas Bintulu