Sebenarnya aku meminati gusti USA ini sejak darjah satu lagi (1986). Minat kepada sukan ini dipengaruhi oleh ayahanda aku yang ketika itu sangat rajin membeli majalah gusti (lupa nama majalah) dan kalau dikumpulkan dah boleh simpan berkotak-kotak.
Menariknya majalah gusti era 1986-1988 lebih banyak menonjolkan info teknik-teknik gusti termasuklah beberapa 'super-finish' penggusti ternama. Antara teknik yang aku ingat dan pernah eksperimen semasa bergaduh di sekolah dulu adalah 'clothline' dan 'power-bomb'. Selepas tahun 1988, ulasan dan info mengenai teknik-teknik itu tidak lagi dipaparkan!
Kesan daripada itu, aku terus mengikuti gusti sehingga munculnya WCW. Antara era terbaik WCW adalah ketika wujudnya team New World Order (NWO) yang merupakan cetusan idea Eric Bischoff (Naib Presiden Eksekutif WCW ketika itu) untuk menyaingi 'rating' dan populariti WWF. Gimik yang menonjolkan NWO sebagai sebuah kumpulan jalanan yang mengambil-alih dan menguasai program WCW. Pasukan NWO ini diketuai oleh Hulk Hogan yang turut dianggotai oleh Scott Hall dan Kevin Nash.
Sehingga hari ini, kemunculan NWO merupakan gimik terhebat dalam bisnes sukan gusti USA yang menaikkan rating WCW dan menenggelamkan WWF ketika dekad 90an dulu.
Oleh kerana itu, tercetus minat aku mencari dan mengumpul t-shirt NWO ini. Setakat ini aku baru memiliki dua helai t-shirt 'original' NWO iaitu Red NWO dan The Wolfpac NWO.
Sebelum terjumpa dan membeli t-shirt ini, aku pernah membeli sehelai t-shirt NWO putih di Kedai Sopan, Seremban tetapi bukan asli iaitu yang dicetak sendiri di sini. Paling kantoi dengan 'design' baju itu adalah tidak ada kotak empat segi sebagaimana lambang asli NWO tetapi hanya tertera huruf dan perkataan NWO & new world order.
Mungkin tidak ramai yang berminat kepada sukan gusti USA kerana gimik-gimik agak bosan dan lawak daripada WWE kini. Thrill dan keterujaan sebagaimana gusti era 80an dan 90an telah lenyap.
T-shirt NWO asli pertama yang aku beli adalah Red nWo sekitar tahun 2002 di sebuah kedai bundle di Seremban dengan harga hanya RM10.00 sahaja! Mungkin pemilik kedai ini tak perasaan nilai pada design t-shirt atau tidak mengetahui tentang sukan gusti. Saiz agak besar iaitu XL tapi sebab minat dan harga murah, aku terus beli tanpa fikir banyak.
Jika ia keluaran atau cetakan asli, akan terpapar tanda perniagaan atau 'trade mark' pada baju tersebut macam gambar sebelah ini.
Baju ini merupakan cetakan tahun 1998 yang dikeluarkan oleh WCW.
Manakala baju sebelah kanan ini pula, adalah baju NWO kedua yang aku beli. Ini NWO The Wolfpac. Sama seperti baju di atas, aku juga beli di sebuah kedai bundle di Taman Medan, Petaling Jaya semasa belajar di UiTM, Shah Alam dengan harga RM5.00 sahaja!
Ini pun keluaran tahun 1998 oleh WCW. Boleh lihat tanda perniagaan pada gambar di bawah ini.
WWE turut tidak ketinggalan untuk menyaingi 'rating' dan populariti WCW kesan gimik NWO. Vince McMahon selaku Ketua Eksekutif memerangkap Presiden WWE telah mewujudkan sebuah pasukan yang hampir sama seperti NWO iaitu D-Generation X yang dianggotai oleh Triple H, Shawn Michael,Chyna dan X-Pac. Kemudian pasukan ini disertai oleh Road Dogg, Rick Rude dan Billy Gun.
Kemunculan mereka adalah pada tahun 2000. Namun ia masih gagal menyaingi 'kegilaan' NWO. Hanya selepas kejatuhan NWO, populariti D-Generation X melonjak.
Salah satu baju D-Generation X yang aku jumpa adalah di sebelah kiri ini. Aku membeli baju ini di Baden Baden Bundle di Batu 5, Port Dickson tahun 2012. Tak sangka pulak terjumpa.
Baju ini berharga RM15.00, mungkin kerana 'design' dan kualiti baju yang elok, tidak lusuh atau koyak ia masih bernilai tinggi.
Baju ini bersaiz XL. Minat punya pasal aku beli jugak sebab ada satu-satunya baju gusti yang ada kat Kedai Baden Baden Bundle ini.
Baju ini telah dikeluarkan oleh Trinity Products Inc di bawah kebenaran WWE.
Nak kumpul dan simpan baju-baju band Metal bukan tak mahu tapi tersangat mahal kalau dijual dalam pasaran bundle ini. Mungkin sebab sukan gusti ini bukan semua yang minat, itu yang harga bajunya berpatutan. Bukan semualah baju-baju gusti aku beli tetapi tengok ikon gusti yang menyerlah.
Kalau ada info-info tambahan atau kesilapan maklumat boleh tinggalkan komen untuk ditambah-betulkan.