Thursday, August 18, 2011

Merencana kerancakan scene metal tempatan?

Malapetaka untuk dunia muzik metal tempatan adalah isu 'Black Metal' ciptaan Utusan Malaysia yang bergandingan dengan Harian Metro dan Mastika. Serangan pertama berlaku pada pertengahan tahun 2001 yang begitu deras menyerang scene muzik metal negara. Habis segala pelusuk negara dirabakkan oleh tindakan pihak berkuasa yang seolah-olah dikawal oleh 'berita media ini' untuk merencanakan tindakan drastik membunuh scene muzik. Scene metal bernasib baik apabila isu 'panas' ini ditutup oleh berita serangan WTC pada 11 September 2001. Pada waktu itu juga, media terus bertumpu kepada isu 'rangkaian keganasan antarabangsa'.

Malapetaka itu kembali menerjah muzik metal pada penghujung 2005. Kali ini lebih keras cuma media-media tersebut memperbaiki kaedah pemberitaan. Kesannya kali ini cukup menyesakkan apabila scene metal hampir lumpuh angkara 'ketakutan' yang berjaya dicetuskan oleh media-media keparat ini. Scene metal benar-benar dikambinghitamkan oleh media untuk melindungi isu-isu politik hangat yang sedang berlaku saat itu.

Dalam merencanakan kebangkitaan semula scene muzik metal negara, perubahan minda dan perspektif berfikir dikalangan pengikut metal harus ada. Kebijaksanaan perlu ada untuk mencipta ruang baru kepada persoalan ini. Kita harus berani untuk meninggalkan pegangan-pegangan klasik yang menyekat kreativiti. Maksudnya di sini adalah konsep-konsep yang pada aku kira tak berfaedah pada kemajuan scene muzik seperti etika-etika klasik yang menjumudkan pergerakan. Persoalan 'true' atau 'tak true' metallism adalah perkara bodoh yang hanya mencetuskan sengketa sesama pengikut metal.

Pengikut-pengikut metal termasuk para penggiat muzik metal tempatan harus berpegang kepada konsep kreativiti dan bukan dipandu oleh etika 'true' yang jengkel itu. Aku juga akui bukan semua perkara aku arif dalam dunia metal tetapi berani dihujahkan yang aku arif dan memahami kreativiti dalam muzik metal.

Jangan ada sikap 'pecah' dan 'perintah' ala politik dalam dunia muzik metal. Tak kisahlah anda seorang peminat black metal atau heavymetal, rock kapak atau deathmetal, semua itu adalah dalam kelompok besar muzik rock. Apabila berlaku sikap 'pecah' & 'perintah' itu, lihatlah dalam scene metal tempatan sekarang ini...apakah kita mampu melonjakkan kreativiti ke masyarakat umum sebagaimana 20 tahun lalu? Apakah kita ini pemuzik-pemuzik metal tidak boleh ke udara di rancangan-rancangan utama di media massa?

Itu tidak mustahil untuk berlaku tetapi konsep penyatuan sebagai komuniti muzik perlu berlaku dalam scene metal. Tiap-tiap kita ada perbezaan tersendiri dari segi berfikir, berkarya kreatif dan berinteraksi.

Wednesday, August 17, 2011

Tafsiran SAKA

Tafsiran ini berdasarkan pengalaman aku bersama ayahanda mengamalkan perubatan tradisional sejak 25 tahun lalu. Aku sendiri terlibat dalam hal-hal perubatan tradisional ini sejak tahun 1995 ketika itu masih bersekolah.

Dalam banyak perkara perubatan tradisional, yang paling kental dan banyak kes berlaku adalah berkaitan SAKA. Semestinya apabila penyakit-penyakit yang tidak boleh dirawat secara saintifik atau doktor-doktor di hospital seperti ini akan dikait rapat dengan jin, hantu raya, polong, pelesit, toyol dan sebagainya.

Aku tidak menafikan mahkluk-mahkluk tersebut yang sering muncul dalam perkaitan penyakit saka. Namun, itu bukanlah pengertian sebenarnya hal-hal berkaitan saka kerana itu cuma sebahagian daripada dunia saka.

Secara peribadi, aku agak sinis dengan tafsiran SAKA yang sering dikeluarkan atau dijelaskan oleh kebanyakan pengamal perubatan tradisional samada dalam akhbar, majalah-majalah mistik atau di dalam internet. Tafsiran yang diberikan kebanyakannya sempit, tidak luas skop pemahamannya, lebih tertumpu pada satu perkara iaitu jin-syaitan-hantu belaan walhal perkara yang berkaitan dengan saka itu cukup luas.

Persoalannya, apakah semua yang berkait dengan SAKA itu jahat semata-mata? atau ia semata-mata tentang jin?

SAKA itu bermaksud waris. Jika ditambah imbuhan, ia akan menjadi perkataan PUSAKA. Ia berkaitrapat dengan perkataan WARISAN.

Apakah yang mahu diwariskan? Persoalan inilah yang GAGAL dijelaskan oleh kebanyakan pengamal perubatan tradisional. Maaf bicara, mereka-mereka ini seperti peniaga yang mahu keuntungan berterusan supaya 'repeat buyer' atau 'repeat customer' terus berlaku dalam urusan mereka. Ini menjadi persoalan duit dan duit, bukan lagi keikhlasan membantu umat! Tidak salah untuk mendapatkan bayaran atau mahar pada tiap-tiap khidmat perubatan cuma tolonglah jangan menjalankan urusan tidak jujur itu. Keupayaan dan kelebihan boleh mengubat itu datang dari Allah swt dan jangan disalah gunakan!

SAKA yang dimaksudkan dalam terma perubatan tradisional Islam adalah ILMU. Apa perkaitan ilmu dengan saka ini?

Aku jelaskan di sini;

Ilmu terbahagi kepada dua: ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Apa ilmu dunia dalam terma saka:
ilmu penggerun, ilmu penunduk, pelaris, penguat, penyeri, pemanis, nak kaya cepat dll.

Apa ilmu akhirat:
ilmu tauhid, sabil, pertahanan diri, tasauf, sufi

Manusia ini dijadikan pelbagai jenis dengan pelbagai cara berfikir, mentafsir, kelebihan dan kekurangan dari pelbagai sudut. Maka perbezaan fitrah manusia inilah yang menyebabkan keinginan mereka terhadap sesuatu itu yang menjadi rangsangan kepada diri untuk mencapai keinginan tersebut.

Maka mana-mana manusia yang bijak berfikir tapi tipis tauhidnya dan tidak sabar serta ingin cepat jadi semua perkara, ilmu dunia sebagaimana yang dinyatakan tadi menjadi pilihan mereka. Atas sebab itu, mereka sanggup menerima ilmu-ilmu yang bertentangan dengan tauhid untuk memenuhi keinginan.

Dan kisah itu bermula dengan pergi menuntut ilmu-ilmu dunia tersebut (yang difikirkan oleh mereka sebagai mudah, cepat dan senang untuk dipelajari serta tidak rumit untuk diamalkan). Maka sang manusia itu menuntutlah ilmu kegelapan dari sang petapa hitam. Diberinya jampi mantera untuk keinginan mereka itu + mantera khadam atau 'hamba' untuk keinginan itu.

Hanya dengan mantera itu sahajalah yang dapat melemahkan, menundukkan dan menguasai mahkluk-makhluk seperti jin, hantu raya, polong, jembalang, pelesit dan dll untuk menjadi penguat, pendamping, khdam atau hamba kepada si penuntut ilmu itu. Kesannya, dengan cepatlah ia menjadi cantik, tampan atau kuat atau berkuasa, atau dihormati orang, atau menjadi kaya raya dengan cepat dan sebagainya.

Masa terus berlalu, hayat kian mencapai penghujungnya, jasad kian menghampiri penamat hidup tetapi rahsia ilmu itu masih tersimpan tanpa diketahui orang lain hatta anak isteri malah cucu cicit. Tiba saat kematian dan malaikat maut mengambil nyawa, tinggallah ilmu-ilmu kegelapan yang dituntut waktu lampau itu tanpa diketahui oleh orang lain.

Ketika ini jugalah, roh manusia itu susah nak keluar kerana masih ada kegelapan yang berpaut berpadu dengan jasad. Tak semua anak cucu tahu atau arif nak melepaskan 'halangan' tersebut. Hantu-hantu belaan itu akan tetap setia bersama jasad selagi mantera lampau tidak dibaca sebagai pemati atau pemutus ilmu itu. Maka tiada siapa yang tahu akan mantera itu, nak cari tok petapa gelap entah hidup entah wujud lagi. Tak semena-mena terpaksalah anak cucu mengaku untuk 'mengambil-alih' saka atau ilmu itu dari si manusia yang nak mati. Dengan izin Allah, lepaslah roh itu ditarik malaikat maut ke alam barzakh.

Dan kisah baru telah bermula dan dari sinilah penyakit-penyakit saka kesan daripada ilmu-ilmu hitam itu menghantui keturunan seterusnya. Kenapa berlaku? Sebab anak cucu itu tidak tahu atau tidak diberitahu tentang ilmu yang dipegang atau dituntut oleh nenek moyang. Yang penting adalah mantera pemutus itu perlu ada untuk mematikan 'perjanjian' atau kelangsungan ilmu itu. Namun, si nenek moyang nya dulu seakan terlupa untuk menuntut mantera pemutus/pemati ilmu...dek kerana nafsu bergelora terus menerima ilmu tanpa lupa yang suatu masa mereka juga akan mati!

Itu 'penyakit' saka bagi yang menuntut ilmu sesat. Tetapi bagi nenek moyang yang menuntut ilmu akhirat, mereka-meraka ini akan diberikan kelebihan atau 'anugerah' yang istimewa oleh Allah seakan kiramah. Dan mungkin sebab anak cucu tak terbawa 'kekuatan' ilmu itu, maka ia menjadi bebanan yang digelar sebagi isim. atau mungkin anak cucu jenis degil atau ingkar kepada suruhan tauhid, maka didatangkan perkara-perkara ujian supaya menyedarkan empunya diri untuk berjalan di landasan tauhid Ilahi.

Wallahualam.

Monday, August 15, 2011

Kibaran patriotisme atau sekadar hiasan muka langit?

Bendera Malaysia versi aku


Teringat masa aku kecil dulu, kalau tak silap waktu tu sekolah rendah ketika arwah Tok Aki masih hidup. Aku pernah bertanya kepada beliau; "Kenapa bendera Malaysia sama macam bendera Amerika?" Namun sampailah Tok Aki kembali ke rahmatullah, persoalan itu tak berjawab. Mungkin Tok Aki pun tak tahu nak menjawab persoalan aku tu.

Ramai juga yang sudah memberi penerangan, pandangan dan analisa tentang bendera negara kita ini dalam mana-mana blog, laman perbincangan dan sebagainya di internet.

Namun dari sudut pandangan aku, ternyata bendera Malaysia 95% menyerupai bendera negara USA. Berbeza hanya pada lambang bulan sabit dan bintang persekutuan pecah empat belas manakala dalam bendera USA terdapat 50 bintang.

Apakah nilai patriotisme yang lahir dengan bendera 'tiru' ini? Apakah cetusan perasaan bangga kepada bendera negara ini sama seperti bangga memegang atau memakai bendera UK, Finland, Norway atau Jerman?

Pada aku, tiada perasaan bangga cuma sedikit hormat kerana ia bendera negara. Terpulanglah pada anda menilainya. Aku lebih bangga menyimpan, mengibar, memakai dan memegang bendera Negeri Sembilan daripada bendera kebangsaan.