Thursday, June 24, 2010

Imbasan Lampau: 1st War Gig, Nilai



Berbanyak terima kasih kepada saudara Amir Fadli (Psychotic Sufferance) yang telah berkongsi koleksi simpanan flyers gig di atas dalam ruang siber Facebook. Ingatan aku sendiri rasa terbawa-bawa kembali ke saat gig tersebut. Siapa sangka setelah sembilan (9) tahun, masih ada insan yang menyimpan gig pertama yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan.


Ada kebaikan juga menyimpan flyers-flyers gig ini dan setelah 4-5 tahun berlalu, ia akan menjadi suatu bahan sejarah yang bernilai walaupun ketika ia dianjurkan seperti tidak ada nilai untuk disimpan!


Untuk makluman, 1st War adalah gig underground pertama yang dianjurkan di Nilai. Ia juga menjadi satu gerakan baru perkembangan scene muzik underground di luar kawasan bandar Seremban dan juga di Malaysia.


Perancang utama kepada penganjuran gig ini adalah saudara Aru @Sharif Nilai yang merupakan pengikut kental muzik underground metal di Seremban. Melalui kerjasama anggota band beliau-Brave In Vision (BIV), penganjuran ini telah direalisasikan di sebuah live band pub-The Old House Pub berlokasi di Taman Semarak, Nilai.


Penganjuran gig ini juga menjadi kejutan ramai pihak di Seremban kerana ketika itu suasana scene muzik underground Seremban dilanda kesuraman. Maka di benak fikiran ramai saat itu tidak akan menyangka-duka akan kemunculan gig di luar Seremban.


Enam band telah berperang hebat dalam 1st War ini. Psychotic Sufferance boleh dikelaskan sebagai band utama gig kerana mereka adalah band senior di Negeri Sembilan ketika itu dan mereka jugalah 'militan' yang paling ganas dalam persembahan (they still rules till now!!!).


Medieval-band dari Bukit Chedang, Seremban yang menampilkan muzik dark-doom mereka. Susuk pejuang utamanya-As (vox & gitar) dan Tin (drummer) adalah penggiat-penggiat metal di Seremban. Namun, ke mana mereka sekarang?


Band tuan rumah-BIV yang dikepalai oleh saudara Sufian@Pyan selaku gitar utama dan Aru (bassist) menampilkan muzik old-school heavymetal.
Space Jam, yang telah aku lupa konsep muziknya. Band ini juga hanya wujud seketika dalam scene Seremban dan tidak diketahui ke mana menghilangnya mereka ini.
Sekali lagi, aku hargai usaha saudara Amir Fadli atas khazanah scene muzik di Negeri sembilan.

Tuesday, June 8, 2010

Secebis nukilan sepanjang Mei 2010

Agak lama jugak aku meninggalkan laman blog sendiri kerana kesibukan lain-lain hal yang menutup gerak hati untuk mengemaskininya.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku sepanjang bulan Mei lepas. Farasu nampaknya masih berehat dan akan memulakan momentum persembahannya pada akhir bulan Jun 2010 sehingga hujung tahun. Jelajah persembahan bersama beberapa band akan bermula di Batu Pahat pada 17 Julai dan Johor Bahru pada 18 Julai.

Parti Keadilan Rakyat sekali telah berjaya mengadakan perhimpunan tahunannya kali ini di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, Kelantan. Kongres Nasional 2009 ini telah dibawa langsung ke Kelantan sebagai suatu usaha mengukuhkan kekuatan parti di sebelah pantai timur. Kongres yang berlangsung dari 27 Mei 2010 lalu dimulai dengan perasmian bersama oleh AMK & Wanita Keadilan. Seterusnya ia meneruskan agenda perhimpunan pada 28 hingga 30 Mei 2010.

Walaupun agak jauh di hujung utara pantai timur, namun kehadiran para perwakilan dan pemerhati agak menggalakkan. Hampir 1200 perwakilan telah memenuhi dewan utama KTC.

Menariknya kehadiran kali kedua aku ke Kota Bharu ini, betapa pembangunan sekitar KB begitu pesat berbanding ibu negeri Negeri Sembilan, Seremban. Walaupun telah 20 tahun ditadbir oleh kerajaan PAS, KB telah menyerlahkan wajah-wajah pembangunan yang menakjubkan.

Aku terpesona dengan sejenis kuih buatan tempatan iaitu kuih Cek Mek Molek. Kuih ini bersalut tepung yang digoreng macam cekodok dan isi dalamnya keledek manis. Memang sedap dan aku mengulang makannya berkali-kali. Aku akan pastikan kedatangan aku seterusnya adalah mencari jajan ini.

Seminggu aku berada di KB iaitu sejak 24 Mei hingga 31 Mei membuatkan hati menjadi rindu kepada anak tersayang dan pada 29 Mei itu juga genaplah usianya sebulan dilahirkan. Hanya gambar dan video yang di-MMS-kan oleh isteri tercinta dapat mengubat rindu pada si kecil tersayang.

Aku juga mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan tenaga dan kerjasama para petugas Keadilan Kelantan yang digelar sebagai pasukan Pesegare (loghat Kelantan..yang betulnya PESEGARAN). Kesabaran ketuanya Kak Mah yang berwajah manis tersenyum walaupun ada ketikanya beliau nampak tekanan dan terima kasih juga pada Kak Zah yang tegas dan komited pada kerja yang diberikan.

Tanpa bantuan pasukan Pesegare ni, mungkin banyak benda yang mungkin terkantoi.

Sesungguhnya nilai yang baik aku dapat di KB ini adalah orang Kelantan amat menghormati tetamu walaupun orang Kelantan di luar negeri mereka berbeza cara hidup.