Thursday, August 19, 2010

Mengenal buah tempatan: Buah Binjai

Buah Binjai
Teringat semasa zaman remaja sekolah dahulu, aku sangka perkataan binjai adalah sekadar gelaran kepada seseorang dan terfikir yang ia adalah sejenis binatang!
Rupa-rupanya setelah sedar dan tahu fakta, barulah aku ketahui yang binjai itu adalah sejenis buah yang sekeluarga dengan mangga & mempelam.
Aku taklah ketahui mendalam sangat tentang buah binjai ini tetapi cukup sekadar memaparkan gambarnya sebagai pengenalan buat yang tidak mengenali apatah lagi mengetahui buah binjai.
Menurut ibu mertua aku, buah binjai digunakan untuk membuat sambal atau acar. Entahlah bagaimana rasanya aku sendir tak pernah cuba atau tahu nikmatnya.
Seorang sahabat aku memberitahu (kebetulan beliau bekerja di MARDI) buah binjai banyak di Melaka. Menurutnya lagi, pokok binjai boleh menjulang tinggi macam pokok balak dalam hutan.

Mengenal buah tempatan: Buah Sentul

Macam manggis...inilah buah sentul.
Sebenarnya dah lama aku tak melihat buah sentul dari dekat sebabnya buah tempatan ni amat jarang dijual dalam pasaran. Hanya tempat-tempat tertentu yang akan terlihat dijual di gerai-gerai kecil tepi jalan.
Gambar ini diambil pada 10 Julai 2010 lalu selepas aku selesai hadir ke Taklimat Pemilihan PKR 2010 di Cheng, Melaka. Kesempatan berhenti di gerai buah-buahan di tepi Jalan Naning-Alor Gajah sebelum bulatan keluar Tol Simpang Ampat, sempat juga aku mengambil gambar beberapa jenis buah tempatan yang jarang ditemui.
Rupa buah sentul ini seakan buah tampoi tetapi ia agak besar dan isinya sedikit tebal daripada buah tampoi. Isi dalamnya seakan-akan seperti buah manggis. Cuma sayangnya mungkin buah sentul tersebut belum cukup masak, terasa agak pahit sampai ke telinga!
Kalau tak silap rasa, buah sentul yang pernah aku rasa kali pertama dahulu seperti rasa buah durian belanda! Kalau nak tahu rasanya, pergilah sendiri cari dan belinya.....

Wednesday, August 18, 2010

Kembali kepada hobi lama-Kumpul Wang Kertas & Syiling lama

Wang kertas RM1.00 ini diperolehi ketika isteri aku membeli kek di Old Town PJ beberapa bulan lepas dan yang menariknya wang kertas ni masih elok-tidak comot, tidak kusam kelihatan seperti baru beberapa dicetak.

Sebenarnya gambar scan wang kertas itu bukan sekeping tetapi dua keping. Mungkin pada yang tidak mempunyai minat mengumpul wang kertas lama, ia tidak bernilai apa-apa. Namun pada aku, wang kertas note RM1.00 sudah dikira 'rare', ia merupakan versi keluaran kedua kalau tidak silap cetakan selepas tahun 1981.

Dalam simpanan aku juga ada keluaran tahun 1970an. Aku sekarang tengah mencari-cari note RM1.00 cetakan awal sekitar 1967. Kalau ada tuah, mungkin dapat.






Duit syiling lama yang pertama kali aku beli...sebelum ni kebanyakannya aku terjumpa dan simpanan lama arwah Tok Aki aku.