Ingatkah anda lagi kejadian serbuan polis ke atas gig metal ini di Seremban pada 3 hb Disember 2005?Walaupun telah dua setengah tahun berlalu, namun ia masih terkesan di ruangan ingatan saya. Mungkin juga kebanyakan rakan-rakan dan peminat muzik metal underground tanah air mempunyai perasaan yang sama seperti ini. Pada halaman siber ini akan saya perjelaskan secara ringkas fakta sebenar kejadian yang telah berlaku. Mengikut pengalaman yang saya hadapi ketika itu, akan saya perlihatkan penipuan dan kebodohan yang telah menyelubungi kejadian ini. Untuk pengetahuan semua, saya adalah penganjur gig ini dan MEMPUNYAI PERMIT HIBURAN YANG SAH DARIPADA Majlis Perbandaran Seremban (MPS) serta MENDAPAT SURAT SOKONGAN KELULUSAN DARIPADA KETUA POLIS DAERAH (OCPD) SEREMBAN DUA!Awal tahun ini ( bulan Febuari 2008) seorang sahabat karib saya telah datang berkunjung ke rumah. Beliau datang secara mengejut semata-mata ingin memaklumkan tentang kejadian ini. Beliau kelihatan serius dalam menceritakannya. Menurutnya, kisah serbuan gig ini dan beberapa hal lain telah berubah fakta sehingga menimbulkan unsur-unsur fitnah yang dikira menjatuhkan maruah saya. Terdorong daripada cerita sahabat saya itu, maka perlu saya kembali menjelaskan kisah yang sebenar.Satu sesi temubual dengan pihak Cawangan Khas di IPD Seremban Dua telah diadakan pada 1 hb Disember 2005, saya sebagai pemohon permit hiburan telah diminta hadir untuk memberi beberapa butir penting sebagai maklumat kepada pihak Cawangan Khas sebagai memberi sokongan untuk mengeluarkan surat kebenaran memohon permit. Untuk pengetahuan semua, ini adalah kali keempat (4) saya melalui prosedur yang sama kerana sebelum ini saya pernah tiga kali menganjurkan gig metal yang mendapat kelulusan polis dan permit daripada MPS. Pada 2 hb Disember 2005, surat sokongan OCPD Seremban Dua ketika itu, Hassanudin Hassan telah diterima dan saya majukan kepada MPS. Pada petangnya, iaitu kira-kira jam 2.00 pm permit hiburan diperolehi.Dalam sesi temubual dengan pihak Cawangan Khas itu, saya telah ditanya dengan beberapa soalan. Antaranya;-bekerja apa dan di mana tempat bekerja?-pernah terlibat dengan mana-mana pertubuhan politik, samseng (termasuk 3 line) dan mana-mana persatuan?(Pada soalan kedua itu, saya telah menyatakan bahawa saya pernah menyertai latihan sebuah pertubuhan silat di Seremban dan memaklumkan yang saya tidak lagi aktif serta tidak lagi mengikuti sebarang program pertubuhan silat itu.)Saya bersama-sama rakan-rakan jawatankuasa penganjur gig ini berasa lega kerana telah mendapat permit hiburan yang sah dan berasa selamat untuk menjalankan penganjuran gig tersebut. Maklumat ini kemudiannya kami maklumkan melalui internet untuk panduan semua peminat muzik metal tanah air bahawa gig ini selamat dan sah.
Pada 3 hb Disember 2005, saya dan jawatankuasa penganjuran tiba di perkarangan Dewan NSCA(Negeri Sembilan Ceylonese Association) jam 9.30 pagi. Kami telah membuat segala persiapan seperti peralatan muzik, sistem bunyi, susun atur persembahan, kawalan keselamatan dan lain-lain. Namun, keadaan pagi itu agak ganjil berbanding penganjuran gig-gig lepas di venue yang sama. Saya telah ternampak beberapa orang lelaki yang meninjau dan merakam sekitar dewan menggunakan v-cam. Ada antara kami telah mengesyaki sesuatu yang kurang menyenangkan dan saya juga telah merasakan ganjil kehadiran orang-orang ini.
Bagi meredakan keadaan, kami meneruskan kerja-kerja persiapan gig. Setelah semuanya siap sedia, tepat jam 1.30 petang gig bermula. Saya masih meninjau-ninjau keadaan luar dewan kerana masih dibayangi kebimbangan serta keganjilan tentang kehadiran beberapa lelaki awal pagi itu. Saya masih mengingati seorang dua wajah mereka itu, tapi tidak kelihatan ketika gig telah bermula.
Ketika itu juga, saya melihat begitu ramai orang yang berkumpul bersesak di hadapan bangunan Courtsmammoth Seremban bersebelahan pintu masuk Dewan NSCA. Saya sekadar mengagak mungkin mereka ini adalah peminat-peminat muzik metal yang ingin menonton gig ini.
Dalam waktu itu, telah datang seorang sepupu saya yang bekerja di Terminal One Seremban dan memberitahu saya;
"Mus..kau pergilah kow-tim dengan abang-abang 3 line tu."
Jawab saya, "Ait!? pasal apa dia orang ni? ada something wrong ke?"
Sepupu saya terangkan, "Dia orang ni nak lentung gig kau...katanya ada budak-budak nak bakar Quran dalam gig ni!"
Terkejut sangat saya mendengar jawapan sepupu saya itu. Dalam keadaan yang merumitkan itu, saya berfikir untuk menyelesaikannya. Maka saya berbincang dengan jawatankuasa penganjuran tentang hal ini. Semuanya memberi reaksi yang sama seperti saya...terkejut!
Saya beranikan diri dan berbincang dengan "abang-abang" 3 line ni, bertanyakan keadaan sebenar. Mereka menyatakan bahawa telah mendapat sms yang menyebut ada beberapa budak akan melakukan upacara membakar Quran ketika gig berlangsung. Saya beristifar panjang mendengarnya. Bagi meleraikan kekusutan, saya membenarkan beberapa orang daripada mereka ini untuk masuk meninjau dan melihat realiti gig ini. Mereka berpuas hati tidak ada kejadian yang disangkakan. Akhirnya mereka beredar dan keadaan menjadi terkawal.
Akan tetapi takdir Allah telah menentukan gig ini akan diakhiri dengan serbuan pihak polis. Tepat jam 8.30 malam, tiga trak "black maria" bersama anggota FRU dan pegawai-pegawai polis telah menyerbu gig ini. Selepas pemeriksaan, kira-kira lebih 150 telah dibawa ke IPD Seremban Dua untuk siasatan.
Setibanya di perkarangan ibu pejabat polis daerah Seremban Dua, saya telah diasingkan daripada rakan-rakan lain. Saya telah dibawa berjumpa dengan beberapa orang pegawai polis termasuk OCPD Hassanudin Hasan.
Salah seorang pegawai itu telah menyoal saya; "Kau ke yang buat upacara black metal kt Telok Kemang tu?"
(sebulan sebelum gig ini dianjurkan telah muncul artikel dalam Mastika yang melaporkan ada pemujaan black metal di pantai Telok Kemang....sama ada ia BENAR-BENAR berlaku atau sekadar cereka indah daripada wartawan dungu MASTIKA!) Saya menjawab: "Bukan..saya tak tau apa-apa pun hal tu...apa Tuan baca kat Mastika ker?"
Pegawai tu sekadar diam tak memberi jawapan.
Kemudiannya, OCPD Hassanudin menyoal saya: "kenapa awak guna nama persatuan silat c.... untuk buat konsert ni?"
Saya jawab: "Saya tak guna pun nama persatuan silat c.... untuk mohon permit!"
OCPD:"kenapa dalam permohonan ada nama persatuan silat tu?"
Dengan berani saya jawab:"Setahu saya, nama pemohon dalam borang tu adalah nama saya seorang saja...individu...dan bukannya ada mohon guna nama mana-mana persatuan pun. Kalau ada kat situ, bermakna pihak pilis lah yang DAH menambahnya!!!"
Dalam saat tu juga terlintas di fikiran saya dan terus bertanya pada OCPD Hassanudin; "Tuan, saya nak tanyalah...kalau benda yang saya buat ni dah salah dan tak betul...kenapa bagi permit kat saya?"
Jawab OCPD: "Polis tak keluarkan permit. itu Majlis Perbandaran yang keluarkan!"
Saya terus bertanya lagi: "Ok betul MPS yang bagi permit tu...tapi KENAPA TUAN LULUSKAN SURAT SOKONGAN UNTUK PERMOHONAN SAYA TU?"
Dengan muka yang serba salah dan terperangkap dengan soalan itu, OCPD itu menjawab: "Kita buat operasi biasa jer ni."
Inilah jawapan daripada seorang OCPD yang bersungguh-sungguh menyerbu gig ini tapi terperangkap dengan operasi sendiri. Apa maksudnya itu? Maknanya operasi ini mungkin sekadar hendak mencari glamour, kononnya "black metal" dah dibenteras di Negeri Sembilan!
Akibat keberanian saya itu dan dirasakan mampu menjawabnya pada pihak media, sekali lagi saya dianiaya dengan pihak polis menipu ujian air kencing saya.ngetahuan semua, saya bukan seorang perokok malahan juga BUKAN penghisap sebarang dadah! Keputusan ujian air kencing itu telah menunjukkan saya positif ganja dan ais!!! Saya terus digari dan malam itu juga saya telah disumbat ke dalam lokap selama 4 hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Keluar sahaja dari lokap dan belum sempat untuk menenangkan keadaan, ada lagi masalah yang mendatang. Seorang kenalan saya dari persatuan silat c.... telah menelefon saya supaya datang ke rumah persatuan terbabit untuk menjelaskan cerita sebenarnya. Kisahnya, satu persatuan silat itu telah gempar dan kaget kerana nama persatuan itu telah digunakan untuk menganjurkan gig ini. Berita itu lebih hebat lagi kerana telah tersiar di beberapa akhbar dengan penceritaan yang jelas sekali bertentangan dan salah!