Gambar A1: Keris Gelanggang & Tumbok Lada
Aku telah menerima serahan dua senjata pusaka daripada ayah mertua (Baharudin bin Kefi) iaitu sebilah tumbok lada pusaka keturunan ayah mertua aku dan keris gelanggang lama kepunyaan arwah atok beliau. Ayah mertua aku telah menyerahkan secara rasmi kedua-dua pusaka ini pada 21 Januari 2021.
Kali pertama aku ditunjukkan senjata pusaka ini pada tahun 2010 dulu. Ketika itu aku masih ada keterujaan sangat kepada senjata-senjata tangan Nusantara walaupun meminatinya.
Latarbelakang Pusaka Tumbok Lada
Tumbok Lada ini adalah senjata bertaraf antik dengan kualiti buatan yang baik. Aku menjangkakan usia tumbok lada ini sudah melebihi daripada dua ratus tahun. Senjata ini berkaitrapat dengan Orang Minang kerana asal usulnya berasal daripada Tanah Minangkabau.
Jika diteliti persejarahan lampau, kedatangan Orang Minang ke Negeri Sembilan sudah berlaku sejak kurun ke-14 lagi. Kemunculan institusi pemerintahan luak yang awal di Sungai Ujong, Kelang, Jelebu, Rembau, Johol dan Inas sejak kurun ke-15 dan 16 Masehi turut menjurus kepada pembuatan senjata tumbok lada.
Tumbok Lada adalah indentiti bagi Orang Negeri Sembilan. Ada ciri-ciri berbeza tumbok lada di Negeri Sembilan dengan lain-lain negeri.
Antara ciri unik tumbok lada pusaka ini adalah ukiran timbul yang terdapat pada hulu dan sampir. Bahagian hulu dan sampir diperbuat daripada tanduk kerbau.
Bahagian sarung iaitu batang serunai pula disalut dengan batang sarung perak di pangkal dan buntut batang serunai. Manakala bahagian tengah batang serunai dihiasi dengan dawai perak (lihat gambar A3 & A4).
Bilah tumbok lada ini juga mempunyai pamor dan beberapa ketandaan khas yang memberi watak melalui peranan dan darjat.
Pamor pada muka bilah kiri dan kanan tumbok lada ini adalah Pamor Beras Muntah dan Pamor Kulit Kayu. Terselit juga Pamor Mata Ketitit pada pangkal bilah. Belakang bilah bermula daripada mal bilah hingga hujung mempunyai pamor mata ketitir.
Ketandaan yang dapat dilihat jelas pada bahagian mata bilah, belakang bilah dan muka bilah adalah Ketandaan Gat yang terdapat; tiga (3) di belakang bilah dan dua (2) di mata bilah. Ada juga Ketandaan Alur Anak Sungai, Ketandaan Alif atau Jarum Sepucuk dan Ketandaan Panah Laksamana.
Kewujudan pamor dan ketandaan ini melambangkan darjat pemilik dan peranan tumbok lada ini sebagai senjata pendinding, perisai daripada ancaman sihir dan gerak khianat manusia serta peranan melancarkan gerak urusan kepada pemilik senjata.