Aku minat mengumpul badik sebenarnya. Ini antara badik yang ada dalam koleksi peribadi aku. Serba serbi baru, maksudnya ia bukan badik tua, tidak antik dan jenis baru.
Usia badik ini khususnya bilah tak kurang daripada 10 tahun. Sarung dan hulu adalah buatan baru yang dibuat pada hujung tahun 2020 hasil tangan tukang ukir dari Terengganu.
Hulu dan sarung (batang serunai & sampir) diperbuat daripada teras kayu akasia. Sampir badik ini ada hiasan lorekan. Kasut atau buntut sarung adalah jenis bentuk kapak. Rekabentuk hulu (pemegang/gagang) mirip seperti hulu Kawali Bugis dan tak bertemin (cincin pada bahagian antara hulu dan bilah).
Bentuk bilah yang lurus dengan kelebaran kecil (1.3cm/0.5 inci). Ia sangat berbeza dengan bilah kawali atau luwu Bugis walaupun bilah ini lurus dari pangkal dan bermata sebelah pada bahagian bawah. Bahagian hujung bilah meruncing dengan ukuran 2.5cm (1 inci). Belakang bilah bersaiz tebal dengan keratan rentas berbentuk melengkung.
Panjang bilah (tak termasuk puting) adalah 8.2 inci (21cm), manakala panjang puting adalah 5.5cm (2.1 inci). Keseluruhan badik ini panjang 12.5 inci (31.75cm).
Aku membeli badik ini daripada seorang penjual senjata tangan Nusantara dari Terengganu, saudara Zul Fadli (FB Fadli Tg) dengan harga mampu milik. Menurut beliau, bilah badik ini ditempa oleh tukang besi dari Riau. Ceritanya bilah ini asalnya pernah digunakan dalam bertempur dan pernah 'makan darah'.
Aku tak hirau atau khuatir tentang 'kisah gelap' bilah ini tetapi aku berminat membuat koleksi sebab ciri-ciri khusus badik ini.
Ada video khas tentang badik ini dalam channel YouTube aku, boleh klik link di bawah;
Badik Riau https://youtu.be/Bszo2q1sIQs
Lain orang lain citarasa, aku letakkan badik ini sebagai senjata tempur dek kerana kekuatan fizikal besi bilah yang lurus dan tak bengkok. Memang ada momentum untuk menikam.