Saturday, October 16, 2021

Koleksi Lembing Antik Melayu & Nusantara

Gambar A1: Koleksi Peribadi Lembing

Sebenarnya aku memulakan mengumpul sejumlah lembing antik Melayu dan Jawa sebagai koleksi peribadi sejak tahun 2020. Ia boleh dianggap sebagai hobi baharu selain koleksi keris, pisau, badik dan lain-lain senjata tangan Nusantara.

Namun, untuk lembing antik Melayu dan Jawa aku berniat untuk membukukan atau mendokumentasi maklumat-maklumat tentang senjata ini. Ia tak begitu popular seperti keris atau badik. Berbeza dengan negara Indonesia yang ada banyak sumber tentang lembing dan tombak. Cuma di Malaysia, maklumat tentang lembing sangat terhad dan sukar untuk didapati dalam bentuk dokumentasi lengkap.

Jenis Rekabentuk atau Dapur Lembing Melayu

Ada beberapa jenis rekabentuk lembing antik Melayu khusus dari Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) iaitu;
1. Lembing Daun Buluh
2. Lembing 

Monday, June 7, 2021

Senjata Antik: Lembing Daun Buluh Mal Heksagon

Jenis Senjata: Tombak/Lembing
Dapur/Rekabentuk: Daun Buluh Melayu
Ukuran 
Panjang Keseluruhan: 15 Inci (38.1cm)

Panjang Bilah: 10 Inci (25.4cm)

Panjang Methuk/Mal: 1.1 Inci (2.8cm)

Pating/Pesi: 3.9 Inci (9.9cm)

Keterangan Bilah
Bilah ini dikatakan berasal dari negeri Perak. Ketara sifat fizikal sebagai identiti wilayah terletak pada bentuk Mal iaitu bahagian pangkal bilah yang terdapat di antara pangkal mata bilah (digelar Sor-Soran) dan Methuk (collar-ring ) berbentuk heksagon.
Merujuk kepada gambar, anak panah menunjukkan muka pangkal bilah yang dipanggil 'Mal' yang bersegi enam atau heksagon. 

Ini ciri khas lembing Daun Buluh Melayu yang berasal dari Perak atau Kedah. Berbeza dengan lembing Daun Buluh Melayu dari Pantai Timur Tanah Melayu yang mempunyai mal berbentuk bulat cembung (digelar Buah Gutung).

Bahagian bawah Mal disebut Methuk atau 'collar-ring' yang menjadi tapak bilah lembing jenis diameter (ukur lilit) bulat seperti bentuk gelas (lihat gambar bawah).

Pamor dan Ketandaan
Lembing Daun Buluh Melayu gaya Perak ini dianggarkan usia lebih daripada 200 tahun, ia mungkin lembing era akhir kurun ke-18 (1780-1800) atau awal kurun ke-19 (1801-1820).

Terdapat pamor merambut yang bermula dari pangkal mata bilah (Sor-Soran) sehingga ke bahagian pucuk bilah.
Ada ketandaan Jarum Sepucuk atau Alur Anak Sungai pada bahagian pucuk bilah. Ketandaan itu tertera dengan jelas (rujuk gambar bawah);
Keratan Rentas Bilah
Bilah lembing ini mempunyai tulang di bahagian tengah. Jika dilihat secara keratan rentas, bentuk bilahnya adalah jenis berlian atau 'diamond shaped blade'.
Lembing Daun Buluh Melayu gaya Perak ini adalah antara koleksi peribadi aku yang menarik dan agak sukar diperolehi lagi. Ia sudah menjadi warisan pusaka bangsa yang wajar dipelihara dan dipulihara sebaik mungkin.

TAK HILANG PUSAKA MELAYU.

Monday, February 15, 2021

Pusaka Tumbuk Lada & Keris Gelanggang Tua (Bahagian 1)

Gambar A1: Keris Gelanggang & Tumbok Lada
Aku telah menerima serahan dua senjata pusaka daripada ayah mertua (Baharudin bin Kefi) iaitu sebilah tumbok lada pusaka keturunan ayah mertua aku dan keris gelanggang lama kepunyaan arwah atok beliau. Ayah mertua aku telah menyerahkan secara rasmi kedua-dua pusaka ini pada 21 Januari 2021.

Kali pertama aku ditunjukkan senjata pusaka ini pada tahun 2010 dulu. Ketika itu aku masih ada keterujaan sangat kepada senjata-senjata tangan Nusantara walaupun meminatinya.

Latarbelakang Pusaka Tumbok Lada
Tumbok Lada ini adalah senjata bertaraf antik dengan kualiti buatan yang baik. Aku menjangkakan usia tumbok lada ini sudah melebihi daripada dua ratus tahun. Senjata ini berkaitrapat dengan Orang Minang kerana asal usulnya berasal daripada Tanah Minangkabau.
 Gambar A2: muncung bilah dan sampir

Jika diteliti persejarahan lampau, kedatangan Orang Minang ke Negeri Sembilan sudah berlaku sejak kurun ke-14 lagi. Kemunculan institusi pemerintahan luak yang awal di Sungai Ujong, Kelang, Jelebu, Rembau, Johol dan Inas sejak kurun ke-15 dan 16 Masehi turut menjurus kepada pembuatan senjata tumbok lada.

Tumbok Lada adalah indentiti bagi Orang Negeri Sembilan. Ada ciri-ciri berbeza tumbok lada di Negeri Sembilan dengan lain-lain negeri.

Gambar A3: sampir berlorek & batang sarung perak

Antara ciri unik tumbok lada pusaka ini adalah ukiran timbul yang terdapat pada hulu dan sampir. Bahagian hulu dan sampir diperbuat daripada tanduk kerbau.

Bahagian sarung iaitu batang serunai pula disalut dengan batang sarung perak di pangkal dan buntut batang serunai. Manakala bahagian tengah batang serunai dihiasi dengan dawai perak (lihat gambar A3 & A4).
Gambar A4: bahagian sarung (kiri) & bilah

Bilah tumbok lada ini juga mempunyai pamor dan beberapa ketandaan khas yang memberi watak melalui peranan dan darjat. 

Pamor pada muka bilah kiri dan kanan tumbok lada ini adalah Pamor Beras Muntah dan Pamor Kulit Kayu. Terselit juga Pamor Mata Ketitit pada pangkal bilah. Belakang bilah bermula daripada mal bilah hingga hujung mempunyai pamor mata ketitir.

Ketandaan yang dapat dilihat jelas pada bahagian mata bilah, belakang bilah dan muka bilah adalah Ketandaan Gat yang terdapat; tiga (3) di belakang bilah dan dua (2) di mata bilah. Ada juga Ketandaan Alur Anak Sungai, Ketandaan Alif atau Jarum Sepucuk dan Ketandaan Panah Laksamana. 
Gambar A5: bahagian pangkal bilah

Kewujudan pamor dan ketandaan ini melambangkan darjat pemilik dan peranan tumbok lada ini sebagai senjata pendinding, perisai daripada ancaman sihir dan gerak khianat manusia serta peranan melancarkan gerak urusan kepada pemilik senjata.

Tuesday, January 5, 2021

Koleksi Senjata Tangan: Badik Lurus Sumatera

Aku minat mengumpul badik sebenarnya. Ini antara badik yang ada dalam koleksi peribadi aku. Serba serbi baru, maksudnya ia bukan badik tua, tidak antik dan jenis baru.

Usia badik ini khususnya bilah tak kurang daripada 10 tahun. Sarung dan hulu adalah buatan baru yang dibuat pada hujung tahun 2020 hasil tangan tukang ukir dari Terengganu.

Hulu dan sarung (batang serunai & sampir) diperbuat daripada teras kayu akasia. Sampir badik ini ada hiasan lorekan. Kasut atau buntut sarung adalah jenis bentuk kapak. Rekabentuk hulu (pemegang/gagang) mirip seperti hulu Kawali Bugis dan tak bertemin (cincin pada bahagian antara hulu dan bilah). 

Bentuk bilah yang lurus dengan kelebaran kecil (1.3cm/0.5 inci). Ia sangat berbeza dengan bilah kawali atau luwu Bugis walaupun bilah ini lurus dari pangkal dan bermata sebelah pada bahagian bawah. Bahagian hujung bilah meruncing dengan ukuran 2.5cm (1 inci). Belakang bilah bersaiz tebal dengan keratan rentas berbentuk melengkung.
Panjang bilah (tak termasuk puting) adalah 8.2 inci (21cm), manakala panjang puting adalah 5.5cm (2.1 inci). Keseluruhan badik ini panjang 12.5 inci (31.75cm).

Aku membeli badik ini daripada seorang penjual senjata tangan Nusantara dari Terengganu, saudara Zul Fadli (FB Fadli Tg) dengan harga mampu milik. Menurut beliau, bilah badik ini ditempa oleh tukang besi dari Riau. Ceritanya bilah ini asalnya pernah digunakan dalam bertempur dan pernah 'makan darah'.

Aku tak hirau atau khuatir tentang 'kisah gelap' bilah ini tetapi aku berminat membuat koleksi sebab ciri-ciri khusus badik ini. 

Ada video khas tentang badik ini dalam channel YouTube aku, boleh klik link di bawah;
Badik Riau https://youtu.be/Bszo2q1sIQs

Lain orang lain citarasa, aku letakkan badik ini sebagai senjata tempur dek kerana kekuatan fizikal besi bilah yang lurus dan tak bengkok. Memang ada momentum untuk menikam.