Monday, January 29, 2024

RAMA-RAMA MALAYSIA: Coconut Skipper

RAMA-RAMA MALAYSIA | Coconut Skipper
Nama Saintifik: Hidari irava 
Keluarga: Hesperiidae 
Habitat: Selatan Myanmar, Thailand, Pantai Barat Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Borneo dan Sulawesi.
.....
Lokasi: Bukit Citra, Pajam, Negeri Sembilan, Malaysia. 
Masa: 7:49 PM
Tarikh: 28 Januari 2024 | Ahad
.....
Kawasan kediaman aku juga menjadi Habitat beberapa spesis rama-rama dan kupu-kupu tempatan. Spesis berukuran kecil paling mudah ditemui sekitar Bukit Citra di Pajam, Mantin.

Berikut adalah beberapa gambar kupu-kupu  Coconut Skipper.

Sunday, January 28, 2024

MUZIK METAL: Kreator Gegar Kuala Lumpur, Anjakan Positif Industri Muzik Malaysia!

Kreator akhirnya kembali menggegarkan pentas di bumi Malaysia dengan memberi suatu kesan bermakna kepada seluruh peminat yang hadir ke konsert 'KREATOR: Strongest of The Strong' pada malam 25 Januari 2024 lalu.

Ribuan peminat memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur membuktikan bahawa masih wujud sejumlah peminat muzik metal yang signifikan.

Sekalung tahniah buat Rockstage Entertainment dan Lampuneon yang telah menjayakan penganjuran konsert metal pembuka tahun 2024.

Kedua-dua pihak telah membuat persiapan rapi penganjuran sepanjang dua bulan sebelum itu. Kerjasama profesional yang dijalankan benar-benar mencetuskan suatu lembaran baharu kepada industri muzik tanahair khususnya dalam penganjuran konsert muzik metal. Sepanjang tahun 2023 sebelum itu, negara kita dihidangkan dengan pelbagai konsert 'reunion' dan 'comeback' band-band rock era 1980an selain gegaran persembahan Wings dan Search dalam konsert masing-masing. 

Penganjuran konsert Kreator ini mendapat pelepasan pihak berwajib dan ia membuktikan bahawa muzik metal boleh ditampilkan asalkan tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Secara peribadi, walaupun hanya menonton perkongsian video yang dikongsikan beberapa metalhead di media sosial termasuk gambar-gambar sepanjang konsert, aku melihat kejayaan penganjuran oleh Rockstage Entertainment dan Lampuneon ini adalah sesuatu yang positif kepada industri muzik Malaysia. Ia memberi nafas dan menghidupkan kerancakan kepada segmen muzik berat khususnya muzik metal untuk bergerak aktif.

Promosi yang diusahakan oleh Rockstage Entertainment melalui siaran media utama menunjukkan muzik metal bukanlah muzik yang bersifat bawah tanah. Ia juga adalah muzik yang punyai peminat seluruh dunia termasuk di sini.

Mengulas ringkas, Kreator dianggotai Miland 'Mille' Petrozza (riffman & vokal), Jurgen 'Ventor' Reil (drum), Sami Yli-Sirnio (lead) dan Frederic Leclercq (bass) menampilkan persembahan bertenaga dalam tempoh 90 minit dengan 16 set lagu.

Suasana konsert dan sambutan ribuan metalhead malam itu telah banyak dilontarkan dan dinukilkan begitu meriah di media sosial. Maka aku sekadar menulis kepada kejayaan pihak penganjur, perspektif yang wajar diberi kredit pujian atas gerakan yang berlangsung sejak penghujung tahun 2023 lagi.

Semoga kejayaan Rockstage Entertainment dan Lampuneon ini akan menjadi cetusan positif kepada industri muzik tanahair khususnya muzik metal akan membuka peluang yang luas kepada penggiat-penggiat muzik metal untuk tampil berani mengetengahkan karya. Kebetulan pula, ia suatu penghormatan apabila Kuala Lumpur menjadi lokasi pembuka kepada Kreator World Tour di Asia & Australia 2024.

Tak mustahil kedua-duanya pada masa akan datang berupaya menganjurkan konsert metal skala serantau berpangkalan di Malaysia. Konsert Kreator di Kuala Lumpur ini juga telah meletakkan kembali Malaysia di peta muzik metal antarabangsa.

Sekali lagi tahniah buat Rockstage Entertainment dan Lampuneon. 

KREDIT GAMBAR: dengan keizinan Rockstage Entertainment, dipetik melalui page rasmi FB Rockstage Entertainment. 

RAMA-RAMA MALAYSIA: Peacock pansy

RAMA-RAMA MALAYSIA | Junonia almana 
Nama Saintifik: Junonia almana Linnaeus 
Nama Lain: Peacock pansy 
Habitat: India, Sri Langka, Asia Tenggara, Tenggara China & Jepun.
.....
Lokasi: Kg Dingkir, Inas, Negeri Sembilan, Malaysia.
Masa: 12:59 PM
Tarikh: 27 Januari 2024 | Sabtu
.....
Sebenarnya bukan mudah untuk merakam dan membidik gambar rama-rama yang aktif bergerak seperti Rama-rama 'Peacock pansy' ini. Kecanggihan teknologi telefon bimbit Samsung Galaxy A52 dengan mod 'large' membolehkan beberapa gambar berjaya dipetik dalam suasana tengahari, cukup pencahayaan untuk gambar yang jelas.

Untuk makluman, Kampung Dingkir yang terletak di Luak Inas, Daerah Kuala Pilah dikelilingi hutan adalah habitat semulajadi yang sesuai untuk kebanyakan spesis rama-rama. Maka tak hairan ada pelbagai jenis rama-rama dan kupu-kupu boleh ditemui di sini.

Berikut beberapa gambar 'Peacock pancy' yang diambil di Kampung Dingkir. 

Wednesday, January 17, 2024

Kubur Batu Megalith Kg Dingkir

Daerah Kuala Pilah paling banyak mempunyai tapak kubur tua batu megalith di Negeri Sembilan. Kubur-kubur tua ini berusia lebih daripada 300 tahun adalah antara bukti nyata sejarah kependudukan manusia di kawasan-kawasan tersebut.

Luak Inas yang terletak di selatan Daerah Kuala Pilah adalah salah satu Luak atau negeri kecil yang terdapat dalam Luak Tanah Mengandung.

Menurut catatan Muzium Negeri Sembilan, terdapat tiga tapak megalith di Luak Inas iaitu di Kampung Tongoloi Ulu Inas, Kampung Padang Takachi dan Kampung Ulu. Keseluruhan tapak ini ada sejumlah 19 buah kubur batu megalith. 
A1 Kubur Megalith Kg Ulu Inas
 
A2 Kubur Megalith Kg Ulu Inas

A3 Kubur Megalith Kg Ulu Inas 

KUBUR TUA KG DINGKIR 
Namun begitu, agak menarik kerana ada sebuah kubur batu megalith di Luak Inas yang tidak dicatatkan oleh Muzium Negeri Sembilan. 

Semasa aku singgah dan ziarah ke kubur nenek isteri aku di Perkuburan Islam Seginyeh di Kg Dingkir pada 30 Jun 2023 lalu, aku ternampak sebuah kubur tua yang ditandai dengan batu megalith. 

Kawasan perkuburan kampung di sekitar Kg Dingkir dan Kg Gating sini berada di lereng-lereng bukit yang tinggi. Maka tak hairan terdapat kubur-kubur tersusun di bahagian kaki bukit. Cuma pengunjung perlu berhati-hati semasa menziarahi kubur sanak saudara takut tergelincir atau terjatuh ke tepi Lereng bukit.

Moyang Besar Keluarga
Menurut maklumat nenek saudara isteri aku, Cik Nah binti Ujang, 84 (dipanggil Uwan Cik) kubur tua itu kepunyaan moyang besar keluarga yang disebut Tok Koto (Kota). Tambah Uwan Cik lagi, Tok Koto adalah dari Suku Semelenggang (Seri Melenggang). Jika mengikut jurai keturunan dari sebelah arwah ayahnya (Ujang bin Tanggam) adalah dari perut Suku Semelenggang. Mengikut cerita lisan daripada makcik saudara isteri yang kami panggil 'Acik Piah' kini menetap di Sungai Ramal, Kajang, kubur tua tersebut kerap diziarahi oleh moyang isteri (Ujang bin Tanggam).

Kewujudan kubur-kubur tua batu megalith seperti di Kampung Dingkir ini membuktikan catatan sejarah bahawa petempatan manusia telah ada lebih 300 tahun di sekitar Luak Inas.
B1 Kubur Megalith Kg Dingkir

B2 Kubur Megalith Kg Dingkir

Monday, January 15, 2024

Baik-Pulih (Refurbish) Keris Gelanggang Tua

Aku telah menerima amanah menjaga sebilah keris pusaka kepunyaan ayah mertua, Baharudin bin Kefi pada penghujung Januari tahun 2020 lalu. Pertengahan tahun 2023, barulah aku berkesempatan untuk mengusahakan baik pulih atau 'refurbish' melalui sentuhan sahabat aku, Faizal Fauzi.

Kerja-kerja baik pulih keris ini hanya meliputi bahagian sarung keris iaitu batang serunai dan sampir termasuk gagang atau Hulu keris.

Gambar-gambar sebelum proses 'refurbish'

Gambar selepas baik-pulih

Thursday, March 24, 2022

Lembing Luk Sinandi (Luk Rahsia di sebalik bilah lurus)

Aku baru tau kewujudan bilah lembing yang mempunyai luk rahsia. Ia dinamakan sebagai Luk Sinandi. 

Tanpa disangka dalam koleksi peribadi aku ada empat bilah lembing yang mempunyai Luk Sinandi.
A1 Lembing Jawa Luk Sinandi

A2 Lembing Daun Buluh Terengganu (1)

A3 Lembing Daun Buluh Terengganu (2)

Lembing secara hakikat ada empat jenis bilah iaitu lurus, berluk, dwisula (bercabang dua) dan trisula (bercabang tiga).

Luk Sinandi setakat diketahui wujud pada lembing bilah lurus. Secara pandang hadapan, ia lurus tetapi apabila melihat secara sisi, ia kelihatan ada lekuk nipis yang seakan luk. Inilah yang digelar Luk Tersembunyi atau Luk Sinandi.

Aku mempunyai lembing luk sinandi yang jenis tiga dan lima luk. Setakat yang diketahui, aku hanya menemui bilah lembing yang Luk Sinandi tiga dan lima.

          A4 Lembing Daun Buluh Kelantan

Gambar A4 di atas adalah salah satu Lembing Daun Buluh Melayu dari Kelantan yang mempunyai Luk Sinandi. Secara pandangan sisi, anda semua boleh nampak lengkuk yang ada pada bilah. Aku dah tandakan secara bernombor sebagai pedoman untuk menunjukkan bilangan luk tersembunyi lembing ini.



Saturday, October 16, 2021

Koleksi Lembing Antik Melayu & Nusantara

Gambar A1: Koleksi Peribadi Lembing

Sebenarnya aku memulakan mengumpul sejumlah lembing antik Melayu dan Jawa sebagai koleksi peribadi sejak tahun 2020. Ia boleh dianggap sebagai hobi baharu selain koleksi keris, pisau, badik dan lain-lain senjata tangan Nusantara.

Namun, untuk lembing antik Melayu dan Jawa aku berniat untuk membukukan atau mendokumentasi maklumat-maklumat tentang senjata ini. Ia tak begitu popular seperti keris atau badik. Berbeza dengan negara Indonesia yang ada banyak sumber tentang lembing dan tombak. Cuma di Malaysia, maklumat tentang lembing sangat terhad dan sukar untuk didapati dalam bentuk dokumentasi lengkap.

Jenis Rekabentuk atau Dapur Lembing Melayu

Ada beberapa jenis rekabentuk lembing antik Melayu khusus dari Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) iaitu;
1. Lembing Daun Buluh
2. Lembing