Thursday, May 8, 2014

Gegey Fest 2014: Pengalaman dengan crowd baru!

GEGEY FEST 2014
3 MEI 2014/ SABTU
BLACKBOX PUBLIKA, SOLARIS DUTAMAS,KL.


Sebuah acara muzik tahunan yang menampilkan pelbagai genre muzik seperti hardcore, emo dan metalcore. Farasu langkah kanan apabila menjadi sebahagian daripada band-band yang diberi peluang untuk terlibat dalam acara muzik ini pada tahun 2014.

Sejujurnya, band-band metal tepu agak jarang menjadi senarai band bagi acara 'muzik tumbok lantai' begini. 

Namun ia sesuatu yang bagus buat Farasu dari segi pengalaman dan suasana berbeza crowd muzik. Gegey Fest tidak pernah gagal menghadirkan crowd dalam jumlah yang ramai dan memberangsangkan. Rata-rata crowd Gegey Fest benar-benar 'multi-racial', 'newblood' dan agak ramai awek yang menghadirkan diri! Suatu suasana yang sangat berbeza dalam kebanyakan gig atau acara muzik metal.

Menepati kehendak masa jadual persembahan yang telah ditetapkan oleh penganjur, kami tiba sekitar jam 1:45 petang di perkarangan Blackbox Publika. Ketika itu kedengaran pasukan sistem bunyi dan pentas sedang membuat persiapan serta ujian bunyi. 

Persembahan pembukaan dimulakan sekitar jam 2:45 petang agak lewat daripada jadual. Namun itu tidak merencat kelangsungan acara ini. Sebanyak 16 band terlibat dalam festival muzik ini. 

Azure For Jane
Farasu memulakan persembahan sekitar jam 4:45 petang dengan suasana di luar venue dibasahi dengan hujan yang turun dengan lebatnya. Sementara menanti giliran persembahan, aku sempat melihat persembahan satu band 'muzik tumbok lantai'-Azure For Jane. Sekali dengar berdasarkan pengetahuan aku, rentak muzik band tersebut ada sound emo-core macam In This Moment, August Burns Red & Suiciety Remains. Sangat agresif dan aktif persembahan mereka ini!

Tiba saat persembahan di atas pentas, pembukaan kami dimulakan dengan intro bunyi daripada trek muzik nobat. Pembukaan persembahan digegarkan dengan sebuah lagu baru, 'The Truly'. Mulanya agak khuatir andainya tidak ada crowd yang akan mara ke hadapan pentas. Maklumlah Farasu satu-satunya band death-metal yang membuat persembahan dalam Gegey Fest. Namun penangan awal lagu 'The Truly' telah merangsang sebahagian crowd menghayunkan kepala masing-masing melayan irama melodic death-metal Farasu!

Kemudian Farasu meneruskan gegaran persembahan dengan sebuah lagi lagu baru, 'The Marhaen's Blood'. Selepas itu disusuli dengan sebuah lagi lagu baru iaitu 'Against The Tyranny'. Crowd begitu setia melayani kedua-dua persembahan lagu ini. 

Penutup persembahan diakhiri dengan sebuah lagu 'cover' dari Dio iaitu 'Holy-Diver'. Crowd agak teruja dengan lagu ini dan turut menyanyikan secara beramai-ramai. Ini suasana yang sangat mengujakan dan membuatkan aura persembahan menjadi hangat!

Gegey Fest merupakan pentas terbaik bagi Farasu membuka perspektif dan tarikan muziknya kepada pendengar-pendengar baru. Ia suatu usaha untuk memecahkan kepompong muzik Farasu kepada kelompok ini tanpa terikat dengan suasana metal tepu yang kadangkala seperti Tembok Besar China sehingga terlalu 'setia' dalam kemendapan! Melangkah ke arah lebih jauh dalam melakukan revolusi muzik bagi mencipta evolusi karya!





Friday, May 2, 2014

Trip Sibu 2014: Pemilihan Keadilan 2014 & suasana Sibu!

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Sibu, Sarawak pada pertengahan tahun 2010 lalu. Ketika itu aku bersama seorang sahabat, Hasiib Harun telah ditugaskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) iaitu sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Parti Keadilan Rakyat untuk mengendalikan urusan-urusan pemilihan parti. 

Aku dan Hasiib telah ditugaskan untuk mengendalikan urusan pencalonan cabang bagi Zon Sibu yang melibatkan Cabang Sibu, Lanang, Sarikei, Julau dan Selangau. 

Tugasan kerja
Kali ini pada tahun 2014 aku sekali lagi telah berpeluang ke Sibu dengan tugas yang sama namun berseorang mengendalikan urusan pencalonan bagi cabang di Zon Sibu melibatkan Cabang Sibu, Lanang, Selangau, Kapit, Julau, Sarikei, Saratok, Mukah dan Kanowit.

Berbeza dengan suasana Pemilihan 2010, kali ini telah berlaku jumlah pencalonan yang menggalakkan disamping berlaku pertandingan bagi beberapa cabang. Empat tahun lalu zon Sibu boleh dianggap sebagai kawasan 'suam' bagi Keadilan kerana cengkaman akar umbi tidak begitu menyerlah. Seingat aku hanya berlaku pertandingan peringkat cabang di Sibu dan Lanang. 

Suasana Sibu

Sekitar pemandangan di Jeti Sibu












Sibu pada waktu malam...Pemandangan dari atas kapal terbang


Sekitar pemandangan di pusat bandar Sibu











Kesempatan berada di Sibu kali ini aku gunakan sebaik mungkin merakam pemandangan di sekitar bandar ini. Kebetulan aku menginap di hotel dalam pusat bandar Sibu maka mudahlah untuk bersiar-siar melihat persekitaran bandar ini.

Aku melihat Bandar Sibu seperti New Orleans atau Ottawa yang mempunyai laluan kapal kargo melalui sungai. Sibu terletak di tebing Batang Rajang yang merupakan sungai terbesar dan terpanjang di Malaysia. Ini merupakan keistimewaan dan tarikan buat Sibu. Bandar ini juga merupakan tempat pembuatan kapal.

Ini catatan ringkas untuk trip Sibu...

Thursday, April 3, 2014

Menjejak Bumi Mukah: The Heartland of Melanau-Bahagian Kedua

Lokasi: Bandar Baru Mukah-Kg Telian
Tarikh: 29 Mac 2014 / Sabtu


Sesuatu yang tidak boleh dilepaskan dan wajib pada aku apabila datang ke sesebuah kawasan buat pertama kali adalah mengambil gambar-gambar kawasan sekitar. 

Hari kedua aku dan Farasu di bumi Mukah, kami telah dibawa oleh pihak penganjur melawat ke Kampung Telian Tengah dan Pantai Mukah. Kedua-dua lokasi ini aku anggap sebagai aset pelancongan di Mukah. 

Kami telah dibawa melawat ke Pusat Budaya & Kraftangan Kampung Telian Tengah. Ada rakan FB aku mencadangkan melawat 'kubur tergantung Melanau'.

Kunjungan ke pusat budaya ini telah mendedahkan sedikit sebanyak kebudayaan orang Melanau dari segi senibina rumah tradisional Melanau, pakaian tradisi, peralatan dan perkakasan hiasan serta peralatan muzik tradisi.

Rumah Tradisional Melanau
Ada banyak perkara baru yang dapat diperolehi di pusat budaya ini. Kebanyakan rumah tradisional Melanau dibina di atas kawasan paya bakau atau nipah di pesisir pantai atau kuala-kuala sungai. Senibina rumahnya agak luas dan memanjang secara pandang hadapan. Boleh dikatakan menyerupai rumah panjang Minagkabau (dari segi pelan pandang depan). Manakala jenis bumbung menyerupai bentuk rumah tradisional Kutai atau Terengganu.
Menurut tuan punya rumah yang dijadikan pusat budaya ini, ia telah dibina pada tahun 1919 ketika zaman pemerintahan Rajah Serawak ketiga, Charles Vyner Brooke (1917-1946).

Aku tertarik dengan binaan lantai dapur dalam rumah budaya ini yang dibuat daripada batang nibong.

Kalau dilihat pada keadaan asli batang nibong, ia dipenuhi dengan duri-duri hitam yang memenuhi keliling batang pohon ini. Nibong merupakan tumbuhan palma yang menyerupai pokok pinang hutan tetapi batang dipenuhi duri dan sangat mudah ditemui sekitar kawasan Mukah-Selangau-Oya-Bintulu.  Menariknya batang nibong yang menjadi susunan lantai dapur ini sangat sejuk dan selesa untuk tapak kaki memijak!

<---lantai batang="" daripada="" i="" nibong="">
Kebanyakan rumah di perkampungan Melanau dalam kawasan Telian ini dibina dengan kayu-kayu balak dan betul-betul terletak di atas kawasan paya. Cuma ketika kami datang waktu itu air laut tidak pasang dan masih boleh melihat aliran deras sunga-sungai yang melingkari seluruh kawasan tersebut!

Mungkin suasana asal Melaka 500-600 tahun dahulu adalah seperti di Kampung Telian ini yang mempunyai aliran sederhana dan kedalaman sungai yang boleh dimudiki oleh kapal-kapal (gambar kiri)
Kubur tergantung Melanau...adalah sesuatu yang sangat asing pada pengetahuan aku dan inilah kali pertama aku melihatnya secara dekat.

Gambar kanan tersebut bersebelahan pokok nangka merupakan kubur tergantung yang berstrukturkan kayu seperti bentuk keranda. Menurut kenalan-kenalan di situ, itu adalah kubur yang sebanar dan bukan hiasan! Mereka turut mengesahkan memang itu kubur kepunyaan sesorang di kampung itu.
Gambar sebelah adalah suasana laluan berjambatan yang terdapat di perkampungan tradisional Melanau. Ia adalah pandangan biasa bagi penduduk-penduduk di Mukah dan Oya khususnya yang berada di pesisir pantai.

Walaupun setiap rumah agak rapat antara satu sama lain tetapi ruang dalam rumah sangat luas.

Mungkin sesiapa yang berhajat untuk datang ke Mukah, Pusat Budaya ini wajib dikunjungi.

Gambar-gambar sekitar Bandar Baru Mukah











Wednesday, April 2, 2014

Menjejak Bumi Mukah: The Heartland of Melanau-Bahagian Satu

Tarikh Berkelana: 28-30 Mac 2014
Lokasi: Bintulu-Selangau-Mukah
Peristiwa: Mukah Metal Legion & PRK DUN N51 Balingian


Ada dua peristiwa penting berlaku di bumi Mukah yang telah membawa aku dan Farasu ke sini buat pertama kalinya. Ini adalah kunjungan Farasu kali kedua di Bumi Kenyalang dalam tempoh empat bulan. Penghujung 2013 lalu, kami telah datang membuat persembahan di Kuching.

Kebetulan yang agak menarik kerana telah berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK) Dun N51 Balingian dan pada waktu yang sama gig Mukah Metal Legion turut dijadualkan berlangsung pada tarikh yang sama iaitu pada 29 Mac 2014. Namun atas sebab-sebab keselamatan, pihak berkuasa telah meminta penganjur menunda program ke hari seterusnya iaitu pada 30 Mac 2014 (Ahad).

Aku secara peribadi agak teruja dapat kembali ke Sarawak dan datang pula di bahagian yang belum pernah dikunjungi. Kalau semasa zaman sekolah menengah dahulu, khususnya dalam matapelajaran Geografi, Mukah dan Oya terkenal sebagai tempat penghasilan sagu dan merupakan kawasan landai yang dipenuhi dengan hutan paya gambut terbentang di tengah pesisiran pantai Sarawak.

Untuk datang ke Mukah, perlu melalui penerbangan dari Kuala Lumpur terus ke Sibu atau Bintulu. Mukah betul-betul terletak di tengah-tengah antara Sibu dan Bintulu. Laluan dari Sibu-Mukah mengambil masa lebih kurang dua jam 45 minit manakala laluan dari Bintulu-Mukah mengambil masa hampir tiga jam.

Aku bersama Farasu melalui penerbangan KL-Bintulu.

Keindahan Alam
Antara kelebihan sarawak adalah kekayaan suasana alam kehijauan yang masih meliputi 80 peratus muka buminya.

Suasana di sekitar Lapangan Terbang Bintulu masih dipenuhi dengan hutan-hutan khatulistiwa dan hutan paya gambut. Bentuk muka bumi di Bintulu agak landai yang berhampiran dengan pantai manakala laluan menghala ke Selangau berbukit. Suasana sebegini mengingatkan aku keadaan awal sekitar Senawang, Taman Tasik Jaya dan Panchor Jaya ketika 25 tahun dahulu yang masih dipenuhi hutan dan boleh ternampak musang atau babi hutan melintas jalan!

Pejabat KEADILAN Cabang Bintulu
Perjalanan dari KL melalui pernerbangan Air asia pada jam 7:05 pagi di LCCT dan kami tiba di Bintulu dua jam selepas itu.

Setibanya di lapangan terbang, Dell selaku penganjur Mukah Metal Legion datang menjemput kami. Kunjungan pertama di Bintulu adalah mencari tempat makan. Maklumlah telah berada di LCCT seawal jam 3:45 pagi dan sepanjang perjalanan aku tak mengisi perut dengan makanan berat. Sekadar mengalas perut dengan roti pau sardin dan secawan espresso Coffea Bean.

NASI KAMBING BAKAR....menu wajib di Bintulu!
 Dell bersama rakan seperjuangan dari Bintulu telah membawa kami makan di Bintulu. Aku sempat merakam gambar sekitar Bintulu.

Ada makanan yang agak istimewa di sini dan aku rasa tiada lagi di Semenanjung. Pakar 'melantak-makanan' kami, Nahaq mula-mula sekali memesan Nasi Kambing Bakar.

Memang menyelerakan nasi jenis ini dengan daging kambing yang dibakar dan lembut. Aku yakin ini menu istimewa di Bintulu. Wajib buat semua yang baru pertama kali datang ke Bintulu untuk mencuba menu ini. Tak rugi. Rasanya memang walla!



Terminal Bas Bintulu





Sunday, February 9, 2014

Farasu: ke arah penghasilan album kedua.

Ini mungkin satu berita benar bahawa Farasu akan menghasilkan album kedua yang dalam perancangan akan diterbit dan dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

Setakat ini Farasu giat berlatih lagu-lagu terbaru sebagai persediaan dan persiapan melalui proses rakaman yang akan dimulakan pada pertengahan Mac ini. 

Sebelum ini Farasu ada mengeluarkan rakaman terbaru tiga lagu iaitu Against Tyranny, Keris Songsang dan Tangisan Malam. Ramai yang menyangkakan itu merupakan material bagi album seterusnya namun ketiga-tiga lagu itu adalah versi bagi memperkenalkan vokalis kini Farasu, Shah Zaini.

Rakaman terbaru yang bakal diterbitkan nanti merupakan lagu-lagu baru dan tidak ada rakaman semula lagu-lagu lama.

Kemungkinan Farasu akan memuatkan lapan lagu. Proses rakaman yang akan bermula pertengahan Mac ini melibatkan rakaman khusus untuk drum dahulu. Kali ini Farasu akan lebih teliti khususnya aspek-aspek teknikal agar tidak berlaku kegagalan rakaman yang menenggelamkan 'sound' pedal atau tidak seimbang atau kehilangan stroke-stroke drum akibat proses mixing yang tidak sempurna.