Friday, May 2, 2014

Trip Sibu 2014: Pemilihan Keadilan 2014 & suasana Sibu!

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Sibu, Sarawak pada pertengahan tahun 2010 lalu. Ketika itu aku bersama seorang sahabat, Hasiib Harun telah ditugaskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) iaitu sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Parti Keadilan Rakyat untuk mengendalikan urusan-urusan pemilihan parti. 

Aku dan Hasiib telah ditugaskan untuk mengendalikan urusan pencalonan cabang bagi Zon Sibu yang melibatkan Cabang Sibu, Lanang, Sarikei, Julau dan Selangau. 

Tugasan kerja
Kali ini pada tahun 2014 aku sekali lagi telah berpeluang ke Sibu dengan tugas yang sama namun berseorang mengendalikan urusan pencalonan bagi cabang di Zon Sibu melibatkan Cabang Sibu, Lanang, Selangau, Kapit, Julau, Sarikei, Saratok, Mukah dan Kanowit.

Berbeza dengan suasana Pemilihan 2010, kali ini telah berlaku jumlah pencalonan yang menggalakkan disamping berlaku pertandingan bagi beberapa cabang. Empat tahun lalu zon Sibu boleh dianggap sebagai kawasan 'suam' bagi Keadilan kerana cengkaman akar umbi tidak begitu menyerlah. Seingat aku hanya berlaku pertandingan peringkat cabang di Sibu dan Lanang. 

Suasana Sibu

Sekitar pemandangan di Jeti Sibu












Sibu pada waktu malam...Pemandangan dari atas kapal terbang


Sekitar pemandangan di pusat bandar Sibu











Kesempatan berada di Sibu kali ini aku gunakan sebaik mungkin merakam pemandangan di sekitar bandar ini. Kebetulan aku menginap di hotel dalam pusat bandar Sibu maka mudahlah untuk bersiar-siar melihat persekitaran bandar ini.

Aku melihat Bandar Sibu seperti New Orleans atau Ottawa yang mempunyai laluan kapal kargo melalui sungai. Sibu terletak di tebing Batang Rajang yang merupakan sungai terbesar dan terpanjang di Malaysia. Ini merupakan keistimewaan dan tarikan buat Sibu. Bandar ini juga merupakan tempat pembuatan kapal.

Ini catatan ringkas untuk trip Sibu...

Thursday, April 3, 2014

Menjejak Bumi Mukah: The Heartland of Melanau-Bahagian Kedua

Lokasi: Bandar Baru Mukah-Kg Telian
Tarikh: 29 Mac 2014 / Sabtu


Sesuatu yang tidak boleh dilepaskan dan wajib pada aku apabila datang ke sesebuah kawasan buat pertama kali adalah mengambil gambar-gambar kawasan sekitar. 

Hari kedua aku dan Farasu di bumi Mukah, kami telah dibawa oleh pihak penganjur melawat ke Kampung Telian Tengah dan Pantai Mukah. Kedua-dua lokasi ini aku anggap sebagai aset pelancongan di Mukah. 

Kami telah dibawa melawat ke Pusat Budaya & Kraftangan Kampung Telian Tengah. Ada rakan FB aku mencadangkan melawat 'kubur tergantung Melanau'.

Kunjungan ke pusat budaya ini telah mendedahkan sedikit sebanyak kebudayaan orang Melanau dari segi senibina rumah tradisional Melanau, pakaian tradisi, peralatan dan perkakasan hiasan serta peralatan muzik tradisi.

Rumah Tradisional Melanau
Ada banyak perkara baru yang dapat diperolehi di pusat budaya ini. Kebanyakan rumah tradisional Melanau dibina di atas kawasan paya bakau atau nipah di pesisir pantai atau kuala-kuala sungai. Senibina rumahnya agak luas dan memanjang secara pandang hadapan. Boleh dikatakan menyerupai rumah panjang Minagkabau (dari segi pelan pandang depan). Manakala jenis bumbung menyerupai bentuk rumah tradisional Kutai atau Terengganu.
Menurut tuan punya rumah yang dijadikan pusat budaya ini, ia telah dibina pada tahun 1919 ketika zaman pemerintahan Rajah Serawak ketiga, Charles Vyner Brooke (1917-1946).

Aku tertarik dengan binaan lantai dapur dalam rumah budaya ini yang dibuat daripada batang nibong.

Kalau dilihat pada keadaan asli batang nibong, ia dipenuhi dengan duri-duri hitam yang memenuhi keliling batang pohon ini. Nibong merupakan tumbuhan palma yang menyerupai pokok pinang hutan tetapi batang dipenuhi duri dan sangat mudah ditemui sekitar kawasan Mukah-Selangau-Oya-Bintulu.  Menariknya batang nibong yang menjadi susunan lantai dapur ini sangat sejuk dan selesa untuk tapak kaki memijak!

<---lantai batang="" daripada="" i="" nibong="">! 
Kebanyakan rumah di perkampungan Melanau dalam kawasan Telian ini dibina dengan kayu-kayu balak dan betul-betul terletak di atas kawasan paya. Cuma ketika kami datang waktu itu air laut tidak pasang dan masih boleh melihat aliran deras sunga-sungai yang melingkari seluruh kawasan tersebut!

Mungkin suasana asal Melaka 500-600 tahun dahulu adalah seperti di Kampung Telian ini yang mempunyai aliran sederhana dan kedalaman sungai yang boleh dimudiki oleh kapal-kapal (gambar kiri)
Kubur tergantung Melanau...adalah sesuatu yang sangat asing pada pengetahuan aku dan inilah kali pertama aku melihatnya secara dekat.

Gambar kanan tersebut bersebelahan pokok nangka merupakan kubur tergantung yang berstrukturkan kayu seperti bentuk keranda. Menurut kenalan-kenalan di situ, itu adalah kubur yang sebanar dan bukan hiasan! Mereka turut mengesahkan memang itu kubur kepunyaan sesorang di kampung itu.
Gambar sebelah adalah suasana laluan berjambatan yang terdapat di perkampungan tradisional Melanau. Ia adalah pandangan biasa bagi penduduk-penduduk di Mukah dan Oya khususnya yang berada di pesisir pantai.

Walaupun setiap rumah agak rapat antara satu sama lain tetapi ruang dalam rumah sangat luas.

Mungkin sesiapa yang berhajat untuk datang ke Mukah, Pusat Budaya ini wajib dikunjungi.

Gambar-gambar sekitar Bandar Baru Mukah











Wednesday, April 2, 2014

Menjejak Bumi Mukah: The Heartland of Melanau-Bahagian Satu

Tarikh Berkelana: 28-30 Mac 2014
Lokasi: Bintulu-Selangau-Mukah
Peristiwa: Mukah Metal Legion & PRK DUN N51 Balingian


Ada dua peristiwa penting berlaku di bumi Mukah yang telah membawa aku dan Farasu ke sini buat pertama kalinya. Ini adalah kunjungan Farasu kali kedua di Bumi Kenyalang dalam tempoh empat bulan. Penghujung 2013 lalu, kami telah datang membuat persembahan di Kuching.

Kebetulan yang agak menarik kerana telah berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK) Dun N51 Balingian dan pada waktu yang sama gig Mukah Metal Legion turut dijadualkan berlangsung pada tarikh yang sama iaitu pada 29 Mac 2014. Namun atas sebab-sebab keselamatan, pihak berkuasa telah meminta penganjur menunda program ke hari seterusnya iaitu pada 30 Mac 2014 (Ahad).

Aku secara peribadi agak teruja dapat kembali ke Sarawak dan datang pula di bahagian yang belum pernah dikunjungi. Kalau semasa zaman sekolah menengah dahulu, khususnya dalam matapelajaran Geografi, Mukah dan Oya terkenal sebagai tempat penghasilan sagu dan merupakan kawasan landai yang dipenuhi dengan hutan paya gambut terbentang di tengah pesisiran pantai Sarawak.

Untuk datang ke Mukah, perlu melalui penerbangan dari Kuala Lumpur terus ke Sibu atau Bintulu. Mukah betul-betul terletak di tengah-tengah antara Sibu dan Bintulu. Laluan dari Sibu-Mukah mengambil masa lebih kurang dua jam 45 minit manakala laluan dari Bintulu-Mukah mengambil masa hampir tiga jam.

Aku bersama Farasu melalui penerbangan KL-Bintulu.

Keindahan Alam
Antara kelebihan sarawak adalah kekayaan suasana alam kehijauan yang masih meliputi 80 peratus muka buminya.

Suasana di sekitar Lapangan Terbang Bintulu masih dipenuhi dengan hutan-hutan khatulistiwa dan hutan paya gambut. Bentuk muka bumi di Bintulu agak landai yang berhampiran dengan pantai manakala laluan menghala ke Selangau berbukit. Suasana sebegini mengingatkan aku keadaan awal sekitar Senawang, Taman Tasik Jaya dan Panchor Jaya ketika 25 tahun dahulu yang masih dipenuhi hutan dan boleh ternampak musang atau babi hutan melintas jalan!

Pejabat KEADILAN Cabang Bintulu
Perjalanan dari KL melalui pernerbangan Air asia pada jam 7:05 pagi di LCCT dan kami tiba di Bintulu dua jam selepas itu.

Setibanya di lapangan terbang, Dell selaku penganjur Mukah Metal Legion datang menjemput kami. Kunjungan pertama di Bintulu adalah mencari tempat makan. Maklumlah telah berada di LCCT seawal jam 3:45 pagi dan sepanjang perjalanan aku tak mengisi perut dengan makanan berat. Sekadar mengalas perut dengan roti pau sardin dan secawan espresso Coffea Bean.

NASI KAMBING BAKAR....menu wajib di Bintulu!
 Dell bersama rakan seperjuangan dari Bintulu telah membawa kami makan di Bintulu. Aku sempat merakam gambar sekitar Bintulu.

Ada makanan yang agak istimewa di sini dan aku rasa tiada lagi di Semenanjung. Pakar 'melantak-makanan' kami, Nahaq mula-mula sekali memesan Nasi Kambing Bakar.

Memang menyelerakan nasi jenis ini dengan daging kambing yang dibakar dan lembut. Aku yakin ini menu istimewa di Bintulu. Wajib buat semua yang baru pertama kali datang ke Bintulu untuk mencuba menu ini. Tak rugi. Rasanya memang walla!



Terminal Bas Bintulu





Sunday, February 9, 2014

Farasu: ke arah penghasilan album kedua.

Ini mungkin satu berita benar bahawa Farasu akan menghasilkan album kedua yang dalam perancangan akan diterbit dan dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

Setakat ini Farasu giat berlatih lagu-lagu terbaru sebagai persediaan dan persiapan melalui proses rakaman yang akan dimulakan pada pertengahan Mac ini. 

Sebelum ini Farasu ada mengeluarkan rakaman terbaru tiga lagu iaitu Against Tyranny, Keris Songsang dan Tangisan Malam. Ramai yang menyangkakan itu merupakan material bagi album seterusnya namun ketiga-tiga lagu itu adalah versi bagi memperkenalkan vokalis kini Farasu, Shah Zaini.

Rakaman terbaru yang bakal diterbitkan nanti merupakan lagu-lagu baru dan tidak ada rakaman semula lagu-lagu lama.

Kemungkinan Farasu akan memuatkan lapan lagu. Proses rakaman yang akan bermula pertengahan Mac ini melibatkan rakaman khusus untuk drum dahulu. Kali ini Farasu akan lebih teliti khususnya aspek-aspek teknikal agar tidak berlaku kegagalan rakaman yang menenggelamkan 'sound' pedal atau tidak seimbang atau kehilangan stroke-stroke drum akibat proses mixing yang tidak sempurna.


Tuesday, October 29, 2013

Review Ringkas Gig Kuching Ritual Defamation II

Gig: KUCHING RITUAL DEFAMATION II 2013
Tarikh: 28 September 2013
Tempat: Flying Rock Studio, Matang Jaya, Kuching.
Anjuran: Sadistic Nighmare Production.

Ini adalah kali kedua Farasu mendapat peluang membuat persembahan pentas di Bumi Kenyalang khususnya di Bandaraya Kuching.

Kali pertama dahulu adalah pada 27 Mac 2007 juga di Kuching yang berlokasi di Lee Wah Hotel. Ketika itu, Farasu sepentas bersama Sil-Khannaz, Vormit, Mentally Murdered dan beberapa band tempatan yang 'merobek' pendengaran dan 'meranapkan' pentas persembahan.

Kali ini kehadiran Farasu buat kali kedua ke Kuching membawa satu reputasi yang berbeza berbanding kehadiran terdahulu. Rata-rata anggota Farasu pertama kali menjejakkan kaki ke Kuching. Aku berada dalam Farasu ketika line-up 2007 dulu. Awalnya kami menjangkakan sambutan crowd mungkin biasa-biasa sahaja sebagaimana di semenanjung. Tambahan pula lokasi gig yang dibuat di sebuah studio muzik membuatkan kami terfikir bahawa status gig ini mungkin seperti di Bandar Baru Bangi atau Sunway!

Jangkaan kami itu meleset sama sekali. Jujurnya sambutan crowd di Kuching sangat menarik dan bersemangat. Malah lokasi gig itu sangat strategik dan mempunyai aura sebagai sebuah lokasi penting penganjuran gig di bandaraya tersebut!

Sebelum berlepas (LCCT)..
sempat bergambar dengan otai rock 80an
Aku memuji cara pengurusan Flying Rock Studio yang dimiliki oleh saudara Andy (antara orang lama Metal Sarawak & ex-gitaris Senseles). Berbeza dengan kebanyakan studio muzik yang menjadi lokasi penganjuran gig. Kebersihan dan kekemasan studio ini terjaga dengan baik termasuklah tandas. Kebiasaan kebanyakan lokasi gig sebegini paling gagal menjaga kebersihan sekitar khususnya tandas yang sering menjadi 'neraka jahanam' dengan dikuasai bau haring kencing! Peralatan muzik di studio ini juga berada dalam keadaan yang baik dan tidak 'rabak'. 

Aksi akhir di Transit Point Hotel

Kami tiba di Kuching pada hari Jumaat (27 September) sekitar jam 10:30 pagi setelah penerbangan berlepas dari LCCT jam 8:30 pagi. Kemudiannya penganjur gig iaitu saudara Seyrol bersama pasukannya telah membawa kami ke penginapan di Transit Point Hotel, Kuching.

Dua jam kemudian, kami telah dibawa ke Flying Rock Studio di Matang Jaya untuk sesi 'soundcheck'. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh seluruh anggota band bagi mendapatkan kesesuaian dan keselesaan untuk instrument muzik masing-masing dari segi bunyi dan keseimbangan!

Hari Gig
Immolates
Farasu tiba di lokasi gig sekitar jam 3:35 petang. Gig telah bermula seawal jam 2:00 petang. Beberapa band yang telah membuat persembahan awal seperti Kambing Sakti, Kamarusuk, Navratos, Immolates dan Iron Skulls. Aku sekadar sempat mendengar persembahan satu dua lagu daripada Navratos dan Iron Skulls.

Dua band lama yang aku saksikan persembahan mereka adalah Sauts Alastor dan Mentally Murdered. 

Sauts Alastor
Sejujurnya ini adalah kali pertama aku melihat persembahan Sauts Alastor secara langsung. Begitu terserlah konsep 'melodic black metal' yang ditampilkan oleh band ini. Rasanya sejak awal kemunculan, mereka masih kekal dengan konsep tersebut. Gaya persembahan dan penampilan setiap anggotanya mengimbas kembali gaya Dimmu Borgir dan Cradle of Filth era 90an.

Sauts Alastor punya gaya tersendiri dan kekal bertahan merentasi perubahan zaman.

Mentally Murdered
Mentally Murdered adalah antara band metal awal
yang kekal bertahan hingga kini. Semangat juang penggerak dan peneraju band ini iaitu saudara Churchill Wilson menjadi faktor utama Mentally Murdered untuk terus relevan berada dalam scene metal Sarawak
Lebih menarik, anggota-anggota band ini terdiri daripada 'new-blood metalhead'. Hanya beliau dan drummer sahaja anggota asal Mentally Murdered. Istimewanya kali ini, band ini mempunyai seorang pengurus yang cun-melecun iaitu Cik Dolly Sachess yang menarik perhatian banyak mata pada hari gig!

Namun begitu, persembahan Mentally Murdered memang garang dan bertenaga. Aku memang kagum dengan stamina setiap anggotanya mempersembahkan irama 'technical brutal death'! Khabarnya band ini akan mengeluarkan material baru pada tahun hadapan. Ketika ini mereka dalam proses rakaman lagu-lagu baru.

Farasu 'headliner' gig
Ketiadaan Barbalans dari Sabah sebagai 'headliner band' untuk gig telah menjadi Farasu sebagai peneraju persembahan gig pada hari itu.

Farasu mempersembahkan tujuh lagu iaitu Keris Songsang, Against Tyranny, Bisikan Suara Halus, Tangisan Malam, Keep On Rotting In Free World, Patrasari dan Holydiver.

Kami agak langkah kanan kerana dapat membuat sesi 'soundcheck' yang berkualiti dengan bantuan Andy sehari sebelum hari gig. Oleh itu, masalah ketidakseimbangan bunyi dapat diatasi dengan pantas sebelum persembahan bermula.

Masing-masing tampil dengan 'mood' dan tenaga yang tersendiri dalam membuat persembahan. Sudah pasti aksi 'bass shooting' ala Steve Harris(Iron Maiden) daripada Apai menarik perhatian crowd! Manakala Yohand persis Kerry King (Slayer) dengan wajah selamba memperagakan 'kegarangan' menggesek alunan riff keras lagu-lagu Farasu.

Kali ini vokalis kami, Shah Zaini tidak melakukan 'ritual' muntah sebelum persembahan. Beliau seperti mendapat suatu semangat baru dari Bumi Kenyalang. Masih sempat beliau sekali-sekala membuat lawak spontan untuk berkomunikasi mesra bersama crowd!

Nahak pula gagah menghayun-hayunkan rambut dan kepala sambil melantunkan irama gitarnya! Aku menitis peluh-seribu menghayun-hentak drum sambil kaki 'berlari-lari' setempat membedal rentak lagu.

Reputasi Baru
Persembahan Farasu dalam gig ini benar-benar mengangkat satu reputasi baru buat kami. Mungkin agak ego bunyinya tetapi melihatkan sambutan crowd dan sokongan rakan-rakan seperjuangan pada hari itu membuatkan kehadiran Farasu kali ini benar-benar dihargai oleh crowd dan pihak penganjur. Aku secara peribadi melihat persembahan kali kedua di Kuching kali ini lebih memberi kesan berbanding tahun 2007.

Mungkin ketika tahun 2007 kehadiran Farasu tidak berada dalam persediaan yang rapi. Berbeza untuk kali ini, setiap anggota Farasu begitu teruja dan bersemangat untuk memberi persembahan terbaik.

Penghargaan
Satu penghormatan terbaik buat pihak penganjur, saudara Seyroll yang sangat komited untuk memastikan gig ini berlangsung dengan baik. Farasu begitu menghargai segala layanan dan hubungan mesra yang berlangsung sepanjang keberadaan kami di Kuching.

Begitu juga buat krew-krew penganjur terutama Andy selaku jurutera bunyi, Serman yang sentiasa merendah diri dan mesra, geng Kambing Sakti yang tak penat dan jemu melayan sesi melantak hidangan-hidangan istimewa Sarawak bersama kami! Tak lupa juga awek-awek Bidayuh & Iban yang cun meletup hadir headbanging!

Lokasi gig iaitu Flying Rock Studio merupakan lokasi menarik dan strategik untuk penganjuran gig. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh saudara Seyroll, Impiety pernah membuat persembahan di lokasi sama.

Gig ini secara langsung memberi gambaran bahawa scene metal Sarawak masih bernafas walaupun kedengaran berlaku 'politiking dalaman' yang hampir meragut kewujudan scene metal di sini!


*gambar-gambar persembahan Farasu di gig ini boleh dilihat dalam fan-page Farasu di Facebook.