Wednesday, August 29, 2012

Video Lagu Baru Farasu-Against The Tyranny


Setelah memulakan latihan secara giat sejak penghujung tahun lepas dan berterusan sehingga sebelum Aidilfitri 2012, Farasu sempat merakamkan klip video jamm session sebuah lagu baru kami yang bakal menjadi 'killer song' untuk album terbaru akan datang.

Video ini sekadar menjadi tarikan buat pendengar dan pengikut scene Metal tanahair. Sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam post-post lepas, Farasu akan tampil dengan kelainan muziknya dan berbeza berbanding album sebelum ini-Menongkah Arus.

Sesi latihan ini hanya melibat aku dan Nahaq. Kami berdua cukup komited dan meletakkan keyakinan tinggi kepada potensi lagu ini sebagai petanda aras ke arah peningkatan kreativiti muzik Farasu. Kami benar-benar mahu memadam beberapa pandangan dan andaian yang mengatakan ciri & bunyi muzik dalam album Menongkah Arus menyamai Sil-Khannaz. Farasu menghormati kreativiti muzik yang dimiliki oleh Sil Khannaz tetapi tidak sekali meniru bentuk muzik yang telah dirintis oleh kuasa Metal negara itu.

'Against The Tyranny' adalah hasil kreatif Nahaq dan aku pula membuat susunan drumline. Lirik lagu ini adalah nukilan aku dalam bahasa Melayu dan telah diterjemahkan oleh Nahaq dalam bahasa Inggeris. Tunggu saja hasil mutakhir lagu ini nanti.

Selamat mendengar dan menilai!

Tuesday, August 28, 2012

Limau Lelang Laut & Darat

Limau Lelang Darat

Limau Lelang Laut
Aku pasti ramai antara di luar sana tak begitu mengenali spesis limau ini. Umumnya orang ramai lebih mengetahui limau nipis, limau kasturi, limau purut, limau pagar atau limau bali atas sebab ia sering digunakan untuk perubatan, masakan, minuman dan kebersihan.

Aku mengenali limau lelang laut pada tahun 1989 ketika darjah enam. Ayahanda aku kerap menggunakan limau jenis ini sebagai bahan perubatan tradisional yang digabungkan dengan limau nipis dan purut.

Tiga jenis limau ini menjadi bahan wajib untuk mandi limau dan berlangir. 

Dulu limau lelang laut sangat mudah dicari dan ditemui di kawasan paya bakau sekitar Jalan Port Dickson-Chuah yang kini telah menjadi kawasan perumahan D'ambang Kota. 

Kiri kanan sepanjang Jalan Port Dickson-Chuah bermula dari kuala Sungai Lukut Kecil sampai ke kawasan D'ambang Kota memang dipenuhi oleh pokok limau lelang laut.

Namun begitu, tak semua orang kenal atau menyedari tumbuhan berguna ini hidup subur di kawasan paya bakau. Aku agak terkilan dengan projek pembangunan kawasan paya bakau tersebut sekitar tahun 1997-98 dulu. Pembangunan projek perumahan di kawasan ini telah menyebabkan pokok-pokok limau lelang laut itu pupus kerana ditimbus dengan tanah untuk tujuan tebus guna. Aku masih ingat kawasan paya bakau itu merupakan kawasan hutan simpan bakau tetapi atas sebab pembangunan, status itu telah diubah oleh kerajaan negeri.

Rupa Bentuk

Limau Lelang Laut berwarna hijau, berbentuk seperti bola ragbi atau secara pandangan hadapan berbentuk bujur sirih. Bersaiz hanya sebesar ibu jari tangan. Berbiji halus tapi tak sebanyak biji limau purut atau nipis. Isi dalamnya seakan bergetah, sedikit melekit tetapi tak menjejaskan kulit atau pakaian jika terlekat dan berbau harum. Kalau dijemur atau dibiar lama, getah limau lelang laut ini akan berminyak dan menjadi seperti gam yang boleh dilentur-ditarik panjang seperti keju.

Limau Lelang Darat pula ketika muda berwarna hijau tetapi akan menjadi merah setelah cukup masak. Bijinya tidak banyak tetapi agak besar sedikit daripada biji limau lelang laut. Isinya juga bergetah seperti limau lelang laut cuma baunya sedikit berbeza iaitu kurang 'tajam' berbanding bau limau lelang laut.

Aku tak berapa pasti kegunaan secara khusus limau lelang darat ini tetapi masih berperanan untuk tujuan perubatan sebagaimana limau lelang laut. Ada yang sebut limau ini digunakan dalam masakan. Jenis masakannya tak pulak aku ketahui.

Kali pertama aku melihat dan kenal limau lelang darat adalah pada tahun 1998 dulu. Ada seorang anak murid ayahanda aku membawa limau tersebut ke rumah yang diambil di Bukit Kepong, Johor.

Kedua-dua jenis limau ini agak sensitif dengan perubahan fizikal kawasan ia membiak dan tumbuh. Sebarang perubahan bukan secara semulajadi khususnya kegiatan penerokaan kawasan paya bakau, penambakan untuk tebus guna tanah atau pembukaan tanah pertanian baru boleh menyebabkan tumbuhan ini musnah. Ia mungkin tumbuh namun kesesuaian kandungan tanah akan membunuh kelangsungan pokok limau lelang untuk hidup.

Walaupun limau lelang darat boleh hidup di kawasan-kawasan bukan paya, namun pokok ini mampu hidup subur di tanah jenis paya bakau, kawasan berpaya darat dan kawasan yang berhampiran dengan sungai, telaga atau berpunca air.

Setakat ini, aku belum lagi menjelajah sekitar kawasan paya bakau yang ada di Chuah, Kuala Lukut Kecil dan sekitar Lukut untuk mencari limau lelang laut. Sekiranya ada kesempatan dan kelapangan masa, aku akan mulakan.

"Orang dungu yang bahlol akan memusnahkan hutan paya bakau untuk tujuan keuntungan daripada pembangunan"

Monday, August 27, 2012

Sejarah klasik: Kerajaan Kecil Air Garam

Sebelum wujudnya kawasan Mambau, Taman Rasah, Seremban 3, Seremban 2 dan Bukit Chedang telah wujud sebuah kerajaan kecil di situ yang bernama Air Garam. Kerajaan kecil ini dipercayai telah wujud sekitar kurun ke-12 atau 13 masihi. 

Kawasan ini telah ditadbir oleh seorang pemimpin bertaraf Penghulu iaitu Siti Mariam yang terkenal dengan gelaran Nenek Janggut oleh penduduk tempatan di Kampung Batu 3 dan Kampung Seri Mantau. Bukti kewujudan tokoh ini adalah terdapat sebuah makam lama yang dipercayai milik beliau terletak di bersebelahan tanah perkuburan Kampung Seri Mantau. Binaan makam ini agak berbeza dengan binaan zaman ini dan dipercayai berusia lebih daripada 500 tahun.

Kawasan Takluk

Kerajaan kecil Air Garam terletak di lembangan Sungai Linggi bermula di Kampung Pondok Rasah, Bukit Chedang, Kampung Batu 3, Kampung Seri Mantau, Taman Rasah-Rasah Jaya, Seremban 3, Kampung Anak Air Garam, Pekan Mambau, Kampung Latak, Seremban 2 (yang dulu dikenali sebagai  Ulu Mantau).

Mengikut cerita lisan, Nenek Janggut Siti Mariam ini mengawal laluan Sungai Linggi yang melalui kawasan Air Garam. Sungai Linggi ini merupakan laluan perdagangan yang penting di kawasan Sungai Ujong.

Pertemuan dengan seorang pengkaji sejarah tempatan Saudara Khairi Nagari Nan Tuo baru-baru ini ada menyebut bahawa kawasan Anak Air Garam ini merupakan tapak asal Sungai Ujong dan dari sinilah kewujudan Sungai Ujong bermula. Menurut beliau lagi, nama Sungai Ujong itu telah tercatat seawal sebelum kewujudan Kesultanan Melaka lagi. Namun jelas beliau lagi, kajian mendalam wajar dijalankan bagi menggali lebih banyak maklumat penting tentang kewujudan Kerajaan Kecil Anak Air Garam sebelum wujud kekuasaan luak-luak dalam Negeri Sembilan.

Jangka Masa

Berdasarkan catatan oleh sebuah majalah-JEJAK pada tahun 2001 lalu, ada menyebut tarikh yang tertera pada batu nisan Makam Nenek Janggut bertarikh tahun 324 Hijrah bersamaan 936 Masihi. Jika itu diambilkira, ia bermaksud makam tersebut merupakan binaan abad ke-10!

Persoalan yang menarik, apakah telah wujud kerajaan-kerajaan kecil atau autonomi di Negeri Sembilan seawal kurun ke-10? Jika garis masa itu diperhatikan, ia membayangkan bahawa kerajaan Anak Air Garam telah wujud ketika era Kedah Tua atau era Srivijya!

Pertentangan fakta dan perkaitan zaman pasti akan menjadi isu berbangkit di sini. Pengkaji-pengkaji sejarah yang berpaksikan susunan persejarahan dari Barat pasti mempersoalkan kedatangan Islam seawal kurun ke-10 jika tarikh batu nisan di Makam Nenek Janggut ini diambil-peduli.

Kisah Lampau

Nenek Janggut Siti Mariam dilahirkan pada 6 Muharam 103 Hijrah (6 Julai 721 Masihi) yang merupakan puteri kedua kepada Putera Mangku Seri Bengkalis-Syeikh Said Haji Abdul Jalil. Beliau mempunyai lima orang adik beradik. Telah dikisahkan bahawa kesemua adik beradik Nenek Janggut melarikan diri ke Tanah Melayu kerana tidak tahan dengan tindakan kejam ibu tirinya, Raja Marhumah. Akibat tekanan dan penindasan tersebut, kesemuanya berkelana ke seberang. Nenek Janggut telah memilih untuk bertapak di kawasan Anak Air Garam.

Beliau dikatakan menjadi Penghulu yang bertaraf raja di kawasan tersebut dan dibantu oleh 18 orang panglima untuk mentadbir selia kawasan jajahan Anak Air Garam. Kumpulan panglima 18 itu telah diketuai oleh Panglima Satria Alam Sayid Muhzid.

Kehebatan ilmu tauhid dan persilatan Nenek Janggut disamping kecantikan beliau telah mendapat perhatian raja-raja dari Acheh dan Pasai waktu itu. Namun kerana gagal menyaingi kehebatan ilmu yang dimiliki, Nenek Janggut terpaksa menolak lamaran dan pinangan raja-raja tersebut.

Kerajaan Anak Air Garam juga turut dimusuhi oleh orang-orang Minangkabau yang kerap menghantar pasukan perang untuk menawan kerajaan ini. Akan tetapi gerakan-gerakan tersebut gagal. Turut disebut kelebihan yang dimiliki oleh Nenek Janggut iaitu mampu menimbulkan akar-akar pokok bakau untuk menghalang kemasukan kapal-kapal perang Minangkabau yang menyebabkan kesukaran angkatan perang tersebut memasuki Anak Air Garam.

Nenek Janggut dikatakan mangkat pada tahun 324 Hijrah.

Pengkajian mendalam kepada persejarahan awal Anak Air Garam perlu dijalankan secara serius supaya warisan sejarah tanahair khususnya di Negeri Sembilan menjadi pedoman dan panduan berguna generasi baru.